Blog Archive

Thursday, January 26, 2012

#SURATTERBUKA UNTUK @drhasanali

YB Dato’ Dr. Hasan Ali,


Assalamualaikum wbt dan puji-pujian bagi Allah swt, Tuhan sekalian alam.


Menonton rancangan “Soal Jawab” yang dikendali serta disiarkan oleh stesyen televisyen TV3, bertarikh 24hb Januari 2012, jam 11.00 malam, saya tampil untuk memberi pandangan dan cadangan untuk pertimbangan YB Dato’. Beikut adalah antaranya :-


1.    YB Dato’ memaklumkan wujudnya “kuasa ketiga” dalam lanskap politik tanahair yang tidak dapat disangkal oleh saya. Memperincikan “kuasa ketiga” yang dipercayai oleh YB Dato’ memperjuangkan “I-M-R” ringkasan kepada “Islam-Melayu-Raja”, juga satu objektif yang amat saya sokong secara peribadi.

2.    Namun saya juga percaya bahawa perjuangan parti-parti yang wujud dan berdaftar di Malaysia punyai objektif dan matlamat masing-masing berlandaskan perlembagaan parti tersebut.

3.    Sudah sekian lama Malaysia didominasi oleh satu parti yang menggunakan label “Islam” dalam perjuangan mereka, tidak lain dan tidak bukan adalah Parti Islam Se-Malaysia atau PAS. Maka, “I” untuk “Islam” yang pertama telah ada wadahnya.

4.    Begitu juga matlamat penubuhan sebuah lagi parti semenjak sebelum merdeka yang mendaulahkan Raja-Raja dan memertabatkan bangsa Melayu tidak lain dan tidak bukan disandang oleh Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau ringkasnya, UMNO. Maka itu “M” dan “R” yang YB Dato’ fikirkan perlu ada dalam gerakan “kuasa ketiga” juga telah dipenuhi.

5.    Lebih dari itu, UMNO turut memakai slogan perjuangan ‘agama’, ‘bangsa’ dan ‘tanahair’ selama ini. Pendekatan ‘aa-ba-ta’ itu seolah-olah dihidupkan kembali dalam jenama “I-M-R” yang YB Dato’ fikirkan mahu diterapkan dalam perjuangan “kuasa ketiga”, adalah pada hemat saya hanyalah suatu re-branding, daripada melahirkan satu ide segar dan baru.

6.    Saya secara peribadi melihat perjuangan YB Dato’ secara dekat semenjak YB Dato’ menggalas jawatan exco kerajaan negeri Selangor.

7.    Saya kagum dengan kecekalan YB Dato’ dalam membawa bukan sekadar nama baik YB Dato’ sendiri dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat, lebih dari itu YB Dato’ berusaha melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah swt lebih dari segalanya. Justeru itu, wadah perjuangan ‘Islam’ yang selama ini cuba dijuarai oleh PAS adalah pada landasan yang betul diterjemahkan oleh YB Dato’ selaku exco kerajaan negeri yang memegang portfolio hal ehwal agama Islam.

8.    YB Dato’ adalah pemimpin PAS sejati dalam kedudukan kuasa yang diberikan oleh rakyat negeri Selangor kepada pakatan PAS-PKR-DAP. Menterjemahkan ia dengan penguatkuasaan undang-undang Islam yang terhad,ada diperuntukan dalam negeri Selangor, YB Dato’ cuba sebaik mungkin membanteras penyakit-penyakit sosial seperti arak dan maksiat.

9.    Secara peribadi, pada hemat saya adalah tindakan yang ditunggu-tunggu oleh bangsa Melayu yang umumnya adalah penganut agama Islam. Memang perlu, usrah dan dakwah untuk mengembalikan Melayu, yang sinonim sebagai umat Islam kepada jalan Allah swt tetapi pada akhir zaman ini, penguatkuasaan adalah tindakan yang dipercayai oleh sebilangan besar ummah mampu membanteras gejala serta penyakit sosial yang berleluasa berakibatkan kemodenan dunia amnya, dan Malaysia khususnya.

