Blog Archive

Sunday, July 21, 2013

Archive #116 : PRK N.01 Kuala Besut - mengenali 'ikan bijak' Kuala Besut


Column by: GreenHood

Apabila Haji Abdul Hadi Awang bermain kata-kata “jadilah ikan yang bijak...” sebenarnya beliau memberikan definisi yang tepat.

Tetapi, definisi ‘ikan bijak’ bukanlah 17,683 pengundi N.01 Kuala Besut. Sebaliknya, ‘ikan bijak’ adalah jentera Pas sendiri yang diketuai oleh Husam Musa.

Ayat-ayat lazim Pas seperti “mereke (BN) beri kita ambil, undi tetap pada kita (Pas)” sudah terlalu klise.

Kebijaksanaan Pas hadir setelah bekerjasama dengan rakan pakatannya, dan dalam konteks pilihan raya kecil (PRK) N.01 Kuala Besut ini, adalah bila berjaya mendesak pihak lawan (BN) dengan pembongkaran demi pembongkaran masalah setempat Kuala Besut seperti isu pemberian tanah, petempatan nelayan miskin, masalah ombak besar dan banjir, masalah pemberian lesen nelayan laut dalam dan sebagainya hingga BN mampu menjanjikan sejumlah RM377.45 juta nilai ‘projek segera’ kepada penduduk Kuala Besut.

BN terpaksa menjanjikan projek demi projek kepada N.01 Kuala Besut kerana mahu mendapatkan undi dan demikian itu harus menutup kelemahan-kelemahan yang bertahun tidak diendah tetapi kini diselesaikan dengan ‘sekelip mata’ sahaja.

Akhirnya, jentera Pas hanya perlu memastikan ‘mengaut hasil keuntungan’ dengan mengatakan bahawa desakan mereka adalah penyumbang kepada turunnya ‘durian runtuh bernilai RM377.45 juta’ tersebut dan oleh yang demikian, sebagai tanda bahawa suara mereka sebagai pendesak dihargai, adalah wajar 17,683 pengundi N.01 Kuala Besut memberikan undi kepada mereka (Pas).

Tidak terhenti di situ, “kempen 16:16 Terengganu Baru” disumbatkan kepada para pengundi N.01 Kuala Besut sebagai satu iltizam mereka (Pas) untuk bekerja keras memastikan suara mereka (Pas) kononnya mewakili suara rakyat akan didengari di dalam dewan undangan negeri kelak justeru hasilnya akan dinikmati oleh rakyat Terengganu sebagaimana N.01 Kuala Besut kini mula merasai nikmat ‘durian runtuh bernilai RM377.45 juta’ di atas, sekiranya sasaran 16:16 berjaya dicapai.




Jadi, siapakah ‘ikan bijak’ yang berjaya menaikkan kegeraman ‘sang pengail’ bila berjaya menghabiskan umpan tetapi ‘ikannya’ tidak sangkut di mata kail?

Adakah ‘sang pengail’ akan terus-terusan ‘mengumpan’ dengan berbagai jenis ‘umpan mahal’ bagi memancing 17,683 pengundi, atau sebenarnya sedang dimainkan oleh ‘ikan nakal’ bernama ‘jentera Pas’ ?

