Dewan Undangan Negeri Kedah bubar atau... |
Written by GreenHood |
Saturday, 25 February 2012 13:08 |
Oleh: GreenHood Pertama sekali ingin memanjangkan permohonan maaf saya kepada pembaca setia KritisOnline kerana agak lama tidak menyumbangkan sebarang tulisan dalam portal berita yang semakin diterima pembaca. Ini lantaran usaha saya berkelana ke pelusuk negara bagi mendekati hati rakyat marhaen seterusnya menyelami permasalahan rakyat yang menjadi denyut nadi negara tercinta, Malaysia. Berbagai kisah berbagai ragam dapat dirakamkan dan insyaallah akan dikongsi bersama pembaca kelak. Tetapi hari ini terpanggil saya untuk menulis ekoran krisis politik negeri jelapang padi, Kedah, yang sedang hangat diperkatakan. Saya menerima berbagai bentuk mesej sama ada teks pesanan ringkas (sms), teks pesanan Blackberry (BBM) mahu pun email yang bertanyakan perkembangan negeri Kedah di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Tidak kurang yang memberikan maklumat terkini terutama dari rakan-rakan politik pro-kerajaan mahu pun pro-pembangkang. Apa yang jelas, semenjak kedegilan Azizan mematuhi garis panduan ‘buku jingga’ yang menjadi ‘injil atau quran’ kepada pakatan rakyat, Azizan menjadi ‘sasaran politik dalaman’ terutama parti PAS itu sendiri yang membayangkan kerusi menteri besar jika kembali menguasai kerajaan negeri pada pilihanraya umum ke 13 nanti. Tidak perlu mengupas siapa dan mengapa, cukuplah sekadar saya katakan bahawa antara yang bermimpikan kerusi menteri besar Kedah termasuklah lima tonggak utama parti kecuali presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Menyedari hakikat tersebut, Azizan maklum tekanan yang dihadapinya bukanlah dari parti lawan melainkan dalaman sendiri. Ini termasuk komponen pakatan rakyat yang jelas tidak senang dengan kedegilan Azizan dalam mematuhi ‘perjanjian bersama’ terutama perkara-perkara yang menyentuh objektif bagi menuju ke Putrajaya. Bisik-bisik yang kuat melanda terkini adalah protes di kalangan exco kerajaan negeri terutama dari parti PAS itu sendiri yang memboikot perlantikan semula selaku exco mengikut kelaziman negeri yang melakukan rombakan setahun sekali. Menganggap sebagai satu tamparan terhadap dirinya, Azizan membalas dengan mengatakan bakal melakukan kejutan pada 28 haribulan nanti. Yang menjadi teka-teki sekarang adalah apakah sebenarnya kejutan yang bakal diumumkan oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak? Angin yang kuat melanda negeri jelapang padi itu membayangkan kemungkinan pembubaran dewan undangan negeri lebih awal bagi memberikan laluan kepada rakyat memilih semula wakil-wakil mereka ekoran pergolakan yang tidak mampu diselesaikan oleh Azizan. Dengan membiarkan rakyat menentukan Azizan dikira bijak memanipulasikan sentimen rakyat dengan mengembalikan hak memilih kepada rakyat. Namun, penentuan sama ada Azizan bakal tercalon semula adalah hak mutlak kepimpinan utama PAS dan sudah pasti dengan persetujuan bersama rakan pakatannya. Jika ini pilihan Azizan, jelas sekali Azizan melakukan ‘political suicidal’ terhadap dirinya sendiri. Azizan bakal tidak tercalon dan karier politiknya bakal terkubur. Lebih malang, Azizan bakal menamatkan karier politiknya lebih awal melainkan beliau bertanding atas tiket Barisan Nasional dan menang serta Barisan Nasional kembali membentuk kerajaan negeri Kedah. Itu sahaja harapan Azizan. Memahami PAS yang keras kepala dalam menangani hal yang boleh membantutkan usaha mereka ke Putrajaya, saya kira PAS tidak akan sekali-kali bertolak ansur bagi memujuk Azizan kerana menghantar pasukan memujuk sudah pasti akan terjalin ‘perjanjian baru’ bagi membenarkan Azizan bertanding dan duduk semula di kerusi empuk menteri besar sekiranya pakatan berjaya mengekalkan kedudukan selaku peneraju kerajaan negeri dalam pru 13 nanti. Adakah PAS akan tunduk dengan permintaan Azizan? Saya kira, lima tonggak utama kepimpinan PAS melainkan presidennya pasti tidak akan bersetuju. Dengan ketibaan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke lapangan terbang Alor Setar, Kedah awal pagi tadi siap berpakaian rasmi baju melayu berwarna hitam, bersamping dan songkok, saya kira kunjungan beliau mengadap ke Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah atau pemangkunya bakal turut membincangkan permasalahan yang melanda negeri Kedah tersebut termasuk soal pembubaran awal jika diperpanjangkan. Namun tidak mustahil, pada saat-saat begini, apa yang dilakukan oleh Azizan mahu pun Najib adalah bagi mengembalikan semangat kerjasama bagi mengukuhkan perpaduan ummah terutamanya Melayu dan Islam sebagaimana yang pernah diusahakan oleh mantan timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan bekas exco kerajaan negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali. Memberi laluan kepada pembentukan ‘kerajaan perpaduan’ atau ‘kerajaan campuran’ adalah sebenar-benarnya harapan rakyat terutama yang berbangsa Melayu dan beragama Islam untuk menangani perpecahan yang begitu ketara hingga merugikan bangsa dan agama. Mengapa tidak? Sedangkan untuk bersetuju dengan pembubaran dan memberi laluan kepada pilihanraya negeri (prn), Barisan Nasional juga masih belum bersedia dengan senarai calon terakhir terutama dengan krisis dalaman yang hampir sama dengan PAS iaitu perebutan untuk menduduki kerusi empuk menteri besar. Saya kira konsep ‘the hung parliament' atau 'hung state legislative’ (dalam konteks ini) adalah kaedah demokrasi moden yang kini menular dan mula diterima di seluruh negara. Ia boleh menjadi satu ‘test-case’ yang baik dalam ‘win-win’ situation. Dan lebih dari itu, ia bakal mencatatkan sejarah moden baru Malaysia sewaktu pemerintahan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri keenam dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah... . Namun, ini semua adalah di dalam tangan Azizan dan Najib Tun Razak untuk memikirkannya secara bijaksana dan semua di atas hanyalah sekadar pandangan peribadi saya selaku rakyat ! |
Last Updated on Saturday, 25 February 2012 18:48 |
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.