Blog Archive

Saturday, January 28, 2012

Archive #61

Fenomena Hasan Ali & 'Kuasa Ketiga' PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Saturday, 28 January 2012 13:39

Oleh: GreenHood

Ya, Dato Dr Hasan Ali adalah ikon baru. Ikon baru pada perjuangan yang usang.

Ikon baru - Hasan Ali menjadi ikon baru kerana terpecatnya beliau dari keahlian PAS dan exco kerajaan negeri Selangor.

Perjuangan usang - usang kerana beliau menentang penyelewengan akidah yang membawa kepada pemurtadan umat Islam di Selangor sedangkan perjuangan ini merupakan agenda besar PAS dengan melabelkan UMNO-BN sebagai sekular dan gagal menanganinya, suatu ketika dahulu. Setidak-tidaknya sebelum PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR seterusnya membentuk kerajaan negeri di Kedah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Perak (sebelum  Perak kembali ke tangan BN atas faktor teknikal) termasuk Wilayah Persekutuan.

Secara tiba-tiba Hasan Ali terangkat menjadi hero dalam perjuangan usang. Beliau menjadi ikon. Ikon bukan kepada UMNO tetapi kepada ahli PAS yang masih tinggal di dalam PAS khususnya, dan umat Islam majoriti yang non-partisan.

Selain dari itu, Hasan Ali tiada kena-mengena dengan UMNO.  Itu jelas.

Hasan Ali sebagai ‘parasit’

Ada sebilangan pemerhati politik, terutamanya yang cenderung kepada pakatan pembangkang  menganggap Hasan Ali adalah ‘parasit’ yang merosakkan kerjasama baik PAS-DAP-PKR. ‘Parasit’ ini kononnya mendapat ‘sokongan gelap’ UMNO-BN terutamanya apabila dikaitkan dengan ide membentuk kerajaan perpaduan, sejurus selepas keputusan pilihanraya umum (PRU) 13 diperolehi.

Teori itu dikukuhkan dengan penglibatan beberapa individu lain di dalam PAS dan lebih teruja, nama Datuk Seri Haji Hadi Awang turut terkait. Testimoninya adalah dokumen ‘perjanjian sulit’ (beberapa blog telah pun menyiarkan surat perjanjiann tersebut untuk dinilai oleh pembaca) yang bukan lagi sulit kini cuba ‘dijual’ oleh Azmin Ali sebagai amaran agar Hasan Ali menutup mulutnya demi menjaga nama individu-individu yang juga terkenal dengan jolokan ’10 kambing hitam’. Ujar Azmin, segala rahsia Hasan Ali berada dalam tangannya.

Untuk lebih meyakinkan, pertentangan Hasan Ali dengan pemimpin tertinggi pakatan terutamanya dari PKR adalah kerana gerakan menggulingkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang memberi kelebihan hanya kepada PKR dan tempiasnya kepada DAP. Jika Khalid Ibrahim terguling, maka Hasan Ali akan mudah menjadi Menteri Besar serta memberi kelebihan kepada PAS.

Sebab itu, apabila Azmin bertempik, tindakan yang diambil oleh Hadi Awang selaku Presiden PAS adalah dengan memecatnya. Secara politik, ini akan menutup ‘kegiatan gelap’ PAS yang berusaha mendominasi lanskap politik Selangor. Namun, Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah bodoh dan buta orangnya.

Teori ini berlegar-legar di sekitar Kuala Lumpur, Sungai Pechala, Tropicana, Shah Alam, Melawati, Gombak atau mana-mana kawasan bandar yang didiami elitis Melayu. Ini teori orang-orang Bandar.

Parasit adalah kumpulan Anwarinas di dalam PAS


Hasan Ali adalah pejuang sebenar PAS yang membawa panji Islam dalam kepimpinan negeri Selangor. Melaksanakan penguatkuasaan enakmen undang-undang Islam negeri kononnya adalah permulaan langkah PAS dalam menegakkan dan memertabatkan Islam bertepatan dengan dasar perjuangan PAS di negeri Selangor.

Maka, sebagai exco kerajaan negeri yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam, Hasan Ali gagah membenteras perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti penjualan sewenang-wenangnya minuman keras dan kegiatan meminum arak tegar oleh umat Islam yang tidak beriman. Beliau turut menggempur tempat-tempat yang dipercayai pusat kemaksiatan berlaku seperti hotel-hotel bajet dan spa yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Yang paling mendapat tumpuan utama Hasan Ali adalah menggempur kegiatan menyelewengkan akidah umat Islam yang rapuh iman dan ilmu agamanya hingga pemurtadan terjadi dengan kes-kes yang dilaporkan hebat berlaku seperti kes Lina Joy diambil sebagai contoh.

