Tuan Ibrahim Dipaksa Bertanding Jawatan Nombor 2? |
Written by GreenHood |
Wednesday, 25 May 2011 23:31 |
Oleh: GreenHood Saya sentiasa beranggapan bahawa Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat adalah "Mahathir" di dalam PAS. Pada usia yang agak lanjut, jika saya menjadi Nik Aziz, saya tidak perlu berebut-rebut untuk bertanding bagi memegang kuasa asal sahaja saya tahu bagaimana untuk mengekalkan 'suara' agar terus didengari. Uniknya PAS adalah bagaimana mereka menerapkan sistem 'kepimpinan ulamak' yakni kepimpinan yang tidak boleh dicabar sewenang-wenangnya walaupun atas nama demokrasi. Mentarbiyah ahli-ahlinya dengan pemikiran bahawa "ulamak itu adalah pewaris nabi maka ia tidak boleh di engkari" membuatkan ahli-ahlinya menutup ruang hati membicarakan secara terbuka kepincangan pemimpin-pemimpinnya - apatah lagi membicarakannya kepada pihak di luar parti. Muktamar Tahunan PAS bagi Tahun 2011 ini bakal menyaksikan pertarungan yang dikatakan sengit bagi jawatan nombor dua. Angin sepoi yang meniup berita bahawa pertandingan kerusi nombor dua itu melibatkan dua pihak sahaja kini bertukar menjadi ribut ganas bilamana Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man mengesahkan untuk turut serta dalam perebutan jawatan kedua tertinggi itu. Teka-teki perpecahan undi bakal berlaku terutama dari kelompok ulamak hangat diperkatakan. Sesetengah pihak mengandaikan bahawa kehadiran Tuan Ibrahim dalam perlumbaan jawatan kedua tertinggi timbul kerana kekhuatiran Nasharuddin Mat Isa tidak mampu mempertahankan golongan ulamak menjadi pemimpin kedua tertinggi bilamana Mat Sabu memperolehi pencalonan terbanyak. Namun bagi saya jika kesatuan hati golongan ulamak dapat dilakukan adalah mustahil Mat Sabu akan menang walaupun menerima pencalonan tertinggi atas faktor ahli-ahlinya yang sudah ditarbiyah bagi mengikuti apa yang telah diamanatkan oleh kepimpinan utamanya yakni ulamak. Dalam konteks ini, jika golongan ulamak mahukan Nasharuddin mengekalkan jawatannya, sudah pasti beliau akan disokong sepenuhnya oleh para ulamak. Siapakah ulamak tertinggi? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah Mursyidul Am - Nik Abdul Aziz Nik Mat. Perselisihan besar antara Mursyidul Am dan Timbalan Presiden PAS itu bukanlah suatu yang rahsia lagi. Kelancangan Nasharuddin dalam membuat perhitungan dengan membelakangkan Dewan Ulamak PAS amat-amat dikesali oleh Nik Aziz. "Rundingan Perpaduan" walaupun kononnya mendapat restu dari Presiden PAS, Dato' Seri Haji Hadi Awang melukakan hati Nik Aziz hinggakan Mursyidul Am itu menganggap Nasharuddin sebagai 'sampah yang menduduki Bachok' suatu ketika dahulu. Walaupun isu tersebut dianggap telah selesai, namun mengenali hati keras Nik Aziz tidak mungkin peristiwa hitam itu akan lupus begitu sahaja dalam sanubarinya. Setidak-tidaknya ia meninggalkan parut yang sekali-sekala berdarah terutama apabila Barisan Nasional memainkan isu 'perpaduan' dalam siri-siri kempennya menjelang pilihanraya umum ke-13. Haji Hadi Awang mungkin terselamat kerana sudah menjadi tradisi PAS tidak akan melanggar kepimpinan nombor satunya melainkan berakibatkan kematian, atau sahaja jika beliau meletakkan jawatan. Peri pentingnya mengekalkan Hadi Awang duduk sebagai 'orang nombor satu' juga adalah berlandaskan faktor bahawa perlunya menjaga kestabilan parti menjelang pilihanraya umum ke-13. Namun, meletakkan Hadi Awang duduk bergandingan Nasharuddin adalah suatu yang tidak menguntungkan Nik Aziz kerana Nasharuddin seringkali dilihat berupaya 'memujuk Presiden PAS itu melawan arus yang dicipta oleh Mursyidul Am'. Memisahkan Hadi Awang dari Nasharuddin adalah percaturan terbaik bagi mengekalkan 'suara Mursyidul Am' dalam kepimpinan PAS. Jadi, jika anda amati baik-baik, Tuan Ibrahim bin Tuan Man sebagai saudara yang mempunyai talian kekeluargaan dengan Nik Abdul Aziz bin Nik Mat adalah calon yang terbaik bukan sahaja untuk mengekalkan kepimpinan ulamak di dalam PAS bahkan calon terbaik bagi menjaga SUARA MURSYIDUL AM agar terus dihormati dan digeruni dari suara Presiden parti itu sendiri. Bukankah awalan tadi telah saya katakan bahawa Nik Aziz adalah "Mahathir" di dalam PAS? Persoalannya, Adakah Tuan Ibrahim sekadar mencuba "market"-nya ataupun sebenarnya dia dipaksa untuk bertanding jawatan nombor dua itu? Anda jawab! |
No comments:
Post a Comment