Blog Archive

Tuesday, November 15, 2011

Archive #39

Najib Tun Razak Kaki Nombor ? PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Tuesday, 15 November 2011 14:15

Oleh: GreenHood

11.11.11 telah pun berlalu. Ramai pasangan memilih tarikh tersebut bagi mengikat satu ikatan yang suci, sama ada pertunangan mahu pun perkahwinan. Tidak kurang pada ibu bapa yang bersungguh-sungguh mahukan cahaya mata mereka dilahirkan pada tarikh tersebut. Akibatnya, kaedah ‘induce’ menjadi pilihan ibu-ibu yang sudah dalam kitaran melahirkan kandungan tapi masih belum menerima simptom-simptom kelahiran.

Yang paling pasti, tarikh 11.11.11 adalah tarikh ‘official launch’ seluruh dunia filem ‘Immortals’ dari produser terkenal Gianni Nunnari yang menghasilkan filem ‘300’ yang pernah suatu ketika dahulu memecahkan rekod ‘box-office’ walaupun dengan bajet yang rendah, dan kini beliau dibantu oleh pengarahnya, Tarsem Singh Dhandwar.

Ya, saya sudah pun menonton filem ini; menarik dari segi jalan cerita, paparan babak pertarungan, dan yang paling utama dan sinonim dengan filem terdahulu (300) adalah penguasaan teknik CGI dalam memaparkan situasi di luar jangkauan manusia normal. Tapi awas, jangan terpengaruh dengan dakyah yang boleh merosakkan akidah umat Islam terutama peranan Tuhan-Tuhan purbakala seperti Zeus, Ares, Athena, Poseidon, Apollo dan Heracles.

Najib Tidak Pilih 11.11.11

Sebelum ini, seawal bulan September, telah saya paparkan bahawa YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak begitu mempercayai dengan ‘ong’ atau tuah dari angka 11. Benarkah bahawa Najib adalah kaki nombor’ yang terlalu meng-agung-kan angka bagi mempercayai bahawa tuah hanya terhasil mengikutnya?

Terbukti bahawa tiada pengumuman pembubaran parlimen Malaysia berlaku pada tarikh yang menurut ahli numerologist mempercayai bahawa angka 11 merupakan angka istimewa dipersimpangan (interchangeable) antara ‘kekuatan’ (strength) dan ‘keadilan’ (justice) dan signifikasinya adalah ‘imbangan keadilan dalam membuat keputusan’ dan ia terkait juga dengan angka 2.

Nampaknya, Najib masih merupakan manusia waras yang mempercayai fakta dan keadaan semasa dalam mempertimbangkan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh ramai ahli politik serta pemerhatinya termasuklah rakyat biasa iaitu ‘tarikh pembubaran dan pembuangan undi’ atau ringkasnya, PRU 13.


Reaksi Pembangkang

Antara yang kuat memberi tekanan kepada Najib dan Barisan Nasional (BN) tidak lain dan tidak bukan adalah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga merupakan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Lim Guan Eng membantah sekeras-kerasnya PRU 13 dilakukan pada tahun ini. Bahkan, Guan Eng turut mengugut kepimpinan Najib untuk tidak mahu turut serta membubarkan dewan undangan negeri Pulau Pinang sekiranya Najib berkeras mahu membubarkan parlimen pada 11.11.11 yang lalu dan memilih 10.12.11 sebagai tarikh pembuangan undi. Walau pun tiada suara kedengaran dari menteri-menteri besar negeri di bawah pakatan pembangkang terutamanya Kelantan, Kedah dan Selangor, beberapa akhbar berbahasa Cina terutamanya melaporkan bahawa Guan Eng turut menyarankan agar negeri-negeri di bawah pakatan mengikut jejak langkahnya.

Alasan utama yang dilontarkan oleh Guan Eng adalah berkaitan reformasi sistem pemilihan terutamanya Suruhanjaya Pilihanraya atau (SPR) dan akta yang terkait rapat dengannya. 16 perkara yang dibawa sewaktu Bersih 2.0 tetap menjadi pegangan beliau agar dilakukan terlebih dahulu sebelum PRU 13 dijalankan walau pun realitinya Najib telah menyahut cabaran Bersih 2.0 dengan penubuhan jawatankuasa khas parlimen bagi membincangkan isu tersebut.

Ketua Pembangkang Menggunakan Suara Komuniti Kaum Cina Bagi Membantah PRU 13 Pada Tahun Ini Selain Cubaan Menimbulkan Kekecohan Melalui NGO Berpaut Pada Hak Kebebasan Asasi

Apa yang paling ketara kelihatan dari mitos 11.11.11 adalah bagaimana Ketua Pembangkang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusun strateginya bagi mendesak Najib serta BN tidak membubarkan parlimen pada tahun ini.

