Muktamar PAS Kali ke-57; PAS dan barah yang dihidapinya |
Written by GreenHood |
Sunday, 05 June 2011 14:00 |
Oleh: GreenHood Di dalam politik Malaysia, sifirnya adalah mudah. 'The race is about numbers. It's always about numbers!'. Jika anda memegang angka yang lebih, walaupun 1, maka anda dikira sebagai pemenang. Angka 2 dianggap menang berbanding 1. Begitulah juga yang berlaku dalam pemilihan jawatan nombor dua terpenting di dalam PAS, jawatan Timbalan Presiden. Mat Sabu memperolehi 420 undi. Sudah pasti undi yang beliau perolehi adalah dari pengikut tegarnya atau dipanggil sebagai 'followers'. Manakala undi yang diperolehi oleh Tuan Ibrahim dan Nasharudin masing-masing adalah 399 dan 224. Persoalannya, adakah 'followers' Nasharudin yang selama tiga penggal bertahan kini berjaya dirampas oleh Tuan Ibrahim? Dari manakah Tuan Ibrahim memperolehi undi sebanyak 399? Jika dicampurkan undi Tuan Ibrahim dan Nasharudin, maka ia berjumlah 623. Adakah keterlaluan jika disimpulkan menggunapakai 'sifir mudah' politik Malaysia bahawa sewajarnya ia berbunyi seperti yang berikut; 420 vs 623 ? Dan angka-angka ini jika diterjemahkan secara politik maka ia menjadi; profesional (420) vs ulama (623) ? Malangnya undi ulama terpecah kepada dua (399 & 224). Demikian itu memberikan kemenangan kepada Mat Sabu dengan perolehan undi 420. Kehadiran Tuan Ibrahim pada saat akhir menimbulkan persoalan Kehadiran Tuan Ibrahim pada saat akhir (kerana asalnya telah menolak sebarang pencalonan serta menolak untuk turut serta dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden walaupun mempunyai pencalonan yang mencukupi) menimbulkan kontroversi yang cukup hebat dalam sejarah pemilihan berbagai jawatan di dalam PAS. Alasan yang diberikan oleh beliau tidak kukuh. Katanya, pencalonan dari kawasan-kawasan kepada dirinya menyebabkan beliau terpaksa menerima amanat tersebut. Mengapa beliau? Sedangkan selain beliau terdapat beberapa nama yang turut mendapat pencalonan dan layak bertanding namun akhirnya menarik diri. Dalam tulisan saya bertajuk Tuan Ibrahim Dipaksa Bertanding Jawatan Nombor 2?, perkara ini telah dibangkitkan. Dan di situ terdapat teori yang amat berkait-rapat dengan 'keterpaksaan' Tuan Ibrahim menawarkan diri. Ini dikuatkan dengan kempen MalaysiaKini menolak perpaduan atau kerjasama UMNO-PAS pada saat-saat akhir tempoh berkempen - menerbitkan nostalgia luka yang tidak menguntungkan Nasharudin. Dan nostalgia itu dipetik dari kata-kata Mursyidul Amnya, Nik Aziz sendiri. Ianya telah saya tulis di dalam 2 dalam 1 - Sindir UMNO, Sebat Nasharuddin. Akhirnya, di dalam Nasharuddin Mat Isa & Pre-Persidangan Muktamar PAS Kali ke-57; suatu ulasan, saya sekali lagi menghuraikan mengapa Nasharudin bukanlah pilihan gerakan yang begitu agresif mahu menolak beliau (Nasharudin). Dengan menguatkan kempen 'kelangsungan perpaduan dan Nasharudin' yang menjadi mimpi umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia, akhirnya beliau kalah. Nasharudin dilihat terlalu hampir dengan kehendak umat Islam dan bangsa Melayu. Nasharudin dilihat 'terlalu hampir dengan UMNO'. 'Perpaduan', adalah perkara yang amat digeruni oleh pemimpin parti-parti pakatan. 