Column by: GreenHood
Apa yang melucukan adalah menjadi wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat namun membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab bilamana YB Dr Abdul Rani Osman, Pesuruhjaya Pas Selangor menyatakan perasaan lega beliau tidak dipilih sebagai exco kerajaan negeri dan seterusnya dibebankan dengan amanah yang berat (HarakahDaily, 30 Mei 2013).
Bukankah sebagai pemimpin dalam sebuah parti politik, memegang satu jawatan yang besar seperti pesuruhjaya bagi negeri dan seterusnya menjadi wakil kepada rakyat bagi kawasan dewan undangan negeri adalah juga satu tanggungjawab dan amanah yang besar?
Sebagai seorang ahli politik, kesiapan dan siaga diri perlu sentiasa wujud sebagaimana beliau bersedia menjadi calon dan menang sebagai wakil rakyat.
Tiada apa yang dapat saya katakan melainkan perkataan “pengecut” sebagai seorang pesuruhjaya Pas negeri yang bertanggungjawab membawa agenda Islam terhadap negeri Selangor.
Pas hilang “taringnya” di Selangor walaupun diberi kepercayaan oleh penduduk Islam dan Melayu negeri Selangor dengan kedudukan 15 kerusi Adun, sama dengan kerusi yang diperoleh Dap.
Mungkin Dr Rani bimbang beliau akan menerima nasib yang sama dengan Dato’ Dr Hasan Ali jika berlebih-lebih dalam menyusun atur agenda Islam di peringkat pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Jika itulah sebabnya, adalah wajar Dr Rani meletakkan jawatan selaku pesuruhjaya Pas negeri Selangor dan beri kepada pemimpin lain yang lebih agresif.
No comments:
Post a Comment