Blog Archive

Monday, November 28, 2011

Catatan lama seorang teman

Archive #2 - Facebook Pemuda Kuala Langat

Kun fayakun.. Transformasi Bangsa dan UMNO

by Pemuda Kuala Langat on Tuesday, 9 November 2010 at 22:12
 


Gambar: wahai bangsaku!


Sepanjang pengalaman yang tidak seberapa ini, saya sering melihat dari jauh perjalanan seorang tokoh tempatan yang penuh dan sarat dengan ilmu politiknya.. dan sebenarnya jauh di dalam hati ini mengagumi perjalanan politik beliau.

Menjadi seorang wakil rakyat bagi DUN Sijangkang (dulunya dikenali sebagai DUN Telok Panglima Garang) selama 3 penggal, dan selama 3 penggal itulah beliau menjadi EXCO kerajaan negeri Selangor sebelum tsunami politik melanda seluruh negara pada tanggal 13 haribulan Mac 2008 yang lalu.
Yang Berbahagia Dato' Abdul Fatah bin Iskandar, itulah empunya nama tokoh tempatan yang dimaksudkan. Nama ini secara peribadi saya, telah pun meletakkan dirinya dalam senarai "Hall of Fame Kuala Langat" sebaris dengan nama hebat yang pernah Kuala Langat lahirkan seperti allahyarham Dato' Seri Harun bin Idris dan allahyarham Dato' Seri Haji Hormat bin Rafei serta beberapa nama tokoh pemimpin yang lain.

Satu perkara yang menarik perhatian, bukan sahaja saya, malahan ribuan rakyat Kuala Langat dan Selangor yang biasa mendengar ucapan beliau, pasti akan mengaitkan dirinya dengan satu potongan ayat diambil dari kitab suci Al-Qurannulkarim iaitu surah Yasin ayat 82 yang berbunyi "kun fayakun".
Beliau sering merendahkan diri dengan mengungkap potongan ayat tersebut sebagai ketentuan Illahi akan perjalanan politiknya yang penuh dengan kegemilangan sebelum suramnya politik beliau searus dengan suramnya politik negara bilamana gelombang ganas tsunami 2008 melanda seluruh negara menenggelami bukan sahaja Selangor, bahkan beberapa buah negeri yang lain seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perak (selain Kelantan yang sudah pun 'tenggelam' lebih dari 20 tahun lamanya).

Kun fayakun, tafsirannya berbunyi "Jadilah! maka terjadilah ia". Itulah firman Allah swt dalam surah Yasin ayat 82.


PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010, PILIHANRAYA KECIL N45 (GALAS) DAN P185 (BATU SAPI)

Adakah kita (UMNO dan Barisan Nasional) berada dalam kedudukan yang sangat baik dan selesa?
Inilah yang sering berlegar dalam kotak fikiran saya. Sebagai ahli UMNO 'biasa', yang tidak punyai kuasa apa-apa melainkan menukil secebis fikiran di dalam karangan yang ringkas ini semoga persoalan yang ligat berputar dapat dikongsi bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Sejujurnya, kisah 'tsunami 2008' amat-amat menjadi igauan saya, mungkin juga seluruh ahli UMNO. Saya berpendapat, Y.A.B. Datuk Seri Presiden parti juga mungkin sekali-sekala mengalami gangguan tidur dek kerana mimpi ngeri ini.

Jika ada kalangan sahabat handai, yang tidak merasainya, wajar saya berkongsi 'kengerian' saya bilamana dengan penuh khusyuk menonton kaca televisyen bagi mengikuti pembentangan Bajet Negara 2011 dan seterusnya hadir pada hari terakhir Perhimpunan Agung 2010 (PAU 2010) di PWCT.
Y.A.B. Datuk Seri Presiden dalam ucapannya seringkali mengingatkan perjuangan kita yang belum selesai dan akhirnya apabila beliau menyebut, "..walau hancur tulang dan badan, Putrajaya tetap akan dipertahankan." ...maka meremanglah bulu roma serta tengkuk ini bila mendengarnya.

Sungguh serius nadanya, begitu mendalam maksudnya. Adakah Y.A.B. Presiden hanya beretorika?
Saya penuh yakin dan percaya Y.A.B. Presiden tidak beretorika bahkan ia adalah sebahagian dari kegusaran beliau dalam perjalanan menuju ke tarikh pilihanraya ke 13 kelak.

