Blog Archive

Monday, July 15, 2013

Archive #113 - Benarkah Najib Gagal ?


Column by: GreenHood


Satu ketika dahulu, sewaktu Mohd Najib Razak memulakan kempen 1Malaysia, ramai yang bersikap pesimis.

Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Najib mula membuahkan hasil.

Brand ‘1Malaysia’ mula digeruni terutama oleh Dap. Disusuli oleh PKR. Pas, seperti biasa menjadi ‘pak turut’ kepada kedua-dua Dap dan PKR.

Kerajaan negeri Selangor yang diperintah oleh pakatan rakyat (PR) mula menekan usaha Najib melalui exco jawatankuasa tetap kerajaan tempatan yang ketika itu dipegang oleh Ronnie Liu.

Pembukaan kedai 1Malaysia atau KR1M begitu sukar. Baik lesen niaga mahu pun papan tanda perlu mendapatkan kelulusan majlis tempatan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) bertukar menjadi ‘tentera’ PR di bawah kepimpinan ‘General Ronnie Liu’. Majlis tempatan menjadi ‘medan perang’ kepada pengusaha KR1M dengan ‘bala tentera’ PR tersebut.

Turut berperang adalah Jawatankuasa Kemajuan Kampung-Kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan negeri. JKKK berperang dengan Jawatankuasa Kemajuan Kampung-Kampung Persekutuan (JKKP) yang dilantik oleh kerajaan federal.

Pintu gerbang atau papan tanda yang mempamerkan 1Malaysia menjadi punca ‘peperangan’ sama ada bagi menumbangkannya mahu pun mempertahankannya. Tugas menumbangkan mercu tanda 1Malaysia terletak di bahu PBT atau JKKK. Di balik tabir, kepimpinan PR memainkan watak sebagai ‘master of puppet’ kepada tentera-tentera yang memakai uniform PBT atau JKKK tersebut.

Manakala tugas mempertahankan mercu tanda tersebut jatuh di bahu JKKP mahu pun kepimpinan Barisan Nasional (BN) di setiap bahagian dalam negeri Selangor.

Walau pun tidak dinyatakan dengan terang dan jelas, namun difahami umum kewujudan KR1M adalah bagi mengatasi monopoli perniagaan runcit yang dikuasai oleh bangsa Cina.

Justeru pengawalan harga yang boleh menekan pengguna termasuk bangsa-bangsa lain boleh diatasi.

Tidak hairan, selain Ronnie Liu seorang demi seorang general PR digerakkan untuk mematahkan kemaraan produk 1Malaysia.

General lain seperti Tony Pua dan Nurul Izzah turut dikerah bagi menjahanamkan imej barangan 1Malaysia.

Diringkaskan, konsep barangan 1Malaysia tidak hanya tertumpu pada perniagaan runcit. Bahkan percubaan untuk meluaskannya termasuk pemasaran padi dan ikan dilakukan agar pemborong yang turut dimonopoli oleh bangsa Cina juga dapat diatasi.

Semuanya berlaku takkala Mohd Najib Razak memegang jawatan sebagai perdana menteri Malaysia.

Najib sedar akan monopoli yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Tidak sahaja kepada satu-satu bangsa, bahkan Najib sedar kumpulan-kumpulan kapitalis lain turut mengawal ekonomi negara ini.

Ramai ‘tycoon’ terasa dengan perubahan dasar yang dilakukan oleh Najib. Wa’ima Tony Fernandes yang cuba memonopoli sistem pengangkutan udara secara ‘tambang murah’ akhirnya turut marah dengan kewujudan mendadak pesaing baru bernama Malindo.



Kapitalis yang bertapak semenjak zaman Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu pun turut terasa dengan dasar-dasar baru yang dibawa oleh Najib.

Najib berusaha keras. Sehingga kini Najib masih berusaha.

Malangnya, selain pilihan raya umum (PRU) iaitu proses bagi menentukan parti manakah akan menguasai kerajaan Malaysia, Najib akhirnya terpaksa berhadapan dengan pemilihan UMNO.

Apabila disebut nama UMNO, satu perkataan yang sinonim adalah MELAYU.

Najib mungkin terlepas ujian getir mempertahankan kerajaan Malaysia tetap dikuasai BN. Najib juga mungkin dapat menyenaraikan 100 atau 200 perkara yang beliau berjaya lakukan selaku perdana menteri.

Najib boleh mendabik dada dapat melakukan TRANSFORMASI terhadap negara kita, Malaysia.

Tetapi bagaimana pula dengan senarai kejayaan atau transformasi beliau selaku presiden UMNO?

Apakah yang dilakukan oleh Najib bagi membela nasib bangsa Melayu selaku presiden parti terbesar dianggotai oleh bangsa Melayu?

Dalam konteks ini, Najib dikecam oleh pesaing-pesaing beliau yang mengimpikan jawatan tertinggi UMNO.

Pernah saya menulis bahawa kecaman yang bakal beliau hadapi adalah kegagalan beliau menambah kerusi BN sewaktu PRU13 yang lalu. Bahkan, lebih mudah mengecam beliau kerana penyusutan kerusi BN kepada 133 buah kerusi sahaja.

Ternyata jangkaan saya meleset.

Najib kini dikecam kerana dasar-dasar yang dikatakan gagal membela nasib bangsa Melayu. Tuduhan ini menjurus terus kepada kedudukan dirinya bukan selaku perdana menteri, tetapi sebagai presiden sebuah parti yang dianggotai oleh bangsa Melayu iaitu UMNO.

Semuanya kerana pemilihan UMNO bakal berlaku.

Secara tiba-tiba, terlalu ramai jaguh di dalam UMNO bangkit kononnya mahu membela nasib bangsa Melayu. Mahu membela agama Islam. Mahu membela institusi raja-raja Melayu.

Maka Najib dituduh gagal membea nasib bangsa Melayu... gagal membela kesucian agama Islam... gagal mengawal rakyat yang kian berani mempersendakan raja-raja Melayu.

Pendek kata, Najib dikatakan GAGAL serba serbi sebagai presiden UMNO.

Najib perlu diturunkan dari takhta presidensinya. Dan jika Najib jatuh sebagai presiden UMNO, secara tidak langsung Najib akan jatuh sebagai perdana menteri Malaysia.

Di Malaysia, itulah sistemnya!

No comments:

Post a Comment