Petikan Ucapan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad |
Written by GreenHood |
Monday, 19 September 2011 14:47 |
Petikan Ucapan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kelab Chedet.Com Malaysia 2009 Media Internet “ Saya berpendapat bahawa kita semua boleh guna media ini dengan cukup baik. Masalah kita banyak. Masalah orang Melayu banyak. Masalah negara kita juga banyak. Negara kita ini adalah negara berbilang kaum. Tapi kita sudah sampai kepada satu ketika yang mana apabila orang Melayu mempertahankan dirinya maka ianya dituduh sebagai racist seolah-olah dia tidak boleh langsung pertahan.. bukan serang tetapi pertahan saja diri dia. Sedangkan apa yang dipertahankan itu memang pun termaktub dalam perlembagaan negara kita, dalam sosial kontrak yang telah diadakan dahulu. Jadi oleh kerana kita dapati media biasa ini tidak nak ketengahkan soal-soal ini maka internet ini menjadi begitu penting. Sesungguhnya kita masih menghadapi banyak masalah dan kita harus guna sistem ini.” Bangsa Melayu Perlu Lebih Berusaha “Kita bukan tidak punyai kebolehan. Kebolehan kita tak kurang daripada yang lain. Tetapi oleh kerana kita tidak pegang kepada nilai-nilai yang baik, dan dengan itu kita kurang berjaya. Sebaliknya kalau orang yang sama kalau dia memegang kepada nilai yang baik maka dia tetap akan berjaya dan kita tidak lagi akan bergantung kepada perlindungan tertentu, tidak perlu menggunakan tongkat supaya kita dapat berjalan, sebaliknya kita boleh berjalan dengan tegap dan kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum yang lain.” Memerangi Gejala Rasuah “Bagi saya rasuah akan meruntuhkan bangsa kita, negara kita dan agama kita. Jadi sama ada kita dapat mengurang, saya tak fikir kita boleh hapuskan secara langsung rasuah tetapi kita harus kurangkan rasuah ini. Kerana kalau adanya rasuah dalam masyarakat kita, percayalah kita tak boleh maju sampai bila-bila pun. Bahkan kita akan hancur, akan menjadi mundur dan akan hancur dan mungkin hilang dari muka bumi ini pun. Sebab itu saya kerap sangat bercakap berkenaan dengan rausah. Saya mintalah ahli-ahli KelabChedet.com ini akan pegang kepada betapa pentingnya kita berusaha untuk menghapuskan rasuah, di kalangan kita dan di kalangan sesiapa sahaja yang berdekatan dengan kita dan di kalangan rakyat negara kita ini khususnya rakyat yang berbangsa Melayu beragama Islam seperti kita. Percayalah jikalau kita dapat menjayakan satu ini saja kita akan jadi lebih berjaya.. dan boleh bersaing dengan sesiapa saja.” Sejarah Negara, Penguasaan Ilmu “Kita harus ambil ikhtibar daripada sejarah kita, sejarah Singapura supaya hari ini kita tidak akan ketinggalan sekali lagi, jadi lemah sekali lagi kerana tidak ada usaha bagi kita untuk menguasai segala ilmu segala kecekapan segala nilai-nilai mulia supaya kedudukan kita terus terselamat. Katakanlah, hari ini kita dapati bahawa yang bijak yang pandai yang berkebolehan yang mempunyai kecekapan dalam bidang perniagaan dalam bidang pentadbiran, semuanya terdiri daripada kaum kita, maka kita tidak akan lagi berasa cemas dan takut kita kehilangan tempat. Tetapi sekarang ini kita berasa kita berada dalam ketakutan. Kerana kita berasa kita lemah, kalau tidak ada tongkat yang diberi oleh kerajaan, maka kita akan hilang tempat kita di negara kita, bukan besar majoriti, cuma 60% saja. Kita fikir dengan 60%, dalam sebuah negara demokratik kita tetap akan jadi majoriti. Yang kita tidak fikir ialah pecah belah di kalangan orang Melayu sehingga majoriti itu sudah tidak punyai makna lagi.” Majoriti 2/3 “Jangan kita fikir negara kita ini satu hari tidak akan diperintah oleh kita, akan diperintah oleh orang lain. Dan saya percaya walaupun mereka ingin berlaku adil kepada kita tetapi tak dapat tidak, mereka akan memberi keutamaan kepada suku sakat mereka kaum-kaum mereka dan kita pada masa itu akan menjadi penduduk asing di negara