Saturday, July 20, 2013

Archive #115 - Misteri Penculikan Ng Mun Tatt


Column by: GreenHood

Mengikuti perkembangan seorang pemuda Tionghua bernama Ng Mun Tatt yang diculik, dikurung secara salah, dipukul dan ditulis di badannya “Saya Menghina Agama Islam” sebelum ditinggalkan separuh bogel memang amat menarik sekali.
Kali pertama saya mengikuti beritanya adalah melalui terbitan www.terengganutoday.com pada 15 Julai lalu.
Dalam artikel bertajuk “Remaja Hina Islam Dibogel, ‘Spender’ Dilarikan Toyota Alphard” itu, antara lain menyebut...
Barang berharga milik lelaki itu seperti beg duit, telefon bimbit dan rantai emas dikembalikan kepada teman wanita mangsa semasa mangsa dilarikan
Portal Terengganu Today yang bertanggungjawab mengeluarkan berita pertama hanya menyebut ‘sumber’ sebagai dapatan maklumat termasuk gambar-gambar eksklusif mangsa. Suatu yang agak menarik.
Kemudian, keluarlah kenyataan dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar antara lain menyebut bahawa kemungkinan kes tersebut ada kaitan dengan kemarahan umat Islam terhadap pasangan Alvin-Vivian dan motif penculikan mungkin balas dendam.
Dan akhirnya, berbagai laman portal pro-pakatan mula memainkan cerita bahawa mangsa menyatakan kejadian Mun Tatt diculik tiada kena mengena dengan kemarahan umat Islam terhadap pasangan Alvin-Vivian sebaliknya adalah satu penculikan yang mahu mendapatkan ‘wang tebusan’ bernilai RM5,000 sebelum diturunkan kepada RM3,000 sahaja.
Maka melompatlah semua ahli politik pakatan dan terbaru adalah kenyataan setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat Malaysia (DPPM), Khairul Faizi Ahmad Kamil disiarkan menerusi laman portal www.harakahdaily.net dalam sebuah artikel bertajuk “Pemuda PAS kesal jenayah bertopengkan agama”.


Walau pun tajuk artikel seolah-olah menggambarkan pendirian DPPM yang kesal terhadap penjenayah bertopengkan agama, tetapi antara bait-bait perkataan yang digunakan seolah-olah menempelak kenyataan Khalid Bakar bahawa ianya sengaja disensasikan apabila dikaitkan dengan Alvin-Vivian. Ia jelas bila berbunyi...
Katanya, kes yang berlaku ke atas Ng Mun Tatt sebenarnya tidak ada kaitan dengan pasangan yang menghina Islam iaitu Alvin Tan dan Vivian Lee
Akhirnya, Khalid Bakar yang terasa diasak bertubi-tubi, mengeluarkan kenyataan sebagaimana dilaporkan oleh laman www.malaysiakini.com bahawa kedua-dua kemungkinan iaitu; bermotifkan balas dendam dan jenayah penculikan-wang tebusan - kebarangkalian itu boleh berlaku.
Artikel tulisan Ahmad Fadli KC itu bertajuk “IGP bertegas penculikan satu tindak balas terhadap Alvivi” bertarikh 19 Julai 2013.
Baiklah, mari kita lihat kronologi kasarnya semula.
1. Berita pertama dan gambar eksklusif dikeluarkan oleh Terengganu Today.
2. Kenyataan Ketua Polis Negara bahawa ‘kemungkinan’ bermotifkan balas dendam terhadap pasangan Alvin-Vivian.
3. Kenyataan mangsa bahawa beliau diculik kerana penculik mahukan wang tebusan RM5,000 sahaja.
4. Laman-laman portal pro-pakatan menghentam kenyataan Khalid Bakar.
5. Ahli politik pembangkang turut sama menyelar Khalid Bakar serta menidakkan sangkut paut ia dengan kes Alvin-Vivian.


Persoalannya, begitu murah harga wang tebusan yang diminta iaitu RM5,000 sedangkan pada waktu yang sama barang-barang berharga mangsa dipulangkan termasuk dompet wang, telefon bimbit yang canggih dan rantai emas. Lebih pelik bagaimana penculik mahu menunaikan wang tebusan dari kad atm sekiranya dompet wang sudah dipulangkan awal kepada teman wanita mangsa?
Jadi, apakah sebenarnya motif penculikan?
Mungkinkah ada benarnya kenyataan Khalid Bakar? Anda nilaikan.

Tuesday, July 16, 2013

Archive #114 : Benarkah Najib Gagal? - Dilema Najib


Column by: GreenHood

Maka, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah bersuara di dalam mesyuarat jemaah menteri atau kabinet menterinya Jumaat lalu berkaitan penghapusan Akta Hasutan dan bakal digantikan dengan Akta Perpaduan Nasional.

Namun, ada lagi serangan-serangan yang Najib harus tempuhi.

Selain TPPA, beberapa serangan lain termasuk kenyataan duta Vatican City ke Malaysia, Ketua Biskop Joseph Marion berkaitan penggunaan kalimah “Allah” oleh selain agama Islam di Malaysia dilihat bakal mencabar integriti Najib sebagai seorang perdana menteri.

