Blog Archive

Saturday, October 22, 2011

Archive #36

HIMPUN menyerang atau diserang? Siapa serang siapa? PDF Print E-mail
Written by StormRiders   
Friday, 21 October 2011 23:39



Maclean Patrick wajar membaca dan menyemak semula artikelnya “Himpun dan politik perpecahan agama” yang disiarkan dalam bm.malaysia-chronicles.com (pautan: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=19241:himpun-dan-politik-perpecahan-agama&Itemid=2).

Jika anda menulis dengan menggunakan logik akal bagi mewujudkan satu teori konspirasi, maka syabas saya ucapkan.

Namun untuk membaca secara ilmiah, penulisan anda wajar dibakul-sampahkan kerana anda terlupa untuk membaca bersama pemakaian undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, 1957.

Sebenarnya, perkara ini tidak sebegitu payah jika dibaca secara literal tanpa mencampur-adukkan dengan berbagai teori yang tidak berlandaskan pengukuhan mana-mana fakta, terutamanya peruntukan mana-mana undang-undang yang ditubuhkan, maka apakah sebenarnya motif kepada penulisan anda? wajar dipersoalkan.

Islam Adalah Agama Persekutuan

Biarlah kita membaca secara tersurat, bahawasanya agama Islam merupakan agama Persekutuan Malaysia seperti yang dipertahankan oleh YB Karpal Singh bilamana YAB Nik Aziz Nik Mat mahukan Malaysia dinobatkan sebagai negara Islam (dalam konteks yang hanya difahami oleh Nik Aziz dan pengikutnya sahaja dan ia berkait rapat dengan polemik hukum hudud).

Perkara 3 (1) dengan jelas menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Intepretasinya sangat mudah difahami, bahawa Islam itu adalah agama yang “utama” di Malaysia, sedangkan atas prinsip-prinsip demokrasi, bahkan, sejajar dengan tuntutan ajaran agama Islam itu sendiri, membenarkan agama-agama lain yang dianuti seseorang itu terus diamalkan asal sahaja keamanan terbela.

Melayu Adalah Islam, Islam Adalah Melayu Dalam Konteks Di Malaysia

Maka timbullah persoalan, siapakah yang boleh menganut agama selain Islam apabila undang-undang itu sendiri tidak menyebutnya atau silence?

Tiada peruntukan yang jelas menyebut siapakah yang boleh menganut agama-agama selain Islam tetapi ini tidak berlaku kepada agama Islam itu sendiri kerana sebagai agama Persekutuan yang punyai keistimewaan tersendiri apabila interpretasi “Orang Melayu” dengan jelas disebut dalam Perkara 160 (2) terkait dengan agama Persekutuan tersebut iaitu Islam.

Perkara 160 (2) dengan jelas menyebut bahawa; “Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu…

Intepretasinya amat jelas, berbanding kaum selain Melayu dan agama selain Islam, Melayu dan Islam digandingkan seawal Perkara 3, 11 dan 160 Perlembagaan Persekutuan, 1957. Ikatan ini adalah ikatan yang amat istimewa tidak diperolehi oleh mana-mana kaum dan agama di Malaysia justeru tidaklah boleh menjadi satu pertikaian oleh mana-mana pihak melainkan keseluruhan Perkara atau fasal itu diubah melalui pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan 2/3 undi ahli parlimen Malaysia.

Melengkapkan keistimewaan agama Islam dan kaum Melayu ini adalah payung yang didaulahkan di bawah Rukun Negara serta dimeterai kukuh oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu Raja Yang Dipertuan Agong sebagaimana peruntukan Perkara 32 fasal (1) hingga (4) Perlembagaan Persekutuan 1957, menjadi Ketua Utama Negara atau Persekutuan Malaysia.

Dan adalah menjadi salah satu fungsi utama Yang Dipertuan Agong mengetuai agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan manakala ketua agama Islam bagi negeri-negeri adalah Sultan di bawah undang-undang atau enakmen tubuh negeri masing-masing.

Perkara inilah yang tidak dinyatakan atau mungkin sahaja tidak difahami oleh Maclean Patrick.

HIMPUN Dipolitikkan Bukan oleh Pengamal Politik Tetapi Ekstremis Agama

Mengapa perlu mempolitikkan “Himpun” sedangkan tuduhan Maclean dengan jelas mengaitkan ia dengan peristiwa Damansara Utama Methodist Church (DUMC) pada tanggal Ramadhan yang lalu.
Jika dilihat dari sudut kesalahan, sebenarnya bukanlah ahli politik per se yang patut dipersalahkan tetapi para ektremis agama yang bertopengkan politik.

