Blog Archive

Monday, July 1, 2013

Archive #109 - Najib Lebih Berani Dari Mahathir


Column by: GreenHood


Pada masa pilihan raya kecil (PRK) bakal berlangsung di kawasan dewan undangan negeri (DUN) Kuala Besut, angin pertembungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kelihatan ‘sepoi-sepoi bahasa’ sahaja.

PR mungkin menggunakan kesempatan ini untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melakukan transformasi dengan ‘menuding’ setiap kesalahan kepada pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof justeru merelevansikan desakan perletakan jawatan beliau atas kegagalan PR menguasai kerajaan pusat sesudah pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

Bahkan, pada masa ini ahli-ahli dewan rakyat begitu sebok berhujah tentang kegagalan SPR menjalankan fungsi mereka dengan baik terutama penggunaan dakwat kekal kali pertama dalam sejarah politik Malaysia.

Lebih dari itu, perbahasan tentang undi popular yang dikuasai oleh PR turut menekan BN yang masih bersikap apologetik dengan mengatakan bahawa undi popular tidak wujud kerana sistem itu tidak terpakai di Malaysia yang mengkehendaki sistem majoriti kerusi bagi membolehkan siapa memerintah.

Pemilihan Umno Lebih Utama

‘Angin PRK yang bersifat sepoi-sepoi bahasa’ meniup Kuala Besut amat difahami.

Setiap pemimpin politik terutama di dalam Umno tidak begitu mengambil berat soal PRK Kuala Besut walau pun ia adalah satu PRK yang penting bagi mempertahankan kerajaan negeri Trengganu tetap dikuasai BN.

Ini berlaku kerana ramai pemimpin Umno dari akar umbi hinggalah ke peringkat tertinggi begitu sibuk menyusun kedudukan masing-masing dalam menghadapi pemilihan Umno yang bakal berlangsung bermula pertengahan Julai ini bagi peringkat cawangan-cawangan hinggalah ke bulan November bagi peringkat majlis kerja tertinggi.

Bahkan, di dalam sayap-sayap parti seperti Pemuda dan Wanita telah berlaku pergerakan fizikal yang nyata penawaran beberapa individu bagi mengisi kerusi exco.

Ahli parlimen Pengerang, YB Datuk Seri Azalina Othman pula dilaporkan telah menzahirkan hasrat beliau untuk menentang penyandang kerusi ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil manakala YB Khairy Jamaluddin turut dilaporkan bersedia mempertahankan jawatannya selaku ketua Pemuda dan membuka ruang luas kepada mana-mana pihak yang ingin mencabarnya.

Kerusi Terhangat Adalah Kerusi Presiden

Sehingga kini belum ada mana-mana pihak yang menyatakan secara terbuka hasrat untuk bertanding bagi kerusi tertinggi Umno iaitu presiden.

Walau pun begitu, terdapat usaha pihak-pihak tertentu yang menyatakan bahawa adalah tidak wajar kerusi tersebut ditandingi justeru mencadangkan agar kerusi presiden, timbalan dan naib dikekalkan kepada penyandang sedia ada.

Antara alasan utama yang diberikan adalah bagi mengukuhkan kedudukan Umno pada kedudukan terbaik kerana sebarang pertandingan terutama bagi kerusi presiden hanya akan menyebabkan perpecahan yang besar dan serius di dalam Umno.

Sejarah mencatatkan pertembungan dua pemimpin ternama seperti Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam merebut kerusi presiden Umno telah menghasilkan ‘Umno Baru’ dan ‘Semangat 46’.

Sejarah turut mencatatkan pertembungan Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan revolusi politik berskala sederhana yang menyaksikan Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan salahguna kuasa sebelum beliau dibebaskan oleh perdana menteri Malaysia ke-5, Datuk Seri Abdullah Badawi.

Bahkan, ianya adalah suatu yang ‘public secret’ bilamana Abdullah Badawi akhirnya melepaskan jawatan beliau akibat desakan yang didalangi oleh Dr Mahathir sendiri.

Adakah pertandingan bagi kerusi presiden kali ini akan menyebabkan Umno pulih justeru dapat menyaingi PR dalam perlumbaan menuju PRU14?

Suatu yang subjektif.



Transformasi Umno

Walau pun usaha mempertahankan kerusi presiden oleh Datuk Seri Najib Tun Razak giat dijalankan, namun setinggi tahniah kepada beliau yang terus mengotakan janji transformasi nya dengan mengekalkan pindaan perlembagaan parti justeru membenarkan mana-mana pihak yang cukup syarat bertanding kerusi terhangat tersebut.

Transformasi di dalam Umno erat digenggam Najib walau pun ia pada bila-bila masa boleh menikam dirinya kembali.

Dalam konteks ini, Najib lebih berani dari Mahathir yang terpaksa mengadakan sistem kuota selepas dirinya dicabar oleh Tengku Razaleigh yang menyaksikan ‘Umno Lama’ terkubur selama-lamanya dan bermulalah era ‘Umno Baru’.

No comments:

Post a Comment