Blog Archive

Wednesday, June 26, 2013

Archive #108 - #BLACKOUT505 IS DEAD

Column by: GreenHood


Apa yang boleh saya katakan adalah “Blackout 505 IS DEAD”.

Kenapa?

Kerana ianya adalah suatu yang keliru.

Himpunan Keliru

Apa yang nyata, matlamat ‘Blackout 505’ itu sendiri tidak jelas kerana ia berubah-ubah mengikut ‘angin’ kepimpinannya.

Sebagai contoh, pada asalnya, himpunan itu adalah bagi menidakkan keputusan pilihan raya ke-13 (PRU13) dan mendesak agar campurtangan kuasa asing seperti white house dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mendesak diadakan semula pilihan raya yang baru.

Apabila usaha mendesak campurtangan kumpulan asing tersebut gagal, himpunan tersebut dihidu mahu mencetuskan revolusi dengan menggulingkan BN secara rusuhan jalanan dengan mengambil tema Malaysia Spring.

Apabila berlaku perbalahan di antara parti-parti yang membentuk pakatan rakyat berkaitan Malaysia Spring, ia bertukar matlamat dengan gerak kerja mengugut untuk memulaukan majlis angkat sumpah dewan parlimen pada 24 Jun lalu.

Apabila Dap mengambil keputusan untuk tidak terlibat dengan pemulauan majlis angkat sumpah, kini matlamat himpunan tersebut mensasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya  Malaysia (SPR) dengan desakan agar pengerusinya bertanggungjawab penuh serta perlu meletakkan jawatan.

Apakah sebenarnya matlamat ‘Blackout 505’ ?

Mungkinkah ‘Blackout 505’ adalah satu lagi jenama bagi kesinambungan politik Anwar selepas ‘Reformasi’, ‘901 Justice for Anwar’, ‘Bersih, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0’, ‘Himpunan Hijau’ dan macam-macam lagi himpunan?




Jika itulah matlamatnya, sebenarnya Anwar sudah ‘mati kutu’ dan ketandusan idea bagi mengekalkan kelangsungan atau survival politik beliau dan sekutunya.

Sehingga kini... sewaktu saya mencoretkan tulisan saya di parlimen, ahli-ahli dewan rakyat masih lagi bertengkar isu himpunan ‘Blackout 505’ yang didakwa sebagai suatu penipuan besar-besaran Anwar dan rakan pakatannya terhadap rakyat Malaysia amnya, dan pengikut tegar mereka sendiri secara khususnya.

Kepada Anwar Ibrahim, syabas dan tahniah atas perlantikan semula sebagai ketua pembangkang di dalam dewan rakyat!

BLACKOUT 505 IS DEAD... satu lagi episod penipuan selepas 16 September!


Thursday, June 13, 2013

Archive #107 - Snippet: Kisah Mahathir, Anwar & Manusia Teragung

Column by: GreenHood


Baru-baru ini saya berkesempatan berbual panjang dengan ayah saya di kampung.

Kesebukan menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13) membataskan saya pulang menjengah ayah dan emak yang sudah uzur. Namun, selesai sahaja PRU13, saya terus menziarahi kedua-dua emak dan ayah.

Sebagai pesara guru, ayah merupakan bekas pejuang politik yang memilih Umno sebagai wadah perjuangannya sewaktu mengajar dahulu.

Diakui, guru merupakan profesyen yang dihormati suatu ketika dahulu, menjadi sebahagian dari anggota parti politik merupakan perkara yang biasa. Tidaklah menjawat jawatan yang tinggi, ayah pernah menjadi penolong setiausaha Pergerakan Pemuda Umno dalam satu bahagian di Selangor.

Karier politiknya mula malap bila kalah bertanding ketua pemuda di bahagiannya.

Selepas itu, beliau tidak berapa aktif dalam politik namun menjadi pemerhati setia pada perkembangan politik semasa.

Topik perbualan kami terlalu banyak. Dari soal PRU13 yang melakar satu lagi sejarah baru era moden Malaysia hinggalah soal pemilihan Umno yang bakal menjengah.

Baiklah, sebelum saya meneruskan intipati perbualan kami secara ringkas, perlu saya nyatakan bahawa pada waktu sembang-sembang antara ayah dan anak ini berlangsung, belum timbul isu cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi.


