Blog Archive

Sunday, March 20, 2011

Untold Story - Deja Vu

Ya! Sebagaimana yang pernah saya nyatakan dalam coretan terdahulu [namanya PAK MENTERI... parlimen JANGAN tertinggal!], bahawa pada tahun 2004 saya pernah menjadi wakil calon bagi seorang calon BN bagi satu parlimen dalam negeri Selangor. Saya kirakan bahawa mood rakyat pada tahun tersebut amat baik setelah transisi kepimpinan UMNO dari Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dan transisi kepimpinan berlaku bukan setakat dalam parti yang menerajui kepimpinan negara bahkan "teraju negara itu sendiri" bilamana pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri Malaysia berkuat-kuasa setahun kemudiannya (Tun Abdullah Ahmad Badawi memangku jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama tempoh tersebut manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil keputusan untuk bercuti menunggu tempoh matang persaraannya iaitu 31 Oktober 2003).

Mood rakyat yang baik diterjemahkan dengan kemenangan penuh bergaya BN pada tahun 2004 apabila memenangi lebih 2/3 majoriti kerusi parlimen : 198 berbanding 8. 

Manakala bagi dewan undangan negeri-negeri pula menyaksikan Barisan Nasional berjaya menakluki keseluruhan negeri melainkan Kelantan. Terengganu yang diperintah oleh kerajaan PAS selepas pilihanraya 1999 juga turut dirampas oleh BN.

Pendek kata, kemenangan BN pada tahun 2004 adalah satu rekod baru yang pernah dicatatkan dalam sejarah Malaysia semenjak tahun 1978.

****

Di sebalik kemenangan penuh bergaya oleh BN pada tahun 2004, saya menyimpan satu kenangan yang tidak dapat dilupakan. Calon yang saya wakili adalah calon BN bertanding bagi kerusi parlimen. Namun, dalam hirarki kepimpinan parti (UMNO) peringkat bahagian, beliau merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Di peringkat kebangsaan pula, beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia. Dan tidak dilupakan, dalam kabinet negara beliau bertaraf Timbalan Menteri dalam sebuah kementerian yang terpenting.

Manakala Ketua UMNO Bahagian di mana saya naungi pula merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Lebih dari itu, beliau juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan merupakan antara yang ter-senior. Pendek kata, saya amat bersyukur kerana punyai ketua dan timbalan ketua yang "punyai kedudukan teramat baik" dalam lanskap politik negeri mahupun negara.

****

Kisah pertentangan dalaman UMNO sentiasa "hidup" semenjak UMNO ditubuhkan. Demikian perihalnya dalam bahagian saya. Seringkali berlaku pertentangan di antara "No. 1 dan No. 2". Ini turut dibuktikan oleh sejarah bilamana Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai "No. 1" mendapat tentangan dari timbalannya atau "No. 2". 

Kisah Mahathir-Musa, Mahathir-Tengku Razaleigh, Mahathir-Anwar bukanlah kisah dongeng politik. Ianya adalah kisah benar. Begitulah ianya turut berlaku dalam bahagian-bahagian UMNO seluruh Malaysia. Kisah ini turut berlaku dalam bahagian saya.

****

Sebagai orang "No. 2", saya akui, mungkin "sahabat" yang saya wakili sebagai calon dalam pilihanraya 2004 ada terdetik jauh di sudut sanubarinya untuk menduduki kerusi "No. 1".

Manakala sebagai orang "No. 1", Ketua Bahagian saya pula sentiasa meletakkan "ruang curiga" terhadap "sahabat" yang saya maksudkan dalam perenggan di atas, iaitu si "No. 2". Sama ada disedari atau tidak, kedua-dua pemimpin tertinggi dalam bahagian saya mula mencipta "perang-dingin" di antara mereka.

Kemuncak perang-dingin di antara "No. 1" dan "No. 2" diterjemahkan semasa proses kempen pilihanraya 2004. Sama ada ianya berlaku kerana "ketakutan terhadap bayang-bayang sendiri" mahupun kerana ketidak-sabaran terhadap "keinginan untuk menaiki takhta" - entah dari mana, saya dikejutkan oleh satu gerakan yang dikenali sebagai "Gerakan Dua (2) Doktor".

Doktor-doktor yang dimaksudkan adalah pertama, calon yang saya wakili bertanding bagi kerusi parlimen untuk BN manakala doktor yang kedua dimaksudkan adalah calon yang bertanding bagi kerusi Adun untuk PAS. Doktor kedua akan bertanding kerusi yang sama ditandingi oleh "No. 1" dalam bahagian yang saya naungi - justeru, melihatkan kempen yang dimainkan seolah-olah mengajak pengundi untuk mengundi calon BN bagi kerusi parlimen dan seterusnya calon PAS bagi kerusi Adun.

Ternyata di sini, politik dalaman UMNO telah mengundang satu "perjudian" yang tidak mungkin dapat dimaafkan apabila kolaborasi BN-PAS cuba diwujudkan pada saat-saat pembuangan undi bakal berlangsung dalam beberapa hari hanya semata survival "politik parti" individu tertentu.

Mungkin ada pihak yang cuba menuding jari kepada pembangkang (dalam konteks ini, PAS) yang cuba bermain strategi gila dalam memastikan kemenangan berpihak kepadanya, namun apabila saya didatangi oleh "orang sendiri" yang menghulurkan risalah-risalah kempen "Gerakan Dua (2) Doktor", saya amat pasti bahawa ianya adalah kerja "orang UMNO".

Namun, Tuhan Maha Kaya kerana sebagaimana mukadimah coretan saya di atas, BN telah menang dengan bergaya hampir di seluruh pelusuk negara. Calon yang saya wakili dalam pilihanraya 2004 tersebut telah menang dengan rekod majoriti undi yang tinggi pernah ada dalam sejarah parlimen tersebut. Dan "No. 1" juga telah menang dan seterusnya mengekalkan kedudukannya sebagai EXCO kerajaan negeri apabila kabinet negeri diumumkan tidak lama kemudian. Dan bagi sahabat saya pula, si "No. 2", beliau juga telah dinaikkan menjadi Menteri Penuh pada satu kementerian yang baru diwujudkan.

Namun, percaturan politik dalam parti, yakni di antara "No. 1" dan "No. 2" tetap berterusan walaupun BN telah menang dengan penuh bergaya keseluruhannya pada tahun 2004 tersebut. Mungkin di masa hadapan, saya akan menukilkan kisah bagaimana berakhirnya  "pertentangan di antara mereka", insya-Allah.

****


Baru-baru ini, mengikuti perkembangan politik dalam negeri, saya dikejutkan dengan satu insiden yang membabitkan Ketua UMNO Bahagian Gombak. Mengikuti secara teliti perkembangannya, saya tersandar di kerusi seraya termenung - seolah-olah Deja-Vu tahun 2004 berulang lagi, namun kali ini di Bahagian Gombak - saya berfikiran!    

No comments:

Post a Comment