Oleh: GreenHood
Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar walillahilham
Umat Islam Malaysia masih dalam bulan perayaan Aidilfitri bagi tahun hijrah 1433. Syawal dalam kalendar Islam merupakan bulan ‘pembebasan’ dari perkara-perkara yang membatalkan puasa sewaktu Ramadhan.
1 Syawal adalah hari ‘kemenangan’ umat Islam bukan sekadar perkara-perkara yang membatalkan puasa serta menahan hawa nafsu, lapar dan dahaga bahkan merupakan hari kembalinya fitrah manusia kepada kesucian diri dan bangkit tampil sebagai manusia yang sebaik-baik kejadiannya.
Aidilfitri juga turut disebut sebagai nikmat perundangan Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu, iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.
Hari Raya Fitrah, kata nama lain bagi Aidilfitri adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadhan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.
Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.
Ironinya, bulan kemerdekaan umat Islam bagi tahun hijrah 1433 ini mencakupi hari kemerdekaaan negara kita Malaysia pada tanggal 31 Ogos yang lalu.
Mengajak seluruh rakyat Malaysia kembali bersatu adalah objektif utama sambutan kemerdekaan negara menolak jauh perbezaan pendapat terutamanya politik.
Melakukan huru-hara dengan berbagai definisi ‘merdeka baru’ adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggung jawab. Ia tidak ubah seperti 1 Syawal yang disambut dengan kegembiraan bertukar menjadi pertelingkahan yang memecahkan kesatuan umat Islam dalam hubungan sesama manusia yang dituntut oleh agama.
Justeru, kesediaan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk bertemu keluarga serta memaafkan perbuatan terlampau individu tertentu sewaktu malam menjelang kemerdekaan negara adalah perbuatan terbaik yang dituntut oleh agama terutama sewaktu umat Islam masih lagi dalam meraikan bulan perayaan utama umat Islam di Malaysia ini.
Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar la illaha illallahu wallahuakbar
Allahuakbar walillahilham
Saya kira, masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin’.
No comments:
Post a Comment