Sembang Ayah dan Anak


Ujar ayah, beliau melihat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim punyai satu persamaan yang ketara.

Selain kedua-dua tokoh politik negara itu pernah duduk dalam satu barisan kepimpinan tidak kira kerajaan mahu pun parti, kedua-dua Mahathir dan Anwar telah meletakkan diri masing-masing pada satu kedudukan yang tertinggi dalam sejarah politik negara - satu perkara yang tidak dilihat oleh pemimpin Umno sedia ada.

Ayah beritahu, tidak mustahil akan berlaku perebutan jawatan dalam pemilihan Umno akan datang. Berbagai pihak akan menjustifikasikan niat masing-masing dan ayah percaya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku penyandang presiden parti akan menerima tentangan yang maha hebat.

Antara alasan yang bakal diberikan adalah kerana Barisan Nasional (BN) menerima jumlah kerusi yang kurang dari pilihanraya umum ke-12.

Kempen menggunakan alasan di atas bagi menumbangkan Najib adalah kempen yang paling ampuh dan berkesan.

Namun, ayah berkata...

“Adakah dengan menggantikan Najib dengan seorang presiden yang baru akan menguatkan Umno dan memberi kemenangan besar kepada BN pada pilihanraya umum ke-14 kelak?”

Jawapan yang diberikan oleh ayah mudah.

Katanya, “tidak!”

“Cuba kembali lihat kepada kedudukan Mahathir dan Anwar. Apakah persamaan di antara kedua mereka?”, ayah bertanya.





Yang Teragung


Saya termangu agak lama.

“Setelah Mahathir melepaskan jawatan beliau selaku perdana menteri dan presiden parti, beliau terus menerus menjadi manusia paling berpengaruh walau pun tanpa sebarang jawatan. Setidak-tidaknya, beliau menggunakan seluruh kudrat dan ‘jentera’ yang masih ada untuk mengharumkan nama beliau melalui kejayaan-kejayaan beliau di masa lampau. Beliau tidak sekali-kali akan berdiam diri dan membiarkan namanya pupus dari ingatan rakyat Malaysia. Dengan itu, beliau meletakkan dirinya pada satu kedudukan teragung.

Dengan kedudukan teragung itu, beliau menjadi pencatur terhebat tanpa perlu rasa bimbang akan digulingkan oleh mana-mana pihak. Beliau bukan mahu bertanding sebagai presiden atau mahu kembali menjadi perdana menteri. Beliau hanya mahu kehendak beliau dituruti dan ini termasuklah siapa bakal presiden Umno atau perdana menteri Malaysia seterusnya.

Jika beliau gagal mendapatkan keputusan yang diingini, adakah beliau akan terguling dari kedudukannya?

Sekali lagi jawapannya adalah, ‘tidak!’

Beliau mungkin hanya akan kehilangan beberapa kepentingan beliau termasuklah berkaitan empayar ekonominya”

Penjelasan ayah di atas lebih membuatkan saya termangu.


Anwar Ikut Jejak Mahathir


Soalan beliau seterusnya...

“Apa pula persamaan Anwar dengan Mahathir?”

Saya menggelengkan kepala.

“Anwar juga telah meletakkan dirinya pada satu kedudukan teragung. Sama macam Mahathir. Tetapi melalui kaedah dan pengalaman beliau tersendiri.

Anwar tidak perlu bersusah payah memikirkan jawatannya ditandingi. Beliau hanya perlu mencaturkan siapa duduk apa dalam partinya. Pada masa yang sama, beliau hanya perlu meyakinkan ketua-ketua parti lain dalam pakatan bahawa hanya dirinya yang mampu mengikat ketiga-tiga parti utama pakatan. Lebih dari itu, beliau hanya perlu meyakinkan jika pakatan menang dalam mana-mana pilihanraya umum, hanya beliau yang mampu menjadi perdana menteri.

Dengan itu, kedudukan beliau tidak akan goyah sama sekali.

Apa bezanya jawatan ‘ketua umum’ yang tiada dalam mana-mana perlembagaan parti perikatan pakatan (Dap, Pas dan Pkr) dengan ‘orang lama’ seperti Mahathir?”

