Kongres PKR, Akhbar Cina, PAU2011 & Najib Tun Razak |
Written by GreenHood |
Thursday, 08 December 2011 09:16 |
Oleh: GreenHood Sebenarnya, artikel terjemahan bahasa dari akhbar berbahasa Cina kami telah terkumpul seminggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO 2011 (PAU2011) berlangsung bermula dari 29/11/2011 hingga 2/12/2011 yang lalu. Apa yang ketara dari perolehan saya mendapati bahawa ramai dari penulis akhbar-akhbar tersebut ‘menjerumuskan diri secara langsung’ dan memberi penekanan soal kehendak, atau kemahuan dan tidak keterlaluan jika saya katakan sebagai ‘amaran’ komuniti kaum Cina kepada kaum Melayu yang diwakili parti Melayu terbesar di Malaysia, UMNO, kerana pada tanggapan mereka apabila PAU bermula maka soal Melayu yang terkait rapat dengan soal ‘ketuanan Melayu’, keistimewaan Melayu, dan berbagai bentuk hal berkaitan Melayu akan dibawa oleh perwakilan UMNO dan seterusnya bergegar dalam dewan yang menghimpunkan para ‘hulubalang Melayu’. Jika perwakilan mula lantang bersuara menyahut cabaran, atau menangkis amaran, atau cuba-cuba menjustifikasikan sesuatu dari petikan lidah-lidah pengarang akhbar tersebut yang dianggap mewakili komuniti kaum kedua terbesar di Malaysia, Cina, maka cabar mencabar akan berlaku. Ia seterusnya dilihat sebagai kononnya ‘kemuncak’ perang dingin antara 2 komuniti kaum terbesar di Malaysia. Justeru, gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bolehlah dianggap sebagai satu retorik politik yang tidak membawa sebarang makna. Malangnya, itu semua tidak berlaku. PAU2011 berlangsung tanpa pengkhususan tentang subjek hak-hak Melayu. Ia lebih terarah soal dalaman parti itu sendiri, UMNO. Ia adalah perhimpunan yang membicarakan soal persediaan parti tersebut menjelang PRU 13. Saya selalu menyebut kepada rakan-rakan saya bahawa PAU2011 adalah proses ‘mencuci dalaman UMNO’ yang dilakukan oleh presidennya, Najib Tun Razak. Ternyata, Najib berjaya mengelak dari berlangsungnya perdebatan soal hak perkauman oleh para perwakilan UMNO yang boleh mengundang kepopularitian UMNO menjunam jatuh. Malahan, Najib berjaya melakukan transformasi minda kepada ‘orang-orang UMNO’ dari terkurung dalam pemikiran jumud hanya kepada satu kaum sahaja. Lebih bergaya, Najib berjaya menggunakan pentas yang ditonton melalui kaca-kaca televisyen secara ‘live’ oleh jutaan rakyat Malaysia untuk menyerang parti-parti pembangkang. Jika dilihat dari artikel-artikel terjemahan akhbar berbahasa Cina, ramai penulis yang meng-’highlight’-kan isu perkauman bermula dari cabaran Ketua AMK PKR, Shamsul Iskandar yang mahu UMNO meminda perlembagaan persekutuan untuk menunjukkan kesungguhan UMNO menjadi juara kaum Melayu dan seterusnya disambut oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjanjikan bahawa kerusi perdana menteri bukan khusus untuk Melayu sahaja sewaktu berucap menutup kongres tersebut. Seterusnya, bermulalah isu-isu perkauman yang dimainkan oleh ahkbar-akhbar berkaitan sehingga PAU bermula. Mungkin sahaja pembangkang sudah bersedia untuk terus memberi ‘tekanan’ kepada UMNO selepas PAU dengan menjadualkan rapat umum di Selangor sehari selepas PAU berakhir. Akhirnya, rapat umum pembangkang bagi menekan UMNO yang dijangkakan bertahan soal hak Melayu hanyalah menjadi rapat umum bagi menjawab serangan-serangan presiden UMNO terhadap parti-parti pembangkang sewaktu ucapan penggulungannya. |
Last Updated on Thursday, 08 December 2011 09:20 |
Copyright © 2011 Kritisonline. All Rights Reserved.
No comments:
Post a Comment