Blog Archive

Friday, June 7, 2013

Archive #103 - #Blackout505 - Siapa Yang Mahu Anwar Tipu? Rakyat, BN atau Dap dan Pas?


Column by: GreenHood


DYMM Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selamat bertitah menyeru seluruh rakyat Malaysia menerima keputusan  pilihanraya umum ke 13 dengan lapang dada tanpa sebarang perasaan emosi yang boleh mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara. Titah tersebut disampaikan pada ulangtahun kelahiran baginda minggu lepas.

Di sebalik kata nista dan cacian beberapa individu terhadap DYMM Yang Di-Pertuan Agong (individu berkaitan sudah pun ditangkap oleh pihak berkuasa), ‘majoriti’ rakyat Malaysia telah mengambil keputusan tidak mengikut sebarang himpunan mahupun bantahan yang dianjurkan oleh ‘pihak-pihak tertentu’ bersesuaian dengan titah baginda.
Walaupun masyarakat majoriti tidak bersuara kerana tiada pemimpin yang membawa suara mereka ketengah berbanding pihak minoriti yang diketuai oleh ‘dalang tertentu’, namun dapat difahami ketidakhadiran masyarakat majoriti dalam program bantahan adalah petunjuk besar yang mereka tidak menyokong himpunan atau bantahan tersebut. Satu perkara yang ditutup oleh ‘pihak-pihak tertentu’ yang memanipulasi persepsi umum - MAJORITI RAKYAT MALAYSIA MENERIMA KEPUTUSAN PILIHANRAYA UMUM KE-13 (PRU13).

Secara Umum Keputusan PRU13 Diterima Termasuk Negeri Pakatan

Negeri Kelantan mendahului senarai negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan apabila mengadakan upacara angkat sumpah menteri besar dan exco kerajaan negeri secara serentak sekitar jam 6 petang, 6 Mei 2013 iaitu sehari selepas keputusan PRU13 diperolehi.

Bagi Pulau Pinang, upacara mengangkat sumpah selaku ketua menteri berlangsung pada tanggal 7 Mei 2013 iaitu selang satu hari dari Kelantan dan perlantikan Lim Guan Eng bagi penggal kedua tersebut berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Seri Mutiara. Perlantikan ahli majlis atau exco negeri berlangsung tidak lama selepas itu.

Selangor merupakan negeri terakhir dalam siri acara lantikan menteri besar serta ahli majlis atau exco kerajaan negerinya selepas insiden dalaman bagi menentukan siapakah yang berkelayakan tidak kira menjadi menteri besar mahupun exco tersebut.

Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik menjadi menteri besar Selangor bagi penggal kedua semenjak 2008 dan upacara mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah berlangsung pada tanggal 14 Mei 2013 iaitu hampir sepuluh hari selepas keputusan PRU13 diperolehi.

Manakala upacara mengangkat sumpah ahli majlis atau exco kerajaan negeri berlangsung pada 29 Mei 2013 iaitu lebih dari 2 minggu setelah keputusan PRU13 diperolehi.

Lucunya, selain menghasut rakyat agar menolak keputusan PRU13, negeri-negeri dikuasai pakatan tidak segan silu membentuk kerajaan negeri masing-masing apabila upacara mengangkat sumpah tidak kira selaku menteri besar, ketua menteri mahupun exco-exco kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan pentadbiran negeri telah pun mula beroperasi.

Selangor Lewat Tapi ‘Blackout 505’ Menjadi Tumpuan

Berbanding Kelantan dan Pulau Pinang, kelewatan perlantikan menteri besar dan exco kerajaan negeri Selangor dikenal pasti berpunca dari perebutan dua nama besar iaitu Khalid Ibrahim sendiri selaku penyandang terdahulu dan Azmin Ali selaku pengerusi Pkr bagi negeri Selangor.

Turut menjadi perbalahan apabila Pas memperolehi 15 kerusi iaitu jumlah yang sama diperolehi Dap manakala Pkr hanya 14 kerusi. Justeru pengagihan kerusi exco serta siapakah calon dari ketiga-tiga parti yang layak menjadi exco penggal terbaru ini melambatkan proses penyerahan senarai nama calon kepada pihak istana.

Apa yang jelas, kemelut dalaman pakatan Selangor tertutup dengan gerakan-gerakan ‘Blackout 505’ yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menarik ratusan ribu penyokong pakatan ke jalanan dalam tempoh 3 minggu tersebut.

Antara kemelut dalaman pakatan Selangor dan gerakan ‘Blackout 505’, lebih ramai pihak memperkatakan soal ‘Blackout 505’ berbanding kelewatan negeri Selangor melantik menteri besar dan exco kerajaan negeri yang terhasil akibat perbalahan dalaman mereka.

