Blog Archive

Thursday, July 11, 2013

Archive #111 : PRK N.01 Kuala Besut - Kempen 16:16


Column by: GreenHood


Artikel saya yang terakhir disiarkan dalam laman portal www.kritis-online.com ini bertajuk “Teori ‘Pintu Solusi’ Penyatuan Melayu-Islam di PRK Kuala Besut” pada 2 Julai 2013 yang lalu mungkin terkesan hingga Pakatan Rakyat (PR) melalui parti perikatan mereka, Pas, mula mengguna pakai kempen 16:16, untuk menangkap perhatian pengundi tempatan menjelang hari penamaan calon.

Kempen 16:16

Menariknya, kempen 16:16 dianggap oleh Pas sebagai satu perjuangan menuju cabaran baru iaitu menyamakan kedudukan kerusi dari 16:15 (dengan 1 kekosongan iaitu kerusi N.01 Kuala Besut) kepada 16:16 kerusi.

Kempen ini sekiranya berjaya, akan ‘membatalkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sedia ada’ dan akhirnya akan memperlihatkan satu sejarah baru dalam era politik moden Malaysia untuk melihat apakah solusi perundangan yang bakal terjadi.

Dalam sebuah artikel disiarkan oleh www.bm.harakahdaily.net bertajuk “Che Long: Calon Pas PRK Kuala Besut yang kukenali” bertarikh 10 Julai 2013, penulis iaitu Dr Azman Ibrahim bermelankolik dengan pengalaman peribadi beliau bersama calon Pas, Azlan Yusof yang terkenal dengan jolokan, Che Long.

Apa yang menarik perhatian saya adalah persoalan yang ditimbulkan oleh beliau di perenggan akhir penulisannya yang berbunyi :-

Seluruh negara malah seluruh dunia sedang memerhatikan kita. 16:16 akan menjadi suatu testimoni perundangan yang sangat menarik. Semuanya di tangan pengundi N01 Kuala Besut. Ayuh!!

Hung State Assembly

Berbalik kepada artikel awal saya di atas, pada dasarnya banyak mempersoalkan ‘keraguan’ yang ditimbulkan oleh penulis www.malaysia-chronicle.com, Nawawi Mohamad di dalam artikelnya bertajuk “Will UMNO rivals use Kuala Besut to bury Najib?” bertarikh 1 Julai 2013.

Nawawi dalam penulisan beliau di atas seolah-olah meragui hung state assembly dapat dibentuk jika Pas menang PRK kali ini.

Selebihnya, Nawawi hanya membuat provokasi terhadap BN di bawah teraju Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang dikatakan sedaya upaya akan memenangkan PRK N.01 Kuala Besut kali ini dengan apa kaedah sekali pun termasuk menyalah gunakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) itu sendiri bagi mengekalkan kerajaan negeri Terengganu tetap di bawah penguasaan BN.



Sentimen Pengundi Terengganu Sukar Dijangka

Pada tahun 2012, saya pernah berkesempatan bertemu dengan menteri besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ahmad Said di kediaman beliau bersama beberapa rakan penulis bebas.

Antara soalan yang saya ajukan adalah :-

“Bagaimana Terengganu boleh pernah diperintah oleh Pas satu ketika dahulu?”

Jawapan yang diberikan oleh Ahmad Said ketika itu adalah - sentimen pengundi Terengganu adalah sukar dijangka.

Pengundi mengikut komposisi kaum dimenangi oleh Melayu dengan perbezaan peratus yang tinggi.

Mengikut Ahmad Said, pengundi Terengganu tidak mudah terpengaruh dengan sentimen nasional tetapi lebih kepada faktor dalaman negeri itu sendiri.

Sewaktu Pas mengambil alih kerajaan negeri Terengganu dari BN iaitu pada tahun 1999, ia tidak langsung berkisarkan reformasi yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya pengundi di negeri tersebut begitu marah dengan cengkaman kuasa yang terlalu lama oleh Datuk Seri (Tan Sri) Wan Mokhtar Ahmad.

Setelah menggulingkan Wan Mokhtar dan ‘mengajar’ BN seketika, kuasa dikembalikan kepada BN pada tahun 2004.

BN seterusnya menguasai kerajaan negeri tersebut hingga kini.



Keputusan PRU13 memberi ‘signal’ terbaru

Dalam PRU13, keputusan yang terhasil memperlihatkan kemenangan tipis oleh BN iaitu 17 kerusi berbanding 15 oleh PR.

Berbanding keputusan PRU12 (2008) (24:8), kerusi BN mengecut sebanyak 7 kerusi pada PRU13 kali ini.

Ia jelas satu ‘signal’ sebagai apa yang disebut oleh Ahmad Said terdahulu bahawa sentimen dalaman seperti penguasaan yang terlalu lama oleh satu-satu pihak mempengaruhi corak pengundian pengundi, ada kebenarannya.

Ditambah pula dengan faktor sampingan seperti revolusi internet yang memberi pengaruh bercampur tehadap pengundi muda dan atas pagar.

Justeru, kemenangan tipis BN pada PRU13 lalu tidak menolak kebarangkalian pengundi Terengganu terutamanya di N.01 Kuala Besut akan mempertaruhkan BN, boleh berlaku.

Tidak mustahil pengundi tempatan akan mencuba ‘suatu yang baru’ (sama ada ianya adalah pemerintahan baru, atau suatu kaedah pemerintahan baru) berkemungkinan terjadi dan dalam konteks PRK N.01 Kuala Besut ini, kempen 16:16 bakal memberi kelebihan kepada Pas dan PR.

Sentimen Melayu Bersatu

Perlu diingat, apakah sebenarnya kemahuan majoriti silent masyarakat Melayu-Islam?

Jika Umno dan Pas masih gagal mendengar ‘hati nurani’ Melayu yang berfantasikan penyatuan ummah Islam di sebalik nama Melayu, maka AWAS!

Pengundi N.01 Kuala Besut mampu ‘menunjukkan’ kehendak umum Melayu-Islam untuk melihat Umno (BN) dan Pas bergabung bagi membentuk kerajaan campuran terhasil.

Walau pun kempen 16:16 bakal memberi kelebihan kepada PR dengan memenangkan calon mereka, sebenarnya pengundi bukan mahu PR menang!

Sebenarnya mereka lebih mahu melihat sejauh mana Pas bakal bekerjasama dengan Umno (BN) untuk membentuk penyatuan tersebut.

Bersediakah Umno (BN) bergabung tenaga dengan Pas untuk menunjukkan kepada satu-satu kaum tertentu (Tionghua?) yang sebelum ini berjaya menunjukkan kepada kaum Melayu (Islam) bahawa mereka (Tionghua?) mampu memberikan hampir 100 peratus sokongan kepada satu-satu pihak dalam PRU13 yang lalu?

Mungkin Anwar Ibrahim selaku ketua umum PR dan Dap tidak senang duduk dengan kebarangkalian ini (16:16) dan bakal mendesak supaya pilihan raya negeri (PRN) diadakan semula khusus untuk Terengganu memandangkan kaedah penyatuan ini tidak akan menguntungkan mereka.

Apa pun, saya amat bersetuju dengan pandangan Dr Azman Ibrahim, bukan sahaja penduduk Malaysia menanti keputusan yang penuh bermakna bahkan satu dunia bakal menyaksikan satu sejarah baru dalam era politik moden Malaysia tercipta jika 16:16 berjaya dicapai.

No comments:

Post a Comment