Blog Archive

Tuesday, December 27, 2011

Archive #48

Ombak Rindu - Satu Ulasan PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Monday, 26 December 2011 14:27

Oleh: GreenHood




Mari kita tukar mode dari hal politik kepada isu semasa.

Satu subjek yang hangat diperkatakan adalah berkaitan filem arahan Osman Ali, “Ombak Rindu”, sebuah karya yang diangkat menerusi novel tulisan Fauziah Ashari.

Novel kali pertama diterbitkan pada tahun 2002 itu dikhabarkan oleh penerbitnya, Alaf 21, untuk cetakan semula berjumlah 40,000 naskhah setelah filem arahan Osman Ali tersebut berjaya mengaut kutipan jualan melebihi RM6 juta.

Kontroversi tidak akan lekang dari kejayaan, begitulah nasib yang menimpa “Ombak Rindu”. Sama ada kontroversi si penulis yang tidak berpuas-hati dengan bayaran pampasan atau royalty dari penerbit buku serta penerbit filem hinggalah kontroversi ulasan yang ditintakan oleh wartawan Utusan, Ali Atan. Itu belum lagi komen Wardinah Safiyyah yang bersetuju dengan kritikan Ali Atan terhadap filem tersebut yang dikatakan gagal menerapkan nilai Islam untuk dianugerahkan sebuah filem yang cukup berjaya dalam genre atau kelasnya yang tersendiri.



Ulasan

Tidak perlu lakukan teknik flashback bagi menerangkan kepada penonton asal-usul perempuan simpanan bernama Izzah adalah kekuatan utama filem ini. Adopting babak yang penting dari novel kepada layar bukanlah mudah. Sebolehnya, pengarah akan cuba memasukkan semua elemen terkandung di dalam novel ke dalam satu filem namun ini tidak berlaku kepada “Ombak Rindu” arahan Osman Ali.

Garapan yang menarik sedari awal hingga akhir amat penting setiap saat dan ianya disusun kemas dan diakhiri dengan amat cantik dan berkesan sekali.

Sinematografinya amat mengkhayalkan hingga mampu membuat penonton asyik terbayangkan betapa mahukan suasana seperti apa yang dilayarkan di dalam filem ke dalam kehidupan peribadi mereka. Ambil contoh, rumah ala kekampungan namun cukup mewah dengan perabut moden serta kolam renangnya sendiri. Duduk di beranda rumah menghadap lautan luas terbentang adalah menjadi impian hampir semua manusia.



Manakala lakonan Maya Karin sebagai Izzah sememangnya dipuji amat berkesan sekali. Aaron Aziz dan Bront Palarae tidak pernah mengecewakan dalam menghayati watak yang dibawanya. Lisa Surihani mungkin boleh memajukan lagi lakonannya namun jika saya diberi pilihan, watak “Mila” sewajarnya diberikan kepada Nur Fazura.

Watak antagonis dibawakan oleh Azizah Mahzan sebagai “Datuk Sufiah”, ibu kepada “Hariz” sememangnya meninggalkan kesan kepada penonton. Azizah Mahzan tidak perlu menjerit menjengkelkan seperti “Nyonya Mansoor” lakonan Mak Dara dalam filem “Ibu Mertuaku”. Namun kejelikkan penonton terhadap ‘politik seorang ibu’ dalam menyusun atur kehidupan anak adalah bersifat universal ditolak oleh semua lapisan masyarakat. Azizah Mahzan berjaya  membawa kejelikkan itu dekat dengan penonton. Dan sifat antagonis ibu yang jengkil itu berjaya dineutralkan dengan sifat keibuan dan kebapaan lakonan Zaidi Omar dan Normah Dhamanhuri sebagai pembantu rumah kepada Datuk Sufiah.

Plot

Mengisahkan seorang anak yatim piatu yang dibela oleh pakcik dan makciknya, Izzah telah diserahkan (sebenarnya dijual) kepada seorang bapa ayam dan Hariz merupakan pelanggan pertamanya. Dalam keegoan sebagai ‘jantan’, Hariz sebenarnya juga kasihan kepada Izzah lantas ditebus dan dibelanya sebelum kemudian dinikahi atas satu hajat sahaja, melampias nafsu berahinya sebagai ‘jantan’.



Kedaifan Izzah dan kecekalan sebagai wanita yang dididik dengan ajaran agama namun lemah kerana sifatnya sebagai “wanita”, Hariz akhirnya akur dengan perasaan kasih dan sayang yang dicurahkan tanpa penat dan jemu oleh Izzah.

Menyimpan identiti Izzah sebagai isterinya, ibu Hariz, Datuk Sufiah tidak mengetahui Izzah adalah sebenarnya isteri kepada anaknya mahukan Hariz mengahwini Mila, seorang anak Tan Sri atas kepentingan harta dan perniagaan.  Hariz, sebagai anak tunggal akur dengan keputusan ibunya berkahwin kali kedua kepada Mila. Di sinilah konflik jiwa timbul dan saksikanlah sendiri di pawagam yang berhampiran.

Penutup

Tulisan saya kali ini sebenarnya ditujukan khas kepada dua rakan saya (krew KritisOnline) yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka minggu lepas. Aturkanlah satu temujanji dengan isteri-isteri anda dan bawalah mereka ke pawagam yang berhampiran bagi menonton filem “Ombak Rindu” sebagai salah satu hadiah kepada mereka.

Jika mahu menilai mengikut ulasan yang diberikan oleh Ali Atan, terlalu jauh pemikirannya. Kenapa tidak bersantai bersama yang tersayang dan nescaya, filem ini akan dikenang sebagai antara hadiah terbaik dari seorang suami kepada isterinya.
Last Updated on Monday, 26 December 2011 22:15
 
Copyright © 2011 Kritisonline. All Rights Reserved.

No comments:

Post a Comment