901: Prof. Salleh Buang berfikir... |
Written by GreenHood |
Wednesday, 11 January 2012 08:55 |
Oleh: GreenHood Baru kelmarin saya memohon dari bahagian rekod dan kajian (research & records department) portal ini, untuk dibekalkan teks penuh keputusan kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilepas dan dibebaskan pada 901. Maklum balas dari bahagian tersebut menyatakan bahawa keputusan tersebut hanya akan dimuatnaik ke dalam laman web rasmi bagi bacaan pada esok hari (Rabu). Sebentar tadi, membuka akhbar Utusan mukasurat 10, saya membaca satu artikel bertajuk “Nilai ‘prima facie’ kes liwat” tulisan Noraini Abd. Razak yang mengambil sudut pandangan Prof. Salleh Buang. Saya bukan seorang profesor undang-undang, tapi setidak-tidaknya saya juga mempunyai pengalaman hampir tujuh tahun beramal sebagai peguam sebelum berkhidmat dalam bidang lain. Bersetuju dengan tulisan Noraini yang memetik pendapat Prof. Salleh Buang, ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan tiga minit disampaikan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. Ini bukan persoalan mewujudkan kes prima facie pada tahap diluar jangkauan kemunasabahan (beyond reasonable doubt) atau adanya sesuatu yang penting untuk dibicarakan (tribal issue to be tried) seperti yang selalu dimainkan oleh peguam dalam mempertahankan anakguam mereka sewaktu penghujahan (submission) dalam peringkat pendakwaan (to establish the prosecution’s case). Ini adalah peringkat membela diri (defence). Peringkat yang sudah pun melepasi pembuktian wujudnya ‘suatu perlakuan’ melainkan dibuktikan sebaliknya oleh orang kena tuduh (OKT) memakai kaedah seksyen 180 Kanun Acara Jenayah (KAJ). Noraini suka untuk menyebut bahawa ianya adalah “peringkat terlalu hampir atau tidak jauh dari pensabitan kesalahan”. Demikian itu ruang pembelaan diberikan sebab apa OKT tidak boleh disabitkan dengan kesalahan mengikut seksyen yang diperuntukan dalam Kanun Keseksaan (KK). Prof. Salleh Buang yang bingung dengan alasan hakim menolak pemakaian bukti DNA sewaktu peringkat pembelaan sedangkan ianya wajar diputuskan sewaktu peringkat pendakwaan digambarkan seolah-olah hakim yang membicarakan kes ‘Liwat II’ membuat satu pusingan U, iaitu kembali ke peringkat kes pendakwaan sedangkan pihak-pihak sudah berada di peringkat pembelaan. Walau bagaimana pun, Salleh Buang turut memetik seksyen 182A KAJ yang memberikan hak kepada hakim menilai semula keseluruhan keterangan yang ada bermula dari peringkat pendakwaan hingga ke peringkat pembelaan dalam memutuskan OKT bersalah atau tidak di penghujungnya. Seterusnya, Noraini turut menulis pendapat Prof. Salleh Buang berkaitan kewajaran pihak pendakwa membuat rayuan dan bagi saya secara peribadi, setidak-tidaknya semakan penghakiman, dalam memastikan persoalan undang-undang dapat dijawab dengan lebih kemas dan teratur kerana ianya amat penting dalam perkembangan perundangan negara supaya dapat dilihat, malahan dirasai integritinya. (Sila baca Utusan untuk memahami lebih lanjut). Adakah Hakim Datuk Mohamad Zabidin terlalu tertekan bagi memberikan satu keputusan bilamana ianya melibatkan soal politik negara? Demikian itu membiarkan ianya diputuskan oleh peringkat tertinggi kehakiman yang membariskan tiga hakim bagi peringkat rayuan dengan meletakkan OKT pada status asal iaitu “tidak bersalah” melainkan dibukti sebaliknya (presume innocent until proven guilty). Beban itu kini dipikul semula oleh pihak pendakwa sama ada untuk memfailkan rayuan atau tidak. Namun, bagi cadangan Presiden Majlis Peguam, saudara Lim Chee Wee yang menyarankan agar pihak pendakwa tidak menfailkan rayuan bagi pendapat saya adalah campurtangan keterlaluan dalam urusan perundangan negara. Ia seolah-olah menuding jari pihak-pihak untuk apa yang boleh dan apa yang tidak dalam perkra yang melibatkan kepentingan awam. Bagaimana masyarakat dapat melihat kebebasan Majlis Peguam jika mereka turut mencampuri perkara yang melibatkan kepentingan awam dengan hanya memihak kepada satu pihak? Dan bukan memberi ruang keadilan kepada semua pihak? |
Last Updated on Wednesday, 11 January 2012 16:05 |
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.
No comments:
Post a Comment