Bukan sahaja sebagai seorang perdana menteri, sebarang keputusan Najib juga akan dinilai oleh ahli-ahli UMNO yang mewakili suara Melayu akar umbi.

Pendek kata, Najib sedang diuji.

Apa yang menarik perhatian saya adalah dilema Najib menghampiri pemilihan UMNO dijangka September ini.

Setiap perkara yang berlaku, ia akan dikaitkan dengan Najib.

Mungkinkah Najib sedar keadaan ini? Maka itu beliau lebih banyak berdiam diri dari melakukan sebarang kenyataan yang boleh menikam dirinya kembali?

Di samping tidak terlalu melatah, Najib sebaliknya turut menilai “siapakah sebenarnya rakan setiakawan beliau di dalam kabinet menterinya”.

Yang paling penting, “Najib turut menilai siapakah rakan setiakawannya di dalam UMNO”.

Sejurus selepas kerajaan persekutuan Malaysia dibentuk hasil keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu , Najib telah melantik barisan kabinet menteri yang difikirkan dapat membantunya.

Bukan setakat membantu dari sudut pentadbiran negara, bahkan membantu ‘menguatkan’ kedudukan politiknya.

Tetapi beberapa episod seperti berkaitan soal penghapusan Akta Hasutan, Najib mula dapat melihat siapakah rakan siapakah lawan.

Ada beberapa penganalisis politik yang berkata kepada saya bahawa Zahid Hamidi antara orang yang tidak disangka-sangka melawan arus Najib. Penulis pro-pembangkang pula terus mengaitkan Zahid dengan gerakan Muhyiddin Yassin bagi kedudukan tertinggi UMNO dalam pemilihan akan datang.

Benarkah?

Benarkah Zahid berganding bahu dengan Muhyiddin Yassin atau Zahid sebenarnya memainkan peranan rahsia untuk ‘dilihat’ melawan Najib bagi ‘mengumpan keluar’ siapakah sebenarnya yang akan melawan Najib?

Perlu diingat. Keputusan pemilihan UMNO akan datang bukan sekadar menentukan kedudukan Najib selaku presiden bahkan kesinambungan beliau selaku perdana menteri.

Pertandingan akan datang juga akan memperlihatkan muka-muka baru yang bakal menduduki kerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Jika Najib masih mengekalkan kedudukannya sebagai presiden, mungkinkah bakal berlaku rombakan kecil kabinet menterinya untuk terus mengukuhkan politik beliau?

Kepada para menteri, jangan terlalu selesa.

Untuk rakan-rakan penganalisis politik di luar sana pula, inilah masanya anda menilai peranan setiap seorang lantikan kabinet menteri Najib. Bahkan anda semua boleh turut menilai lantikan-lantikan baru aset strategik berkepentingan tinggi termasuk konglomerat Malaysia seperti Lembaga Tabung Haji, Felda Global Ventures dan lain-lain.

Semuanya gara-gara pemilihan UMNO - sehingga ada rakan penulis veteran yang berpengalaman pernah berkata kepada saya... “Jika kamu rasakan PRU adalah dahsyat, tunggu hingga pemilihan UMNO. Ia lebih dahsyat lagi. Tetapi licik”.

RELAX LA DERR...



PARODY-NYA...


SELAMAT BERPUASA!!!

Monday, July 15, 2013

Archive #113 - Benarkah Najib Gagal ?


Column by: GreenHood


Satu ketika dahulu, sewaktu Mohd Najib Razak memulakan kempen 1Malaysia, ramai yang bersikap pesimis.

Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Najib mula membuahkan hasil.

Brand ‘1Malaysia’ mula digeruni terutama oleh Dap. Disusuli oleh PKR. Pas, seperti biasa menjadi ‘pak turut’ kepada kedua-dua Dap dan PKR.

Kerajaan negeri Selangor yang diperintah oleh pakatan rakyat (PR) mula menekan usaha Najib melalui exco jawatankuasa tetap kerajaan tempatan yang ketika itu dipegang oleh Ronnie Liu.

