Blog Archive

Wednesday, August 17, 2011

Bad Omen in Ramadhan?


Oleh: GreenHood

Saya bercadang untuk ‘berehat’ dari menulis dalam bulan suci Ramadhan al’mubarak terutama menulis berkaitan isu politik negara setelah posting terakhir saya “Sinis Malaysia – Marhaban Ya Ramadhan” ; namun, saya gagal ‘menahan nafsu’ menulis saya terutama setelah beberapa insiden yang amat penting dalam era politik moden Malaysia berlaku.


JAIS-DUMC-MURTAD

Pertama; sebagaimana Malaysia gempar dengan isu ‘serangan’ JAIS (setidak-tidaknya itu yang digambarkan oleh pakatan pembangkang dan pengikut mereka) terhadap Damansara Utama Methodist Church (DUMC), ianya menjadi satu lagi titik pembaharuan dimensi politik negara apabila PAS mengecam tindakan JAIS dalam menyatakan pendirian mereka menyokong parti komponen pakatan – khususnya DAP.

Dalam konteks ini, PAS tidak perlu vokal dalam menyatakan sokongan namun keperihatinan mereka melahirkan perasaan tidak puas hati dan kesal dengan tindakan JAIS sebagaimana yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (dengan meminta maaf secara terbuka kepada DUMC sebelum siasatan rapi dilakukan) sudah memadai. Niat PAS untuk ‘bersemuka’ dengan JAIS walau bagaimanapun terhalang dengan campurtangan DYMM Sultan Selangor yang mahukan JAIS menyiapkan laporan siasatan mereka dan diserahkan kepada baginda Tuanku.

Tindakan baginda Tuanku sememangnya tepat dan kena pada masanya selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor yang berpengaruh besar dalam seluruh agensi keagamaan termasuklah JAIS. Tindakan ini adalah tindakan apolitical berbanding tindakan PAS yang mahu melakukan ‘political-show-off’ atau ‘a champion’ setidak-tidaknya dalam merancang pertemuan dengan JAIS seolah-olah PAS Pusat adalah badan kerajaan yang mahu melakukan ‘sport-check’ terhadap agensi mereka sendiri.

Apa pun, peristiwa JAIS-DUMC memperlihatkan perpecahan pendapat dan sokongan dalaman PAS sendiri terutama Naib Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB Khalid Samad dengan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Hasan Ali. Selanjutnya, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, ustaz Nasruddin Tantawi juga dilihat cenderung menyokong Dr. Hasan Ali dan JAIS berbanding Khalid Samad yang ternyata mendapat sokongan PAS Pusat termasuklah Setiausaha Agungnya, YB Mahfuz Ali. Mursyidul Am PAS, YAB Dato’ Seri Nik Aziz Nik Mat walau bagaimanapun mengambil pendekatan selamat dengan tidak mahu campur tangan urusan negeri Selangor.

Kita tidak perlu berfikir panjang, sudah pasti peristiwa ini menjadi satu bonus kepada UMNO dan BN untuk menghentam kepincangan pakatan tersebut termasuklah isu sensitif yang menyentuh perihal agama iaitu ‘isu murtad’. Mereka (UMNO-BN) akan menggunakan apa juga kepincangan dalam meraih keyakinan pengundi terhadap mereka berbanding pakatan terutamanya PAS.

Dalam konteks ini, saya secara peribadi berpendapat aliran pengaruh pengundi Melayu-muslim memihak kepada UMNO-BN sedangkan aliran pengaruh bukan Melayu terarah kepada PAS.

BERSIH 2.0 - SPR - PEMUTIHAN PATI

Kedua; Malaysia juga turut digegarkan dengan isu PATI yang mahu diputihkan oleh kerajaan dengan pengambilan sebagai warganegara namun polisi kerajaan ini dilihat oleh pakatan sebagai satu ancaman dengan membuat andaian bahawa kewarganegaraan baru mahupun pemutihan PATI akan memberikan keuntungan kepada BN justeru skandal ‘Mismah-gate’ diwujudkan bagi memberikan gambaran bahawa kerajaan BN begitu terdesak dalam mencari undi baru bagi memenangi pilihanraya ke-13 nanti.

