Blog Archive

Thursday, March 15, 2012

Ucapan PAT Jeneral Tan Sri Dato' Sri Zulkifeli b. Mohd Zin untuk TPA-M7 (archive #67)

Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao - Ucapan Panglima Angkatan Tentera Malaysia PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Thursday, 15 March 2012 02:27

UCAPAN PANGLIMA ANGKATAN TENTERA YANG BERBAHAGIA JENERAL TAN SRI DATO’ SRI ZULKIFELI BIN MOHD ZIN DI MAJLIS PENGHANTARAN TIM PEMANTAU ANTARABANGSA–MINDANAO 7, PADA 12HB MAC 2012 DI PANGKALAN UDARA SUBANG





Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud Panglima Tentera Udara, Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi mewakili Panglima Tentera Darat, Yang Berbahagia Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Badaruddin Panglima Angkatan Bersama, Yang Dihormati Kommissioner Polis Dato’ Seri Akhil bin Bulat Pengarah Cawangan Khas Polis Di Raja Malaysia, Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Abdul Ghani bin Othman mewakili Panglima Tentera Laut.

Dato’ – Dato’, Panglima-Panglima, Pegawai-Pegawai Kanan dari Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia, Para Pegawai Tim Pemantau Antarabangsa – Mindanao 7 (TPA-M7) serta para hadirin yang saya hormati.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Pertama-tama sekalinya, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia serta inayah-Nya jua, maka dapat kita berhimpun di Pangkalan Udara Subang pada petang yang bersejarah ini bagi mengiringi pemergian TIM Pemantau Antarabangsa Mindanao 7 (TPA-M7) yang akan berangkat sebentar lagi ke Mindanao. Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan khas kepada rakan-rakan dari Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerana meluangkan masa untuk bersama-sama mengucapkan selamat jalan kepada para pegawai dan anggota yang menganggotai TPA-M7. Sesungguhnya, komitmen ini secara jelas mencerminkan sokongan padu terhadap kesepakatan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan PDRM dalam menjayakan misi bersama ini.

Dalam nada yang sama, saya turut mengalu-alukan dan mengucapkan jutaan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli keluarga TPA-M7 atas sokongan moral yang dizahirkan. Sesungguhnya, negara dan perkhidmatan amat menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan serta kerelaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian melepaskan yang tersayang untuk bertugas di bumi asing selama tempoh setahun.

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Saya melahirkan kesyukuran kerana TPA-M7 telah dapat dipersiapkan bagi menyambung kesinambungan komitmen Malaysia dalam usaha damai di Wilayah Selatan Filipina tersebut. Dari perspektif saya, kepercayaan berterusan kerajaan Filipina dan Moro Islamic Liberation Front (MILF) untuk Malaysia mengetuai misi ini yang melibatkan pelbagai negara mencerminkan pengiktirafan mereka yang amat mendalam terhadap profesionalisme dan kredibiliti kita, khususnya ATM dan PDRM. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan amanah yang besar ini dapat disempurnakan dengan konsisten. Sesungguhnya, saya meletakkan kepercayaan yang tinggi bahawa mereka yang terpilih bagi menganggotai TIM ini adalah aset tentera dan polis yang terbaik untuk penugasan ini.

Untuk itu, saya dengan penuh rasa bangga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli TPA-M7 kerana telah terpilih untuk menggalas tugas yang murni ini. Dalam konteks ini, saya penuh yakin bahawa perlantikan Mejar Jeneral Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusoff selaku Ketua Misi dan juga Brigedier Jeneral Datuk Haji Zulkapli bin Mohd Noor selaku Timbalan Ketua Misi akan dapat menentukan TPA-M7 melestarikan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang diharapkan.




Kepada ahli-ahli TPA-M7 sekalian.

Di sini, ingin saya mengingatkan saudara-saudara sekalian agar melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, profesional dan menjunjung amanah dengan sebaik-baiknya. Saya amat yakin bahawa saudara-saudara akan dapat memenuhi harapan yang disandarkan oleh negara dan perkhidmatan dengan  cemerlang sepertimana yang telah dipamerkan oleh TIM-TIM kita yang terdahulu. Di samping itu, saya menyeru agar saudara-saudara menggunakan pelbagai inisiatif bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di Mindanao serta fokus terhadap matlamat misi. Sebagai TIM yang menjalankan tugas-tugas pemantauan dan pengawasan proses gencatan senjata serta perdamaian antara kerajaan Filipina dan MILF, saudara-saudara hendaklah berfungsi sebagai pemantau yang berwibawa, adil dan saksama. Selaras dengan itu, sentiasalah merujuk kepada Terms of Reference yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina.

Selain itu, saudara-saudara hendaklah memastikan aspek keselamatan dititikberatkan pada sebilang masa. Ingatlah bahawa situasi keadaan keselamatan di kawasan yang bergolak seperti Mindanao tidak boleh dijangka dan tidak boleh sekali-kali diambil mudah. Oleh itu setiap anggota TPA-M7 perlu sentiasa peka terhadap segala amaran atau petanda bahaya dan ancaman di samping sentiasa berwaspada dan mengekalkan standard operating procedure (SOP) di tahap yang tertinggi.

Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya bagi pihak kerajaan Malaysia dan juga seluruh warga ATM mengucapkan “Selamat Jalan dan Selamat Bertugas” kepada saudara-saudara sekalian. Laksanakanlah tugas yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin dan mudah-mudahan tempoh selama 12 bulan penugasan akan berlalu dengan selamat dan lancar. Akhir kata, kami mendoakan agar seluruh anggota TPA-M7 dikurniakan perlindungan, kekuatan dan ketabahan dalam melaksanakan tugas di sana, semoga anda semua akan selamat kembali ke tanahair kelak dengan kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia dan Perkhidmatan, Insya-Allah.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Last Updated on Thursday, 15 March 2012 03:12
 
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.

1 comment:

  1. Awesome information..
    Keep writing and giving us an amazing information like this..

    BW gan kunjungi nyapnyap.com

    ReplyDelete