Blog Archive

Wednesday, November 9, 2011

Archive #38

Blogger oh blogger - Lintah Darat vs Bloggers ! PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Wednesday, 09 November 2011 12:33

Oleh: GreenHood

Nampaknya topik ‘bloggers’ menjadi isu yang agak hangat di ruangan siber semenjak dua ini.

Adakah dek kerana ayat Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa apa yang beliau mahukan adalah ‘winnable candidates’ dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) nanti, bahkan tambah beliau, bloggers juga mampu menjadi ‘winnable candidates’ jika memenuhi kriteria yang dimaksudkannya sewaktu perasmian penutup majlis “Merekayasakan Penulis Maya” di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) baru-baru ini, menjadikan topik ‘bloggers’ begitu hangat diperkatakan?

Saya rasa, perkara ini bukan suatu yang baru. Syed Akbar Ali atau nama penanya ‘Outsyed The Box’, Presiden Bloghouse Malaysia pernah turut melontarkan perkara yang sama pada penghujung tahun lalu. Bersama-sama Salahuddin atau ‘Another Brick In the Wall’, membayangkan bahawa terdapat ‘kuasa ketiga’ (third force) yang akan memasuki percaturan politik negara dalam mendesak Najib Tun Razak melakukan perubahan kabinet (cabinet reshuffle) menterinya. Dan ‘kuasa ketiga’ yang Syed mahupun Salahuddin maksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah para ‘bloggers’?

Tetapi itu senario lalu yang menyeru Najib melakukan perubahan jemaah menterinya.

Kali ini, bloggers sekali lagi kuat memainkan isu, kerana, pada pendapat peribadi saya terdapat dua faktor yang utama. Pertama, bahang PRU-13 semakin hangat terasa dan kedua, peruntukan-peruntukan yang mula mengalir ke bawah dari laci atau peti besi para ahli politik.

Pengamal Media Sosial Mendominasi Ejen Penyebaran Maklumat


Saya sama sekali tidak menafikan bahawa peranan ‘bloggers’ menjadi begitu penting sekali dewasa kini.

Memang tidak dapat disangkal, ‘bloggers’ mahu pun pengamal media sosial sangat berperanan dalam mendapatkan berita utama yang gagal diperolehi oleh media perdana (mainstream) kerana kekangan etika kewartawanan serta birokrasi ketat untuk melepaskan sesebuah berita atau cerita terutama apabila pihak pembangkang berjaya mewujudkan persepsi buruk terhadap media perdana yang dikatakan cenderung memihak kepada kerajaan sedia ada.

Bahkan, peranan pengamal media sosial termasuk bloggers begitu penting seolah-olah menggantikan para ketua penerangan dalam jentera parti tidak kira pro-BN mahu pun pro-pakatan dalam menjadi ejen penyebaran maklumat serta propaganda yang mampu mempengaruhi emosi dan psikologi rakyat yang semakin lama semakin ramai menggunakan ruang siber bagi mendapatkan berita atau maklumat - terutama golongan muda berumur seawal 14 tahun hingga ke umur sekitar 40-an. Pendek kata, rakyat Malaysia kini lebih ‘celik IT’.

Dengan berbagai kemudahan dan aplikasi yang percuma boleh didapati di ruang siber seperti blogspot, wordpress, facebook, youtube, twitter, myspace, digg dan berbagai lagi, menyampaikan maklumat serta mempromosikan sama ada promosi tersebut berbentuk positif mahu pun negatif menjadi begitu mudah sekali.

Pengguna ruang siber boleh mendapatkan beratus-ratus hingga beribu-ribu maklumat bagi membuat perbandingan hanya bagi ‘satu perkara atau subjek’.

Demikian itu, pengamal media sosial dan bloggers menjadi aset yang penting bagi melahirkan beribu-ribu maklumat tersebut hanya untuk satu tujuan; meraih populariti atau merenyukkan imej ‘subjek’ yang menjadi sasaran mereka.

