N Surendran; Merasionalisasikan Undang-Undang atau Melacurkannya? |
Written by GreenHood |
Thursday, 25 August 2011 10:35 |
Oleh: GreenHood Membaca artikel N Surendran, peguam ‘tersohor’ hak asasi manusia dan Naib Presiden PKR bertajuk “Mengapa Anwar Pilih Cara Mandela Dan Buat Kenyataan Dari Kandang Tertuduh” yang disiarkan dalam berita portal http://malaysia-chronicle.com disiarkan pada hari Selasa, 23 Ogos 2011 jam 11:38 pagi membuatkan saya termenung sebentar. Sebagai pengamal undang-undang yang dilabelkan sebagai ‘prominent lawyer in civil rights’ dan dengan penulisan beliau tersebut membuatkan hati saya sedikit menyanggah; pertama, kerana saya juga pernah beramal sebagai peguam dan kedua, sebagai bekas pengamal undang-undang saya merasakan bahawa Surendran gagal membezakan antara penulisan penuh profesional dan penulisan yang penuh dengan garapan dan rencah politik. Siapa juga pengamal undang-undang akan tahu bahawa sesebuah kritikan sewaktu perbicaraan sedang berlangsung adalah dianggap sebagai ‘sub-judis’. Perjalanan perbicaraan mahupun kepincangan perundangan (jika ada) hendaklah disampaikan kepada hirarki mahkamah terkemudian dalam bentuk rayuan. Mungkin sahaja Surendran merasakan apa yang telah berlangsung bolehlah dikritik, yakni, dalam konteks penulisannya - mengupas sebab-musabab Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk memberi keterangannya di dalam kandang pesalah dari memberi keterangan bersumpah di kotak saksi. Terkemudian, Surendran menyamakan tindakan Anwar tersebut persis tindakan Nelson Mandela sewaktu beliau (Mandela) menjalani perbicaraannya sekitar tahun 1963. Akhirnya, mengaitkan dengan ayat yang popular digunakan oleh Mandela menyebut bahawa “…keputusan yang hanya dilakukan ialah (mengaku) ‘bersalah’ dan lebih suka membuat kenyataan penuh dan koheren mengenai perjuangannya dan bukannya membiarkan hujahnya muncul dalam ‘kepingan’ sewaktu pemeriksaan balas”. Mungkin sebagai ‘prominent lawyer’, Surendran cuba mencipta ‘undang-undang baru’ - sedangkan semua sarjana perundangan mahupun pengamalnya di Malaysia tahu bahawa undang-undang terbentuk pertamanya kerana digubal dan diluluskan peringkat ‘legislative’, kemudian menjadi kes duluan, sama ada kerana mengikut undang-undang (akta dan ordinan) yang digubal di peringkat ‘legislative’ mahupun atas penghakiman hakim dalam perbicaraan, atau juga dari bahan artikel yang diterima pakai disifatkan penuh dengan tahap profesionalisme – kesemuanya menjadi otoriti dan bolehlah dirujuk kepada kes yang sedang berlangsung, tertakluk sahaja, jika merujuk kepada kes-kes di luar Malaysia hanyalah terhadap keputusan-keputusan kes negara-negara komonwel yang menggunakan Privy Council sebagai rujukan dan dalam konteks ini, terdapat juga proviso yang mahukan fakta kes hampir menyamai dengan kes yang sedang dibicarakan. Adakah kes Mandela boleh menjadi sebahagian dari otoriti dalam kes Anwar? Saya yakin, jawapan para sarjana perundangan akan cenderung untuk memilih berkata ‘tidak!’. Ini kerana kes Mandela yang lebih dikenali sebagai “Rivonia Trial” adalah ‘purely a political trial’ dalam kempen Mandela mendapatkan kebebasan dasar apartheid dan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan Afrika Selatan; pertuduhan-pertuduhan di mana antara lain adalah merekrut pejuang-pejuang gerila kebebasan dan menerima dana serta menyalurkan kembali dana tersebut bagi maksud yang sama (perjuangan kebebasan dan kemerdekaan mutlak). Sama ada Mandela mahu memilih untuk memberi keterangannya di dalam kandang pesalah mahupun kotak saksi secara bersumpah, fakta yang amat jelas adalah “Rivonia Trial” merupakan satu kes perjuangan politik. Bezanya dengan kes yang dihadapi oleh Anwar adalah - kes terkini (Anwar) adalah pertuduhan “jenayah umum (liwat) dalam sebuah negara yang sudah pun memperolehi kemerdekaan ditambah pula sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan”. Kerana itu, saya secara peribadi berpendapat bahawa Surendran yang ‘prominent’ sebagai peguam hak asasi manusia cuba untuk membuat ‘undang-undang baru’ iaitu undang-undang merasionalisasikan jenayah umum (Anwar) dengan perbicaraan politik (Mandela); satu-satunya kes yang saya percayai mahu diwujudkan semenjak dari “Rivonia Trial”. Surendran harus sedar, tiada perundangan yang akan menerima ‘andaian kebarangkalian’ atau ‘andaian persamaan’ untuk mewujudkan ‘persepsi kesamaan’ dalam mana-mana sistem di dunia ini. Saya katakan bahawa kebarangkalian Mandela dan Anwar tidak langsung boleh diwujudkan dalam kes “Rivonia Trial” dan ”Liwat II” walaupun Anwar memetik kata-kata Mandela sewaktu perbicaraannya. Sebagai rakan yang sama-sama pernah beramal (perundangan), saya khuatir Surendran terperangkap dalam dunia yang tidak lagi dapat membezakan antara jubah peguam yang dipakainya mahupun mahkota politik yang melilit di kepalanya (selaku Naib Presiden PKR). Jika benar Surendran gagal membezakan jubah (peguam) dan mahkota (PKR) nya, saya kira kini “sistem perundangan” sedang dilacurkan oleh beliau! Sayang, seorang peguam aktivis yang berkebolehan sepertinya terjebak dalam kekotoran politik semasa. |
No comments:
Post a Comment