Pembukaan kedai 1Malaysia atau KR1M begitu sukar. Baik lesen niaga mahu pun papan tanda perlu mendapatkan kelulusan majlis tempatan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) bertukar menjadi ‘tentera’ PR di bawah kepimpinan ‘General Ronnie Liu’. Majlis tempatan menjadi ‘medan perang’ kepada pengusaha KR1M dengan ‘bala tentera’ PR tersebut.

Turut berperang adalah Jawatankuasa Kemajuan Kampung-Kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan negeri. JKKK berperang dengan Jawatankuasa Kemajuan Kampung-Kampung Persekutuan (JKKP) yang dilantik oleh kerajaan federal.

Pintu gerbang atau papan tanda yang mempamerkan 1Malaysia menjadi punca ‘peperangan’ sama ada bagi menumbangkannya mahu pun mempertahankannya. Tugas menumbangkan mercu tanda 1Malaysia terletak di bahu PBT atau JKKK. Di balik tabir, kepimpinan PR memainkan watak sebagai ‘master of puppet’ kepada tentera-tentera yang memakai uniform PBT atau JKKK tersebut.

Manakala tugas mempertahankan mercu tanda tersebut jatuh di bahu JKKP mahu pun kepimpinan Barisan Nasional (BN) di setiap bahagian dalam negeri Selangor.

Walau pun tidak dinyatakan dengan terang dan jelas, namun difahami umum kewujudan KR1M adalah bagi mengatasi monopoli perniagaan runcit yang dikuasai oleh bangsa Cina.

Justeru pengawalan harga yang boleh menekan pengguna termasuk bangsa-bangsa lain boleh diatasi.

Tidak hairan, selain Ronnie Liu seorang demi seorang general PR digerakkan untuk mematahkan kemaraan produk 1Malaysia.

General lain seperti Tony Pua dan Nurul Izzah turut dikerah bagi menjahanamkan imej barangan 1Malaysia.

Diringkaskan, konsep barangan 1Malaysia tidak hanya tertumpu pada perniagaan runcit. Bahkan percubaan untuk meluaskannya termasuk pemasaran padi dan ikan dilakukan agar pemborong yang turut dimonopoli oleh bangsa Cina juga dapat diatasi.

Semuanya berlaku takkala Mohd Najib Razak memegang jawatan sebagai perdana menteri Malaysia.

Najib sedar akan monopoli yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Tidak sahaja kepada satu-satu bangsa, bahkan Najib sedar kumpulan-kumpulan kapitalis lain turut mengawal ekonomi negara ini.

Ramai ‘tycoon’ terasa dengan perubahan dasar yang dilakukan oleh Najib. Wa’ima Tony Fernandes yang cuba memonopoli sistem pengangkutan udara secara ‘tambang murah’ akhirnya turut marah dengan kewujudan mendadak pesaing baru bernama Malindo.



Kapitalis yang bertapak semenjak zaman Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu pun turut terasa dengan dasar-dasar baru yang dibawa oleh Najib.

Najib berusaha keras. Sehingga kini Najib masih berusaha.

Malangnya, selain pilihan raya umum (PRU) iaitu proses bagi menentukan parti manakah akan menguasai kerajaan Malaysia, Najib akhirnya terpaksa berhadapan dengan pemilihan UMNO.

Apabila disebut nama UMNO, satu perkataan yang sinonim adalah MELAYU.

Najib mungkin terlepas ujian getir mempertahankan kerajaan Malaysia tetap dikuasai BN. Najib juga mungkin dapat menyenaraikan 100 atau 200 perkara yang beliau berjaya lakukan selaku perdana menteri.

Najib boleh mendabik dada dapat melakukan TRANSFORMASI terhadap negara kita, Malaysia.

Tetapi bagaimana pula dengan senarai kejayaan atau transformasi beliau selaku presiden UMNO?

Apakah yang dilakukan oleh Najib bagi membela nasib bangsa Melayu selaku presiden parti terbesar dianggotai oleh bangsa Melayu?

Dalam konteks ini, Najib dikecam oleh pesaing-pesaing beliau yang mengimpikan jawatan tertinggi UMNO.

Pernah saya menulis bahawa kecaman yang bakal beliau hadapi adalah kegagalan beliau menambah kerusi BN sewaktu PRU13 yang lalu. Bahkan, lebih mudah mengecam beliau kerana penyusutan kerusi BN kepada 133 buah kerusi sahaja.

