Blog Archive

Friday, January 13, 2012

Archive #58

'Poke eye blunder & purgation Timbalan Perdana Menteri' - ada apa dengan terjemahan kita? PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Friday, 13 January 2012 09:19

Oleh: GreenHood

Peduli apa dengan terjemahan bahasa? Hairan apa nak terjemah bahasa secara tunggang langgang dan sebaliknya? Hal MINDEF dan laman sesawangnya yang menjadi tumpuan akhbar seperti The Star dalam artikelnya http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/1/10/nation/20120110074210&sec=nation atau mana-mana portal mahu pun blogs bukanlah satu perkara baru.
Sebelum MINDEF, saya baca dalam sudut ‘Terjemahan Akhbar Cina’ portal KritisOnline ini satu tajuk “Terjemahan Dari Pihak Kerajaan Sekali Lagi Jadi Bahan Lucu” disiarkan pada 3hb Januari 2012 yang memetik terjemahan dari akhbar Nanyang Siangpau bertarikh 24hb Disember 2011. Kementerian yang kuat dihentam oleh Nanyang Siangpau itu adalah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di bawah Dato' Seri Utama Rais Yatim. Saya juga dimaklumkan, akhbar seperti Sinchew Daily dan lain-lain turut sama melaporkan.

Rungutan tentang terjemahan terhadap MINDEF bukan yang pertama. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan terlebih dahulu dilaporkan. Ada sesiapa kisah?

Kalau dibaca dari akhbar Nanyang Siangpau tersebut, kali ini terjemahan yang menggeletek hati rakyat Malaysia bukannya bahasa Inggeris tetapi bahasa Mandarin yang turut menjadi sebahagian dari bahasa harian rakyat Malaysia. Berapa ramai kaum Cina di Malaysia? Mereka adalah kaum kedua terbesar namun terjemahan ke dalam bahasa mereka sendiri tunggang langgang. Ada mereka kisah?

Memang mereka kisah sebab itu ia dilaporkan dalam akhbar harian mereka.

Pertama: perkataan “Timbalan Perdana Menteri Malaysia” (perkataan asal mengikut bahasa Kebangsaan) menjadi “Timbalan Yang Membantu Pengerusi Malaysia” (terjemahan ke dalam bahasa Mandarin).

Kedua: ayat “…kunjungi dan nikmati” (ayat asal mengikut bahasa Kebangsaan) menjadi “…cepat-cepat jamu selera” (terjemahan ke dalam bahasa Mandarin).

Ketiga: ayat “…jamuan rakyat dengan menu selera” menjadi “…orang ramai gunakan menu makan yang luar biasa” (terjemahan ke dalam bahasa Mandarin).

Keempat: ayat “…pameran replika pokok Krismas” menjadi “…pameran salinan pendua pokok Krismas” (terjemahan ke dalam bahasa Mandarin).

Kelima: ayat “…semua dijemput hadir” menjadi “…semua yang mengambil bahagian” (terjemahan ke dalam bahasa Mandarin).

Di atas adalah sebahagian dari terjemahan yang melucukan kaum Cina terutama yang berbahasa Mandarin sewaktu musim perayaan Krismas lepas. Ia didapati dalam surat jemputan dan risalah edaran yang diterbitkan oleh Kementerian Dato’ Seri Utama Rais Yatim dikesan sewaktu satu program di Balakong baru-baru ini.

Datuk Hoo Hee Lee, Penyelaras Pembangunan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kawasan Balakong yang menganjurkan program tersebut dilaporkan terkejut dengan maklum balas yang diterima oleh orang ramai terhadap risalah serta jemputan itu. Sinis, beliau dipetik berkata ianya bukan kali pertama terjadi. Sewaktu Perdana Menteri China melawat Malaysia, backdrop yang ditulis dalam bahasa Mandarin turut disalah terjemahkan hingga memalukan hadirin termasuk hadirin asing dan perkara itu dilaporkan di peringkat antarabangsa.

Adakah kos bagi satu-satu terjemahan begitu tinggi hingga memerlukan ia diterjemahkan secara otomatis memakai sistem perisian tertentu dari menterjemah secara manual menggunakan tenaga manusia?

Saya pernah mengambil upah (sub-kontrak) menterjemah sarikata sesebuah rancangan dari sebuah syarikat yang menerima kontrak dari stesyen televisyen berbayar, Astro, sekitar tahun 2000. Saya menerima upah sebanyak RM80 bagi setiap rancangan. Saya dimaklumkan syarikat tersebut menerima bayaran RM250 bagi setiap rancangan. Itu dahulu. Lebih kurang 10 tahun yang lalu. Saya tidak pasti berapa bayaran terkini terjemahan bagi satu-satu rancangan. Namun bagi saya, ianya tetap berbaloi. Penonton mahu mendapatkan terjemahan yang tepat atau setepat mungkin. Itu tanggungjawab penyiar. Begitu juga dengan kementerian-kementerian yang berkaitan.

Mengambil pandangan Hoo Hee Lee, saya rasa memang wajar kerajaan menyeragamkan isu terjemahan agar tidak memalitkan arang ke muka mereka. Perkara ini perlukan penyelarasan. Mungkin sudah masanya kerajaan memilih panel bagi terjemahan dan pemilihan panel penterjemah adalah mereka yang berkelayakan serta profesional. Kalau Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen boleh berbelanja mencecah angka jutaan bagi penyiapan serta penyelenggaraan laman sesawang rasmi kementeriannya, kenapa tidak bagi sesuatu yang boleh mencalarkan imej kementerian amnya, dan kerajaan Malaysia itu sendiri khususnya seperti isu terjemahan bahasa?
Ini bukan masalah satu kementerian sahaja. Ini perlukan satu penyelarasan!
Last Updated on Friday, 13 January 2012 14:16
 
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.

No comments:

Post a Comment