Blog Archive

Saturday, July 13, 2013

Archive #112 : PRK N01 Kuala Besut - Siapa pun menang, yang pasti adalah Melayu-Islam


Column by: GreenHood

Destinasi terhangat waktu ini adalah KUALA BESUT. Terletak di sempadan negeri Terengganu-Kelantan.

Ini semua gara-gara pilihan raya kecil (PRK) kawasan dewan undangan negeri (KADUN) N01 Kuala Besut setelah kosong akibat kematian penyandang terdahulu, allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar.

Maka berduyun-duyun bala tentera kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) mahu pun pakatan rakyat (PR) terutamanya Pas menuju ke Kuala Besut.

Bagi yang belum pernah sampai ke Kuala Besut, suka untuk saya mencadangkan agar mengambil jalan Kuala Lumpur-Kuala Lipis-Gua Musang-Machang-Jerteh-Kuala Besut berbanding jalan pesisir pantai Timur. Ia lebih menjimatkan masa.


Namun jika mahu melihat pemandangan yang indah sepanjang perjalanan, maka saranan saya adalah mengguna pakai jalan pesisir pantai Timur tersebut.

Kelmarin, bersama tiga rakan yang lain saya berangkat dari ibukota Kuala Lumpur mengguna pakai jalan KL-Gua Musang-Kuala Besut.

Lima jam sahaja perjalanan dengan dua kali berhenti bagi mengisi petrol kenderaan di Gua Musang dan makan sahur di Jerteh sebelum tiba di pekan Kuala Besut sekitar jam 6 pagi.



Penamaan Calon

Hari penamaan calon telah ditetapkan semalam bertempat di Kompleks Rakan Muda Daerah Kuala Besut.

Hujan rintik-rintik seawal jam 7 pagi seolah memberkati pagi Jumaat di dalam bulan Ramadan yang penuh barakah agar pertandingan bagi menentukan siapa pemilik kerusi N01 Kuala Besut dapat dilangsungkan dengan aman dan damai serta penuh keinsafan sebagai umat Islam yang sedang menjalani ibadah rukun Islam ketiga iaitu berpuasa.

Ini amat bersesuaian dengan persekitaran dan demografi kependudukan kawasan Kuala Besut yang didiami oleh hampir 100 peratus Melayu beragama Islam.

Bahkan, 99 peratus dari 17,683 pengundi berdaftar di situ sahaja terdiri dari kaum Melayu/Islam.

Apabila pegawai pengurus pilihan raya dari Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Haji A Rahim Jusoh mengumumkan nama-nama calon yang layak bertanding, getus hati kecil saya berkata... “Ini adalah pertandingan sesama saudara se-Islam”

Tengku Zahlan bin Che Ku Abdul Rahman dari BN diumumkan layak bertanding di sisi Endut@Azlan bin Yusof dari Pas.




Penyokong

Saya kira, kedua-dua penyokong yang hadir seimbang dari segi jumlah. Dicampurkan kedua-dua parti, lebih atau kurang enam ribu sahaja kehadiran.

Jumlah ini agak kecil berbanding PRK-PRK terdahulu.

Mungkin faktor bulan Ramadan yang membuatkan kehadiran para penyokong kurang meriah.

Namun, jauh di sudut kecil hati saya ini adalah sebaik-baik sokongan yang ditonjolkan oleh kedua-dua belah pihak. Tidak terlalu havoc dan biarlah penduduk tempatan sahaja yang menentukan sokongan mereka dengan terjemahan undi.

Untuk kedua-dua calon, saya secara peribadi mengucapkan selamat maju jaya dan siapa juga yang dipilih oleh rakyat, laksanakanlah amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab.

Siapa pun yang menang, yang pasti dia adalah seorang Melayu beragama Islam.

No comments:

Post a Comment