Ternyata jangkaan saya meleset.

Najib kini dikecam kerana dasar-dasar yang dikatakan gagal membela nasib bangsa Melayu. Tuduhan ini menjurus terus kepada kedudukan dirinya bukan selaku perdana menteri, tetapi sebagai presiden sebuah parti yang dianggotai oleh bangsa Melayu iaitu UMNO.

Semuanya kerana pemilihan UMNO bakal berlaku.

Secara tiba-tiba, terlalu ramai jaguh di dalam UMNO bangkit kononnya mahu membela nasib bangsa Melayu. Mahu membela agama Islam. Mahu membela institusi raja-raja Melayu.

Maka Najib dituduh gagal membea nasib bangsa Melayu... gagal membela kesucian agama Islam... gagal mengawal rakyat yang kian berani mempersendakan raja-raja Melayu.

Pendek kata, Najib dikatakan GAGAL serba serbi sebagai presiden UMNO.

Najib perlu diturunkan dari takhta presidensinya. Dan jika Najib jatuh sebagai presiden UMNO, secara tidak langsung Najib akan jatuh sebagai perdana menteri Malaysia.

Di Malaysia, itulah sistemnya!

Saturday, July 13, 2013

Archive #112 : PRK N01 Kuala Besut - Siapa pun menang, yang pasti adalah Melayu-Islam


Column by: GreenHood

Destinasi terhangat waktu ini adalah KUALA BESUT. Terletak di sempadan negeri Terengganu-Kelantan.

Ini semua gara-gara pilihan raya kecil (PRK) kawasan dewan undangan negeri (KADUN) N01 Kuala Besut setelah kosong akibat kematian penyandang terdahulu, allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar.

Maka berduyun-duyun bala tentera kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) mahu pun pakatan rakyat (PR) terutamanya Pas menuju ke Kuala Besut.

Bagi yang belum pernah sampai ke Kuala Besut, suka untuk saya mencadangkan agar mengambil jalan Kuala Lumpur-Kuala Lipis-Gua Musang-Machang-Jerteh-Kuala Besut berbanding jalan pesisir pantai Timur. Ia lebih menjimatkan masa.


Namun jika mahu melihat pemandangan yang indah sepanjang perjalanan, maka saranan saya adalah mengguna pakai jalan pesisir pantai Timur tersebut.

Kelmarin, bersama tiga rakan yang lain saya berangkat dari ibukota Kuala Lumpur mengguna pakai jalan KL-Gua Musang-Kuala Besut.

Lima jam sahaja perjalanan dengan dua kali berhenti bagi mengisi petrol kenderaan di Gua Musang dan makan sahur di Jerteh sebelum tiba di pekan Kuala Besut sekitar jam 6 pagi.



Penamaan Calon

Hari penamaan calon telah ditetapkan semalam bertempat di Kompleks Rakan Muda Daerah Kuala Besut.

Hujan rintik-rintik seawal jam 7 pagi seolah memberkati pagi Jumaat di dalam bulan Ramadan yang penuh barakah agar pertandingan bagi menentukan siapa pemilik kerusi N01 Kuala Besut dapat dilangsungkan dengan aman dan damai serta penuh keinsafan sebagai umat Islam yang sedang menjalani ibadah rukun Islam ketiga iaitu berpuasa.

Ini amat bersesuaian dengan persekitaran dan demografi kependudukan kawasan Kuala Besut yang didiami oleh hampir 100 peratus Melayu beragama Islam.

Bahkan, 99 peratus dari 17,683 pengundi berdaftar di situ sahaja terdiri dari kaum Melayu/Islam.

Apabila pegawai pengurus pilihan raya dari Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Haji A Rahim Jusoh mengumumkan nama-nama calon yang layak bertanding, getus hati kecil saya berkata... “Ini adalah pertandingan sesama saudara se-Islam”

Tengku Zahlan bin Che Ku Abdul Rahman dari BN diumumkan layak bertanding di sisi Endut@Azlan bin Yusof dari Pas.