Terbukti Sesebuah Negara Mampu Tumbang Kerana Media Siber atau Media Sosial

Di Timur Tengah, peranan media siber dan pengamalnya dalam menumbangkan sesebuah negara telah terbukti berkesan.

Berakibatkan fenomena alam siber, dan cetusan gelombang yang dimainkan oleh media siber serta pengamalnya, revolusi begitu mudah dibentuk.

Tunisia, Mesir, Syria dan Libya adalah negara-negara yang tercatat dalam sejarah moden dunia tewas kepada kebangkitan rakyat kerana peranan media sosial seperti facebook dan youtube serta berbagai blogs dan portal yang berjaya membangkitkan kemarahan rakyat justeru mewujudkan revolusi bagi menumbangkan kerajaan sedia ada.

Sama ada berita atau maklumat tersebut adalah benar atau tidak, ianya tidak dapat menghalang kewujudan persepsi buruk yang dimohorkan kepada kerajaan memerintah justeru kebangkitan rakyat yang didokong atau disokong oleh kononnya negara-negara luar yang menjaja nama demokrasi dan hak asasi manusia yang patut dikecap di negara-negara berkaitan memudahkan lagi pemerintahan kerajaan tersebut digulingkan.

Gelombang ini tidak terhenti setakat di Timur Tengah. Di Asia, bahang gelombang siber ini turut dirasai oleh Indonesia, Thailand, Malaysia dan baru-baru ini di Singapura. Bahkan, Kemboja dan Vietnam mula mengadu kepada negara jiran tetangganya berkaitan serangan-serangan di alam siber tersebut.

Maka, jangan diperkecilkan pengaruh media sosial dan pemainnya kerana jika ia tidak dipantau dan diambil berat, kejadian yang berlaku di Timur Tengah bakal berlaku juga di Asia.

Baru-baru ini dalam satu insiden tercatat dalam sejarah moden dunia, United Kingdom turut terkena tempias gelombang siber bila mana ‘Riot London’ berlaku dan merebak kerana peranan media sosial seperti twitter.

Bloggers vs Politicians

Selepas ‘Tsunami 2008’, senario di Malaysia berkaitan medan siber sebagai alat penyebaran maklumat dan propaganda lebih bersifat terbuka.

Kerajaan pimpinan parti dominasi, BN, mula mengambil sikap pro-aktif dalam mewujudkan jentera-jentera siber setelah terbukti, parti-parti yang membentuk pakatan pembangkang berjaya maju beberapa tapak ke hadapan kerana peranan ruang siber dan media sosial dalam mempromosikan kempen mereka yang terhad.

Bagi tidak ketinggalan lebih jauh, BN bingkas dan sedaya-upaya bangun mewujudkan jentera sibernya, yakni, tidak bergantung harap semata kepada ahli dalam parti-parti perikatan BN yang dianggap ortodoks serta konvensional dalam menjalankan kempen mereka melalui media sosial dan ruangan siber.
Ini jelas kelihatan bila mana Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2010 menegaskan peri-pentingnya ahli-ahli UMNO menguasai alam siber dan menggunakan kemudahan-kemudahan media sosial yang banyak terdapat dalam internet.

Bersandarkan kata kunci ‘Transformasi’, Najib sedaya-upaya memperbaharui pemikiran ahli UMNO dan menguasai medan siber adalah salah satu daripadanya.

Berbagai program diberikan kepada ahli-ahlinya bagi mewujudkan kesedaran tentang penguasaan alam siber dalam era politik moden dunia dan secara tak langsung untuk mewujudkan jentera siber yang mampu bukan setakat menangkis serangan-serangan pihak lawan, bahkan menyerang lawan serta melemahkan mereka.

Mungkin sahaja budaya ‘selesa dengan apa yang ada’ menghalang jentera kuat dari kalangan ahli diwujudkan, justeru, mewujudkan pengamal media sosial di kalangan rakyat yang tidak berparti tapi sanggup berjuang demi BN adalah lebih mudah.

