Blog Archive

Thursday, December 22, 2011

Archive #45

Kontroversi Hasan Ali, Nasha dan Saifuddin - mana lebih demokrasi, PAS atau UMNO ? PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Thursday, 22 December 2011 15:53

Oleh: GreenHood

Ada 2 perkara yang menarik perhatian saya. Pertama, bagaimana PAS menangani situasi YB Dato Dr. Hasan Ali, EXCO kerajaan negeri  Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS bagi negeri Selangor dan bekas Timbalan Presiden PAS, YB Nasharuddin Mat Isa. Kedua, gelombang politik baru yang cuba dibawa oleh YB Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi II ke dalam UMNO.

Antara kedua di atas, penganalisis politik cenderung untuk melihat sejauh mana campur-tangan pemimpin atasan kedua-dua parti yang mewakili kaum Melayu terbesar di Malaysia itu bagi menyelesaikannya.

Kontroversi Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa

Adalah tidak lagi dapat disangkal bahawa Dr. Hasan Ali menerima tentangan terbuka dari pemimpin-pemimpin lain di dalam PAS terutamanya YB Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS dan YB Khalid Samad, Naib Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor. Nasharuddin turut menerima tekanan yang kuat dengan lemparan tuduhan mengatakan kononnya beliau terperangkap dalam game yang dicipta oleh UMNO, justeru memaksa Nasharuddin mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya tetap dan terus setia kepada PAS.

Manakala Hasan Ali terus melakukan apa yang dilihat sebagai provokasi kepada PAS dengan melibatkan diri dalam rancangan live sebuah stesyen televisyen perdana yang dituduh menjadi ejen propaganda kerajaan BN selama ini. Sebelum itu,kenyataan Hasan Ali yang menolak dasar baru perjuangan PAS iaitu ‘negara berkebajikan’ bagi menggantikan dasar asal iaitu ‘negara Islam’ turut dilaporkan dalam sebuah akhbar utama berbahasa Melayu yang kuat menyokong kerajaan BN.




Di satu sudut yang lain, akhbar yang menjadi lidah rasmi PAS, turut memainkan peranan membesar-besarkan isu Hasan Ali serta Nasharuddin. Nasharuddin sebagai contoh menjadi bahan satira kolum karikatur tetap mereka.

Hari ini, dilaporkan bahawa kedua-dua Hasan Ali dan Nasharuddin akan dipanggil oleh PAS Pusat bagi menyelesaikan kemelut yang wujud akibat pergeseran pendirian mereka terhadap ‘dasar’ matlamat perjuangan parti itu mengikut keputusan jemaah bersama yang dipersetujui oleh Majlis Syura.

Apa pun, keputusan campur-tangan PAS pusat adalah jelas!




Kontroversi Saifuddin Abdullah

Saifuddin memang terkenal dengan agenda ‘politik baru’ nya. Buku beliau berkaitan politik baru telah dilancar dan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah hotel di Putrajaya tidak lama dahulu.

Saya pernah bertemu dan mendapatkan pandangan beliau berkaitan ‘politik baru’ yang digariskan dalam bukunya. Beliau membayangkan kepada saya bahawa idea politik baru yang ditulisnya diterima secara peribadi oleh Najib Tun Razak. Bahkan ia selari dengan hasrat Perdana Menteri itu yang mahukan transformasi secara holistik di Malaysia. Bukan sekadar teori, tetapi praktikal.

Bertanya kepada beliau apakah kekuatan yang beliau miliki dan apakah pula halangannya. Beliau berkata kekuatan yang dimiliki olehnya adalah rakyat Malaysia yang semakin terbuka mindanya dengan politik terbuka atau juga dikenali sebagai ‘worldview politic’. Ditambah dengan faktor generasi muda yang membanjiri lanskap kepadatan penduduk di Malaysia dan secara amnya membawa pemikiran yang berbeza dan tidak bersifat ortodoks. Pengaruh generasi ‘X’ dan ‘Y’ tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Bercerita tentang halangan yang dilaluinya, beliau mengakui hakikat bahawa ‘orang lama’ yang tidak mahu berubah adalah halangan besar kepadanya. Saya bertanya soalan ‘nakal’ adakah ‘orang lama’ yang beliau maksudkan terdiri dari kelompok politikus terutaman mereka yang berada di dalam UMNO? Beliau hanya tersenyum dengan penuh seribu makna.

Mungkin dengan kepercayaan terhadap ideologi ‘politik baru’ dan ‘worldview politic’, beliau cuba mendapatkan pengaruh daripada gerakan-gerakan pembaharuan walaupun ianya hanya digerakkan oleh mereka yang bergelar mahasiswa. Sama ada beliau tahu atau tidak, mahasiswa yang terlibat dalam insiden 17 Disember juga dikaitkan dengan usaha dari pakatan pembangkang untuk menggunakan mahasiswa ini demi kepentingan peribadi mereka dengan bukti yang jelas akan kehadiran YB Tian Chua, Naib Presiden PKR serta Che’gu Bard, pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sewaktu insiden tersebut berlaku.

Menerima pembaharuan politik dengan membenarkan demonstrasi yang dilakukan oleh mahasiswa yang menuntut 6 perkara adalah satu perkara. Menerima memorandum tuntutan 6 perkara juga merupakan satu perkara. Namun kejadian menurunkan bendera Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia ke-enam adalah satu lagi perkara mungkin di luar jangkaan beliau.

Hari ini, mahasiswa yang menyokong kerajaan BN atau lebih tepat Pro Aspirasi menggesa Saifuddin bertanggungjawab meletakkan jawatan. Juga satu gerakan bersifat demokrasi yang wajar Saifuddin terima hakikatnya.

Apa pun, jika Saifuddin masih lagi antara ‘winnable candidate’ yang bakal dicalonkan oleh BN untuk PRU 13, dan jika ditakdirkan beliau menang, ada lagi satu halangan yang akan beliau hadapi. Tentangan dari ahli-ahli politikus ‘yang tidak mahu berubah’ dalam pemilihan parti selepas ianya ditangguhkan selama lapan belas bulan.




Mana lebih demokrasi, UMNO-BN atau PAS?

Namun, di dalam UMNO mahu pun BN, tiada campur tangan nyata yang dilakukan oleh termasuk Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Kebangsaan itu sendiri. UMNO-BN sebagai parti nampaknya lebih ‘demokrasi’ dari PAS.

PAS yang khuatir kontroversi Hasan Ali dan Nasharuddin akan melemahkan parti itu menjelang PRU 13 yang akan muncul bila-bila masa, mengambil langkah menyekat hak Hasan Ali dan Nasharuddin sebagai ahli manakala UMNO-BN pula meletakkan nasib Saifuddin kepada ahli-ahli UMNO sendiri sewaktu pemilihan parti itu nanti. Lagi pun, Saifuddin bukannya bersalah kerana penyelewengan atau salah guna kuasa contohnya mendapatkan pembiayaan perniagaan untuk diri atau keluarganya, kesalahan beliau hanyalah kefahaman ideologi politik baru yang amat dipercayainya.

Last Updated on Thursday, 22 December 2011 16:21
 
Copyright © 2011 Kritisonline. All Rights Reserved.

No comments:

Post a Comment