Oleh: GreenHood
Meninggalkan kongres kali ke-16 adalah simbolik jelas terhadap isu perkauman.
DAP yang selamat menjalankan pemilihan 20 keanggotaan jawatankuasa eksekutif pusatnya (C.E.C.) meninggalkan satu kaum jauh dari kepercayaan ahlinya.
Inilah terjemahan jelas yang tidak mampu dikatakan melalui kata-kata sebaliknya melalui perbuatan dan undi.
Seramai 8 dari 68 calon adalah terdiri dari kaum Melayu. Dari 8 calon tersebut tiada satu pun yang menang kerusi C.E.C.
Zairil Khir Johari menerima undi terbanyak iaitu sebanyak 340 undi manakala Harun Ahmad menerima hanya 30 undi sahaja. Namun, 340 undi tidak melayakkan Zairil menerima mandat ahli-ahli DAP melalui perwakilan yang hadir di PISA, Bayan Baru untuk menduduki 20 kerusi utama C.E.C.
Zairil Khir Johari yang berdarah Cina tulen namun memakai identiti Melayu tetap tidak menerima kepercayaan perwakilan DAP.
DAP Hipokrit Berbanding MCA
Terjemahan undi oleh para perwakilan DAP yang menolak wa’ima seorang Melayu pun untuk menduduki 20 kerusi utama C.E.C. adalah refleksi jelas parti tersebut didominasi oleh kaum Cina.
Hairannya, DAP tetap mendabik dada melaungkan partinya adalah parti yang demokratik dan mengamalkan konsep 1 Malaysia tulen. Demikian itu slogan “Malaysian Malaysia” dan “Middle Malaysia” dijaja ke sana sini.
Di sini sahaja, MCA atau Malaysian Chinese Association dilihat lebih telus dalam mengguna pakai perkataan ‘parti mewakili kaum Cina’.
Tiada hipokrasi berlaku dengan berselindung di sebalik permainan ayat atau kata-kata.
Melayu ‘Minta Nyawa’
Berbalik kepada isu keahlian DAP berbangsa Melayu, perlantikan senator Ariffin S.M. Omar dan Zairil Khir Johari sebagai anggota tambahan C.E.C. dilihat oleh pemerhati politik sebagai menutup kelemahan parti yang didominasi oleh kaum Cina itu.
Prinsip asasnya, 20 anggota C.E.C. yang menang adalah simbol kepercayaan seluruh ahli DAP Malaysia yang dibawa oleh perwakilan mereka.
Manakala 10 keanggotaan tambahan hanyalah kepercayaan 20 anggota C.E.C. yang bersetuju sebulat suara membuat lantikan tambahan bagi membantu 20 anggota sedia ada.
Mengharapkan perlantikan tambahan ibarat ‘meminta nyawa’ dan dalam konteks ini, perlantikan Ariffin dan Zairil adalah simbol Melayu yang ‘meminta nyawa’ dalam parti yang didominasi oleh kaum Cina itu.
Selain isu perkauman, wakil DAP bagi negeri Sabah dan Sarawak yang disebut-sebut mula berubah dengan menerima DAP turut gagal mendapat tempat di hati perwakilan DAP.
Retorik Dua Perhimpunan Utama DAP dan PAS
Pakatan rakyat yang diikat melalui kerjasama DAP-PKR-PAS seringkali mengelak untuk membuat kenyataan awam secara bersama terutama berkaitan masa hadapan mereka.
Rakyat dilihat menunggu dengan penuh ‘tidak sabar’ barisan calon seterusnya kabinet bayangan mereka jika memenangi Putrajaya.
Selain bermain mulut dalam setiap ceramah, parti-parti yang membentuk pakatan rakyat seringkali menggunakan platform sendiri dalam menuntut hak masing-masing.
Pada muktamar agung PAS baru-baru ini, desakan dibuat oleh para perwakilannya untuk melantik Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri sekiranya mereka berjaya menakluki Putrajaya.
Perkara ini tidak ditepis secara konklusif oleh Hadi sebaliknya beliau masih bermain-main dengan perkataan yang kononnya tidak mengimpikan untuk menjadi perdana menteri.
Lebih dari itu, Hadi tidak mahu komen.
DAP pula melalui pengerusinya, Karpal Singh bersungguh-sungguh mahukan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan ia dilontar sewaktu ucaptama beliau dalam kongresnya dua hari lalu.
Ini dengan jelas melambangkan ketidak percayaan DAP, melalui Karpal, akan wakil PAS memegang teraju utama kepimpinan negara jika ditakdirkan menang.
‘Demanding’ Tambahan Kerusi
Apa yang jelas, dalam kongres DAP baru-baru ini, mereka mula ‘demanding’ penambahan kerusi sekurang-kurangnya 3 lagi.
Walaupun berlapik dengan ayat manis kononnya tujuan permintaan tambahan kerusi itu sebagai tanda penghargaan yang wajar mereka terima dek kerana komitmen jitu yang diberi, para pemerhati politik memahami kehendak DAP tersebut tidak lebih dari usaha pengukuhan bilangan kerusi yang boleh mereka capai dalam parlimen kelak.
Ini penting kerana PAS dalam sejarahnya tidak pernah diyakini oleh rakyat bagi mengisi kerusi parlimen berbanding DUN.
Manakala PKR pula masih dianggap sebuah parti yang rapuh dengan ‘track-record’ ahlinya yang buruk iaitu sering kali merajuk, melompat atau keluar dari parti.
Kekurangan PAS dan PKR ini memberi kelebihan kepada DAP dan penambahan kerusi kelak akan menguatkan suara mereka di parlimen terutama dalam menentukan dasar-dasar utama negara jika pakatan menang.
JOM UBAH! Apa Yang Mahu Diubah Jika Sendiri Tidak Berubah
Slogan “Jom Ubah!” yang dibawa oleh DAP dan diterima pakai oleh PAS dan PKR sekali lagi menjadi satu yang retorik serta tidak melambangkan parti itu sendiri.
Penguasaan keluarga Lim dan keluarga Karpal dalam teraju utama DAP semenjak hampir 30 tahun yang lalu jelas adalah lambang cengkaman ‘kuku-besi’.
Ironinya, tuduhan ‘kuku-besi’ ini pernah mereka lemparkan terhadap kepimpinan UMNO-BN terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu.
Berselindung di sebalik kebenaran corak ‘kuku-besi’ nya, slogan “Jom Ubah!” adalah tektik licik pernah dimainkan oleh mereka dan sekali lagi ditudingkan kepada kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO serta komponennya.
Jika benar kerajaan UMNO-BN perlu diubah (walaupun pemimpin utamanya sudah 2 kali berubah semenjak Mahathir), kenapa DAP sendiri tidak memberi contoh baik dengan melakukan perubahan di dalam partinya sendiri?