Blog Archive

Thursday, June 13, 2013

Archive #107 - Snippet: Kisah Mahathir, Anwar & Manusia Teragung

Column by: GreenHood


Baru-baru ini saya berkesempatan berbual panjang dengan ayah saya di kampung.

Kesebukan menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13) membataskan saya pulang menjengah ayah dan emak yang sudah uzur. Namun, selesai sahaja PRU13, saya terus menziarahi kedua-dua emak dan ayah.

Sebagai pesara guru, ayah merupakan bekas pejuang politik yang memilih Umno sebagai wadah perjuangannya sewaktu mengajar dahulu.

Diakui, guru merupakan profesyen yang dihormati suatu ketika dahulu, menjadi sebahagian dari anggota parti politik merupakan perkara yang biasa. Tidaklah menjawat jawatan yang tinggi, ayah pernah menjadi penolong setiausaha Pergerakan Pemuda Umno dalam satu bahagian di Selangor.

Karier politiknya mula malap bila kalah bertanding ketua pemuda di bahagiannya.

Selepas itu, beliau tidak berapa aktif dalam politik namun menjadi pemerhati setia pada perkembangan politik semasa.

Topik perbualan kami terlalu banyak. Dari soal PRU13 yang melakar satu lagi sejarah baru era moden Malaysia hinggalah soal pemilihan Umno yang bakal menjengah.

Baiklah, sebelum saya meneruskan intipati perbualan kami secara ringkas, perlu saya nyatakan bahawa pada waktu sembang-sembang antara ayah dan anak ini berlangsung, belum timbul isu cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi.


Sembang Ayah dan Anak


Ujar ayah, beliau melihat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim punyai satu persamaan yang ketara.

Selain kedua-dua tokoh politik negara itu pernah duduk dalam satu barisan kepimpinan tidak kira kerajaan mahu pun parti, kedua-dua Mahathir dan Anwar telah meletakkan diri masing-masing pada satu kedudukan yang tertinggi dalam sejarah politik negara - satu perkara yang tidak dilihat oleh pemimpin Umno sedia ada.

Ayah beritahu, tidak mustahil akan berlaku perebutan jawatan dalam pemilihan Umno akan datang. Berbagai pihak akan menjustifikasikan niat masing-masing dan ayah percaya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku penyandang presiden parti akan menerima tentangan yang maha hebat.

Antara alasan yang bakal diberikan adalah kerana Barisan Nasional (BN) menerima jumlah kerusi yang kurang dari pilihanraya umum ke-12.

Kempen menggunakan alasan di atas bagi menumbangkan Najib adalah kempen yang paling ampuh dan berkesan.

Namun, ayah berkata...

“Adakah dengan menggantikan Najib dengan seorang presiden yang baru akan menguatkan Umno dan memberi kemenangan besar kepada BN pada pilihanraya umum ke-14 kelak?”

Jawapan yang diberikan oleh ayah mudah.

Katanya, “tidak!”

“Cuba kembali lihat kepada kedudukan Mahathir dan Anwar. Apakah persamaan di antara kedua mereka?”, ayah bertanya.





Yang Teragung


Saya termangu agak lama.

“Setelah Mahathir melepaskan jawatan beliau selaku perdana menteri dan presiden parti, beliau terus menerus menjadi manusia paling berpengaruh walau pun tanpa sebarang jawatan. Setidak-tidaknya, beliau menggunakan seluruh kudrat dan ‘jentera’ yang masih ada untuk mengharumkan nama beliau melalui kejayaan-kejayaan beliau di masa lampau. Beliau tidak sekali-kali akan berdiam diri dan membiarkan namanya pupus dari ingatan rakyat Malaysia. Dengan itu, beliau meletakkan dirinya pada satu kedudukan teragung.

Dengan kedudukan teragung itu, beliau menjadi pencatur terhebat tanpa perlu rasa bimbang akan digulingkan oleh mana-mana pihak. Beliau bukan mahu bertanding sebagai presiden atau mahu kembali menjadi perdana menteri. Beliau hanya mahu kehendak beliau dituruti dan ini termasuklah siapa bakal presiden Umno atau perdana menteri Malaysia seterusnya.

Jika beliau gagal mendapatkan keputusan yang diingini, adakah beliau akan terguling dari kedudukannya?

Sekali lagi jawapannya adalah, ‘tidak!’

Beliau mungkin hanya akan kehilangan beberapa kepentingan beliau termasuklah berkaitan empayar ekonominya”

Penjelasan ayah di atas lebih membuatkan saya termangu.


Anwar Ikut Jejak Mahathir


Soalan beliau seterusnya...

“Apa pula persamaan Anwar dengan Mahathir?”

Saya menggelengkan kepala.

“Anwar juga telah meletakkan dirinya pada satu kedudukan teragung. Sama macam Mahathir. Tetapi melalui kaedah dan pengalaman beliau tersendiri.

Anwar tidak perlu bersusah payah memikirkan jawatannya ditandingi. Beliau hanya perlu mencaturkan siapa duduk apa dalam partinya. Pada masa yang sama, beliau hanya perlu meyakinkan ketua-ketua parti lain dalam pakatan bahawa hanya dirinya yang mampu mengikat ketiga-tiga parti utama pakatan. Lebih dari itu, beliau hanya perlu meyakinkan jika pakatan menang dalam mana-mana pilihanraya umum, hanya beliau yang mampu menjadi perdana menteri.

Dengan itu, kedudukan beliau tidak akan goyah sama sekali.

Apa bezanya jawatan ‘ketua umum’ yang tiada dalam mana-mana perlembagaan parti perikatan pakatan (Dap, Pas dan Pkr) dengan ‘orang lama’ seperti Mahathir?”

Saya terangguk-angguk walau pun masih belum dapat hadam apa yang cuba ayah sampaikan.

“Engkau tahu ke apa yang ayah cakap ni?”, tenung ayah kepada ku.


Anwar Mendahului Mahathir


Sekali lagi saya gelengkan kepala.

Ayah gelak kecil sambil berkata...

“Tidak kira siapa pun presiden Umno... baik Najib, Muhyiddin, Zahid, Hishamuddin atau siapa pun... selagi Umno berpecah belah, selagi itu yang kuat hanya Mahathir. Macam pakatan juga. Tidak kira siapa presiden Pas atau Dap, Anwar cuma perlu kekalkan Pkr sebagai pengikat antara perikatan mereka.

Jika ditakdirkan pakatan menang, Anwar bolehlah menerima trofinya sebagai perdana menteri Malaysia dan pada ketika ini, Anwar mendahului Mahathir dalam mengekalkan stabiliti parti-parti perikatan beliau menuju PRU14 berbanding Mahathir yang terus menerus memecah-belahkan baik Umno mahu pun BN demi memastikan kelangsungan beliau sebagai yang teragung”

Kata ayah menutup perbualan kami.

No comments:

Post a Comment