Bloggers dan pemain media sosial ini mula dianggap sebagai ‘Weapon-X’ dalam melakukan tangkisan serta menyerang lawan pada masa yang sama.

Bloggers (tidak kira pro-BN mahupun pro-pembangkang) dianggap sebagai ‘fearless warriors’ kerana pergerakan serta ‘mode’ mereka melakukan serangan mahupun menangkis serangan tidak terdapat dalam mana-mana silibus pembelajaran rasmi mahupun kod etika. Dan yang penting sekali, amat susah untuk mereka dikenakan tindakan undang-undang kerana ruang perundangan yang terhad atau sahaja beban pembuktian yang tinggi bagi mensabitkan kesalahan.

Bloggers dan pemain media sosial kini dianggap sebagai musuh utama kepada ahli politik (sudah pasti jentera pro-BN dianggap musuh oleh ahli politik pembangkang dan sebaliknya) walau pun mereka turut menyumbang dengan skala yang besar pengaruh parti serta ahli politik.

Pencerobohan Hak Privasi

Acapkali bloggers mahu pun pengamal media sosial melanggar terutamanya hak privasi seseorang, namun hanya sedikit yang disabitkan dengan mana-mana undang-undang kerana faktor kesedaran tentang hak mereka sebagai rakyat Malaysia masih lagi rendah, atau kerana beban pembuktian yang begitu tinggi hingga mempertahankan diri selaku mangsa menjadi remeh jika dibandingkan dengan kos mendapatkan harga diri melambung tinggi bila mana melibatkan mahkamah dan peguam.

Tetapi, bagi seorang ahli politik, menjadi kebiasaan mereka menggunakan pentas politik bagi mempertahankan diri dan pada waktu yang sama meraih simpati mahu pun pengaruh apabila hak privasi mereka dicerobohi.

Tidak ramai yang mahu menjadi seperti Dato’ Sri Rais Yatim dalam mendapatkan justifikasi harga diri melalui saluran perundangan dan mahkamah. Namun, tektik meraih simpati di atas seperti dalam kes Elizabeth Wong juga diakui amat berkesan - asal sahaja bloggers dan pemain media sosial tahu memainkan peranannya dalam membantu kes seperti Elizabeth Wong.

Apa pun, kelihatan di Malaysia tiada apa yang dapat menghalang bloggers mahu pun pemain media sosial untuk terus-terusan melakukan serangan. Atas nama Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan untuk bersuara dan memberikan pendapat, bloggers dan pemain media sosial menjadikannya perisai terhadap perbuatan mereka.

Bloggers dan Pemain Media Sosial sebagai ‘Kuasa Ketiga’ Tetapi Belum Lagi sebagai Ahli Politik

Kembali kepada persoalan utama yang diutarakan oleh Syed Akhbar Ali, bahawa bloggers kini menjadi ‘kuasa ketiga’ atau the third force. Ya, saya akui, bloggers dan pemain media sosial mampu berperanan sebagai ‘Kuasa Ketiga’ dalam mewujudkan persepsi terhadap lanskap politik negara kerana kuasa mempengaruhi pembaca ruangan siber.

Tetapi saya secara peribadi tidak bersetuju bahawa bloggers mahu pun pemain media sosial mampu menjadi ahli politik yang baik kerana pengaruh kuasa yang mereka pegang.

Terlalu banyak faktor yang perlu seorang bloggers mahu pun pengamal media sosial penuhi sebelum layak bergelar ahli politik yang baik terutamanya keberkesanan mereka dalam menjalankan tanggung jawab sosial terhadap masyarakat secara nyata… bukan secara maya.

Saya teringat sewaktu saya bertanya kepada seorang sahabat yang sangat kreatif dalam pembikinan klip video.

“Mengapa tidak membuat klip-klip video yang menarik bagi mempromosikan kerajaan atau pun BN?”