Malangnya, kegusaran yang dikongsi oleh rata-rata ahli UMNO hanya seketika. Berakhirnya PAU 2010 maka tertinggallah kegusaran itu di bangunan PWTC yang penuh sejarah. Apakah amanat dan pesanan Presiden parti tenggelam dek kerana sebuknya ahli-ahli UMNO mengikuti kisah dan perjalanan pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi sejurus selesainya PAU 2010 itu? Dan perhatian yang terkalih kepada pilihanraya kecil itu terus padam bilamana kemenangan dicapai oleh Barisan Nasional (BN) di kedua-dua kawasan yang dipertandingkan?

Adakah Galas dan Batu Sapi merupakan satu-satunya indikasi atau petunjuk bahawa BN telah pulih sepenuhnya dan harapan menggunung oleh rakyat Malaysia yang mahukan BN bertahan sebagai kerajaan dan seterusnya mengundi BN dalam pilihanraya umum akan datang?

Sebagai orang muda yang masih mentah dalam seluk belok politik, maafkan keterlanjuran jika saya beranggapan bahawa kita telah dibuai oleh kemenangan "opportunist" diperolehi oleh BN bilamana faktor utama kelemahan barisan pembangkang disumbangkan oleh pemilihan dalaman parti yang selama ini 'mengikat kukuh' kekuatan pakatan pembangkang.

Bukan lagi menjadi rahsia bahawa PKR mempunyai masalah dalaman. Pertandingan terutama bagi kerusi timbalan presiden dan naib presiden serta ahli majlis kepimpinan tertingginya menggugat kestabilan parti tersebut lantaran 'perang saudara' yang tercetus di peringkat dalaman. Oleh kerana peranan PKR selama ini menjadi 'pengikat' antara pakatan tiga partinya (DAP dan PKR terus kepada PAS, mahupun PAS dan PKR terus kepada DAP. Tidak mungkin PAS dan DAP dapat berhubung rapat antara satu sama lain tanpa peranan PKR di tengahnya), maka kegagalan PKR berfungsi secara 'siuman' dalam pilihanraya kecil yang baru berlalu itu telah melumpuhkan keseluruhan jentera pembangkang.

Kita mungkin seronok melihat akan perkara ini dan amat berharap supaya hubungan tiga serangkai (DAP, PKR dan PAS) yang lemah dan longlai itu akan berkekalan. Adakah ianya akan berkekalan? Faktor itu sudah pasti bergantung rapat dengan punca utama masalah iaitu; 'perang saudara' dalaman PKR.
Adakah 'perang saudara PKR' akan berkekalan? Sejujurnya, saya berpendapat, 'tidak'. Ianya akan segera berakhir sejurus selepas pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PKR selesai. Ibarat pepatah Melayu lama yang menyebut 'biduk berlalu kiambang bertaut'. Konsentrasi mereka sudah pasti akan ditumpukan sepenuhnya kepada pilihanraya umum ke 13 yang bakal menjelma bila-bila masa sahaja dari sekarang. Ini ditambah lagi dengan penarikan diri Zaid Ibrahim dari pertandingan sengit bagi kerusi no. 2 tertinggi dalam parti tersebut. Nescaya, penyakit 'perang saudara' dalaman PKR pasti akan terhenti tidak lama lagi.

Dan satu faktor yang tidak boleh dipandang ringan bilamana dalam halaman rasminya (blog), Anwar Ibrahim meniupkan semangat kepada ahli-ahlinya dengan satu peringatan yang secara halus juga ditujukan kepada BN; bahawa kemenangan BN di Batu Sapi tidaklah sehebat PKR menembusi kubu kuat (stronghold) BN di Sabah. Walaupun calon BN menang, tetapi moralnya, kemenangan itu dikongsi bersama PKR yang berjaya bertapak di bumi Sabah.



KUN FAYAKUN ITU BENAR NAMUN MANUSIA MAMPU MERUBAH DAN BERUBAH AKAN UNTUNG NASIBNYA

Sebagai muslim yang telah dibekalkan dengan ilmu agama seawal umur 7 tahun (darjah 1), kita telah diajar rukun-rukun utama dan yang mahu saya tekankan di sini adalah rukum iman.

Percaya kepada Allah swt dan tiada tuhan lain yang disembah melainkan Allah manakala junjungan Muhammad saw itu adalah pesuruh dan kekasih-Nya. Malaikat itu wujud (bahkan syaitan itu adalah malaikat asalnya) dan Quranul-karim itu adalah benar isi kandungannya. Hari kebinasaan itu adalah benar dan begitu juga benarnya akan hari pembalasan.