'Perpaduan', adalah perkara yang ditolak sama sekali oleh kepimpinan utama parti-parti pakatan yang lain seperti Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim. Nik Aziz termasuk di dalam perikatan ini (Kit Siang-Anwar-Nik Aziz; menolak 'Perpaduan'). Mereka tidak mahu perpaduan. Mereka ada agenda yang lebih besar, iaitu agenda memenangi pilihanraya umum ke-13. Pada pandangan mata mereka, mereka boleh menang PRU ke-13 nanti. Jadi, apa perlunya 'Perpaduan'. Demikian itu saya tidak mahu mengulas lanjut soal siapa yang bakal menang dan siapa pula yang bakal kalah di dalam tulisan Nasharuddin Mat Isa & Pre-Persidangan Muktamar PAS Kali ke-57; suatu ulasan tersebut. Kerana saya begitu yakin bahawa perpecahan golongan ulama bakal merugikan mereka sendiri (golongan ulama) dan akhirnya yang menang adalah selain dari golongan ulama tersebut. Ternyata, keta'akulan saya benar belaka. Mat Sabu dinobatkan menjadi juara bagi takhta kerusi 'Timbalan Presiden PAS'. Satu sejarah baru semenjak tahun '80-an. Golongan ulama jatuh terduduk dan digantikan dengan kumpulan baru. Kumpulan profesional atau bak kata Mat Sabu setelah kemenangannya adalah kumpulan 'aktivis' yang 'rapat dengan rakyat'. Kumpulan yang boleh memenangkan pakatan pembangkang dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Kemenangan Mat Sabu adalah kejayaan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang Kemenangan Mat Sabu adalah di mana PAS mengalami satu transformasi dari kejumudan memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam serta menegakkan undang-undang Islam (terutamanya hudud dan qisas) kepada agenda memenangi PRU-13 dan seterusnya menjadi kerajaan yang baru bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional yang lebih dari 50 tahun memerintah. Menolak golongan ulama yang terlalu menjaga kaedah perjuangan agar tidak lari dari ajaran Islam serta akidah serta melembabkan proses menggantikan UMNO bagi mengepalai kerajaan baru nanti (sekiranya menang) adalah penting. Golongan ulama dilihat terlalu lembab dalam membuat keputusan. Golongan ulama terlalu lambat bertindak kerana adalah menjadi ajaran agama Islam bahawa 'matlamat tidak menghalalkan cara'. Sedangkan, dalam keadaan genting di mana PRU-13 bakal diumumkan pada bila-bila masa, adalah penting bagi PAS yang menjadi tunjang belakang pakatan pembangkang terutamanya dalam menarik pengundi-pengundi Melayu, untuk bertindak pantas tanpa terlebih dahulu merujuk kepada segala hukum-hakam yang boleh membantutkan usaha merampas kerajaan sedia-ada (BN). Demikian itu, mengubah syaf kepimpinan utama dari kumpulan ulama kepada kumpulan yang lebih profesional adalah perlu. Mengekalkan hanya 1 atau 2 lambang ulama adalah memadai. Menjadi Mursyidul Am dan 'leader of spiritual' adalah memadai. Mengekalkan Presiden dari kumpulan ulama dan melebihkan barisan profesional bagi membuat keputusan bagi pihak Presiden adalah perlu. Justeru gagasan yang mahu dibawa oleh Anwar serta Kit Siang dalam memastikan agenda merampas Putrajaya adalah lengkap bilamana PAS kini dapat ditukar dari sebuah parti jumud kepada parti yang lebih bercita-cita besar iaitu menjadi kerajaan. Mat Sabu adalah jawapan kepada Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Mat Sabu, tidak seperti Nasharudin, akan menghentak kepala Presiden untuk akur dalam mencapai cita-cita pakatan menuju ke Putrajaya. Mat Sabu tidak perlu merujuk kepada pakar-pakar agamawan seperti Nasharudin. Mat Sabu akan terus-terusan mendesak para agamawan dan ulama. Mat Sabu tidak keseorangan, Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar ada di sampingnya. Mereka semua adalah profesional yang bukan dalam kategori ulama. PAS kini menunjukkan tembelangnya dengan mahu menjadi kerajaan yang baru bersama-sama Anwar dan Lim Kit Siang. Perjuangan menegakkan negara Islam dan perundangannya tiba-tiba hilang atau disenyapkan. 