sendiri. Mungkin saya tak kan lihat ini kerana umur saya dah lebih, tapi bagi generasi akan datang? Bagi anak kita? Cucu kita? Apa akan jadi kepada mereka kalau pada suatu hari apabila kita sudah tidak punyai 2/3 majoriti, dan satu pindaan kepada undang-undang dibuat, oleh yang memiliki 2/3 majoriti supaya negara kita ini ditukar namanya. Tidak ada lagi unsur-unsur Tanah Melayu di negara kita ini.” “Kita tahu perkataan Singapura tidak ada kaitan dengan bangsa kita. Satu hari mungkin negara Malaysia ini juga akan bertukar menjadi sebuah negara dengan nama yang lain. “The Republican of something something something”... Pada ketika itu agak lewat untuk kita membuat apa-apa, sebab itu kita harus sedar, harus ambil ikhtibar daripada sejarah kita dan kita berusaha daripada sekarang ini untuk melengkapkan diri kita dengan segala kecekapan dan ilmu, dan juga kita juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil alih tempat-tempat yang sepatutnya diisi oleh kita sendiri dan bukan daripada pendatang-pendatang daripada negara luar.” “Sebab itu saya ingin meminta kepada ahli-ahli KelabCheDet.com supaya menghebahkan perkara ini supaya orang Melayu akan sedar betapa terancamnya kedudukan mereka. Jangan mereka fikir mereka akan selalunya selamat, tak peduli siapa yang memerintah. Kalau mereka sudah jadi satu bangsa yang kuat dan gagah, mereka akan boleh pertahankan diri mereka. Tapi hari ini mereka belum kuat. Walaupun ada yang sudah berjaya, tapi ramai daripada mereka tidak kuat. Sebab itu mereka harus pertahankan kuasa politik mereka, dan mengguna kuasa politik itu untuk memberi masa kepada mereka tanpa bergantung kepada perlindungan undang-undang. Inilah yang harus kita semua fikir. Bukan kita anti kepada kaum yang lain juga, tetapi hakikatnya ialah semenanjung ini.. termasuk Singapura, bahkan termasuk pulau-pulau Riau asalnya adalah Tanah Melayu. Walaupun kita rela menerima orang asing menjadi rakyat di negara kita ini, tetapi ini masih Tanah Melayu.” “Di mana-mana juga bila orang asing diberi kerakyatan, mereka mendapat kerakyatan dengan cukup syarat. Iaitu mereka akan menggunakan bahasa tempatan, mereka akan menggunakan budaya tempatan dan mereka akan tunjuk setianya hanya kepada negara yang mereka menjadi rakyat kepadanya. Tetapi di Malaysia ini tidak. Kita orang Melayu begitu baik hati, sehingga merasa kita tak perlu dikuasai oleh orang lain. Saya masih sedih mendengar orang yang diperanakkan di Malaysia tetapi tak boleh, nak sebut nama Melayu pun tak boleh.Kalau di Amerika, kalau dia tak boleh cakap bahasa Inggeris dia tak boleh dapat jadi rakyat. Kalau di negara-negara Amerika Selatan, mereka perlu bertutur kata dalam bahasa Sepanyol atau pun bahasa Portugis. Tapi di Malaysia ini, kita tak marah kalau ramai.. yang tak langsung tahu nak sebut nama orang Melayu pun tak boleh. Dah tinggal di sini seumur hidup, tak boleh. Ini kalau orang lain mungkin dilucut kerakyatan.” Penutup “Jadi KelabCheDet.com saya percaya adalah kelab yang terdiri daripada mereka yang sedar, sedar tentang nasib bangsa mereka. Bukan kita nak berperang dengan orang tetapi hak kita, kita mesti pertahankan. Walaupun dituduh sebagai racist ataupun apa-apa, kita mesti pertahankan hak kita, tak lebih daripada itu. Kita tidak tuntut hak mereka.” “Jadi tuan-tuan saya bersyukur.. kerana saya percaya tertubuhnya KelabCheDet.com ini ialah oleh kerana tuan-tuan dan puan-puan bersetuju dengan pendirian saya selama ini. Saya biasa dituduh sebagai ultra-malay. Ultra, sepatutnya tak dapatlah menjadi Perdana Menteri. Tapi entah macam mana dapat juga. Jadi saya fikir dalam kita mempertahankan diri kita, jangan takut bahawa akan hilang masa depan kita, peluang masa depan kita. Kalau kita pertahankan diri kita, secara sopan, InsyaAllah kita akan dapat berjaya juga.” Tun Dr. Mahathir Mohamad Hotel Putra, Kuala Lumpur 17hb Oktober 2009 |
No comments:
Post a Comment