Blog Archive

Friday, November 2, 2012

Archive #83 - #AES - "MINORITY REPORT"

#AES - "MINORITY REPORT"


Written by GreenHood   
Friday, 02 November 2012 11:59



#AES – “MINORITY REPORT”

Jujur saya katakan, antara topik yang rancak dibualkan sekarang adalah pemasangan kamera AES atau “automated enforcement system”.

Perkara ini menjadi buah mulut ramai pihak termasuklah ahli politik, penyokong parti, pendukung organisasi bukan kerajaan, kakitangan kerajaan mahu pun swasta. Para veteran pencen yang bersidang di surau, masjid, mahu pun warung kopi. Pemandu teksi atau bas, kumpulan korporat mahu pun golongan “yuppies” dan berbagai bentuk manusia lagi yang menghuni tanahair Malaysia.

Antara polemik hebat yang berlaku adalah pertembungan pemikiran ahli politik yang menggunakan AES bagi meraih kepentingan peribadi masing-masing.

Mempertahankan atas berbagai alasan namun tidak lebih dari sama ada perasaan kebertanggungjawaban terhadap peratusan kes kemalangan yang tinggi, sentimen peribadi atas sejarah yang pernah menimpa mereka atau pun keluarga, mahu pun menolak AES kerana prihatin terhadap rungutan pembayar saman yang tertangkap oleh sistem AES ini atau kerana mereka yang merungut ini sememangnya mengamalkan gaya pemanduan yang laju dan khuatir tertangkap oleh sistem AES ini.

Dan masing-masing mempertahankan hujah masing-masing, menggunakan berbagai teori akal mantik mahu pun perangkaan dan statistik bagi menguatkan hujah masing-masing.

Pada tulisan saya yang lalu, jelas sekali saya menyokong perlaksanaan sistem yang baru diperkenalkan oleh JPJ ini atas rasa prihatin dan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia yang mahukan masalah kemalangan jalanraya diatasi.

Namun segala-galanya berubah bila saya sendiri menghadapi situasi yang melibatkan AES.

“The incident”

Pada tanggal 21 Oktober yang lalu, saya telah berada di utara tanahair kerana urusan kerja.

Segala-galanya bermula apabila saya menerima satu teks pesanan melalui aplikasi “whatsapp” yang dikirimkan oleh isteri saya.

Teksnya berbunyi “ayah passed away di sg buloh pagi tadi”.

Teks tersebut dikirim dan sampai kepada saya tepat jam 9.58 pagi.

Demi Allah, tiada yang terlintas di benak fikiran saya melainkan mahu pulang segera ke ibukota Kuala Lumpur dan menatap wajah arwah bapa mertua saya buat kali terakhir sebelum dikebumikan.



Apatah lagi saya kemudian dimaklumkan bahawa jenazah bapa mertua saya akan disemadikan selepas solat Asar.

Saya meninggalkan bilik penginapan saya di Alor Setar berbaki masa kurang dari lima jam.


Satu-satunya cara untuk saya sampai segera adalah dengan memandu selaju mungkin. Itulah yang terlintas di fikiran. Tiada kaedah lain yang mampu saya lakukan ketika itu melainkan memandu pada kadar kelajuan luar biasa dari kebiasaan saya memandu.

Dan itulah yang saya lakukan.

Darurat kecil atau “emergency”

Sepanjang pemanduan saya dari Alor Setar ke Kuala Lumpur saya sedar saya berhadapan dengan risiko kemalangan; langkah yang saya lakukan adalah meningkatkan tahap kawalan memandu sejajar dengan peningkatan adrenalin saya.

Saya turut sedar bahawa saya berkemungkinan tinggi tertangkap oleh kamera polis trafik yang bertugas di “kawasan operasi had laju”. Namun saya bersedia untuk berhujah dengan pihak bertanggungjawab kerana mereka punyai “kuasa budibicara” mempertimbangkan soal “kecemasan” yang dihadapi oleh pengguna jalanraya (sekali lagi saya berani bersumpah sepanjang 39 tahun saya hidup tidak pernah saya menawarkan atau memberi rasuah kepada anggota polis trafik bertugas jika tertangkap melanggar undang-undang keselamatan jalanraya. Bagi sesiapa yang tidak maklum, pihak polis trafik punyai kuasa budibicara mempertimbangkan masalah pengguna jalanraya).

Dan akhir sekali, saya turut sedar bahawa saya turut bakal melanggar peraturan jalanraya bilamana kenderaan saya bakal ‘ditangkap’ fotonya sewaktu melintas kamera AES.

Saya hanya bertawakkal dan berkata pada diri sendiri, “Ya Allah, tolonglah…saya dalam darurat kecil yang memerlukan saya melanggar peraturan jalanraya!”


jenazah selamat dikebumikan, al-fatihah

Alhamdulilah, akhirnya saya selamat sampai ke perkarangan rumah kakak ipar saya tepat pada waktu azan Asar dilaungkan dan sempatlah saya menunaikan solat Asar dan solat jenazah bersama keluarga dan jemaah yang hadir menunaikan tanggungjawab fardhu kifayah menguruskan pengkebumian arwah bapa mertua saya.

“Minority report”

Antara ketiga-tiga kebimbangan saya (kemalangan, ditahan oleh polis trafik yang menjalankan operasi had laju dan tertangkap foto oleh kamera AES), perkara yang ketiga terjadi kepada saya.

Justeru, langkah yang saya ambil adalah dengan membawa foto yang dikirimkan oleh JPJ tersebut ke kaunter JPJ terdekat.

Saya telah memaklumkan kepada pegawai bertugas kecemasan yang saya hadapi sewaktu kejadian tertangkapnya foto kenderaan saya dan merayu agar mempertimbangkan kes saya.


Namun, dukacita dimaklumkan kepada saya bahawa sebarang rayuan mahupun permohonan hendaklah dibentangkan dalam mahkamah jika saya enggan membayar saman tersebut atau jika saya mahu mohon pengurangan bayaran; tiada cara lain!

Dalam kes ini, saya menerima dua keping foto di dua tempat yang berbeza, tapi dalam satu insiden.

Saya perlu membayar RM600 dan lebih dari itu saya terpaksa membayar kesalahan kecemasan ini dengan ‘masa berharga’ yang terpaksa saya ambil menghadapi birokrasi bagi mendengar kes ini.



Kesedihan pemergian arwah bapa saya kini mungkin sahaja bertukar dengan sakit hati kerana terpaksa membayar dengan wang simpanan serta masa yang terpaksa saya korbankan menghadapi birokrasi.

Benar, dalam undang-undang ada menyebut “ignorance of law is not an excuse”, tetapi di manakah kewajaran kuasa budibicara jika AES perlu diselesaikan dengan berbagai peringkat birokrasi yang menyusahkan saya… sebagai rakyat Malaysia?

No comments:

Post a Comment