'Matlamat kini dihalalkan' dengan adanya barisan profesional - barisan yang melengkapkan agenda Anwar dan Lim Kit Siang. Barah di dalam PAS adalah pertentangan antara ulama dan profesional Sebagaimana UMNO dilabelkan menghadapi penyakit 'barah korupsi', PAS sebenarnya turut menghidap penyakit yang kronik. Penyakit dalaman PAS yang berjaya disembunyikan selama ini adalah pertentangan 2 aliran di dalamnya. Aliran ulama yang bertahan selama dua dekad dengan aliran profesional yang melanda parti tersebut terutamanya selepas Anwar dilucutkan keahliannya dari UMNO pada tahun 1998. Golongan ulama kini semakin ketandusan. Baik di dalam mahupun di luar PAS - semakin sukar untuk memperolehi ulama yang tulin dan benar serta berminat untuk berjuang menegakkan syiar Islam sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh PAS dahulu. Selain yang ada dan duduk di dalam Dewan Ulama serta Majlis Syura', di seluruh kawasan-kawasan (bahagian-bahagian) PAS satu Malaysia di kepalai oleh kumpulan selain ulama. Golongan ulama yang memimpin kawasan serta negeri terlalu sedikit dan jika ada pun, terdiri dari kelompok veteran yang masih mengekalkan jawatan mereka. Pesuruhjaya Negeri yang dilantik amat jarang kedapatan memenuhi kriteria sebagai ulama. Akibatnya, mereka yang dianggap profesional dilantik di negeri-negeri menjadi Pesuruhjaya. Mereka yang tidak berkelulusan agama dilantik di kawasan-kawasan (bahagian-bahagian) menjadi Yang Dipertua. Mereka menjadi dominan. Apabila gerakan aliran profesional ini menjadi besar maka apa yang terhasil adalah sebagaimana yang diterjemahkan di dalam Muktamar kali ke-57 kelmarin. Kumpulan erdogan yang dikatakan membawa fahaman 'Anwarisna' hanyalah satu kumpulan 'opportunist' yang hinggap dalam kekalutan PAS menghadapi 2 aliran ini. Takkala aliran kedua mendapat tempat di dalam PAS, kumpulan erdogan ibarat parasit menyerapi kumpulan aliran kedua lantas menjuarainya. Namun, sebagaimana yang pernah saya tulis di dalam Tuan Ibrahim Dipaksa Bertanding Jawatan Nombor 2? sudah menjadi satu tarbiyah kepada ahli-ahli serta pengikut PAS bahawa segala kepincangan yang berlaku di dalam PAS tidak boleh diwar-warkan kepada pihak ketiga terutamanya pihak luar kerana 'ulama adalah pewaris Nabi' dan menegur ulama adalah satu dosa yang amat berat dan sukar diampuni. Demikian itu, penyakit kronik arau barah dalaman PAS yang menjadi kudis kini tidak dapat dibendung dan akibatnya keputusan Muktamar menjelaskan segala-galanya. Ulama bukan lagi menjadi kuasa dominan yang menerajui PAS. Sebaliknya barisan jawatankuasa Pusatnya adalah dipenuhi oleh aliran kedua yang sama sepeti Timbalan Presiden serta Naib-Naib Presidennya. Dalam PAS, hanya ada 1 ulama muktabar yang berkemungkinan akan menjadi 'spiritual leader' tanpa kuasa eksekutif sekiranya pakatan berjaya menjejakkan kakinya ke Putrajaya. Beliau, tidak lain dan tidak bukan adalah Mursyidul Amnya, Nik Aziz bin Nik Mat. Bahkan perkara ini pernah disebut oleh Anwar sendiri. Dan seluruh ulama yang lain hanya bakal memenuhi Majlis-Majlis serta Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri tanpa portfolio kabinet kerajaan. Hanya golongan profesional dalam PAS yang bakal dipinang oleh Anwar bagi memenuhi kerusi kabinet. |
No comments:
Post a Comment