Isu ini sesungguhnya isu yang sememang dinanti-nantikan oleh pakatan pembangkang terutama setelah perhimpunan haram Bersih 2.0 gagal mencapai matlamatnya pada 9 Julai yang lalu. Apa yang pakatan perlu lakukan adalah mencari kesinambungan bagi menghidupkan momentum Bersih 2.0 dan proses pemutihan PATI seolah-olah ‘baja kepada tanam-tanaman yang hampir layu’ - seolah-olah mendapat nafas baru, pemutihan PATI dijadikan motif untuk Bersih yang diketuai oleh Dato’ Ambiga terus mendesak SPR dan kerajaan dan akhirnya, YAB Perdana Menteri Malaysia akur dengan desakan ini dengan menjanjikan penubuhan jawatankuasa bebas penilaian mengundi yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari yang lalu. Adakah dengan akur kepada kehendak mereka (pembangkang) Datuk Seri Najib akan memperolehi populariti seperti yang diingini olehnya? 

Jujur saya berpendapat bahawa keakuran beliau itu hanyalah menunjukkan sifat lemah yang bakal dimanipulasi oleh pembangkang bagi menekan agar beliau turun dari takhtanya dan tidak layak mendapat tempat di sisi UMNO-BN. Dalam kehangatan politik dalaman UMNO yang kuat arusnya mempertikaikan kredibiliti dan kewibawaan Najib memimpin, percayalah, pembangkang akan memanipulasikannya dan pada masa yang sama tetap akan memburukkan kerajaan sedia ada hinggalah Putrajaya jatuh ke tangan mereka.

MAS - AIRASIA

Ketiga; isu ekonomi juga menjadi perhatian rakyat Malaysia. Saya tidak mahu menyentuh perihal harga barang yang tidak akan turun melainkan naik dan naik dan naik lagi - namun seperti rakyat yang lain, rundingan MAS dan AirAsia menjadi antara perbualan hangat di dalam ofis, di kedai kopi, di pasar Ramadhan mahupun di dalam surau dan masjid.

Khazanah yang bersetuju untuk melupuskan 20% saham MAS kepada AirAsia adalah dilihat sebagai satu lagi langkah ‘merger’ yang terkenal suatu ketika dahulu berlaku dalam institusi perbankan. Rasional pertukaran saham MAS dan AirAsia antara satu sama lain mungkin boleh difahami tetapi melibatkan kepentingan aset Melayu terutamanya kepada syarikat bukan 100% Melayu seringkali menjadi topik yang sensitif dan memberi kesan negatif secara politik.

A corporate decision is always benefits to the players’ – dalam konteks ini, sebagai pemegang amanah (stake-holder) Melayu, pemberian saham MAS kepada syarikat bukan Melayu bukanlah suatu yang menguntungkan secara politik langsung walaupun perjanjian kononnya menyebut ianya akan diganti oleh jumlah yang sama di dalam AirAsia serta AirAsia-X (10%+10%). MAS semenjak zaman Tan Sri Tajuddin Ramli lagi bukanlah sebuah syarikat konglomerat yang menjadi ‘player’ sebaliknya hanyalah memenuhi tuntutan sebuah negara dalam mewujudkan sistem pengangkutan udara. Apa yang tidak difahami adalah mengapa MAS mengalami kerugian yang amat besar sedangkan ia wajar pada kedudukan ‘par’ tanpa keuntungan yang besar dan itu sudah memadai untuk dianggap baik.

Kewujudan AirAsia yang suatu ketika dahulu kononnya dianggap sebagai sistem sokongan pengangkutan udara negara dengan perkhidmatan alternatif kepada rakyat kini tidak lebih dari ‘player’ yang ‘menelan induk’ negara. Adakah ia boleh memajukan MAS dengan saingan sebegini? Kerajaan perlu fikir lebih lagi sebelum membenarkan Khazanah melakukan eksesais tersebut.

Mungkin tidak seteruk zaman ‘merger’ sistem perbankan negara yang melibatkan ratusan ribu pekerja yang akhirnya menentang kerajaan sedia ada, MAS mungkin mempunyai tidak lebih dari ¼ dari jumlah pekerja sektor perbankan yang terlibat dalam eksesais itu justeru kerajaan menganggap ianya kecil dan tidak mungkin akan dapat menjadi faktor penyumbang kepada kekalahan dalam pilihanraya akan datang.

Selain dari 3 perkara di atas, banyak lagi yang mahu saya nyatakan seperti isu bacaan ayat suci Al-Quran dilarang dari mengguna-pakai sistem pembesar suara dan sebagainya. Mungkin dalam coretan yang akan datang.



Persoalan yang saya mahu lontarkan dari keseluruhan celoteh saya di atas adalah;


Adakah UMNO-BN benar-benar telah bersedia untuk menghadapi PRU-13 pada tahun ini?”

No comments:

Post a Comment