"National Security" - Jangan politikkan dan bukan permainan suka-suka! |
Written by GreenHood |
Sunday, 18 December 2011 09:11 |
Oleh: GreenHood (Gambar 1: Lawatan Menhan ke Pulau Danawan) Apabila pembangkang memainkan isu ‘keselamatan negara’ bilamana kedapatan soal ketenteraan negara menjadi bahan tontonan awam, sebenarnya mereka punyai substance dalam melontarkan kecaman mereka. Ada perkara perlu dijelaskan kepada awam terutama rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan namun ada perkara yang perlu disimpan demi menjaga keselamatan negara. Sama ada perlu untuk menjelaskan kepada rakyat atau tidak ia bergantung kepada situasi; adakah ianya boleh bagi sebarang kemungkinan sama ada besar mahu pun kecil mendatangkan kemudaratan kepada ‘keselamatan negara’, atau pun tidak? Dalam konteks ini, walau apa juga alasan diberi terutama alasan politik, ia tidak boleh sama sekali bertoleransi dengan kesan ‘collateral damage’ yang berkemungkinan berlaku bila mana pendedahan terhadap sistem pertahanan negara atau pengendalinya menjadi taruhan. Pembangkang mungkin enak melontarkan kesalahan demi kesalahan kepada pihak kerajaan dari sebesar perkara berkaitan kedaya-upayaan sistem pertahanan negara hinggalah soal kepada siapa maklumat tentang pertahanan negara diserahkan bagi tujuan sebaran makluman umum. Objektif yang mahu dicapai mereka adalah mudah; semata-mata bagi meraih kepentingan politik dengan mengucar-kacirkan pelan tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam menjaga soal keselamatan negara dan tanggungjawab memaklumkan kepada umum pada waktu yang sama. Akhirnya, kerajaan terperangkap dalam game yang sengaja dicipta bagi merendah-rendahkan tahap kawal-selia mereka terhadap soal keselamatan negara. Kesilapan yang kecil bukan sahaja menjejaskan persepsi politik, namun yang paling besar risikonya adalah dengan mendedahkan kepada musuh secara tidak langsung pada waktu sebaran makluman umum dilakukan. Sedar atau tidak, sama ada politik mahupun keselamatan, akhirnya kedua-dua elemen tersebut ‘mungkin’ lebur dengan game yang sengaja diadakan awalan disebut di atas. Inilah yang berlaku. (Gambar 2: Ops Tinta bermaksud “Operasi Penulisan Media”) Pre 09-12-2011 Sewaktu ‘Ops Tinta’ berlangsung sekitar bulan Julai yang lalu bagi merakam dan membuat sebaran awam berkaitan ‘Ops Pasir’ di kepulauan Sipadan-Danawan-Simali, kesempatan saya bersama rakan-rakan media (sama ada media perdana mahu pun media sosial) diambil bagi sesi bicara bersama Menteri Pertahanan (Menhan) berkaitan isu semasa terutama berkaitan pertahanan negara. Masih segar dalam ingatan, Menhan bersama panglimanya bersikap prihatin dan ingin tahu apakah pandangan luar (masyarakat) yang perlu dijelaskan olehnya selaku menteri yang berkaitan - hanya satu perkara besar yang consensus oleh para pengamal media waktu itu perlukan penjelasan dan penerangan dan ianya tidak lain dan tidak bukan adalah isu berkaitan ‘Scorpene’; kapal selam negara yang kini dinamakan sebagai KD Tunku Abdul Rahman dan KD Razak. Isu berkaitan kapal selam negara benar-benar menjadi suatu liabiliti kepada kerajaan kerana kontroversi yang dicipta oleh pembangkang dan secara kebetulan sewaktu ‘Ops Tinta’ bagi ‘Ops Pasir’ itu berlangsung, peguam Perancis yang diupah oleh Suaram, William Bourdan baru sahaja diusir keluar dari negara ini kerana membawa ceramah yang berunsur hasutan dan menjejaskan nama serta reputasi negara termasuk soal keselamatan. Tidak cukup dengan itu, seorang ahli parlimen dari barisan pembangkang juga baru pulang dari sebuah negara jiran setelah memberi ceramah yang mengutuk serta merendah-rendahkan kredibiliti pertahanan negara terutama keboleh-upayaan kapal selam negara tersebut beroperasi. (Gambar 3: “Ops Pasir” adalah usahasama Angkatan Bersama Tentera [Darat/Laut/Udara] dalam mengawal kepulauan di Sabah) Satu sifat terpuji yang ada pada Menhan adalah keprihatinan beliau terhadap pandangan media yang pada tanggapan beliau sebagai kumpulan yang rapat dengan masyarakat dan mengetahui apakah keluhan atau isi-hati masyarakat kerana pada pandangan beliau, pengamal media ini sering turun ke bawah bagi memperolehi berita-berita atau maklumat untuk dirakam dan disiarkan. Justeru itu, beliau mengakui bahawa perkara ini (berkaitan kapal selam) adalah perkara yang dipolitikkan kerana penjelasan demi penjelasan telah diberikan terutama di dalam dewan parlimen namun pembangkang seolah-olah tidak memahaminya atau sengaja tidak mahu faham. Namun, atas faktor keselamatan, bukan mudah untuk mereka (Kementerian Pertahanan) ‘menunjukkan’ dan tidak sekadar ‘bercakap’ di dalam dewan parlimen bahawa apa juga isu yang pembangkang timbulkan sama sekali tidak benar. Pada waktu inilah, beliau bersama panglimanya melontarkan idea untuk membawa pihak-pihak yang mempertikaikan keboleh-upayaan kapal selam negara tersebut terutamanya ahli-ahli yang berhormat dari barisan pembangkang untuk menaiki dan mengalami pengalaman sendiri seterusnya bertanyakan secara one to one kepada pengendali kapal selam itu berkaitan semua kontroversi yang dicetuskan terdahulu. Dan waktu yang paling sesuai bagi membawa mereka yang sering mempertikaikannya untuk menaiki dan mengalami sendiri seterusnya bertanyakan soalan-soalan yang sulit untuk dijawab secara umum adalah sewaktu LIMA 2011 berlangsung (iaitu bulan Disember) kerana ia adalah event yang sememangnya dibuka kepada umum dan sudah pasti beliau (Menhan) akan terlebih dahulu membentangkan usul ini di dalam mesyuarat jemaah kabinet menteri yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri bagi mendapatkan kelulusan. Dan dalam Ops Pasir inilah, cadangan Menhan tersebut disambut baik oleh semua wakil media yang hadir dalam diskusi itu. (Gambar 4, 5, 6 dan 7: Pasukan komando dan penembak tepat - dalam soal keselamatan negara, media dibenarkan untuk menemubual mereka namun wajah dan butiran peribadi mereka adalah dilarang sama sekali untuk didedahkan kepada awam kerana faktor keselamatan. Kos menyiagakan seorang komando menelan belanja ratusan ribu ringgit. Jika keselamatan mereka terdedah, mereka akan hadapi risiko dilucutkan dari pasukan dan ia merugikan pembiayaan penyediaan mereka dalam pasukan tempur terbabit) Post-09-12-2011 Tanggal 9hb Disember 2011 - apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng bersama timbalannya menaiki dan menyelam di dalam KD Razak, maka sewajarnya kontroversi berkaitan keboleh-upayaan kapal selam negara ini turut ditinggalkan dalam dasar lautan yang diselami oleh Lim Guan Eng dan timbalannya. Jika ada mana-mana ahli yang berhormat dari barisan pembangkang masih punyai keraguan tentang keboleh-upayaan kapal selam kebanggan negara ini serta kos yang ditampung dari duit rakyat bagi menyelenggarakannya, tanya sahaja pada Lim Guan Eng dan timbalannya, bukankah mereka masih lagi hidup setelah dibawa menyelam? Dan saya pasti mereka juga telah diberi penerangan terperinci berkaitan dengannya (keboleh-upayaan dan kos) sewaktu di dalam kapal selam itu oleh pengendali KD Razak serta Panglima Angkatan Tentera laut (PTL). Sebagai wakil rakyat, kefahaman mereka (Lim Guan Eng dan barisan pembangkang) adalah mewakili kefahaman rakyat yang memilih mereka namun, jika mereka berbohong, maka mereka telah membohongi rakyat yang mengundinya! (Gambar 8: Menhan bersama Timbalan Laksamana) (Gambar 9: Menhan pula menghiburkan penduduk tempatan dengan paluan gendang setelah awalan beliau dihiburkan oleh pasukan budaya penduduk tempatan) |
Last Updated on Sunday, 18 December 2011 12:21 |
Copyright © 2011 Kritisonline. All Rights Reserved.
No comments:
Post a Comment