Momokan 1 Juta Rakyat Malaysia Menolak Keputusan PRU13 dan Mahukan Campurtangan Kuasa Asing

Bukanlah suatu yang rahsia bilamana sumber dalaman pakatan sendiri memaklumkan bahawa Anwar Ibrahim sebenarnya terlalu yakin dapat memenangi PRU13 selepas menerima laporan risikan agensi asing. Bahkan, menurut sumber yang tidak mahu dinamakan itu mengatakan bahawa Anwar telah menempah One World Hotel untuk mengumumkan kejayaan pakatan membentuk kerajaan persekutuan pada malam 5 Mei yang lalu.

Namun apabila keputusan sebaliknya, beliau telah mengecam kemenangan Barisan Nasional (BN) dan seterusnya menggerakkan ‘pelan B’ dengan melakukan roadshow demi roadshow dan himpunan demi himpunan mengumpulkan seramai manusia yang boleh bagi memperlihatkan kepada ‘dunia’ bahawa kononnya ‘majoriti’ rakyat Malaysia menolak keputusan PRU13 yang didakwa dimenangi oleh BN secara tipu helah dan salahguna kuasa terhadap agensi kerajaan terutama Suruhanjaya Piliharaya Malaysia (SPR) walaupun lebih dari 30 orang pemerhati luar negara mengikuti secara langsung perjalanan PRU13 tersebut.

Permohonan Anwar untuk campurtangan ‘Rumah Putih’ atau White House serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak penubuhan kerajaan baru Malaysia untuk penggal 2013-2018 ternyata ditolak oleh Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang mengkitiraf kerajaan baru BN seterusnya mengucapkan ucapan selamat maju jaya kepada perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kemelut Siapa Ketua Pembangkang Menjelang Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat Bagi Penggal 2013-2018

Hi-chase-drama Anwar benar-benar teruji bilamana upacara mengangkat sumpah ahli dewan rakyat atau parlimen dijangka berlangsung pada  24 Jun 2013 nanti.

Mengikut pengiraan jumlah kerusi yang dimenangi oleh pakatan, pecahannya adalah seperti berikut:

38 kerusi Dap
30 kerusi Pkr; dan
21 kerusi Pas

Ini bermakna Dap mempunyai hak untuk menuntut kerusi ketua pembangkang di dalam dewan rakyat atau parlimen berbanding dua parti yang lain iaitu Pkr dan Pas.

Tidak seperti peruntukan undang-undang penubuhan kerajaan negeri-negeri (kecuali Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak), kebanyakkan negeri memperuntukan kerusi menteri besar di beri kepada bangsa Melayu.

Sebaliknya, mengikut peruntukan Perlembagaan Malaysia, 1957 tiada had terhadap bangsa tertentu dipilih sama ada menjadi perdana menteri mahupun ketua pembangkang di dalam dewan rakyat.

Bagi menguatkan hujah ini, mengikut sejarah, ketua pembangkang pernah dipegang oleh wakil dari Dap dan Snap iaitu Lim Kit Siang (1973, 1975 dan 2004), James Wong dan Edmund Mund Langgu Saga (1973).

Suatu yang difahami dengan jelas adalah persetujuan asal parti-parti membentuk pakatan untuk mengangkat Anwar menjadi perdana menteri sekiranya PRU13 memihak kepada pakatan.

Namun, tiada langsung kenyataan dari mana-mana pihak mewakili parti-parti dalam pakatan menyebut berkaitan persetujuan siapakah ketua pembangkang seandainya mereka tewas.

Mengikut kebiasaan dan amalan lazim politik Malaysia, parti yang punyai jumlah kerusi terbanyak berhak untuk meminta sama ada kerusi ketua kerajaan (jika menang) atau ketua pembangkang (jika tewas) di dalam dewan rakyat.

Dalam konteks ini, sebenarnya, Dap-lah yang punyai kuasa ‘demanding’ bagi memohon kerusi ketua pembangkang kerana jumlah perolehan kerusi parlimennya mengatasi dua parti yang lain.

Anwar tidak layak untuk meminta kerusi ketua pembangkang kerana ianya tidak termasuk dalam perjanjian asal (hanya bersetuju sekiranya pakatan menang sahaja).

Anwar hanya mampu menekan Dap sekiranya beliau berpakat dengan Pas yang punyai 21 kerusi untuk menundukkan kemaraan Dap di dalam dewan rakyat selaku ketua pembangkang.

Persoalannya, di manakah duduk letak Anwar sewaktu tarikh 24 Jun menghampiri?


Sekali Lagi ‘Blackout 505’ Mengaburi Mata Rakyat Dan Memberi Kelebihan Kepada Anwar

Bersesuaian dengan tema himpunan iaitu ‘Blackout’, sekali lagi Anwar bermain silap mata dengan mengalih atau 'menggelapkan' kemelut sebenar iaitu siapakah yang layak meneraju pembangkang dalam dewan rakyat sewaktu hari mengangkat sumpah semakin tiba. Ianya tidak ubah seperti menggerakkan ‘Blackout’ sewaktu Selangor mengalami kemelut dalaman bagi memilih menteri besar dan para exconya.

