Blog Archive

Monday, April 2, 2012

'APRIL FOOL SHAHRIR' hanya jenaka atau realiti ?

 
Oleh: GreenHood


Sama ada ‘April Fool’ atau tidak, benar atau palsu, jenaka yang menyebut bahawa Dato Seri Shahrir Samad kelmarin membuat pengumuman meninggalkan UMNO bersama hampir 2,000 penyokongnya telah menyebabkan satu spekulasi yang kurang sihat apatah lagi beliau dikaitkan dengan ‘team Pak Lah’.

Gerakan anti-Pak Lah yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir suatu ketika dahulu sememangnya cukup kuat hingga menyebabkan Shahrir tewas dalam pemilihan Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO tahun 2009 dan seterusnya beliau meletakkan jawatan selaku menteri kabinet.

Badai Tun M yang melanda kepimpinan kerajaan BN di bawah teraju Pak Lah tidak terhenti setakat Shahrir bilamana Pak Lah sendiri akhirnya akur dan meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri justeru memberi laluan mudah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak diangkat menjadi Perdana Menteri keenam sehingga kini.

Mengimbau sejarah karier politik Shahrir yang penuh dengan kontroversi membuatkan sesiapa yang mendengar ‘berita palsu’ itu kelmarin hampir sahaja percaya kerana sebagai bekas Setiausaha Politik kepada Tun Musa Hitam, Shahrir sudah pasti ada ‘menyimpan perasaan sesuatu’ sewaktu pengguguran nama Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bahkan, sewaktu persaingan sengit antara Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah serta sewaktu krisis perlembagaan, Shahrir pernah berjuang atas tiket bebas walaupun tidak atas tiket Semangat 46 apabila Ku Li gagal mengambil-alih UMNO dari cengkaman Mahathir. Ini dilihat sebagai satu tanda protes kepada kepimpinan Mahathir waktu itu.

Jaringan Musa Hitam - Ku Li - Pak Lah dianggap sinonim sebagai pihak yang berhaluan kiri sewaktu pemerintahan Mahathir. Maka, tidak mustahil gerakan itu masih wujud walaupun Perdana Menteri Malaysia terkini adalah Najib bilamana dilihat hubungan istimewa di antara kedua-dua Najib dan Mahathir itu.



Apatah lagi kini wujudnya desas-desus Ku Li yang mahu menjadi ‘Plan B’ kepada pakatan pembangkang seandainya Anwar dipenjarakan sewaktu ‘peristiwa 901’ dahulu.

Khalid Samad, adik kepada Shahrir dalam akaun Twitter.com nya tidak menyembunyikan perasaannya dengan menyatakan apa-apa juga boleh berlaku walaupun turut mengakui bahawa berita itu (kemasukan Shahrir ke dalam PAS) merupakan satu berita palsu.
 
Shahrir yang pernah mengejutkan Dewan Rakyat sewaktu mengetuai Kelab ‘Backbencher BN’ (Barisan Nasional Backbencers Club atau BNBBC) pada tahun 2006 dengan bersetuju akan usul yang dibawa oleh pembangkang mampu mencipta apa juga kejutan.

Seperti juga beliau membuat kejutan dengan keluar dari dewan tersebut dan mengumumkan perletakan jawatan selaku Pengerusi BNBBC.

Jadi, bukankah jenaka ini ada sedikit kebenarannya? Atau mungkin Shahrir ada ingin menyatakan sesuatu?

 

No comments:

Post a Comment