Sekali lagi Perkara-Perkara yang dibentangkan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 dicabar dan menjadi pertikaian rakyat berbilang bangsa yang kurang arif atau mahir dengan perundangan. Hak-hak asasi manusia yang menjadi ikutan atau trend kerajaan moden disalah ertikan dengan sistem pengembangan agama.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menggariskan apakah hak asasi seseorang warganegara dan batasannya termasuklah soal beragama.

Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menghalang sesiapa juga mengamalkan agama serta adat resam mereka kecuali terawal di atas disebut bilamana keistimewaan itu terwujud secara semula jadi dengan gabungan Perkara 3, 11 dan 160 Perlembagaan. Dan ia menjadi bertambah 'kebal' dengan kemasukan Perkara 32 berkaitan Ketua Utama Negara yang turut menjadi Ketua Agama Islam.

Melayu dan Islam adalah dua perkara yang jelas disebut, manakala kaum serta agama lain adalah bersifat silence namun sebagaimana diperuntukkan oleh Perkara 11 semua kaum kecuali Melayu berhak mengamalkan anutan dan kepercayaan masing-masing.

Manakala Melayu yang secara otomatis kerana sifatnya yang diperuntukan oleh Perlembagaan tidak boleh disangkal adalah Islam, dan adalah menjadi satu hukum di dalam Islam jika Melayu itu meninggalkan agamanya yakni Islam, maka beliau bolehlah dipertuduh serta dihukum di bawah kesalahan murtad.

Namun, itu bukanlah masalah utama. Masalah utama apabila Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan 1957 itu turut menggariskan proviso menghalang penyebaran atau dakwah agama yang lain terhadap Melayu yang otomatis adalah Islam atau sesiapa juga penganut agama Islam yang lain selain kaum Melayu.

Perkara ini jelas disebut di bawah fasal (4) iaitu; “Undang-undang negeri dan berkenaan Wilayah Persekutuan, undang-undang Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau apa-apa kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

Jika pun benar, kerana sehingga kini kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar YAB Tan Sri Khalid Ibrahim gagal melaporkan perkara yang sebenarnya kepada umum, sebaliknya titah Tuanku Sultan Selangor yang menyatakan bahawa tindakan JAIS dalam kes DUMC itu adalah benar dan tepat menjadi isu utamanya, maka, sewajarnya pihak yang telah melangkaui batas-batas perundangan sebagaimana yang termaktub atau tergaris dalam Perkara 11 fasal (4) Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah tidak lain dan tidak bukan adalah mereka yang melanggarnya iaitu DUMC. Manakala andaian bahawa pelaku murtad pula bolehlah dikenakan pertuduhan di bawah enakmen undang-undang jenayah Islam negeri.

Saya tidak menuduh bahawa DUMC telah pun salah kerana hingga hari ini tiada pertuduhan dibuat ke atas mana-mana pihak, baik si pelaku yang dituduh murtad mahu pun pihak-pihak yang menjalankan pemurtadan si pelaku tersebut.

Sebenarnya, Siapa Serang Siapa?

Namun, penulisan Maclean dari www.malaysia-chronicle.com tersebut yang terus meletakkan kesalahan kepada baginda Sultan Selangor, dan Perdana Menteri Malaysia selaku pemain politik utama yang menjadi dalang kepada perhimpunan umat Islam atau “HIMPUN” adalah satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali sebaliknya cuba menenggelamkan perbuatan salah kepada pihak yang sepatutnya salah.

HIMPUN sebenarnya bukanlah himpunan yang mahu melakukan serangan agama terhadap mana-mana agama selain Islam sebaliknya HIMPUN adalah himpunan mempertahankan hak-hak mereka, dalam konteks ini, Islam dan Melayu-Islam sebagaimana yang jelas tergaris dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, 1957.

Lebih pelik lagi apabila tuduhan dilemparkan bahawa himpunan tersebut merupakan agenda politik dalam pecutan akhir barisan parti yang membentuk kerajaan melakukan 'political-agendas' dalam memastikan kemenangan PRU-13.

Sebenarnya, pihak yang mempolitikkan dengan cara mempertikaikan HIMPUN lah yang melakukan serangan, seperti Maclean dari www.malaysia-chronicle.com ini. Tidak mustahil terdapatnya ekstremis agama yang bertopengkan politik di pihak pembangkang dalam usaha menyembunyikan kesalahan mereka melalui cara “preemptive strike”.

Siapa serang siapa sebenarnya?

No comments:

Post a Comment