901, Anwar Ibrahim dan Rakyat ! |
Written by GreenHood |
Sunday, 08 January 2012 15:40 |
Oleh: GreenHood Zairil Khir Johari, setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mungkin memberi bayangan yang terdekat kedudukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi keputusan mahkamah esok. Pertama, Anwar akan didapati bersalah oleh mahkamah yang mulia seterusnya menghukum beliau dengan satu hukuman penjara. Mematikan secara langsung karier politik beliau dan berkemungkinan menghabiskan sisa usianya di dalam penjara. Setidaknya, dengan keputusan bersalah tersebut melucutkan status beliau selaku ahli parlimen Permatang Pauh. Juga melucutkan status beliau selaku ketua pembangkang dalam dewan parlimen dan menafikan hak beliau untuk bertanding semula bagi tempoh lima tahun mendatang setelah beliau menamatkan tempoh hukumannya. Kedua, Zairil membayangkan satu keadaan yang sukar diperolehi di mana keputusan penghakiman memihak kepada Anwar. Beliau bakal didapati ‘tidak bersalah’ berkemungkinan atas faktor teknikal yang terlepas pandang oleh pihak pendakwa, justeru mahkamah bakal membebaskannya. Tertakluk sahaja kepada rayuan yang bakal dibuat oleh pendakwaraya, Anwar dianggap bebas sebebasnya. Ketiga, dan kemungkinan paling hampir adalah Anwar tetap didapati bersalah. Namun, adalah prinsip keadilan sistem perundangan mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi membenarkan rayuan dibuat hingga ke peringkat yang terakhir. Dalam konteks ini, mahkamah rayuan. Dengan status ‘bersalah’, dan kerana ‘istimewanya’ Anwar dalam kedudukan lanskap politik baru Malaysia, beliau dibenarkan mengenepikan dahulu hukuman (stay of execution) hingga keputusan mahkamah rayuan didengar. Namun, kedudukan politik beliau turut tamat. Beliau dilucutkan hak untuk bertanding semula pada pilihanraya umum ke 13 jika keputusan mahkamah rayuan masih belum diperolehi kerana beliau ‘terikat’ dengan status ‘bersalah!’. Setidak-tidaknya, dalam keadaan ini, beliau masih bebas bergerak dalam negara serta memimpin pakatan rakyat semasa pilihanraya umum berjalan. Zairil walau bagaimana pun, senada dan seirama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sendiri. Bersalah atau tidak, ke penjara atau belum, perjuangan pakatan rakyat tetap akan terus dijalankan. Perubahan lanskap politik Malaysia tetap terus berlangsung. Anwar jika ditakdirkan ke penjara, akan dianggap sebagai simbol ‘ketidak-adilan’ pemerintahan Barisan Nasional. Kerana kesnya, hanyalah dianggap sebagai satu kes yang dicipta (fabricated case) berdasarkan konspirasi pihak tertinggi. Setidak-tidaknya, itulah yang digambarkan oleh The Wall Street Journal. Tidak hairan, jika pengamal perundangan melihat bahawa tindakan ‘bunuh diri’ Anwar dengan kaedah mengenepikan haknya dari memberi keterangan bersumpah di dalam kandang saksi, seterusnya strategi pihak pembela dengan memberikan penghujahan (submission) yang ala kadar tanpa mempersoalkan perkara-perkara penting seperti alibi dan keterangan profesional, juga dianggap bermotifkan konspirasi bagi meyakinkan awam bahawa kes tersebut secara asasnya juga adalah kes bermotifkan politik. Adalah lebih pelik, di saat keputusan bakal diumumkan, pemimpin-pemimpin parti yang membentuk pakatan mula membicarakan soal siapa yang bakal mengetuai kepimpinan negara seandainya mereka menang dalam pilihanraya ke 13 nanti. Anwar sendiri memujuk perikatannya, atau sebenarnya memujuk hatinya sendiri, bahawa nama pemimpin sementara (interim) atau perdana menteri interim akan diumumkan kelak setelah keputusan dibuat oleh mahkamah. Suara Anwar disahut oleh Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa beliau yakin, Anwar akan tetap menjadi perdana menteri Malaysia kelak, seandainya pakatan memenangi pilihanraya. Beberapa minggu sebelum itu, Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR mengejutkan negara bila membuat kenyataan akan merobohkan penjara bagi membebaskan Anwar jika beliau diputuskan bersalah. Bukankah wajar Majlis Peguam mahupun mana-mana pengamal perundangan menyoal motif suara-suara di atas? Bagaimana begitu mudah sekali dibayangkan untuk membebaskan seorang yang didapati bersalah dan sedang menerima hukumannya (penjara), melainkan adanya campurtangan politik? Seorang pembuat dasar undang-undang atau lebih mudahnya, ahli-ahli dewan undangan negeri serta dewan rakyat pasti tahu, bahawa bukanlah semudah seperti yang dibayangkan untuk meminda sebarang perundangan negara melainkan digubal atau dipinda terlebih dahulu dalam menjustifikasikan sistem pemerintahan negara tetap utuh. Walaupun untuk maksud membebaskan seorang tokoh politik negara. Seandainya, kes Liwat II boleh dianggap sebagai satu teori konspirasi, maka suara-suara yang lantang mahu membebaskan Anwar kelak adalah nada suara yang terang lagi jelas bahawa mereka sedang berkonspirasi mahu mencabul sistem pentadbiran negara kelak dengan kuasa politik yang mereka pegang, jika ditakdirkan mereka menang. Akhirnya, apakah sebenranya matlamat perjuangan para politikus? Tidak kira yang sedang memerintah mahupun sedang membangkang? Rakyat tetap menjadi mangsa rakus politikus yang mengejar kuasa demi kepentingan peribadi walaupun kepimpinan itu bakal bertukar tangan. Yang paling saya hairan, DAP, sehingga kini tetap membisu isu siapakah bakal pemimpin yang akan menggantikan Anwar nanti. Apakah ada agenda tersendiri yang terlalu rahsia hingga tidak mahu berkongsi sama dengan rakyat yang punyai kuasa undi bagi menentukan siapakah bakal memimpin negara? |
Last Updated on Sunday, 08 January 2012 17:34 |
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.
No comments:
Post a Comment