Saya terangguk-angguk walau pun masih belum dapat hadam apa yang cuba ayah sampaikan.

“Engkau tahu ke apa yang ayah cakap ni?”, tenung ayah kepada ku.


Anwar Mendahului Mahathir


Sekali lagi saya gelengkan kepala.

Ayah gelak kecil sambil berkata...

“Tidak kira siapa pun presiden Umno... baik Najib, Muhyiddin, Zahid, Hishamuddin atau siapa pun... selagi Umno berpecah belah, selagi itu yang kuat hanya Mahathir. Macam pakatan juga. Tidak kira siapa presiden Pas atau Dap, Anwar cuma perlu kekalkan Pkr sebagai pengikat antara perikatan mereka.

Jika ditakdirkan pakatan menang, Anwar bolehlah menerima trofinya sebagai perdana menteri Malaysia dan pada ketika ini, Anwar mendahului Mahathir dalam mengekalkan stabiliti parti-parti perikatan beliau menuju PRU14 berbanding Mahathir yang terus menerus memecah-belahkan baik Umno mahu pun BN demi memastikan kelangsungan beliau sebagai yang teragung”

Kata ayah menutup perbualan kami.

Monday, June 10, 2013

Archive #106 - #Blackout505 - Dewan Ulama Pas Flip Flop

Column by: GreenHood
MalaysiaKini (10 Jun 2013) melaporkan bahawa Dewan Ulama Pas melalui Datuk Harun Taib telah menarik balik larangan menyertai himpunan ‘Blackout 505’ dan mengikuti keputusan jawatankuasa Pas pusat kelmarin yang dibacakan oleh Mat Sabu.

Dalam keputusan mesyuarat jawatankuasa kelmarin, Pas mengambil pendirian akan menyokong dan bakal mengarahkan ahli-ahlinya untuk turun meramaikan himpunan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 15 Jun hadapan.

Flip Flop

Keputusan Dewan Ulama Pas merupakan satu keputusan flip flop kerana dewan terlebih dahulu menyatakan bahawa mereka akur dan bersetuju dengan keputusan pilihanraya umum ke-13 (PRU13), justeru itu, melarang sebarang penyertaan serta tidak mahu mengambil sebarang bahagian dalam mana-mana himpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Ianya selari dengan tindakan Pas Kelantan yang telah melangsungkan upacara mengangkat sumpah bagi menteri besar serta para exconya dan seterusnya menubuhkan kerajaan negeri bagi penggal yang baru.

Alasan Berbeza

Menurut MalaysiaKini, dewan ulama telah mengambil keputusan untuk mengikuti keputusan jawatankuasa Pas pusat kerana sebelum ini menganggap himpunan ‘Blackout 505’ adalah satu himpunan bagi mewujudkan revolusi serta mahu menggulingkan kerajaan pusat melalui protes jalanan.

Namun, keputusan itu berubah kerana niat himpunan hanyalah mahu menunjukkan kononnya solidariti rakyat Malaysia yang mahu supaya SPR bertanggung jawab atas keputusan PRU13 yang lalu.

Di sebalik desakan supaya pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletakkan jawatan kerana kegagalan pakatan ‘menakluki Putrajaya’ mahupun menubuhkan kerajaan pusat, namun tiada suara dalam kepimpinan pakatan yang berani mengarahkan kerajaan negeri-negeri kepimpinan mereka dibubarkan sebagai tanda protes kepada keputusan PRU13 itu.

Apa yang jelas, rasional di sebalik penarikan semula keputusan dewan ulama melarang sebarang penyertaan dalam himpunan ‘Blackout 505’ ternyata BERBEZA dengan keputusan awal mereka yang bersetuju dan akur dengan keputusan PRU13 lalu.

Archive #105 - #Blackout505 - Pas Celaru?

Column by: GreenHood

Dalam masa kurang dari seminggu menyaksikan perbalahan dalaman Pas mengenai isu ‘Blackout 505’ menjadi-jadi.