Dia berkata bahawa dirinya sudah selesa dengan kehidupannya dan tidak mahu bergelumang dalam dunia politik yang penuh haru-biru, tetapi beliau berjanji untuk mencari beberapa nama anak muda yang mampu memberikan hasil kerja yang baik sepertinya. Namun di hujung ayatnya beliau juga berkata.

“Susah sebenarnya nak cari orang muda yang mahu berikan kerjasama kepada kerajaan mahu pun BN. Kerana orang muda yang amat kreatif biasanya adalah yang selalu ‘rebel’ atau ‘anti-establishment’ ”.

Saya tidak menjawab dan sekadar tersenyum.

Apa yang mahu saya sampaikan di sini adalah UMNO mahupun BN yang membentuk kerajaan sedia ada adalah sebuah parti yang sangat tua dan sangat ‘established’. Mereka punyai banyak protokol dan birokrasi yang menyebabkan untuk menjadi ketua adalah kelihatan begitu sukar sekali. Ahli-ahlinya menjalani persaingan sesama sendiri dan proses ini bukanlah mudah. Mereka perlu berbeza atau ‘extra-ordinary’ dari ahli-ahli yang lain. Mempunyai kredibiliti dan personaliti serta gaya kepimpinan yang terbaik dari yang terbaik.

Mereka diajar untuk mengendalikan sesuatu perkara secara teliti atau ‘details’. Bukan membuat kerja sambil lewa.

Mereka diajar untuk berkhidmat kepada masyarakat. Masyarakat adalah agenda utama parti.

Diberikan tanggungjawab untuk melakukan amanah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli akar umbinya yang merasai denyut nadi masyarakat sekeliling.

Sebenarnya, mana-mana parti pun, bukan setakat UMNO-BN, bahkan parti-parti pembangkang seperti PAS dan lain-lain adalah bertujuan murni pada asal penubuhannya iaitu untuk berkhidmat kepada ahlinya dan masyarakat.

Namun manusia adalah tetap manusia. Manusia pasca Rasulullah s.a.w. tidak akan sunyi dari melakukan kesalahan dan kesilapan dan atas sifat manusia itu maka parti yang asalnya putih berubah menjadi kotor.

Namun, jika tidak memasukinya, bagaimana pula mahu melalui ‘excersize’ menjadi pemimpin melalui kebaikan serta keburukannya.

Amat mudah untuk menulis dan menuding, tetapi saya kira bukan senang untuk mempraktikkan atau mengamalkan, tidak seperti menulis.

Selain menulis dan berkarya, praktikal adalah penting. Justeru, banyak lagi faktor yang perlu ditimbangkan sebelum mendabik dada dan berkata, “akulah pejuang sejati yang berjuang siang dan malam untuk parti (mana-mana parti pun) dan rakyat!

Tetapi, jika menulis dan berkarya yang saya kira merupakan satu anugerah Tuhan kepada hamba-Nya diperolehi dari seorang yang memenuhi kriteria-kriteria sebagai ‘winnable candidates’ terdapat dalam ahli parti dan beliau bergelar blogger atau pengamal media sosial, maka andai ditakdirkan dia menjadi calon di kawasan saya, maka sudah pasti saya akan berkempen dan mengundi untuknya.

Namun, jika agenda berjuang adalah bagi meraih kepentingan tertentu seperti ‘kedudukan’, ‘kuasa’ dan yang lebih teruk lagi adalah ‘wang dan harta’, maka tiada maknanya pekikan dan lolongan mereka serta dabikan dada menggelarkan diri mereka sebagai pejuang sejati.

Pada satu sudut pandangan yang lain, jika ada pihak-pihak yang menggunakan nama-nama pemain media sosial serta bloggers bagi mendapatkan habuan dari pihak atasan, ibarat kata sesetengah dari mereka yang mengganggap diri mereka sebagai ‘telah dilacurkan’, maka saya secara peribadi amat bersetuju bahawa; manusia lintah ini (yang menggunakan nama bloggers atau hasil karya mereka) adalah lebih teruk lagi dari sampah masyarakat!

No comments:

Post a Comment