11.11.11 bukan tarikh pilihanraya umum |
Written by GreenHood |
Tuesday, 20 September 2011 16:04 |
Oleh: GreenHood Ada 3 perkara utama yang wajib diselesaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada baki suku akhir tahun 2011 ini; pertama, memulakan sidang parlimen bagi penggal terakhir sebelum berlabuhnya tirai 2011 yang penuh dengan kontroversi - politik terutamanya. Kedua, membentangkan bajet bagi tahun 2012 dan hala tuju kerajaan dan ketiga, melengkapkan persidangan tahunan UMNO selepas pemilihan ditangguhkan 18 bulan dari tarikh yang sepatutnya. Ketiga-tiga perkara utama ini bakal menentukan tarikh pilihanraya umum ke 13 nanti. Umum maklum, jika ada kenderaan rasmi yang lalu di atas jalanraya dan kenderaan itu bernomborkan (plat) “11” maka tidak lain dan tidak bukan ia adalah kenderaan milik Najib Tun Razak. Obsesi terhadap angka “11” bukan lagi satu rahsia. Sebagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad obses terhadap angka 2020 sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, Najib juga mempercayai angka 11. Justeru, angka tersebut sering dikaitkan dengan 11.11.11 iaitu 11 haribulan November tahun 2011 - tarikh kononnya Najib akan mengadakan pilihanraya umum ke 13. Andai dilihat jatuhnya tarikh tersebut bersamaan hari Jumaat, maka adalah mustahil ia adalah tarikh bagi pembuangan undi. Bagaimana jika Najib memilih tarikh tersebut sebagai tarikh pembubaran parlimen? Bagi seterusnya membenarkan pilihanraya umum diadakan setelah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung? Andaian ini tidak boleh ditolak. Pembangkang bersuara lantang kononnya Najib tidak mungkin akan mengadakan pilihanraya umum pada waktu yang terdekat ini. Mereka bahkan mencabar Najib untuk melakukannya. Suratkhabar-suratkhabar berbahasa Cina mendendangkan bahawasanya jika Najib membubarkan parlimen dan seterusnya melaksanakan pilihanraya umum dalam waktu terdekat, maka ia akan memberi kelebihan kepada pembangkang. Benarkah? Strategi politik atau strategi peperangan yang baik adalah dengan menakut-takutkan pihak musuh dan seterusnya mencabar musuh supaya akhirnya musuh ‘tidak akan melakukan’ apa yang dicabarnya itu. Tun Dr. Mahathir pula menyarankan agar Najib tidak membubarkan seterusnya melaksanakan pilihanraya umum dalam waktu yang terdekat ini. Namun sejarah selalu membuktikan, bahawa Mahathir adalah seorang politikus yang sangat cekap dan membuat perkara berbeza dari apa yang keluar dari mulutnya sendiri. Benarkah Barisan Nasional dalam keadaan yang lemah bagi menghadapi pilihanraya umum? Atau sebenarnya pembangkang yang lemah namun kelemahan pembangkang tidak diambil kesempatan tersebut oleh Barisan Nasional? Dalaman parti-parti yang membentuk pakatan pembangkang sedang memperjuangkan kuota-kuota bagi meletakkan calon-calon mereka sedangkan dalaman Barisan Nasional juga tidak kurang berlumba-lumba bagi mendapatkan tempat sebagai calon. Lanskap politik negara menunjukkan kelebihan memihak kepada Barisan Nasional dan apa yang perlu adalah meningkatkan lagi kepercayaan rakyat bagi melonjak populariti Barisan Nasional yang sedikit turun selepas 9 Julai yang lalu. Dalam kekalutan pakatan pembangkang menyusun calon serta kuota dan seterusnya terlalu susah menamakan ‘barisan kabinet bayangan’ mereka bagi menuju Putrajaya, tidak mustahil 11.11.11 adalah tarikh pembubaran parlimen. Mungkin ilham Najib akan lebih jelas selepas beliau pulang dari melakukan ibadah haji nanti. |
No comments:
Post a Comment