Beza Kak Ijat dengan Brader Anwar |
Written by GreenHood |
Sunday, 12 February 2012 02:24 |
Oleh: GreenHood Saya baru pulang dari Kuantan. Mengikuti ‘Kembara Aman Kampus’ memberi sokongan kepada salah seorang krew KritisOnline yang turut dijemput menyertai jemaah Aman Kampus pusing se-Malaysia. Saya tidak mahu ulas tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mahu dipertahankan oleh pasukan Aman Kampus. Ada pro dan kontra dalam debat berkaitan AUKU. Saya bersetuju dengan YAB Dato’ Seri Adnan Yaakob, biarkan YAB Perdana Menteri dan kerajaan putuskan perkara mengekalkan, meminda hatta memansuhkan sekali pun AUKU tersebut. Yang pasti, keputusan mahkamah memihak kepada mahasiswa. Melarang mahasiswa dari berpolitik adalah satu yang ‘unconstitutional’ dan dalam demokrasi moden, hak asasi dan kebebasan tidak memandang status miskin atau kaya, mahasiswa atau pun tidak. Namun, bersetuju dengan Adnan Yaakob yang memetik kata-kata YA.Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, pelajar mesti tahu tanggungjawab utama mereka adalah untuk belajar dan meletakkan kepentingan itu melebihi segala-galanya termasuk politik. AUKU masih relevan dalam konteks menjaga mahasiswa yang tidak pandai menjaga diri menjadi ‘alat’ bagi kepentingan politik pihak-pihak tertentu, dan itu juga benar. Nah! Kan sudah saya katakan, berdebat isu AUKU pasti ada pro dan kontranya maka adalah wajar saya pulangkan kepada kebijaksanaan YAB Perdana Menteri bagi mencari solusinya. Yang penting, apa juga keputusan bakal dibuat oleh Najib nanti mestilah disokong oleh rakyat amnya, dan jentera Barisan Nasional (BN) khususnya kerana pilihanraya umum (PRU) sudah terlalu hampir dan sebarang percanggahan pendapat dari yang diputuskan oleh ‘orang nombor satu negara’ bakal merugikan parti sendiri. Pulang dari Kuantan, sempat saya singgah bertemu rakan-taulan di sebuah restoran milik sahabat lama. Maka berbagai isu politik menjadi tajuk utama sidang ‘mesyuarat tingkap’ kami. Antara yang menjadi headline adalah isu Kak Ijat (YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil) dan National Feedlot Corporation (NFC). Kasihan saya pada kak Ijat. Manakan tidak, Kak Ijat sudah menjadi ikon lembu dan menjadi bahan ejekan terutama pihak pembangkang. Kak Ijat tak patah semangat. Kak Ijat bingkas melawan 'pengejek-pengejek' beliau. Kak Ijat ikut jejak langkah YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua pertuduhan ke atasnya hanyalah satu konspirasi bagi menjatuhkan karier politik beliau sambil mengheret BN ke kancah persepsi ‘nepotisme, kronisme dan rasuah’. Isu ‘nepotisme, kronisme dan rasuah’ bukan perkara yang baru dalam UMNO. Dulu pun sewaktu Anwar Ibrahim duduk dalam UMNO, beliau cuba mengaitkan kepimpinan (Datuk Seri ketika itu) Dr Mahathir Mohamad dengan amalan ‘nepotisme, kronisme dan rasuah’. Tak pasal-pasal Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika itu menjadi ‘alat’ kepada Anwar Ibrahim dalam kononnya membuka pekung Dr Mahathir Mohamad sewaktu Perhimpunan Agung UMNO. Nasib baik Zahid Hamidi sudah bertaubat. Anwar yang tak sabar-sabar mahu menjadi Presiden UMNO seterusnya Perdana Menteri kantoi dengan senarai penerima kontrak-kontrak kerajaan yang diluluskan oleh Anwar selaku Menteri Kewangan waktu itu. Maka, panjang lebar senarai mereka yang dilihat menjadi kroni kepada Anwar menerima projek-projek besar termasuk bapa mertuanya sendiri di bawah syarikat IOI. Lebih dahsyat, Anwar akhirnya dipenjarakan bukan kerana kesalahan liwat (walaupun keputusan Mahkamah Rayuan mencatatkan percaya perkara liwat berlaku dalam penghakiman mereka) sebaliknya Anwar dipenjarakan kerana pertuduhan salah guna kuasa. Kak Ijat mungkin baru sedar bahawa politik hari ini tidak sama dengan politik zaman Dato’ Harun Idris atau zaman Dato’ Saidin Thamby atau zaman Dato’ Sharif Jajang mahupun zaman Tan Sri Mat Taib. Walaupun etika bersih berpolitik cuba ditonjolkan oleh Dr Mohd Khir Toyo dengan meletakkan jawatan beliau serta memulangkan darjat kebesaran yang dikurniakan oleh pihak Istana sewaktu menghadapi kes di mahkamah, namun Anwar Ibrahim telah mengajar politik baru di Malaysia. Setiap tuduhan yang dikenakan ke atasnya hanyalah suatu konspirasi dan bermotifkan politik. Lawan tetap lawan. Demikian itu Kak Ijat bangun menyentengkan lengan bajunya untuk lawan mereka-mereka yang berkonspirasi mahu menjatuhkan karier politiknya serta mengheret BN kononnya atas amalan ‘kronisme, nepotisme dan rasuah’. Keberanian Kak Ijat secara peribadi saya puji. Namun malangnya Kak Ijat mensasarkan Rafizi Ramli, Zuraidah Kamaruddin serta Saifuddin Nasution sebagai musuh utamanya sedangkan Kak Ijat sewajarnya mengalihkan tuduhan demi tuduhan ke atas dirinya kepada Anwar Ibrahim sendiri. Sekali lagi, Rafizi, Zuraidah dan Saifuddin hanyalah 'alat'. Anwarlah lawan sebenar Kak Ijat. Cuba bayangkan satu perkara yang dituduh kepada Kak Ijat tidak pernah dituduh berlaku kepada pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu mahu pun sekarang. Semuanya wujud. Nepotisme? Kronisme? Rasuah? Kenapa tidak mahu Anwar buktikan? Hanya satu sahaja yang Kak Ijat menang… Kak Ijat belum lagi pernah dituduh dengan salah laku moral yang melibatkan aktiviti seks! |
Last Updated on Sunday, 12 February 2012 09:42 |
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.
No comments:
Post a Comment