Bermula dari kenyataan dari Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang mengatakan bahawa Pas secara dasarnya menerima keputusan pilihanraya umum ke-13 (PRU13) lalu dan tidak dengan sukarela menganjur, menyertai atau mengambil mana-mana bahagian dalam siri-siri perhimpunan seperti ‘Blackout 505’ itu sendiri (catatan MalaysiaKini, 6 Jun 2013), hinggalah keputusan jawatankuasa Pas pusat yang telah bermesyuarat, meluluskan dan menyokong untuk mengambil bahagian dan bakal hadir dalam himpunan tersebut yang mana keputusan itu dibacakan oleh timbalan presidennya, Mat Sabu (MalaysiaKini, 9 Jun 2013).

Secara asas, pertentangan pendapat sering berlaku terutama dari dewan ulama terhadap keputusan-keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa Pas pusat. Ini bukanlah satu perkara yang baru.

Namun, seringkali suara ulama diketepikan dengan keputusan eksekutif pentadbiran pusat seolah-olah suara ulama tiada ‘value’ nya lagi.

Pemerhati politik beranggapan bahawa perkara ini berlaku kerana unsur pertentangan politik dalaman yang sekian lama wujud namun disenyapkan iaitu; pertentangan antara pro-Anwar dan anti-Anwar di dalam Pas.

Sewaktu ramai pro-Anwar yang menduduki kerusi jawatankuasa Pas pusat, ramai pula anti-Anwar yang duduk di dalam Dewan Ulama Pas.

Kerana itu acapkali berlaku perselisihan pendapat atau keputusan yang mana keputusan-keputusan jawatankuasa Pas pusat lebih memberi keuntungan kepada Anwar berbanding Pas itu sendiri.

Buktinya, walaupun Pas menerima kuota calon bagi kerusi-kerusi yang dipertandingkan hampir sama dengan Pkr dan Dap sewaktu PRU13 yang lalu, Pas ternyata parti yang mendapat kemenangan paling sedikit iaitu sebanyak 21 buah kerusi sahaja.

Sunday, June 9, 2013

Archive #104 - Anwar Pilih #BlackOut505 - Pilihan Hanya Lim Kit Siang Atau Karpal Singh

Column by: GreenHood

Tindakan selari pengerusi dan penasihat Dap - Lim Kit Siang dan Karpal Singh - dalam isu berkenaan cadangan ketua umum Pkr, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulaukan majlis angkat sumpah ahli parlimen bagi penggal yang baru wajar diberi perhatian oleh penganalisis politik Malaysia.

Selain Karpal Singh yang membuat satu laporan polis di balai polis Tun HS Lee pada 16 Mei lalu rentetan himpunan ‘Blackout 505’ yang dikatakan sebagai satu usaha untuk menggulingkan kerajaan sedia ada dengan kaedah jalanan, Lim Kit Siang dengan tegas menyatakan bahawa tiada sebab untuk Dap memulaukan majlis angkat sumpah ahli-ahli parlimen bagi penggal baru berdasarkan keputusan pilihanraya umum ke 13 (PRU13) yang lalu.

Kenyataan tersebut dirakamkan oleh laman portal MalaysiaKini, kelmarin.

Usaha pakatan rakyat mengadakan himpunan ‘Blackout 505’ dijadualkan pada 16 Jun hadapan di Padang Merbok, Kuala Lumpur adalah usaha berterusan Anwar menidakkan keputusan PRU13 walaupun negeri-negeri di bawah tadbir pakatan turut sudah menubuhkan pentadbiran baru masing-masing. Satu perbuatan yang tidak melambangkan laungan asas himpunan ‘Blackout 505’.



Tiada Kenyataan Bersama Soal Ketua Pembangkang

Sehingga kini, baik Pas mahupun Dap tiada membuat kenyataan rasmi BERSAMA soal siapakah yang bakal menerajui barisan pembangkang di dalam dewan rakyat sedangkan Anwar dengan jelas menyatakan kesediaan beliau untuk memulaukan majlis angkat sumpah tersebut.

Perbuatan Anwar tersebut akan menutup langsung ruang beliau untuk dilantik sebagai ketua pembangkang dan ini membuka seluas-luasnya pintu kepada Dap yang punyai majoriti kerusi parlimen iaitu sebanyak 38 kerusi berbanding Pas iaitu 21 kerusi.

