Keluar PAS masuk UMNO dibeli? |
Written by GreenHood |
Monday, 16 January 2012 01:06 |
Oleh: GreenHood & K7L Sewaktu menanti majlis penutup “Taklimat Khas Pilihanraya 13 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia” berakhir di dewan Tun Hussein Onn bagi laluan kepada sesi sidang media bersama Datuk Seri Shafie Apdal dan Khairy Jamaluddin (majlis taklimat terdahulu dibuat secara tertutup), saya menerima panggilan telefon oleh pegawai komunikasi dan media kepada Tuan Haji Rahim Kamarudin, Ketua UMNO Bahagian Gombak. Ringkasnya, beliau mahu saya dan krew KritisOnline hadir ke kampung Kerdas 2 Gombak jam 8.30 malam. Sambungnya lagi, ada majlis penyerahan borang keahlian UMNO dari bekas-bekas ahli PAS. Dalam perjalanan bersama K7L menuju ke destinasi, Gombak, fikiran saya jauh menerewang sama ada ini satu lagi gimmick kemasukkan bekas anggota PAS ke dalam UMNO menjelang pilihanraya umum ke 13? Jika benar, saya berfikir bahawa gerak saraf yang dimainkan oleh UMNO Gombak ini adalah gerak saraf usang yang sudah tidak relevan dengan nilai politik baru Malaysia. Rakyat tidak akan mempercayainya. (Jais Ismail bersama rakan-rakan bekas anggota PAS) Saya tiba awal sewaktu para petugas UMNO sebuk membuat persiapan. Benarlah pepatah Inggeris ada menyebut “an early bird catches worm”. Saya bertemu dengan beberapa bekas anggota PAS yang dikhabarkan akan masuk ke dalam UMNO. Sewaktu orang-ramai yang hanya dalam lingkungan sepuluh ke lima belas orang sahaja berada di tapak majlis, saya dan K7L sempat menemubual bekas-bekas anggota PAS tersebut. Inilah pandangan mereka:-
(Rizal Ismail... "saya tidak dibayar satu sen pun!")
Saya simpulkan, bahawa 102 orang bekas anggota PAS yang kini telah menyerahkan borang keahlian kepada Tuan Haji Rahim Kamarudin pada malam kejadian, adalah mereka yang sangat marah dengan kepimpinan tertinggi PAS, terutamanya berkaitan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali, bekas exco kerajaan negeri Selangor. Mereka juga telah hilang kepercayaan pada sistem yang diamalkan oleh parti tersebut yang membelakangkan konsep demokrasi dan keadilan kepada ahlinya. Bagi mereka, pemecatan keanggotaan Hasan Ali tanpa melalui proses pembelaan oleh tuan punya diri adalah satu tindakan yang tidak wajar dan dikeji oleh kumpulan ini. Lantaran itu, mereka amat mempercayai bahawa PAS yang mereka pernah anggotai suatu ketika dahulu telah jauh menyimpang dari perjuangan asal dan ini berlaku semenjak perikatan PAS dengan PKR dan DAP. “Mereka akan kata kami dibayar… sumpah satu sen pun kami tak terima untuk keluar dari PAS dan masuk ke dalam UMNO”, kata Rizal Ismail, 40 tahun, bekas ahli jawatankuasa Gerak Saraf PAS cawangan Kerdas. (Jais Ismail menunjukkan kad keahlian PAS nya) Jais Ismail, 41 tahun, bekas Ketua PAS cawangan Kerdas dan ahli jawatankuasa PAS zon Kerdas pula berkata, “saya mengetuai mereka semua ini. Kami amat mempercayai kepimpinan Dato (Dr) Hasan Ali. Jika seorang yang berilmu tinggi seperti beliau pun boleh sewenang-wenangnya dipecat, apatah lagi kami yang di bawah ini. Mereka (PAS) ada menelefon saya untuk menghalang kami dari keluar dari parti (PAS). Tak makan dah... dah terlewat tu semua. Kami tetap akan keluar dari parti”. Sebenarnya, masalah dalaman parti PAS amat runcing dan ia bukan suatu yang baru. Pemecatan Hasan Ali adalah pembukaan kepada orang luar untuk menilai permasalahan yang dihadapi oleh dalaman PAS. PAS selama ini berjaya menutup kepincangan mereka namun dengan kejadian yang menimpa Hasan Ali, kelihatan kini kepincangan itu mula berani diperkatakan oleh ahli-ahli mereka sendiri. Datuk Seri Haji Hadi Awang hari ini dilaporkan sebagai berkata bahawa mereka tidak pernah diperkudakan oleh mana-mana parti perikatan yang membentuk pakatan rakyat. Tetapi apa yang diperkatakan beliau itu nampaknya disanggah oleh ahli-ahli akar umbi mereka sendiri. (Zurihan Yusop, P. Setiausaha Pemuda UMNO Perhubungan Negeri Selangor) Sejauh mana pimpinan tertinggi PAS dapat menutup kepincangan mereka dari diperkatakan oleh ahli akar umbi adalah satu persoalan yang patut difikirkan oleh semua pemerhati politik. Saya amat bersetuju dengan persoalan yang ditimbulkan oleh saudara Zurihan Yusop, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Perhubungan Negeri Selangor yang turut sama menyaksikan majlis penyerahan 102 borang keahlian bekas anggota PAS ke dalam UMNO di kampong Kerdas 2 itu, “jika bai’ah kini tidak lagi relevan, apakah sistem yang akan diperkenalkan oleh PAS bagi mengunci mulut-mulut ahlinya dari menentang secara terbuka kepimpinan tertinggi mereka? Walaupun sudah terang lagi bersuluh, ahli-ahli PAS bukannya mudah untuk diperbodohkan. Dr. Hasan Ali adalah simbol kepada kebangkitan ahli-ahli PAS yang tidak tahan lagi dengan sikap pemimpin tertinggi mereka yang mengejar Putrajaya hingga sanggup mengenepikan perjuangan asal mereka”. Tuan Haji Rahim sewaktu saya menemuinya berkata “Alhamdulillah, Tuhan maha kaya. Pertemuan saya dengan Jais Ismail sewaktu bulan Disember tahun lalu diperkuatkan dengan insiden pemecatan Dr Hasan Ali. Mereka meninggalkan PAS bukan kerana saya atau apa-apa imbuhan dan sebagainya. Tetapi mereka meninggalkan PAS kerana parti itu sendiri bermasalah hingga ada ahlinya yang mula hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti itu sendiri serta politik kotor yang diamalkan di peringkat tertinggi. Mereka sedar mereka telah ditipu selama ini dengan satu perjuangan yang palsu”. (Tuan Haji Rahim di majlis pengisytiharan bekas ahli PAS masuk ke dalam UMNO) Apa yang saya ingin katakan di sini adalah, pengisytiharan bekas anggota PAS meninggalkan parti itu dan masuk ke dalam UMNO bukanlah satu gimmick murahan tajaan UMNO tetapi sebenarnya adalah berikutan permasalahan dalaman PAS sendiri yang begitu kuat berlaku terutama setelah insiden pemecatan Hasan Ali. Suka untuk saya mengajak pembaca melihat sejauh manakah permasalahan PAS akan dibongkar satu demi satu oleh akar umbinya sendiri! |
Last Updated on Monday, 16 January 2012 09:30 |
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.
No comments:
Post a Comment