Blog Archive

Wednesday, October 3, 2012

Archive #81 : Jangan Pisang Berbuah Dua Kali, @NajibRazak Menang Dahulu Tapi Kalah Kemudian Pada @anwaribrahim



Oleh: GreenHood

Barisan Nasional (BN) di bawah teraju YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin boleh bertempik sorak bilamana rakyat rata-ratanya menyambut baik Belanjawan 2013 yang dibentangkan dalam dewan parlimen pada tanggal 28 September yang lalu.

Berbanding agenda Belanjawan Pakatan; Belanjawan Negara 2013 yang diusulkan oleh Najib Razak lebih menarik minat golongan miskin, sederhana mahupun berpendapatan tinggi.

BELANJAWAN BERKEBAJIKAN


Selain gula yang melihatkan pengurangan subsidi kerajaan bernilai 20 sen, pukul rata belanjawan negara benar-benar disasarkan pada golongan yang memerlukan terutamanya keluarga yang punyai anak bersekolah mahupun universiti, serta kumpulan pertengahan yang memerlukan suntikan ‘cash’ bagi menyara diri serta keluarga.

BR1M 2.0 adalah kesinambungan hayat bukan sahaja kepada BN dalam melonjak populariti di saat pilihanraya umum di pinggir waktu, namun tidak dinafikan ianya turut menjadi ‘talian hayat’ kepada kumpulan pertengahan dan miskin terutama menjelang permulaan tahun baru yang kebiasaannya menyaksikan perbelanjaan lebih digunakan untuk persiapan anak-anak menghadapi sesi persekolahan yang baru.

Kita tidak bercakap soal yuran, tetapi kita bercakap soal menyediakan baju, seluar, uniform ko-korikulum, kasut dan sebagainya dan ia bukanlah satu perbelanjaan yang murah.

Menyediakan tempat untuk berbelanja dengan harga yang mampu, KR1M turut sedikit sebanyak membantu kumpulan sasaran dan mewujudkan lebih banyak Kedai Rakyat 1 Malaysia ini juga adalah satu gerakan yang wajar dipuji dimasukkan dalam pembentangan belanjawan oleh YAB Perdana Menteri.

Janji ditepati, itulah yang boleh dimohorkan kepada Najib dan angkatannya bila berjanji dana kepada kumpulan belia sewaktu pelancaran BN Youth Volunteers (BNYV) di menara berkembar KLCC tidak lama dahulu.

Insentif yang diberi kepada kumpulan belia terutama rebat pembelian telefon pintar atau ‘smartphone’ adalah bagi memudahkan pembelian telefon tersebut mengikut gaya muda anak remaja. Ia adalah satu ‘endorsement’ oleh YAB Perdana Menteri kepada kumpulan remaja dan ia secara tak langsung merupakan sebahagian dari janji-janji yang pernah dilemparkan oleh Najib kepada kumpulan ini.

Dengan beberapa contoh di atas, secara peribadi saya katakan bahawa inilah bentuk “Belanjawan Berkebajikan” yang “Ditepati” dan bukan sekadar janji untuk raih simpati terutama menjelang PRU di hujung pintu.




Namun, seperti tahun lepas, pembentangan Belanjawan 2013 ini tidak disekalikan dengan laporan audit negara bagi tahun 2011-2012.

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI


Memecah tradisi menyertakan laporan ketua audit negara (LKAN) berserta dokumentasi cadangan belanjawan negara sewaktu pembentangan, pada tanggal 7 Oktober 2011 yang lalu LKAN didapati hanya diedarkan 17 hari selepas pembentangan dan bahas.

Begitu juga halnya dalam sesi kali ini (Belanjawan 2013). Sekali lagi LKAN tidak disertakan sama.

Ia boleh mengundang berbagai persepsi terutama kepada pihak pembangkang yang ternanti-nanti apakah perbelanjaan yang boleh mereka cungkil kemudiannya menjadi bahan untuk mereka berkempen memburuk-burukkan kementerian tertentu seterusnya kaitan dengan menteri berkaitan.

Kita tak akan lupa bagaimana isu National Feeds Lot (NFC) menjadi senjata utama pihak pembangkang dalam membongkar apa yang dituduh sebagai penyelewengan peringkat tertinggi.

Begitu juga perbelanjaan kementerian-kementerian tertentu seperti kementerian pendidikan dan pertahanan yang acapkali menjadi sasaran yang berhormat ahli-ahli dewan parlimen pembangkang.

Ini seterusnya akan memadamkan kegembiraan rakyat serta tempik sorak BN yang terlalu awal meraikan kemenangan mereka hanya bersandarkan kepada pembentangan belanjawan tetapi mengambil mudah soal ‘actual’ perbelanjaan pada tahun sebelumnya.

Adakah LKAN kali ini akan menjadi senjata utama memakan diri barisan yang berhormat ahli-ahli dewan parlimen BN?

Kita hanya akan ketahui apabila LKAN ini dikeluarkan kelak.

No comments:

Post a Comment