Lim Kit Siang vs Karpal Singh

Melihat kepada senarai tokoh dalam parti Dap, ternyata hanya ada dua pemimpin berkaliber bagi menerajui barisan pembangkang iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Kedua-dua tokoh tersebut mempunyai pengalaman menjawat jawatan ahli parlimen lebih dari 20 tahun dan masing-masing amat mahir dan sudah biasa dengan proses perjalanan dewan parlimen.

Namun, dari segi pengalaman mengetuai barisan pembangkang ternyata Lim Kit Siang pernah menjawat jawatan tersebut pada tahun 1973, 1975 dan 2004. Ini dengan jelas memberi kelebihan kepada beliau untuk meneruskan amanat rakyat menerusi parti terbanyak memperolehi kepercayaan di dalam perikatan pakatan.

Lim Kit Siang Pilihan Tepat

Memilih Kit Siang selaku ketua pembangkang dalam dewan parlimen merupakan satu pilihan yang amat tepat.

Berdasarkan keputusan PRU13 yang lalu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mendakwa satu fenomena baru muncul dengan apa yang beliau namakan sebagai ‘Tsunami Cina’.

Ada kebenaran di sebalik fenomena baru itu apabila lebih dari 90% pengundi kaum Tionghua telah memilih untuk mengundi pakatan.

Secara kolektif, Dap dilihat telah berjaya mendapatkan perhatian kaum Tionghua apabila memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan satu lawan satu dengan parti MCA atau Gerakan, iaitu dua parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dianggotai secara majoriti oleh kaum tersebut.

Ini tidak menolak pendapat segelintir penganalisis yang menyatakan bahawa Dap merupakan parti harapan kaum Tionghua menggantikan MCA dan Gerakan.

Maka, dengan pemilihan Lim Kit Sing sebagai ketua barisan pembangkang di dalam dewan parlimen ia akan dapat membela kehendak kaum tersebut yang lebih dari 90 peratus pengundi lalu memilih mereka.

Namun, jika Karpal Singh yang terpilih selaku ketua pembangkang, maka Dap turut dianggap berjaya dengan mengenepikan sentimen perkauman bahkan sanggup memilih wakil dari kaum sikh iaitu antara kaum paling minoriti dalam pecahan masyarakat majmuk Malaysia.

Friday, June 7, 2013

Archive #103 - #Blackout505 - Siapa Yang Mahu Anwar Tipu? Rakyat, BN atau Dap dan Pas?


Column by: GreenHood


DYMM Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selamat bertitah menyeru seluruh rakyat Malaysia menerima keputusan  pilihanraya umum ke 13 dengan lapang dada tanpa sebarang perasaan emosi yang boleh mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara. Titah tersebut disampaikan pada ulangtahun kelahiran baginda minggu lepas.

Di sebalik kata nista dan cacian beberapa individu terhadap DYMM Yang Di-Pertuan Agong (individu berkaitan sudah pun ditangkap oleh pihak berkuasa), ‘majoriti’ rakyat Malaysia telah mengambil keputusan tidak mengikut sebarang himpunan mahupun bantahan yang dianjurkan oleh ‘pihak-pihak tertentu’ bersesuaian dengan titah baginda.
Walaupun masyarakat majoriti tidak bersuara kerana tiada pemimpin yang membawa suara mereka ketengah berbanding pihak minoriti yang diketuai oleh ‘dalang tertentu’, namun dapat difahami ketidakhadiran masyarakat majoriti dalam program bantahan adalah petunjuk besar yang mereka tidak menyokong himpunan atau bantahan tersebut. Satu perkara yang ditutup oleh ‘pihak-pihak tertentu’ yang memanipulasi persepsi umum - MAJORITI RAKYAT MALAYSIA MENERIMA KEPUTUSAN PILIHANRAYA UMUM KE-13 (PRU13).

Secara Umum Keputusan PRU13 Diterima Termasuk Negeri Pakatan

Negeri Kelantan mendahului senarai negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan apabila mengadakan upacara angkat sumpah menteri besar dan exco kerajaan negeri secara serentak sekitar jam 6 petang, 6 Mei 2013 iaitu sehari selepas keputusan PRU13 diperolehi.

Bagi Pulau Pinang, upacara mengangkat sumpah selaku ketua menteri berlangsung pada tanggal 7 Mei 2013 iaitu selang satu hari dari Kelantan dan perlantikan Lim Guan Eng bagi penggal kedua tersebut berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Seri Mutiara. Perlantikan ahli majlis atau exco negeri berlangsung tidak lama selepas itu.