Serbuan ke atas gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) adalah kemuncak kemarahan parti yang membentuk perikatan pakatan terutamanya DAP. Jika awalnya Ronnie Liu begitu berang dengan tindak tanduk Hasan Ali yang menghalang urusniaganya, kini Teresa Kok, Elizabeth Wong, Jayakumar Xavier dan beberapa tokoh lain di Selangor turut bangkit marah dengan perlakuan Hasan Ali.

Hasan Ali tidak peduli itu semua. Baginya, ini adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dan ianya bukan sekadar amanat rakyat yang mengundinya lebih dari itu beliau bertanggungjawab sebagai pemimpin Islam yang akan ditanya oleh malaikat sebelum ditimbang amalannya. Ini juga merupakan asas kepada perjuangan sejati PAS. Setidak-tidaknya, inilah yang dipercayai oleh akar umbi PAS yang tidak mahu tahu hal politik peringkat tertinggi melainkan Islam termertabat dengan kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada mereka.

Tindakan Hasan Ali yang mendatangkan geruh kepada perikatan pakatan terutamanya DAP tidak menyenangkan Anwar Ibrahim. Justeru, kumpulan Anwarinas yang wujud di dalam PAS memainkan peranan sehingga tersingkirnya Hasan Ali.

Siapa ‘parasit Anwarinas’ ini hanya Hasan Ali yang boleh menjawapnya.

Itu teori yang berlegar di sekitar Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sungai Besar, Kuala Langat datau kawasan-kawasan luar Bandar yang dihuni majoriti Melayu kelas pertengahan. Atau sahaja peringkat akar umbi pas peringkat ranting dan cabang. ­Ini teori orang-orang Kampung.

Penjelasan Hasan Ali dengan melakukan roadshow adalah perlu

Ada segelintir pemerhati politik mahu pun penulis politik mempertikaikan kenapa perlu  memberi tumpuan dan perhatian khas kepada Hasan Ali ? Malahan ada juga yang memberi amaran kepada UMNO agar jangan terlibat dengan gerakan Hasan Ali.

Bagi saya, Hasan Ali tetap ikon bukan kepada orang UMNO tetapi kepada perjuangan teori kedua. Dan jika teori pertama teraplikasi, meletakkan Hasan Ali sebagai Menteri Besar Selangor dalam pakatan juga adalah satu perjuangan yang betul pada landasan yang betul.

Hanyasanya, PAS masih gagal meletakkan makam (hirarki) mereka di tempat yang sepatutnya iaitu makam tertinggi di antara pakatan PKR-DAP-PAS.

Hasan Ali perlu menjelaskannya !

Kuasa Ketiga

Sebenarnya, ‘kuasa ketiga’ atau ‘the third force’ bukanlah perkara yang baru atau asing di Malaysia. Ia mungkin janggal bila mahu diimplimentasikan kepada kaum Melayu seolah-olah kaum ini sudah putus asa dengan wadah parti politik sedia ada yang dihimpuni oleh kaum Melayu.

Tetapi ‘kuasa ketiga’ bukanlah asing kepada kaum Cina terutamanya. Kaum Cina telah lama mewujudkan ‘kuasa ketiga’ bagi menjaga dan membela kaum mereka. Jika diteliti, terlalu banyak persatuan-persatuan yang dianggotai oleh kaum Cina bersifat non-political . Jumlahnya mengatasi angka parti politik yang dianggotai oleh kaum Cina.

Peranan ‘kuasa ketiga’ adalah bagi memastikan kepentingan kaum mereka yang melibatkan perniagaan, pendidikan, agama dan bahasa terutamanya.

Peranan ‘kuasa ketiga’ ini sebenarnya amat besar membentuk pemikiran dan hala-tuju kaum Cina berbanding peranan parti politik. Parti politik hanyalah terjemahan terakhir kaum ini dalam bentuk undi semasa proses demokrasi dilaksanakan. Namun, kesepakatan ‘kuasa ketiga’ tidak sebenarnya datang dari pergeseran parti.

Ringkasnya, kaum Cina telah sebenarnya menunjukkan ‘kuasa ketiga’ dahulu. Mampukan Melayu melakukannya ?

Saya dengan tulus hati berpendapat, Melayu hanya dapat bersatu jika UMNO dan PAS bersekutu. Selebihnya, Melayu hanya semakin berpecah kepada kumpulan-kumpulan yang lebih kecil dan akhirnya layu.
 
Copyright © 2012 Kritisonline. All Rights Reserved.

2 comments:

  1. Perjuangan menegakkan Islam usang?????

    ReplyDelete
  2. Yang baru mungkin 'PERJUANGAN NEGARA BERKEBAJIKAN'. barangkali.

    ReplyDelete