Adalah ketara di pandangan mata pemerhati politik bahawa Anwar telah ‘memetik beberapa suis’ seperti gerakan badan-badan bukan politik (NGO) terutamanya isu tuntutan pekerja yang melakukan rapat umum seluruh negara dan yang paling kontroversi adalah pejuang yang memperjuangkan hak keadilan seksualiti terutamanya golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pemerhati politik berpendapat ia tidak perlu satu pengakuan terbuka oleh wa’ima Anwar mahu pun Ambiga tetapi rakyat memaklumi bahawa kedua-dua personaliti ini adalah personaliti yang berganding rapat sewaktu demontrasi besar-besaran Bersih 2.0 dan punyai satu tujuan serta satu matlamat, iaitu menimbulkan kekecohan bagi membantutkan apa juga perancangan yang telah disusun oleh Najib mahupun kerajaan persekutuan, BN.

Kadangkala terasa pelik, apabila isu-isu kecil atau terpencil tetap mahu diperjuangkan secara besar-besaran seolah-olah ianya agenda nasional yang perlukan transformasi segera dan sudah menjadi satu yang sinonim pembangkang menjadi begitu ‘opportunist’ terhadap perkara sebegini hinggakan penggantungan Profesor Aziz Bari berkaitan pendapatnya yang mempertikaikan titah Sultan mewujudkan gelombang perubahan yang perlu ada dalam AUKU sedangkan isu yang sebenarnya mula luput dari ingatan rakyat adalah berkaitan soal akidah umat Islam yang dititahkan oleh baginda Sultan berkaitan isu Damansara Utama Methodist Church (DUMC).

Namun, gerakan-gerakan yang cuba dicetuskan oleh Anwar serta parti-parti pakatannya secara halus berjaya diredakan (kalau pun bukan disekat keseluruhannya) oleh Najib serta barisannya.

Demikian itu, Anwar melakukan gerakan segera yang dirasakan perlu diwujudkan sebelum Najib pulang dari mengerjakan ibadah haji dan kemungkinan mitos 11.11.11 bakal terjadi.

Kali ini Anwar telah menggerakkan NGO-NGO dari komuniti kaum Cina  yang dihimpunkan buat pertama kalinya di Tune Hotel, Kuala Lumpur pada 8 November yang lalu bagi memberi mesej kepada komuniti yang beliau sifatkan cenderung memihaknya agar terus-terusan mendesak kepimpinan Najib dan BN agar tidak melakukan PRU 13.

Dan bukan menjadi rahsia, Teresa Kok bersama Tian Chua turut bekerja keras dalam memastikan komuniti kaum ini mendapat mesej yang jelas supaya desakan-desakan melalui komuniti ini dipertingkatkan menghalang PRU 13 diadakan tahun ini.

Sebab itu, walaupun sebelum himpunan tersebut berlaku, suara-suara komuniti kaum ini melalui akhbar-akhbarnya lantang memberi desakan agar Najib melakukan perubahan yang sepatutnya sebelum membubarkan parlimen. Maka dari sekecil-kecil perkara transformasi AUKU hinggalah berkaitan bajet kewangan 2012 termasuk reformasi ekonomi dan pilihanraya didendangkan untuk satu tujuan; tidak membenarkan dewan parlimen dibubarkan pada tahun ini.

Apa Sebenarnya Berlaku Pada 11.11.11 ?

Sebenarnya, Najib walaupun telah mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional Pusat pada tarikh tersebut, dan melakukan ‘press statement’ bagi menidakkan mitos 11.11.11 sekitar jam 4 petang, apa yang tidak diketahui umum adalah Majlis Jawatankuasa Tertinggi UMNO Pusat (MKT) telah bermesyuarat pada malam harinya dan berakhir sekitar jam 1 lebih pagi memperincikan senarai-senarai terakhir bagi menghadapi PRU 13.

Apakah yang disusun oleh Najib bersama MKT-nya? Adakah senarai nama calon-calon? Atau perkakasan dan item yang mahu diguna-pakai sewaktu PRU 13 nanti? Bagaimana keadaan Selangor yang menjadi indikator sebenar kedudukan BN? Atau benarkah Terengganu menjadi negeri pertama yang sudah pun selesai mempersiagakan diri?

Biarlah ia tetap menjadi rahsia di dalam empat dinding tersebut. Yang nyata, pembangkang telah pun termakan umpan mitos 11.11.11 hanya bagi melihat gerakan-gerakan mereka.

Apa yang pasti dan jelas kelihatan adalah, Najib sebenarnya bukanlah kaki nombor !
 
Copyright © 2011 Kritisonline. All Rights Reserved.

No comments:

Post a Comment