901: "Unsolved Mystery - The Truth is Out There" |
Written by GreenHood |
Tuesday, 10 January 2012 12:38 |
Oleh: GreenHood Saya turut berada di Kompleks Kehakiman (House of Justice), Jalan Duta Kuala Lumpur pada 9.01.2012 atau popularnya, 901. Seawal jam 7.30 pagi, saya sudah menyusuri jalan-jalan dari stesyen bas Perhentian Duta hingga ke perkarangan medan letak kereta kompleks tersebut bagi memperolehi bahan untuk ditulis dan seterusnya dikongsi bersama pembaca budiman. Saya belum mahu mengulas keputusan mahkamah tinggi yang mulia berkaitan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana masih menunggu salinan penghakiman bagi tujuan semakan dan pemahaman. Apa yang saya mahu kongsi adalah satu misteri yang belum terjawab sepenuhnya sewaktu tumpuan dunia terarah pada keputusan kontroversi kes Anwar yang dilepas dan dibebaskan, serta misteri tiga letupan yang mencederakan beberapa orang awam. Sekitar jam 10.45 pagi, saya telah dimaklumkan oleh Tian Chua bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan keluar dari mahkamah tinggi dan mahu berjumpa dengan ribuan penyokongnya di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan. Maka, saya terus menuju ke masjid tersebut dan menanti penuh sabar di pintu B masjid berkenaan. Saya bersama beberapa rakan wartawan bersiap sedia dengan peralatan yang ada bagi maksud merakamkan detik-detik penuh makna kepada Anwar Ibrahim dan penyokongnya. Agak lama saya menantikan ketibaan Anwar. Di bawah, kedengaran laungan slogan “reformasi” dan sebagainya tanda kegembiraan penyokong Anwar dengan perkhabaran gembira pembebasan Anwar dari pertuduhan. Ramai juga orang yang menantikan Anwar di masjid. Saya kira, dari imej pakaian, pelbagai manusia yang ada di perkarangan masjid tersebut - selain wartawan, saya lihat pihak keselamatan serta anggota penyelamat juga turut berada di sana. Selebihnya adalah penyokong Datuk Seri Anwar yang terdiri dari ahli PKR dan juga PAS. Di beberapa sudut, saya lihat beberapa kumpulan lain dan sekali lagi saya dapati mereka adalah dari kumpulan Perkasa, Permas dan Pekida. Namun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku antara kumpulan-kumpulan yang berlawanan ideologi serta pemahaman akan hari bersejarah, 901. Apa yang menjadi tanda tanya kepada saya berlaku tidak lama selepas itu. Kelihatan beberapa bungkusan besar dan kotak mengandungi nasi lemak dan botol air mineral. Bungkusan besar yang mengandungi tidak kurang dari dua puluh pek nasi lemak bagi setiap bungkusan mula diedarkan kepada orang ramai. Tidak kira ahli PKR, PAS, Perkasa, Permas, wartawan, anggota keselamatan mahu pun penyelamat tanpa banyak bicara mengambil bungkusan-bungkusan serta kotak-kotak mengandungi botol air mineral untuk diagihkan. Semua yang ada makan kerana sememangnya aktiviti yang wujud berakibatkan demonstrasi (tidak kira berdemontrasi oleh demonstran, mengawal keselamatan oleh anggota keselamatan atau berkejar ke sana sini bagi mendapatkan liputan oleh wartawan) adalah aktiviti yang sangat memenatkan. Setelah hampir satu jam menanti dan setelah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Anwar membatalkan rancangan untuk bertemu dengan peyokongnya di masjid atas faktor keselamatan (beberapa letupan kuat kedengaran sebelum itu), maka saya dan rakan-rakan wartawan memutuskan untuk beredar. Namun, sebelum beredar saya sempat bertanyakan kepada pengawal keselamatan yang bertugas di masjid tersebut, siapakah yang telah membekalkan makan minum yang dinikmati oleh orang ramai itu? Mereka hanya menggelengkan kepala tanda tidak punyai pengetahuan akannya. Saya beredar dan menantikan van yang ditugaskan untuk mengambil saya di hadapan Kompleks Kerajaan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Van tersebut agak lewat kerana alasan yang diberitahu melalui teks ringkas telefon tersekat di kesesakan jalanraya. Sewaktu van tersebut tiba dan sejurus sebelum saya melangkah masuk ke dalamnya, kelihatan dua buah trak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melintasi lampu trafik berhadapan masjid. Jelas kelihatan berkotak-kotak botol air mineral yang sebelum ini kami nikmati sewaktu berada di perkarangan masjid berada di dalam trak tersebut. Dalam hati saya berkata, “adakah PDRM yang telah mengedar-edarkan makanan dan minuman kepada orang awam termasuk para demonstran iaitu pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim?”. Misteri siapakah pihak yang sangat prihatin menjaga kebajikan ramai tanpa mengira ideologi dan bangsa itu masih belum terjawab! |
Last Updated on Tuesday, 10 January 2012 16:30 |
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.
No comments:
Post a Comment