Akhirnya, diperintahkan manusia supaya juga beriman kepada ketentuan-Nya yang disebut Qada' dan Qadar. Maka, sempurnalah iman jika 6 perkara itu benar-benar difahami dan dihayati, dan seterusnya diamalkan.

Maka, sebagai seorang umat Islam yang punyai keimanan, kita mesti percaya bahawa setiap ketentuan itu adalah kuasa Allah. Jika Dia mahukannya berlaku, maka tiada apa yang boleh menahan-Nya. "Jadi! Maka jadilah ia". Itulah qadar-Nya yang manusia atau sekalian alam mesti terima. Suatu ketentuan.
Namun, bersesuaian dengan sifat-Nya yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui, manusia juga telah dijanjikan oleh-Nya satu lagi hak. Manusia diberi hak untuk ber-qada'. Manusia diberi hak untuk memohon. Manusia diberi hak untuk berdoa. Manusia diberi hak bertawakkal. Namun, apa juga yang diminta, didoakan dan ditawakkal mestilah punyai satu lagi gerak-kerja yang manusia perlu lakukan dalam mendapatkan qada' dari Allah azzawajalla. Manusia mesti "berusaha!".

Firman-Nya dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 berbunyi :


إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُو ا مَا بِأَنْفُسِ هِمْ

tafsirnya: ... Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Justeru, apabila semua usaha telah dilakukan termasuklah berdoa dan bermohon, maka bertawakkallah kita. Jika Dia mahukannya berlaku maka turunlah (jadilah) ia. Sebaliknya jika ianya tidak berlaku, maka itu juga adalah kuasa-Nya untuk tidak memperkenankan. "Jadi! Maka jadilah ia". Jika tidak, itulah namanya qada' dan qadar yang menjadi sebahagian dari iman kita. Namun, kita dibenarkan untuk mengubah nasib dan ketentuan kita melalui usaha. Jarang kedapatan usaha yang bersungguh tidak berhasil. Kebiasaannya, pasti tercapai apa yang telah diusahakan.

TRANSFORMASI ITU ADALAH USAHA UNTUK MERUBAH NASIB BANGSA

Nampaknya, perkara-perkara yang menjadi kebimbangan kita sebagai bangsa Melayu benar-benar telah terjadi. Hari ini cabaran dan dugaan kita terlalu tinggi. Persaingan yang hebat di antara rakyat majmuk berbilang bangsa dan agama memang tidak dapat dielakkan. Dari sudut yang lain, perkara persaingan dan perebutan dalam 'dunia global tanpa batasan' juga tidak dapat dihalang.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia yang mahu bersikap adil, perebutan terhadap 'kek ekonomi' serta 'hak setiap rakyat' perlu diambil kira. Kemarahan dan ketidak-puas-hatian antara satu kaum dengan kaum yang lain berada pada satu tahap yang agak membimbangkan. Namun, kita juga maklum bahawa 'permainan adu-domba perkauman' ini sebenarnya telah dibawa oleh kitol yang bermimpikan Putrajaya. Menjaja hal ehwal negara serta mengutuk negara sendiri amat jarang dilakukan oleh pemimpin lain di peringkat antarabangsa. Namun bagi kes di Malaysia, kita hairan dengan sikap si kitol ini yang tidak jemu-jemu membuat gerakan memburuk-burukkan negara, tidak kira waktu dan masa di arena antarabangsa.

Manakala di peringkat nasional, gerakan membawa persepsi yang buruk terhadap kerajaan UMNO/BN giat dijalankan. Rakyat terutamanya golongan muda yang 'darahnya amat senang menggelegak' dipasak dengan pemikiran bahawa kerajaan UMNO/BN adalah kerajaan yang menindas, korup serta rasuah. Perkara-perkara ini ditanam dan dibenam dalam pemikiran rakyat dan 'tsunami 2008' adalah bukti kejayaan mereka.

Amatlah malang, jika kita membiarkan perkara ini diurus oleh Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO seorang. Beliau tidak punyai 'mukjizat'. Beliau bukanlah 'superman'. Tugas ini adalah tugas bersama. Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah pemandu arah bagi rakyat Malaysia dan ahli-ahli UMNO. Sebaliknya, tugas tersebut perlulah juga difahami dan digalas oleh rakyat Malaysia, oleh ahli-ahli UMNO.
Tugas merubah atau melakukan anjakan dari sedia ada kepada yang lebih baik bukannya mudah.

