2 dalam 1 - Sindir UMNO, Sebat Nasharuddin |
Written by GreenHood |
Tuesday, 31 May 2011 02:38 |
Oleh: GreenHood Apabila MalaysiaKini melaporkan berita '5 kali pujuk Nik Aziz, tawar 3 menteri' (http://www.malaysiakini.com/news/165493) saya berfikir bahawa kerancakkan kempen pemilihan berbagai jawatan dalam PAS menjelang Muktamar Tahunannya sedang berada di puncaknya. MalaysiaKini dan HarakahDaily merupakan 'bible' yang menjadi panduan kepada ahli-ahli pakatan pembangkang - sebagaimana Utusan Malaysia dianggap kitab kepada ahli UMNO. Setiap penulisan yang dihidangkan oleh wartawan mahupun penulis jemputannya pasti sarat dengan maksud yang tersirat selain dari yang tersurat dibaca secara literal. Akhirnya, mesej yang terselit mahu disalurkan kepada para pembacanya tercapai - tidak kira pembacanya itu adalah seorang 'by-stander' yang 'apolitical' mahupun seorang ahli politik yang tercari-cari 'klu' sebelum membuat pilihan. Memainkan 'isu perpaduan' sebagai tema dan dikaitkan pula dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Bentara Setia Haji Nik Aziz bin Nik Mat apabila dimajukan soalan, MalaysiaKini ternyata punyai agenda tertentu. Secara literal, ataupun tersurat, MalaysiaKini menyindir UMNO dan Barisan Nasional yang begitu terdesak mahu mencari 'perdamaian' dengan PAS, kononnya atas nama perpaduan Melayu dan semangat mahu memartabatkan agama Islam yang kini digambarkan sebagai berpecah belah. Sebaliknya, menjadi adiwira kepada PAS, Nik Aziz bin Nik Mat tidak berganjak dengan keputusannya untuk tidak terjerat dengan permainan politik UMNO yang disifatkan oleh beliau sebagai 'meroyan bagi mengekalkan kuasa' - walaupun 5 kali beliau dipujuk dan kononnya 3 jawatan dalam kementerian bakal diberi sebagai laba andainya 'kerajaan perpaduan' dapat dibentuk di antara UMNO/BN dan PAS. Sebaliknya, apa yang tersirat di sebalik laporan MalaysiaKini adalah pemilihan jawatan kedua tertinggi PAS iaitu jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Nasharuddin Mat Isa bakal dicabar oleh dua orang yang lain - Mat Sabu dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Ironinya, di antara ketiga-tiga nama (Nasharuddin, Mat Sabu dan Tuan Ibrahim) tersebut hanya ada satu nama yang terkait rapat dengan 'urusan rundingan kerajaan perpaduan' seawal Tsunami 2008 melanda politik negara yang memperlihatkan Nik Aziz begitu marah sekali. Nama itu tidak lain dan tidak bukan adalah nama penyandang jawatan Timbalan Presiden PAS - Nasharuddin Mat Isa. Adakah suatu yang tidak disengajakan oleh MalaysiaKini dalam melaporkan berita mengenai insiden pujukan kepada kerajaan perpaduan yang diusahakan oleh UMNO/BN dengan Mursyidul Am PAS itu? Terutama dalam kemuncak kempen pemilihan berbagai jawatan termasuk kerusi nombor dua tertinggi itu? Nik Aziz telah dianggap sebagai adiwira PAS menyelamatkan parti itu dari jatuh ke dalam perangkap UMNO, sebaliknya pihak yang pernah dianggap 'terhegeh-hegeh' pergi melakukan rundingan bersama UMNO adalah petualang yang tidak layak menduduki kerusi nombor dua. MalaysiaKini ternyata bijak dalam menyelitkan mesejnya untuk disampaikan kepada ahli-ahli PAS sewaktu kempen sedang rancak berjalan. Dan perlu juga diingat bahawa MalaysiaKini merupakan portal yang dikaitkan dengan komponen-komponen pakatan pembangkang lain terutamanya PKR dan DAP. Secara peribadi saya beranggapan bahawa Nasharuddin Mat Isa bukan sahaja tidak diminati oleh Nik Aziz Nik Mat sebagaimana tulisan saya dalam 'Tuan Ibrahim Dipaksa Bertanding Jawatan Nombor 2?' (http://kritis-online.com/index.php/editorial/34-politik/399-tuan-ibrahim-dipaksa-bertanding-jawatan-nombor-2), bahkan beliau juga ditolak oleh rakan-rakan pakatan pembangkang yang lain. Sewaktu MalaysiaKini melalui kenyataan Nik Aziz Nik Mat menyindir akan mimpi UMNO/BN untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, Nasharuddin Mat Isa dalam diam telah disebatnya! |
No comments:
Post a Comment