Aku, Sarjan Saunders & AW
Oleh: GreenHood
Kembali ke tahun ‘70an, sewaktu aku masih lagi anak kecil hingusan berumur sekitar 3-4 tahun, segar terbayang keletahku yang menggayakan seragam askar, bertopi keledarkan ala-ala tentera Amerika dan bersenapangkan kayu yang diukir oleh orang tua ku.
Seragam itulah yang menjadi kegemaranku tidak kira apa majlis sekalipun pasti aku tuntut untuk memakainya hingga membuat kepala ibuku pusing dengan tingkah-laku ku itu.
Pernah satu ketika, baju itu tidak dibasuh seminggu lamanya gara-gara gelagatku yang akan menangis setiap kali ibu mahu menanggalkannya. Paling teruk aku dimarahi ayah kerana memakai seragam itu walaupun mahu ke majlis perkahwinan saudara-mara. Adegan kejar-mengejar pasti berlaku antara aku dan ibu bagi menanggalkan seragam itu justeru menggantikan dengan pakaian yang lebih sesuai untuk ke majlis-majlis tertentu.
Jangan ditanya, apakah siri televisyen yang menjadi kegemaranku, pasti saja jawapannya ialah siri “Combat” lakonan Vic Morrow sebagai Sarjan Sauders.
Tidak cukup dengan berpakaian ala-ala tentera, satu lagi tabiat sewaktu aku bergelar anak kecil picisan adalah memaksa ibu ku membeli komik kisah-kisah perang yang penuh dengan adegan tembak-menembak atau kapal terbang yang sedang kejar mengejar. Sudah pasti aku belum pandai membaca, maka satu lagi penyusahan yang aku lakukan kepada ibu adalah dengan memaksanya membaca komik itu... jangan baca sahaja kotak dialog, mesti ada ‘sound-effect’ seperti bunyian tembakan dari ‘riffle’ atau ‘machine-gun’ askar atau bunyian kapal terbang yang sedang terbang. Acapkali telinga ku merah dijentik ayah kerana rengekan atau tangisan jika ibu tidak mahu melayan karenahku kerana sebuk dengan urusan keluarga seperti mahu mengemas rumah atau menyediakan makanan untuk seisi keluarga.
Ianya berlanjutan hingga aku memasuki alam persekolahan (rendah). Keperluan untuk mengisi kad laporan prestasi sekolah adalah termasuk menyatakan kepada guru cita-cita aku sewaktu dewasa nanti dan sudah pasti anda menekanya dengan betul… “askar adalah pilihan pertamaku” untuk sekian lamanya.
Siri-siri televisyen yang berkisarkan peperangan juga masih banyak ditayangkan antaranya adalah siri “Baa Baa Black Sheep (Squadron)”. Pengaruh ketenteraan kuat terserap dalam tubuhku. Dan aku pasti bukan aku seorang yang mengalaminya.
Meningkat dewasa, pengaruh ketenteraan mulai hilang dan diganti dengan rona-rona remaja yang dipenuhi perkara-perkara ‘glamor’ dan populariti termasuk cita-cita. Mungkin sahaja kerana itu aku memilih bidang perundangan dan pernah beramal sebagai peguam.
Baru-baru ini, dengan kehendak Yang Maha Kuasa, aku didorongkan untuk mengikuti rombongan Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN), YB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan demonstrasi OPS PASIR (singkatan bagi operasi Pulau Pandanan-Sipadan) yang menjaga keselamatan perairan laut Sabah.
Perairan laut Sabah yang dulu menjadi sarang lanun mahupun pemberontak Abu Sayyaf seringkali menghantui penduduk-penduduk di kepulauan terbabit. Bahkan industri pelancongan yang menjadi antara sumber pendapatan utama negeri Sabah turut terjejas. Namun, dengan kewujudan Ops Pasir yang telah beroperasi semenjak tahun 2000 benar-benar memberi kesan apabila tiada lagi sebarang kejadian penculikan atau serangan lanun mahupun pengganas dilaporkan semenjak satu dekad ini.
Namun, ini bukanlah kisahnya. Kisah yang mahu aku kongsikan adalah kisah ketenteraan dan semangat keperwiraan yang kembali bertiup dalam diriku ini.
Melihat gabungan tentera Malaysia yang meliputi darat (ATM), udara (TUDM) dan laut (TLDM) dan pengalaman merasai sendiri menaiki penerbangan Charlie (C130) dan Nuri (Sikorsky S-61) serta menaiki kapal tempur KD Mahawangsa juga bot tempur CB-90 membuatkan hati ini kembali berbunga seakan aku kembali menjadi anak kecil picisan yang tidak jemu memakai pakaian seragam tentera sewaktu kecilku.
Duduk bersama-sama para komando yang melaksanakan misi penyelamatan dengan anggota ‘snipers’ yang berpakaian tidak ubah seperti “Chewbacca” dalam filem Star Wars membangkitkan semangat keperwiraanku. Aku berkata di dalam hati alangkah beruntungnya anak-anak muda yang dapat mengikuti program khidmat latihan negara (PLKN) sedangkan aku yang sudah berada di penghujung umur ’30-an pun tidak berkesempatan menggunakan senjata-senjata tempur seperti M-16 dan sebagainya. Sememangnya mereka (para pelatih PLKN) amat beruntung!
Hinggalah aku dimaklumkan bahawa kini program Askar Wataniah (AW) telah mula diperkenalkan di peringkat parlimen-parlimen di seluruh negara. Kini, proses pengambilan AW telah dimulakan dan sedang dipergiatkan.
Aku? Aku adalah antara orang yang telah kini mendaftarkan diri untuk mengikuti program AW dan aku berdoa kepada-Nya semoga permohonanku diterima dan aku turut menyeru sahabat-handai aku di luar sana mahupun manusia-manusia yang suatu ketika dahulu mengalami sindrom seperti yang pernah aku alami diwaktu kecilku untuk turut mengikuti jejak langkahku bukan sahaja kerana cita-cita kita yang terbantut namun kerana semangat keperwiraan yang sentiasa wujud dalam diri kita dapat kita jelmakan semula dan... usia bukanlah penghalang segala-galanya!
No comments:
Post a Comment