Selangor merupakan negeri terakhir dalam siri acara lantikan menteri besar serta ahli majlis atau exco kerajaan negerinya selepas insiden dalaman bagi menentukan siapakah yang berkelayakan tidak kira menjadi menteri besar mahupun exco tersebut.

Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik menjadi menteri besar Selangor bagi penggal kedua semenjak 2008 dan upacara mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah berlangsung pada tanggal 14 Mei 2013 iaitu hampir sepuluh hari selepas keputusan PRU13 diperolehi.

Manakala upacara mengangkat sumpah ahli majlis atau exco kerajaan negeri berlangsung pada 29 Mei 2013 iaitu lebih dari 2 minggu setelah keputusan PRU13 diperolehi.

Lucunya, selain menghasut rakyat agar menolak keputusan PRU13, negeri-negeri dikuasai pakatan tidak segan silu membentuk kerajaan negeri masing-masing apabila upacara mengangkat sumpah tidak kira selaku menteri besar, ketua menteri mahupun exco-exco kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan pentadbiran negeri telah pun mula beroperasi.

Selangor Lewat Tapi ‘Blackout 505’ Menjadi Tumpuan

Berbanding Kelantan dan Pulau Pinang, kelewatan perlantikan menteri besar dan exco kerajaan negeri Selangor dikenal pasti berpunca dari perebutan dua nama besar iaitu Khalid Ibrahim sendiri selaku penyandang terdahulu dan Azmin Ali selaku pengerusi Pkr bagi negeri Selangor.

Turut menjadi perbalahan apabila Pas memperolehi 15 kerusi iaitu jumlah yang sama diperolehi Dap manakala Pkr hanya 14 kerusi. Justeru pengagihan kerusi exco serta siapakah calon dari ketiga-tiga parti yang layak menjadi exco penggal terbaru ini melambatkan proses penyerahan senarai nama calon kepada pihak istana.

Apa yang jelas, kemelut dalaman pakatan Selangor tertutup dengan gerakan-gerakan ‘Blackout 505’ yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menarik ratusan ribu penyokong pakatan ke jalanan dalam tempoh 3 minggu tersebut.

Antara kemelut dalaman pakatan Selangor dan gerakan ‘Blackout 505’, lebih ramai pihak memperkatakan soal ‘Blackout 505’ berbanding kelewatan negeri Selangor melantik menteri besar dan exco kerajaan negeri yang terhasil akibat perbalahan dalaman mereka.

Momokan 1 Juta Rakyat Malaysia Menolak Keputusan PRU13 dan Mahukan Campurtangan Kuasa Asing

Bukanlah suatu yang rahsia bilamana sumber dalaman pakatan sendiri memaklumkan bahawa Anwar Ibrahim sebenarnya terlalu yakin dapat memenangi PRU13 selepas menerima laporan risikan agensi asing. Bahkan, menurut sumber yang tidak mahu dinamakan itu mengatakan bahawa Anwar telah menempah One World Hotel untuk mengumumkan kejayaan pakatan membentuk kerajaan persekutuan pada malam 5 Mei yang lalu.

Namun apabila keputusan sebaliknya, beliau telah mengecam kemenangan Barisan Nasional (BN) dan seterusnya menggerakkan ‘pelan B’ dengan melakukan roadshow demi roadshow dan himpunan demi himpunan mengumpulkan seramai manusia yang boleh bagi memperlihatkan kepada ‘dunia’ bahawa kononnya ‘majoriti’ rakyat Malaysia menolak keputusan PRU13 yang didakwa dimenangi oleh BN secara tipu helah dan salahguna kuasa terhadap agensi kerajaan terutama Suruhanjaya Piliharaya Malaysia (SPR) walaupun lebih dari 30 orang pemerhati luar negara mengikuti secara langsung perjalanan PRU13 tersebut.

