Blog Archive

Friday, December 30, 2011

Archive #50

Kisah ORANG UMNO - Bank Data UMNO ? PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Tuesday, 27 December 2011 23:48

Oleh: GreenHood

Sebenarnya perkara ini sudah lama saya simpan. Mungkin ada perkembangan yang positif berkaitan dengannya. Namun agak malang sehingga penghujung tahun 2011 ini, menghampiri pilihanraya umum 13 (PRU 13), tidak kedengaran langsung perkhabaran mengenainya.

Jika saya tidak menulis berkaitan dengannya, tidak mengapa. Bukan pun tugas saya sebagai penulis tetap dalam laman KritisOnline untuk menulis bagi memberi kemenangan pada mana-mana pihak mahu pun menyebabkan kekalahan pada pihak yang lain. Tugasan yang diberi hanyalah untuk menyampaikan berita, mahu pun memberikan analisis pada subjek yang ditugaskan. Pada satu ketika, penerbit mahukan kami menulis secara kritis.




Bertemu sahabat lama

Sekitar bulan Julai yang lalu, sewaktu saya menikmati  juadah tengahari  di bandaraya Shah Alam, bahu saya telah ditepuk dan yang menepuk bahu saya adalah seorang sahabat lama yang sangat aktif dalam politik UMNO.

Melihat saya menjamu selera berseorangan, beliau menawarkan diri untuk menemani saya. Pucuk dicita, ulam mendatang. Sebagai penulis, didatangi oleh individu yang sarat dengan informasi  politik adalah ‘saat keemasan’ yang tidak akan sama sekali saya tolak. Ia mampu mengisi vocabulary politik semasa saya.

Al Kisahnya

Agaknya beginilah perangai  ‘orang UMNO’. Datuk Seri Najib semasa Perhimpunan Agung UMNO 2011 (PAU) bersungguh-sungguh mahukan ‘ahli UMNO’  bukan sekadar menjadi ahli, namun menerapkan semangat sebagai ‘orang UMNO’.

Bagi Najib, ‘orang UMNO’ adalah mereka yang bangga dan sanggup berkorban demi UMNO.
Tapi lain pula dengan ‘orang UMNO’ yang biasa saya jumpa. Mereka sungguh bangga bercerita tentang UMNO tanpa melihat kiri dan kanan, depan atau pun belakang. Dan mereka amat bangga dapat berkongsi cerita tentang UMNO - tidak kira perkara yang diceritakan itu adalah perkara yang baik mahu pun buruk.

Bank-data UMNO

Sahabat lama saya tidak terlepas dari sikap ‘orang UMNO’ yang suka bercerita. Beliau bercerita bahawa beliau baru sahaja selesai sesi penerangan atau maklumat yang diberikan oleh pegawai-pegawai UMNO pusat berkaitan satu sistem.

Sistem IT yang diperkenalkan oleh UMNO pusat berbentuk bank-data yang bakal mengumpulkan maklumat dari akar umbi. Dan bahagian di mana sahabat lama saya naungi adalah sebahagian dari jelajah pegawai-pegawai IT UMNO pusat tersebut dalam memperkenalkan sistem terbaru ini.

Setiap bahagian UMNO yang telah pun mengenal pasti ketua-ketua pusat daerah mengundi (PDM) bakal dibekalkan dengan satu nama pengguna (user name) dan satu kata kunci (password). Ia bakal diberikan melalui bahagian UMNO tersebut kepada ketua-ketua PDM dalam bahagian atau parlimennya.

Maka, setiap ketua PDM akan punyai akses bagi memberikan maklumat terutamanya apa yang kurang di PDM mereka. Maklumat ini akan diterima dan diproses oleh UMNO pusat atau 'central war-room' dalam mengatasi masalah PDM tersebut. Yang lebih menarik, apabila ketua PDM tersebut menerima kata-kunci maka dia boleh mengubah kata-kunci tersebut untuk dirinya sahaja. Wa’ima ketua bahagian UMNO pun tidak mampu membuka akaun ketua PDM tersebut atau mampu untuk mengetahui apakah maklumat yang disampaikan oleh ketua PDM tersebut.

Dengan ‘bangganya’ sahabat saya berkata, manakan mungkin ketua bahagian akan senang hati dengan perkara ini. Sudah pasti ketua bahagian akan menapis dahulu apakah maklumat yang mahu ketua PDM sampaikan kepada pusat. Kot-kot perkara yang akan memalukan dirinya selaku ketua bahagian.

Namun dalam hati saya berkata, inilah sebaik-baik perkara yang UMNO patut lakukan kerana birokrasi telah dihapuskan dan pusat bakal menerima fresh first information dari akar umbi sendiri. Justeru, tindakan segera boleh dilakukan dalam menambah-baikkan UMNO terutamanya di peringkat akar umbi.
Itulah kisahnya.

5 bulan kemudian

Saya kira, Disember bakal berakhir dan Januari akan menyusul. Semenjak kisah bank-data UMNO diceritakan oleh sahabat lama saya sekitar Julai yang lalu, tiada apa-apa perkembangan berkaitan dengannya.

Yang lebih malang, saya sendiri turun bagi mendapatkan maklumat di peringkat PDM-PDM sekitar negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. Tidak kurang dari 20 PDM yang saya tanyakan melibatkan hampir 10 bahagian kesemuanya.

Jawapan ketua-ketua PDM adalah…. “tak tahu menahu pun perkara ni!”.

Lantas saya tertanya-tanya, di manakah silapnya?
Last Updated on Wednesday, 28 December 2011 14:07
 
Copyright © 2011 Kritisonline. All Rights Reserved.

No comments:

Post a Comment