Siapa Main Siapa? |
Written by GreenHood |
Wednesday, 09 March 2011 13:21 |
Editor 9 Mac 2011 - Keputusan telah pun diketahui. Hanya dalam tempoh sebulan, tiga kawasan iaitu N.05 Tenang, N.27 Merlimau dan N.28 Kerdau yang menyaksikan pertarungan dua penjuru di antara calon PAS dan calon BN memihak kepada BN. Entah di mana silapnya, PAS dengan kerjasama parti-parti yang membentuk pakatan rakyat gagal menewaskan BN. Tidak habis di situ, statistik menunjukkan peningkatan ketara dari segi undi yang memihak kepada BN dibandingkan dengan pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008. Di Tenang contohnya, calon BN memperolehi undi sebanyak 6,699 berbanding calon PAS yang hanya menerima undi sebanyak 2,992 sekaligus menobatkan Mohd Azhar Ibrahim sebagai pemenangnya dengan kelebihan 3,706 undi dari 71.8 peratus pengundi yang keluar mengundi. Itu pun peratusan yang keluar mengundi tidak mencapai sasarannya atas faktor iklim dan cuaca yang menyaksikan hujan sepanjang tempoh berkempen dan bertambah buruk semasa hari pembuangan undi. Sasaran awal SPR adalah 80 peratus dari 14,753 pengundi akan keluar mengundi. Di Merlimau, calon BN iaitu Roslan bin Ahmad menerima undi sebanyak 5,962 undi meninggalkan calon PAS, Haji Yuhaizad bin Abdullah jauh di belakang dengan sekadar undi sebanyak 2,319 sahaja. Ini memberikan majoriti yang meningkat kepada calon BN iaitu sebanyak 3,623 undi dari 79 peratus pengundi yang keluar membuang undi berbanding tahun 2008. Ternyata, 79 peratus pengundi dari 10,769 pengundi yang layak mengundi majoritinya meyakini BN sebagai wakil mereka untuk berkhidmat di Merlimau. Di Kerdau, calon BN Syed Ibrahim bin Syed Ahmad memenangi pilihanraya kecil kawasan tersebut dengan penuh bergaya apabila melonjakkan majoriti kemenangan dari 1,602 pada tahun 2008 kepada 2,724 pada pilihanraya kecil kali ini. Ini menambahkan keyakinan BN bahawa rakyat kini mulai menolak PAS khususnya dan pakatan rakyat umumnya dari mewakili mereka. Kesedaran penduduk akan pentingnya keluar dan membuang undi adalah tinggi apabila menyaksikan 83 peratus dari 8,999 pengundi berdaftar telah berjaya menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Di manakah silapnya PAS? Atau mungkinkah kesilapan ini datangnya dari pakatan rakyat sebagai satu pasukan? Tiga kawasan menyaksikan kekalahan yang amat perit kerana faktor utama yang dilihat adalah kenaikkan secara langsung majoriti kemenangan yang berpihak kepada BN. Sewaktu penulis mengunjungi kempen pilihanraya Tenang, kedapatan gerak-kerja yang kemas dan tersusun dilakukan oleh parti-parti yang membentuk ikatan pakatan rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP. DAP kelihatan bersungguh-sungguh membantu kempen hingga menyaksikan peningkatan undi kaum Cina terutamanya di peti undi Labis Tengah. Walaupun BN berjaya merampas kembali kawasan peti undi lain (dua peti undi) yang majoritinya dihuni oleh kaum Cina tetapi lonjakan kemenangan peti undi Labis Tengah boleh disimpulkan sebagai kaum Cina menolak BN dan menerima PAS. Gerak-kerja agresif yang dipertontonkan oleh DAP menenggelamkan nama MCA seterusnya Gerakan yang mewakili kaum Cina dalam komponen BN. Malangnya, perkara di Tenang tidak berlaku di Merlimau apatah lagi Kerdau. Kedapatan DAP memberikan ruang-ruang kepada calon PAS serta jentera pilihanrayanya menggunakan premis serta lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan kaum Cina tetapi gerak-kerja halus hingga ke hari pembuangan undi langsung tidak menampakkan jentera DAP turun ke padang meraih sokongan pengundi untuk mengundi calon PAS. Manakala di Kerdau, jangankan memberi ruang atau tempat kepada calon PAS untuk berkempen bagi meraih undi kaum Cina, kelibat batang hidung pun tidak kelihatan dari hari pertama penamaan calon hinggalah hari membuang undi. Apakah sebenarnya yang berlaku di antara PAS-PKR-DAP? Selain desas-desus perebutan tempat untuk meletakkan calon masing-masing terutamanya di antara PAS dan PKR (hingga diberitakan Shamsul Iskandar, Ketua AMK PKR merajuk gara-gara tidak dinamakan sebagai calon), terdengar juga suara-suara sumbang yang menuding jari kepada Anwar Ibrahim sebagai liabiliti kepada kempen PAS di ketiga-tiga tempat dan terutamanya di Kerdau apabila diberitakan Tuan Ibrahim bin Tuan Man selaku pengarah jentera pilihanraya Kerdau mengeluarkan arahan agar Anwar Ibrahim tidak turun berkempen di sana. Manakala, dari tabir BN pula menyatakan bahawa PAS adalah liabiliti kepada pakatan rakyat kerana bertindak seolah-olah jaguh dalam mahu menjadi pengganti kepada kaum Melayu Malaysia hingga kini berani menolak perkara-perkara yang tidak disenangi oleh DAP terutamanya berkaitan isu premis yang dikompaun oleh kerajaan negeri Kelantan kerana menjalankan penjualan tiket loteri atau judi secara terang-terangan hingga membangkitkan rasa tidak puas-hati terutamanya oleh Karpal Singh. Dari tabir PAS pula, kelihatan bahawa PKR dan DAP sengaja mahu mengenakan mereka dengan membiarkan calon-calon PAS kalah agar keangkuhan PAS yang mahu menerajui pimpinan ikatan pakatan rakyat tergendala. Mereka tidak mahu PAS kelihatan menonjol di antara tiga parti utama iaitu PAS-DAP-PKR sehingga membolehkan mereka menuntut hak yang lebih samada dari PKR mahupun DAP seandainya mereka menang dalam pilhanraya umum ke 13 yang bakal berlangsung bila-bila masa dari sekarang. Jika perkara ini dibiarkan, jangan kan kerusi Timbalan Perdana Menteri, bahkan kerusi Perdana Menteri juga mungkin akan diminta oleh PAS. Sebab itu dua parti PKR dan DAP sengaja menggagalkan calon PAS dalam tiga pilihanraya kecil yang baru berlaku. Sebenarnya, ikatan yang dibina oleh ketiga-tiga parti utama ini adalah sangat lemah melainkan mereka bbersungguh-sungguh untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti yang sah di mana perlembagaan di dalamnya menyatakan secara jelas di manakah duduk letakkan hirarki setiap satu dari komponen yang membentuk pakatan tersebut. Jika ini tidak dilakukan, pakatan rakyat hanya layak digelar sebagai pakatan retorik. Apa pun, masih terdapat ramai pihak di luar sana yang meyakini bahawa pakatan rakyat mampu menggantikan BN sebagai sebuah kerajaan yang adil dan saksama kepada rakyat Malaysia. |
No comments:
Post a Comment