Kali ini, sekali lagi Anwar terpaksa menggerakkan seluruh jenteranya bagi menunjukkan kekuatan dan kebolehan beliau mengepalai pakatan dalam dewan rakyat dengan mengadakan ‘gimmick’ mengetuai rakyat di jalanan terlebih dahulu. Ianya tidak lebih dari 'to show his strenght' kepada rakan pakatannya sendiri.

Karpal Terlebih Dahulu Menghidu Mainan Anwar

Sebenarnya, antara pihak yang berjaya mengesan usaha Anwar untuk mengetuai pembangkang di dalam dewan rakyat adalah Karpal Singh.

Karpal Singh mengetahui bahawa Dap punyai kelebihan untuk meminta kerusi sebagai ketua pembangkang di dalam dewan rakyat. Justeru itu usaha Anwar untuk menunjuk-nunjuk dengan mengerahkan ribuan rakyat ke jalanan telah ditempelak oleh Karpal dengan satu laporan polis yang dibuat di balai polis Tun HS Lee pada tanggal 16 Mei yang lalu.

Karpal Singh antara lain menyebut sewaktu ditanya wartawan sebagai berkata:

“Saya tidak mahu turut terlibat dengan permainan Pakatan Rakyat walaupun saya sendiri dari barisan pembangkang. Negara ada undang-undang. Yang kita berani tentang... kita tentang, tapi kalau nak menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan yang melibatkan manusia sebagai mangsa, saya berundur diri. Saya tidak mahu masuk campur”

Anwar dan Azmin Bermain Politik Yang Sama

Sewaktu Azmin berkeras mahukan jawatan menteri besar Selangor, beliau bersama jenteranya terdiri dari ketua wanita Pkr, Zuraidah dan beberapa ahli dewan undangan (adun) serta ahli parlimen Pkr yang lain telah mengugut untuk beramai-ramai keluar dari Pkr dan menjadi adun dan ahli parlimen bebas. Setidak-tidaknya itulah yang dimaklumkan oleh sumber dalaman Pkr yang saya perolehi di samping twitter Azmin yang mengecam kepimpinan utama Pkr.

Sebenarnya, tindakan Anwar menggerakkan ‘Blackout 505’ juga adalah kaedah mengugut bukan sahaja terhadap BN tetapi kepada parti komponen pakatan yang lain terutama Dap dan Pas.

Anwar mahu menunjukkan kepada Dap dan Pas bahawa tiada pemimpin dalam kedua-dua parti tersebut yang mampu menggerakkan ratusan ribu rakyat melainkan beliau sahaja. Justeru itu akan menjustifikasikan kedudukan beliau sebagai ketua pembangkang di dalam dewan rakyat kelak.


Dilute Isu dan Cabaran Untuk Anwar Tidak Mengangkat Sumpah

Antara pemimpin Dap-Pkr-Pas, hanya Anwar yang dilihat bersungguh-sungguh menolak keputusan PRU13 dan mengajak rakyat bersekutu dengannya bagi mendesak kuasa luar campur tangan menidakkan kerajaan baru BN.

Buktinya, Dap yang memperolehi Pulau Pinang sudah pun membentuk kerajaan negerinya begitu juga dengan Pas yang sudah pun mentadbir kerajaan negeri Kelantan bagi penggal 2013-2018.

Sekali lagi mencuit kegelian saya adalah bagaimana Khalid Ibrahim mewakili Pkr juga turut sudah mentadbir kerajaan negeri Selangor bagi penggal 2013-2018?

Anwar pula terus terusan menyusun program berbentuk himpunan seperti ‘Blackout 505’ mengajak rakyat yang tidak bersalah mengikut agenda peribadi beliau.

Ternyata, Anwar masih lagi licik menggunakan ‘Blackout 505’ sebagai agenda serampang dua mata bagi bukan sahaja menekan BN, bahkan parti-parti perikatannya iaitu Dap dan Pas dalam memastikan kedua-dua parti tersebut terus tunduk kepada agenda peribadinya.

Jika BN lah yang menjadi sasaran utamanya dalam mengadakan ‘Blackout 505’ itu dan bersungguh tidak mahu menerima keputusan PRU13 yang lalu, adalah menjadi satu cabaran kepada beliau untuk TIDAK MENGANGKAT SUMPAH selaku ahli parlimen di dalam dewan rakyat atau menerima jawatan selaku ketua pembangkang.

Anwar wajar menolak sebarang lantikan sebagai ketua pembangkang dan serahkan sahaja jawatan itu kepada rakan-rakan ‘tidak setiakawan’ mereka yang sudah pun menubuhkan kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor asalkan sahaja bukan beliau.

Dan usaha menggerakkan 'Blackout 505' lebih murni jika Anwar terlebih dahulu mengarahkan kerajaan negeri-negeri di bawah pakatan dibubarkan kerana kemenangan mereka adalah hasil penipuan BN serta agensi utamanya, SPR.

Beranikah Anwar?

No comments:

Post a Comment