Permohonan Anwar untuk campurtangan ‘Rumah Putih’ atau White House serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak penubuhan kerajaan baru Malaysia untuk penggal 2013-2018 ternyata ditolak oleh Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang mengkitiraf kerajaan baru BN seterusnya mengucapkan ucapan selamat maju jaya kepada perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kemelut Siapa Ketua Pembangkang Menjelang Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat Bagi Penggal 2013-2018

Hi-chase-drama Anwar benar-benar teruji bilamana upacara mengangkat sumpah ahli dewan rakyat atau parlimen dijangka berlangsung pada  24 Jun 2013 nanti.

Mengikut pengiraan jumlah kerusi yang dimenangi oleh pakatan, pecahannya adalah seperti berikut:

38 kerusi Dap
30 kerusi Pkr; dan
21 kerusi Pas

Ini bermakna Dap mempunyai hak untuk menuntut kerusi ketua pembangkang di dalam dewan rakyat atau parlimen berbanding dua parti yang lain iaitu Pkr dan Pas.

Tidak seperti peruntukan undang-undang penubuhan kerajaan negeri-negeri (kecuali Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak), kebanyakkan negeri memperuntukan kerusi menteri besar di beri kepada bangsa Melayu.

Sebaliknya, mengikut peruntukan Perlembagaan Malaysia, 1957 tiada had terhadap bangsa tertentu dipilih sama ada menjadi perdana menteri mahupun ketua pembangkang di dalam dewan rakyat.

Bagi menguatkan hujah ini, mengikut sejarah, ketua pembangkang pernah dipegang oleh wakil dari Dap dan Snap iaitu Lim Kit Siang (1973, 1975 dan 2004), James Wong dan Edmund Mund Langgu Saga (1973).

Suatu yang difahami dengan jelas adalah persetujuan asal parti-parti membentuk pakatan untuk mengangkat Anwar menjadi perdana menteri sekiranya PRU13 memihak kepada pakatan.

Namun, tiada langsung kenyataan dari mana-mana pihak mewakili parti-parti dalam pakatan menyebut berkaitan persetujuan siapakah ketua pembangkang seandainya mereka tewas.

Mengikut kebiasaan dan amalan lazim politik Malaysia, parti yang punyai jumlah kerusi terbanyak berhak untuk meminta sama ada kerusi ketua kerajaan (jika menang) atau ketua pembangkang (jika tewas) di dalam dewan rakyat.

Dalam konteks ini, sebenarnya, Dap-lah yang punyai kuasa ‘demanding’ bagi memohon kerusi ketua pembangkang kerana jumlah perolehan kerusi parlimennya mengatasi dua parti yang lain.

Anwar tidak layak untuk meminta kerusi ketua pembangkang kerana ianya tidak termasuk dalam perjanjian asal (hanya bersetuju sekiranya pakatan menang sahaja).

Anwar hanya mampu menekan Dap sekiranya beliau berpakat dengan Pas yang punyai 21 kerusi untuk menundukkan kemaraan Dap di dalam dewan rakyat selaku ketua pembangkang.

Persoalannya, di manakah duduk letak Anwar sewaktu tarikh 24 Jun menghampiri?


Sekali Lagi ‘Blackout 505’ Mengaburi Mata Rakyat Dan Memberi Kelebihan Kepada Anwar

Bersesuaian dengan tema himpunan iaitu ‘Blackout’, sekali lagi Anwar bermain silap mata dengan mengalih atau 'menggelapkan' kemelut sebenar iaitu siapakah yang layak meneraju pembangkang dalam dewan rakyat sewaktu hari mengangkat sumpah semakin tiba. Ianya tidak ubah seperti menggerakkan ‘Blackout’ sewaktu Selangor mengalami kemelut dalaman bagi memilih menteri besar dan para exconya.

Kali ini, sekali lagi Anwar terpaksa menggerakkan seluruh jenteranya bagi menunjukkan kekuatan dan kebolehan beliau mengepalai pakatan dalam dewan rakyat dengan mengadakan ‘gimmick’ mengetuai rakyat di jalanan terlebih dahulu. Ianya tidak lebih dari 'to show his strenght' kepada rakan pakatannya sendiri.

Karpal Terlebih Dahulu Menghidu Mainan Anwar

Sebenarnya, antara pihak yang berjaya mengesan usaha Anwar untuk mengetuai pembangkang di dalam dewan rakyat adalah Karpal Singh.