Penyokong

Saya kira, kedua-dua penyokong yang hadir seimbang dari segi jumlah. Dicampurkan kedua-dua parti, lebih atau kurang enam ribu sahaja kehadiran.

Jumlah ini agak kecil berbanding PRK-PRK terdahulu.

Mungkin faktor bulan Ramadan yang membuatkan kehadiran para penyokong kurang meriah.

Namun, jauh di sudut kecil hati saya ini adalah sebaik-baik sokongan yang ditonjolkan oleh kedua-dua belah pihak. Tidak terlalu havoc dan biarlah penduduk tempatan sahaja yang menentukan sokongan mereka dengan terjemahan undi.

Untuk kedua-dua calon, saya secara peribadi mengucapkan selamat maju jaya dan siapa juga yang dipilih oleh rakyat, laksanakanlah amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab.

Siapa pun yang menang, yang pasti dia adalah seorang Melayu beragama Islam.

Thursday, July 11, 2013

Archive #111 : PRK N.01 Kuala Besut - Kempen 16:16


Column by: GreenHood


Artikel saya yang terakhir disiarkan dalam laman portal www.kritis-online.com ini bertajuk “Teori ‘Pintu Solusi’ Penyatuan Melayu-Islam di PRK Kuala Besut” pada 2 Julai 2013 yang lalu mungkin terkesan hingga Pakatan Rakyat (PR) melalui parti perikatan mereka, Pas, mula mengguna pakai kempen 16:16, untuk menangkap perhatian pengundi tempatan menjelang hari penamaan calon.

Kempen 16:16

Menariknya, kempen 16:16 dianggap oleh Pas sebagai satu perjuangan menuju cabaran baru iaitu menyamakan kedudukan kerusi dari 16:15 (dengan 1 kekosongan iaitu kerusi N.01 Kuala Besut) kepada 16:16 kerusi.

Kempen ini sekiranya berjaya, akan ‘membatalkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sedia ada’ dan akhirnya akan memperlihatkan satu sejarah baru dalam era politik moden Malaysia untuk melihat apakah solusi perundangan yang bakal terjadi.

Dalam sebuah artikel disiarkan oleh www.bm.harakahdaily.net bertajuk “Che Long: Calon Pas PRK Kuala Besut yang kukenali” bertarikh 10 Julai 2013, penulis iaitu Dr Azman Ibrahim bermelankolik dengan pengalaman peribadi beliau bersama calon Pas, Azlan Yusof yang terkenal dengan jolokan, Che Long.

Apa yang menarik perhatian saya adalah persoalan yang ditimbulkan oleh beliau di perenggan akhir penulisannya yang berbunyi :-

Seluruh negara malah seluruh dunia sedang memerhatikan kita. 16:16 akan menjadi suatu testimoni perundangan yang sangat menarik. Semuanya di tangan pengundi N01 Kuala Besut. Ayuh!!

Hung State Assembly

Berbalik kepada artikel awal saya di atas, pada dasarnya banyak mempersoalkan ‘keraguan’ yang ditimbulkan oleh penulis www.malaysia-chronicle.com, Nawawi Mohamad di dalam artikelnya bertajuk “Will UMNO rivals use Kuala Besut to bury Najib?” bertarikh 1 Julai 2013.

Nawawi dalam penulisan beliau di atas seolah-olah meragui hung state assembly dapat dibentuk jika Pas menang PRK kali ini.

Selebihnya, Nawawi hanya membuat provokasi terhadap BN di bawah teraju Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang dikatakan sedaya upaya akan memenangkan PRK N.01 Kuala Besut kali ini dengan apa kaedah sekali pun termasuk menyalah gunakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) itu sendiri bagi mengekalkan kerajaan negeri Terengganu tetap di bawah penguasaan BN.



Sentimen Pengundi Terengganu Sukar Dijangka

Pada tahun 2012, saya pernah berkesempatan bertemu dengan menteri besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ahmad Said di kediaman beliau bersama beberapa rakan penulis bebas.

Antara soalan yang saya ajukan adalah :-

“Bagaimana Terengganu boleh pernah diperintah oleh Pas satu ketika dahulu?”

Jawapan yang diberikan oleh Ahmad Said ketika itu adalah - sentimen pengundi Terengganu adalah sukar dijangka.

