Ahli Parlimen Kuala Langat Hilang? |
Written by GreenHood | ||||
Friday, 25 February 2011 10:42 | ||||
Kuala Langat - Terdapat rungutan ramai pihak terutamanya penduduk sekitar daerah Kuala Langat kesusahan untuk berjumpa dengan ahli parlimen mereke, YB Abdullah Sani bin Abdul Hamid (gambar). Abdullah Sani menjadi ahli parlimen P.122 Kuala Langat pada pilihanraya umum tahun 2008 dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Sulaiman bin Karli dengan kelebihan majoriti 989 undi. Abdullah Sani adalah satu-satunya wakil Parti KeAdilan Rakyat (PKR) yang menduduki kerusi pentadbiran secara politik melalui sistem pemilihan demokrasi manakala 3 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di dalam parlimen Kuala Langat masing-masing di duduki oleh PAS (YB Dr. Ahmad Yunus bin Haji Hairi, N.51 Sijangkang), DAP (YB Philip Tan Choon Swee, N.52 Telok Datok) dan BN (YB Haji Hasiman bin Sidom, N.53 Morib). Sebagai bukan anak tempatan dan tidak mahir dengan geo-politik tempatan (Kuala Langat), Abdullah Sani dikatakan amat sukar untuk mendapat tempat di hati warga Kuala Langat terutamanya kaum Melayu. Sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai satu-satunya wakil rakyat dari PKR, Abdullah Sani juga dikatakan mendapat tentangan dan dimusuhi oleh ahli-ahli PKR dalam cabang Kuala Langat sendiri. Ini amat ketara apabila pemilihan PKR cabang Kuala Langat pada November 2010 bagi jawatan ketua cabang menyaksikan pertarungan sengit 6 penjuru yang akhirnya dibatalkan setelah dua kali percubaan mengadakan sidang mesyuarat tersebut. Namun, desas-desus mengatakan bahawa kuota PKR bagi pilihanraya umum ke 13 yang bakal berlangsung bila-bila masa dari sekarang bakal di isi oleh anak tempatan yang juga semakin gah namanya dalam politik negara terutamanya di negeri Selangor, Faekah binti Husin. Sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah disebut-sebut sebagai calon favourite ahli-ahli PKR Kuala Langat bukan sahaja kerana beliau adalah anak tempatan, tetapi kerana keberaniannya dalam mempertahankan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang semakin teruk diasak oleh UMNO seluruh negeri Selangor menjelang pilihanraya umum ke 13 ini. Mungkinkah atas faktor ini Abdullah Sani menyepikan diri? |
No comments:
Post a Comment