10.  Selain dari penyakit sosial seperti arak dan maksiat, saya juga amat kagum dengan keberanian YB Dato’ membanteras usaha menyelewengkan akidah umat Islam, terutamanya Melayu, yang diperuntukan dalam perlembagaan negara sebagai bangsa istimewa dengan agama yang ditetapkan semenjak kelahiran sebagai penganut agama Islam.

11.  Insiden pemurtadan umat Islam serta penyelewengan akidah seperti yang YB Dato’ ‘bogelkan’  kegiatannya, bukanlah suatu yang memeranjatkan umat Islam Malaysia khususnya. Umat Islam Malaysia lebih terperanjat dengan keberanian YB Dato’ memerangi segelintir pihak yang berusaha untuk memurtadkan umat Islam serta menyelewengkan akidah mereka. Ini kerana, kes-kes pemurtadan bukanlah suatu yang baru, bahkan menjadi sebahagian dari perjuangan PAS itu sendiri.

12.  Tindakan YB Dato’ mewujudkan USA, singkatan kepada “Unit Selamatkan Akidah” di bawah pejabat portfolio yang YB Dato’ pegang, dibantu oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), ditambah dengan perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor adalah satu tindakan yang tepat dan wajar. Angka fail kes, 35 kesemuanya yang sudah berdaftar mohon diselamatkan akidahnya,  menunjukkan keberkesanan YB Dato’ dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat, dan oleh Allah swt.  

13.  Malangnya,  segelintir pimpinan tertinggi PAS, tidak tahan dengan ujian Allah swt yang baru memberikan kuasa sedikit kepada mereka untuk memerintah negeri, sanggup menekan dan menindas YB Dato’ dalam perjuangan menegakkan kebenaran Islam.

14.  Ujian Allah swt dengan memberi kuasa sedikit kepada PAS bagi memerintah negeri nampaknya gagal dengan nafsu serakah segelintir pemimpin tertinggi PAS yang punyai cita-cita lebih besar mahukan kuasa memerintah negara. Demikian itu, kes pemurtadan dan penyelewengan akidah umat Islam yang selama ini gagal dibendung oleh kerajaan negeri Barisan Nasional mahupun Pusat, juga diambil ringan oleh pimpinan tertinggi PAS kerana mahu menjaga hati parti pakatan mereka terutamanya PKR dan DAP.

15.  Pada pandangan peribadi saya, secara jujur, PAS telah lari dari perjuangan asalnya yang sebelum itu berjaya diterjemahkan oleh YB Dato’ sewaktu menduduki kerusi exco menjaga hal ehwal agama Islam di negeri Selangor.

16.  Pemecatan YB Dato’ barangkali adalah sebahagian ujian dari Allah swt, bagi melihat sejauh mana kesungguhan YB Dato’ meneruskan perjuangan menentang pemurtadan dan penyelewengan akidah umat Islam oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melanggar peruntukan perlembagaan negara yang memberikan keistimewaan kepada bangsa Melayu dan agama Islam.

17.  Justeru, penolakan YB Dato’ untuk memasuki mana-mana parti seperti UMNO mahu pun pergerakan tidak berpolitik seperti Perkasa sewaktu sidang media kali pertama diadakan selepas pemecatan YB Dato’ adalah disambut baik secara peribadi oleh saya.

18.  Negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai contoh terbaik, pernah dipecat kerana lantang menyanggah dasar bekas Perdana Menteri Malaysia Pertama, allahyarham Tunku Abdul Rahman. Namun akhirnya terbukti, dengan kekuasaan Allah swt beliau diambil semula ke dalam UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat. Sekali lagi Tun Dr. Mahathir mengambil tindakan keluar dari parti kerana membantah kepimpinan penggantinya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dengan kehendak Allaw swt juga perjuangan Tun Dr. Mahathir membuahkan hasil apabila Tun Abdullah melepaskan jawatan dan diganti oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak.