Merubah bangsa Melayu.
Merubah persepsi terhadap UMNO.

Namun perubahan adalah perlu. Demikian itu TRANSFORMASI dilaung-laungkan. Kita mahu mengubah nasib bangsa kita supaya tidak bergantung sahaja kepada kerajaan hingga menimbulkan ketidak-puas-hatian bangsa lain. Kita mahu mengubah kedudukan bangsa kita supaya lebih maju dari yang lain, atau setidak-tidaknya menyaingi kemajuan mereka. Di arena antarabangsa, kita mahu bangsa kita tidak dipandang lekeh. Kita bukan lagi insan bertamadun dunia ketiga. Kita mahu menganjakkan diri dari insan dunia membangun menjadi insan yang maju.

Di dalam UMNO kita perlu berubah dari persepsi yang semakin sebati dengan pemikiran rakyat. Kita mahu berubah dari dianggap sebagai gila dan tamakkan kuasa hingga menindas rakyat. Kita tidak mahu dipanggil sebagai zalim. Kita juga mahu supaya gambaran bahawa UMNO penuh dengan korupsi serta rasuah serta busuk hingga ke usus itu terus luput. Kita mahu digambarkan sebagai parti yang mendahulukan rakyat serta menjadi juara dalam membela nasib rakyat.

Kita mahu perubahan. Kita mahu dianggap telah berubah. Justeru, benarlah kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita amat perlu melakukan suatu TRANSFORMASI. Hanya kita sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam dapat melakukan transformasi ini kepada yang lebih maju dan dinamik. Hanya kita sebagai ahli UMNO yang dapat melakukan TRANSFORMASI untuk menjadi sebuah parti yang relevan dengan peredaran zaman.
 
TRANSFORMASI lah kata-kunci yang dilaung-laungkan. Apakah bangsa kita dapat melakukan transformasi dalam menghadapi perkara-perkara yang saya nyatakan di atas? Adakah ahli-ahli UMNO dapat melakukan transfomasi sebagaimana yang dimahukan oleh Presiden kita? Kita perlu beringat, pilihanraya umum ke 13 sudah begitu hampir. Walau apa pun yang berlaku terhadap pakatan pembangkang, namun kita juga tahu bahawa "nekad" dan "tekad" mereka hingga sanggup melakukan apa sahaja seperti yang ditonjolkan oleh Anwar Ibrahim dan Nik Aziz bukanlah suatu perkara yang kita perlu pandang enteng dan ambil mudah. Inilah saat gentir kita.

TRANSFORMASI.. BERUSAHA UNTUK BERUBAH.. MAKA JADILAH

Mengadaptasi perkara-perkara di atas dalam bentuk rohaniyyah atau spiritual adalah penting kerana bangsa kita Melayu amatlah sinonim dengan agama Islam. Melayu itu Islam, dalam konteks Malaysia.
Marilah kita mengambil 'roh' Islam dalam melakukan TRANSFORMASI yang dimahukan oleh Perdana Menteri kita merangkap Presiden parti. Marilah kita mengambil 3 asas kerohanian ini dalam melakukan perubahan iaitu :-
  1. innallaha laa yughaiyiru maa biqaumin hatta yughaiyiruu maa bianfusihim (ayat 11 surah Ar-Ra'd);
  2. man jadda wajadda wa man kasala nadiima (bidalan bangsa Arab yang bermaksud "orang yang bersungguh-sungguh dia akan dapat, orang yang malas pasti akan menyesal); dan akhirnya bertawakkal dan berserah kepada ayat
  3. kun fayakun (ayat 82 surah Yasin)
Percayalah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu melainkan mereka berusaha untuk mengubahnya. Hanyasanya yang benar-benar berusaha akan memperolehi apa yang telah diusahakannya. Insya'Allah, apabila dikatakan "jadilah! maka jadilah ia".

Adakah KEMENANGAN bakal diperolehi oleh bangsa kita Melayu, agama kita Islam serta parti kita UMNO? Dan dapatkah kita mempertahankan Putrajaya?

Kata kuncinya terletak di tangan setiap bangsa Melayu-Islam dan ahli UMNO. Lakukanlah transformasi itu. Lakukan perubahan itu sebelum kita diubah. Kita tidak mahu bila kun fayakun, perubahan itu memihak kepada MEREKA! Pada masa itu, semuanya sudah terlambat.

Wallahua'lambissawab.




Gambar: berubah atau rebah?

No comments:

Post a Comment