Karpal Singh mengetahui bahawa Dap punyai kelebihan untuk meminta kerusi sebagai ketua pembangkang di dalam dewan rakyat. Justeru itu usaha Anwar untuk menunjuk-nunjuk dengan mengerahkan ribuan rakyat ke jalanan telah ditempelak oleh Karpal dengan satu laporan polis yang dibuat di balai polis Tun HS Lee pada tanggal 16 Mei yang lalu.

Karpal Singh antara lain menyebut sewaktu ditanya wartawan sebagai berkata:

“Saya tidak mahu turut terlibat dengan permainan Pakatan Rakyat walaupun saya sendiri dari barisan pembangkang. Negara ada undang-undang. Yang kita berani tentang... kita tentang, tapi kalau nak menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan yang melibatkan manusia sebagai mangsa, saya berundur diri. Saya tidak mahu masuk campur”

Anwar dan Azmin Bermain Politik Yang Sama

Sewaktu Azmin berkeras mahukan jawatan menteri besar Selangor, beliau bersama jenteranya terdiri dari ketua wanita Pkr, Zuraidah dan beberapa ahli dewan undangan (adun) serta ahli parlimen Pkr yang lain telah mengugut untuk beramai-ramai keluar dari Pkr dan menjadi adun dan ahli parlimen bebas. Setidak-tidaknya itulah yang dimaklumkan oleh sumber dalaman Pkr yang saya perolehi di samping twitter Azmin yang mengecam kepimpinan utama Pkr.

Sebenarnya, tindakan Anwar menggerakkan ‘Blackout 505’ juga adalah kaedah mengugut bukan sahaja terhadap BN tetapi kepada parti komponen pakatan yang lain terutama Dap dan Pas.

Anwar mahu menunjukkan kepada Dap dan Pas bahawa tiada pemimpin dalam kedua-dua parti tersebut yang mampu menggerakkan ratusan ribu rakyat melainkan beliau sahaja. Justeru itu akan menjustifikasikan kedudukan beliau sebagai ketua pembangkang di dalam dewan rakyat kelak.


Dilute Isu dan Cabaran Untuk Anwar Tidak Mengangkat Sumpah

Antara pemimpin Dap-Pkr-Pas, hanya Anwar yang dilihat bersungguh-sungguh menolak keputusan PRU13 dan mengajak rakyat bersekutu dengannya bagi mendesak kuasa luar campur tangan menidakkan kerajaan baru BN.

Buktinya, Dap yang memperolehi Pulau Pinang sudah pun membentuk kerajaan negerinya begitu juga dengan Pas yang sudah pun mentadbir kerajaan negeri Kelantan bagi penggal 2013-2018.

Sekali lagi mencuit kegelian saya adalah bagaimana Khalid Ibrahim mewakili Pkr juga turut sudah mentadbir kerajaan negeri Selangor bagi penggal 2013-2018?

Anwar pula terus terusan menyusun program berbentuk himpunan seperti ‘Blackout 505’ mengajak rakyat yang tidak bersalah mengikut agenda peribadi beliau.

Ternyata, Anwar masih lagi licik menggunakan ‘Blackout 505’ sebagai agenda serampang dua mata bagi bukan sahaja menekan BN, bahkan parti-parti perikatannya iaitu Dap dan Pas dalam memastikan kedua-dua parti tersebut terus tunduk kepada agenda peribadinya.

Jika BN lah yang menjadi sasaran utamanya dalam mengadakan ‘Blackout 505’ itu dan bersungguh tidak mahu menerima keputusan PRU13 yang lalu, adalah menjadi satu cabaran kepada beliau untuk TIDAK MENGANGKAT SUMPAH selaku ahli parlimen di dalam dewan rakyat atau menerima jawatan selaku ketua pembangkang.

Anwar wajar menolak sebarang lantikan sebagai ketua pembangkang dan serahkan sahaja jawatan itu kepada rakan-rakan ‘tidak setiakawan’ mereka yang sudah pun menubuhkan kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor asalkan sahaja bukan beliau.

Dan usaha menggerakkan 'Blackout 505' lebih murni jika Anwar terlebih dahulu mengarahkan kerajaan negeri-negeri di bawah pakatan dibubarkan kerana kemenangan mereka adalah hasil penipuan BN serta agensi utamanya, SPR.

Beranikah Anwar?