Zambry Pangkor dan KritisOnline |
Written by GreenHood |
Thursday, 05 January 2012 10:57 |
Oleh: GreenHood Saya menerima jemputan dari Pejabat Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. Jemputannya ringkas, memohon saya serta beberapa rakan media untuk hadir dan bermalam di Pulau Pangkor. Lantas saya bertanya, adakah beliau (Menteri Besar) akan berada di sana? Jawapan yang saya terima adalah negatif. Sebaliknya, segala urusan di sana kelak diuruskan oleh pegawai khas beliau, encik Zaini. Saya menerima jemputan tersebut. Ini bukan jemputan pertama yang pernah saya terima. Saya terima mana-mana jemputan terutama dari ahli-ahli politik Malaysia, baik dari parti yang membentuk kerajaan persekutuan mahu pun dari barisan pembangkang. Saya pernah menerima jemputan dari YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia, juga dari YB Dato’ Dr. Hasan Ali, EXCO kerajaan negeri Selangor. Saya juga pernah menemubual YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Saya pernah menemubual Y. Bhg. Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Ustaz Haji Nasharudin Mat Isa, ahli parlimen Bachok serta YB Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam. Malahan, dalam banyak acara, saya adalah orang yang banyak bertanyakan soalan sewaktu mana-mana sidang media berlangsung. Ramai tokoh seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng pernah saya terlibat sama dalam sesi soal-jawab. Namun sehingga kini, saya masih belum berkesempatan untuk menemubual atau bersoal-jawab dengan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, itu saya akui. Bagi saya, selaku media, bebas melaporkan segala peristiwa tanpa prejudis. Ia adalah hak rakyat, untuk mengetahui segala peristiwa serta fakta yang kami mampu perolehi. Maka kami nukilkan atau kami petik tanpa terikat mahu pun berpihak kepada mana-mana parti melainkan berniat untuk dibaca oleh rakyat Malaysia khususnya, dan semua orang di dunia, amnya. Mungkin ia mampu menjadi sumber rujukan kepada sesiapa yang mahukan maklumat atau fakta. Jika penulisan saya berbentuk analisa atau artikel, ianya sudah tentu sedikit sebanyak cenderung kepada pilihan saya pada saat dan ketika itu.
KritisOnline merupakan satu portal berita yang sangat muda. Berusia kurang dari satu (1) tahun. Penulis tetap mahupun jemputan amat kurang. Tidak lebih dari lima belas (15) orang keseluruhannya. Dengan suci hati kami berkata, bahawa penulis yang cenderung kepada pakatan pembangkang masih kurang dan KritisOnline amat mengalu-alukan karya asli dari penulis yang cenderung terhadap perkembangan pakatan.
Apa yang saya cuba sampaikan adalah mudah, KritisOnline adalah untuk bacaan semua. Ia perlu seimbang. Kami di KritisOnline juga mahukan keseimbangan sebagaimana rakyat Malaysia yang mahukan lanskap sosio-ekonomi-politik yang seimbang.
KritisOnline juga punyai cita-cita untuk menyampaikan berita mahu pun artikel yang seimbang. Sokongan para pembaca amat kami harapkan dan sesungguhnya amat dihargai. Hantarlah sebanyak mana pun berita atau artikel ke email kami. Akan kami usahakan untuk disiarkan seterusnya dapat pula dibaca oleh jutaan manusia di luar sana.
Oh ya! Apakah kisah Pulau Pangkor yang saya perolehi? Saya akan berkongsi pengalaman di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor pada tulisan saya akan datang. Sabar! Bukankah kita telah diajar bahawa sabar itu adalah sebahagian dari iman? |
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.
No comments:
Post a Comment