19.  UMNO yang diibaratkan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai “busuk hingga ke usus” nya tidak lama dahulu tidak jauh berbeza dengan PAS pada hari ini.

20.  Kepimpinan tertinggi PAS kini yang menyimpang jauh dari dasar sebenar, jauh dari kemolekan yang pernah dibawa oleh allahyarham al-fadhil ustaz Fadzil Noor perlu digempur bagi meluruskan kembali dasar perjuangan mereka.

21.  Di sinilah harapan saya secara peribadi agar YB Dato’ dapat menyedarkan ahli-ahli PAS terutama yang berada di akar umbi  bangkit membetulkan landasan parti itu. Jika benar terbukti wujudnya golongan-golongan parasit yang menghancurkan struktur dalaman PAS ibarat anai-anai yang merosakkan rumah, maka wajarlah YB Dato’ basmi parasit atau anai-anai itu sekali pun dari luar rumah.

22.  Sebenarnya, saya berpandangan PAS adalah satu parti yang disayangi oleh bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia. Ini kerana PAS adalah satu lagi parti terbesar yang dapat menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam selain dari UMNO sendiri. Pada satu ketika, di mana UMNO gagal menangani desakan-desakan bangsa lain terutamanya yang bersangkut-paut dengan hak agama Islam dan hak Melayu sebagaimana diperuntukan di dalam perlembagaan negara, PAS menjadi parti golongan kiri yang mendesak seterusnya menyeimbangi UMNO dalam mempertahankan perkara-perkara itu. Namun kerana ketamakan kuasa, hari ini kelihatan kedua-dua UMNO dan PAS menjadi lemah dalam mempertahankan agenda agama, bangsa dan tanahair.

23.  Sebenarnya, selain dari menyelamatkan UMNO, adalah perlu untuk menyelamatkan PAS pada hari ini. Sama ada UMNO mahupun PAS, kedua-duanya adalah parti yang suci pada asasnya, namun kotor kerana kepimpinan yang tamak dan haloba hingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan yang asal.

24.  Harapan saya agar YB Dato’ dapat memperjuangkan perkara-perkara yang saya sebut di atas. Insyaallah, ujian demi ujian yang Allah swt berikan dapat diharungi oleh YB Dato’ dan sekiranya parasit serta anai-anai yang memusnahkan parti PAS itu dapat dibanteras, walaupun dari luar parti, pada suatu hari nanti impian umat Islam dan bangsa Melayu untuk melihat perpaduan ummah bukan sekadar impian, tetapi direalisasikan. Itulah harapan sebenar-benar umat Islam, bangsa Melayu yang tidak berpolitik dan mahu menjadi "kuasa ketiga". Mudah-mudahan, Insyaallah.


Akhir kalam, saya doakan kesihatan yang baik buat YB Dato’ dalam meneruskan perjuangan ISLAM-MELAYU-RAJA sebagaimana yang direncanakan.


Wassalam warahmatullahi wbt.


Sekian,


@sinismalaysia.blogspot.com

Ditintakan pada: 26hb Januari 2012, jam 9.00 pagi.

2 comments:

  1. apa pandangan saudara..bila melihat pmimpin M dan kerabat R memunggah hasil mahsul negara secara rakus..org kampung yg miskin dan tak berharta yg kebanyakannya bangsa M..jerih perih nak bagi makan anak2 dan nak bagi ilmu(sekolah) supaya tak susah macam mereka..kita perlu pemimpin yang amanah dlm menjaga harta negara yg bukan sikit tp cukup untuk semua rakyat Malaysia..tak cukup ke bukti yg diwawarkan selama ini..pak dan mak menteri senang2 punggah hasil mahsul negara..anta tak kisah ke??

    ReplyDelete
  2. Man jadda wajadda waman kasilanabil - rezeki itu pemberian Allah. Allah memberi kepada mereka yg berusaha kepadanya.

    ReplyDelete