Pengundi mengikut komposisi kaum dimenangi oleh Melayu dengan perbezaan peratus yang tinggi.

Mengikut Ahmad Said, pengundi Terengganu tidak mudah terpengaruh dengan sentimen nasional tetapi lebih kepada faktor dalaman negeri itu sendiri.

Sewaktu Pas mengambil alih kerajaan negeri Terengganu dari BN iaitu pada tahun 1999, ia tidak langsung berkisarkan reformasi yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya pengundi di negeri tersebut begitu marah dengan cengkaman kuasa yang terlalu lama oleh Datuk Seri (Tan Sri) Wan Mokhtar Ahmad.

Setelah menggulingkan Wan Mokhtar dan ‘mengajar’ BN seketika, kuasa dikembalikan kepada BN pada tahun 2004.

BN seterusnya menguasai kerajaan negeri tersebut hingga kini.



Keputusan PRU13 memberi ‘signal’ terbaru

Dalam PRU13, keputusan yang terhasil memperlihatkan kemenangan tipis oleh BN iaitu 17 kerusi berbanding 15 oleh PR.

Berbanding keputusan PRU12 (2008) (24:8), kerusi BN mengecut sebanyak 7 kerusi pada PRU13 kali ini.

Ia jelas satu ‘signal’ sebagai apa yang disebut oleh Ahmad Said terdahulu bahawa sentimen dalaman seperti penguasaan yang terlalu lama oleh satu-satu pihak mempengaruhi corak pengundian pengundi, ada kebenarannya.

Ditambah pula dengan faktor sampingan seperti revolusi internet yang memberi pengaruh bercampur tehadap pengundi muda dan atas pagar.

Justeru, kemenangan tipis BN pada PRU13 lalu tidak menolak kebarangkalian pengundi Terengganu terutamanya di N.01 Kuala Besut akan mempertaruhkan BN, boleh berlaku.

Tidak mustahil pengundi tempatan akan mencuba ‘suatu yang baru’ (sama ada ianya adalah pemerintahan baru, atau suatu kaedah pemerintahan baru) berkemungkinan terjadi dan dalam konteks PRK N.01 Kuala Besut ini, kempen 16:16 bakal memberi kelebihan kepada Pas dan PR.

Sentimen Melayu Bersatu

Perlu diingat, apakah sebenarnya kemahuan majoriti silent masyarakat Melayu-Islam?

Jika Umno dan Pas masih gagal mendengar ‘hati nurani’ Melayu yang berfantasikan penyatuan ummah Islam di sebalik nama Melayu, maka AWAS!

Pengundi N.01 Kuala Besut mampu ‘menunjukkan’ kehendak umum Melayu-Islam untuk melihat Umno (BN) dan Pas bergabung bagi membentuk kerajaan campuran terhasil.

Walau pun kempen 16:16 bakal memberi kelebihan kepada PR dengan memenangkan calon mereka, sebenarnya pengundi bukan mahu PR menang!

Sebenarnya mereka lebih mahu melihat sejauh mana Pas bakal bekerjasama dengan Umno (BN) untuk membentuk penyatuan tersebut.

Bersediakah Umno (BN) bergabung tenaga dengan Pas untuk menunjukkan kepada satu-satu kaum tertentu (Tionghua?) yang sebelum ini berjaya menunjukkan kepada kaum Melayu (Islam) bahawa mereka (Tionghua?) mampu memberikan hampir 100 peratus sokongan kepada satu-satu pihak dalam PRU13 yang lalu?

Mungkin Anwar Ibrahim selaku ketua umum PR dan Dap tidak senang duduk dengan kebarangkalian ini (16:16) dan bakal mendesak supaya pilihan raya negeri (PRN) diadakan semula khusus untuk Terengganu memandangkan kaedah penyatuan ini tidak akan menguntungkan mereka.

Apa pun, saya amat bersetuju dengan pandangan Dr Azman Ibrahim, bukan sahaja penduduk Malaysia menanti keputusan yang penuh bermakna bahkan satu dunia bakal menyaksikan satu sejarah baru dalam era politik moden Malaysia tercipta jika 16:16 berjaya dicapai.