Blog Archive

Monday, June 6, 2011

Archive #014

Sindrom Transisi Kepimpinan adalah Sindrom "M" - Sarawak tidak terkecuali dan pembangkang masih bisu PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Monday, 11 April 2011 17:38
Bila ditanya "bilakah Pehin Seri Taib Mahmud akan mengundurkan diri sebagai Ketua Menteri Sarawak?", maka jawapan yang kedengaran adalah "selepas pilihanraya negeri ke-10 nanti!".

Mengambil kira pendapat rakyat (Sarawak) yang ditanya "apakah yang kurang dengan kerajaan negeri Sarawak?" maka 6 daripada 10 akan menjawab "kepimpinan Ketua Menteri yang sudah terlalu lama!".

Jika anda tanya "bagaimana dengan performance Barisan Nasional (BN) di Sarawak?", saya yakin hampir 100% akan mengatakan bahawa performance BN adalah baik dan mereka (rakyat) juga pasti dengan kredibiliti kepimpinan negara mahupun negeri. Jika ada yang mengatakan bahawa kepimpinan kerajaan negeri (Sarawak) mahupun negara (persekutuan) di bawah BN terlalu buruk, saya yakin ianya datang dari "suara pembangkang" yang membentuk minoriti sama ada di peringkat negeri mahupun negara.

Nah! Di manakah "kurangnya" dengan kempen yang dilakukan oleh BN dalam siri pilihanraya negeri Sarawak kali ke-10 ini? - saya katakan bahawa transisi kepimpinan lama kepada yang baru adalah jawapannya.

Sebenarnya Taib Mahmud sedang menghadapi satu fasa yang pernah dilalui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga apa yang pernah dialami oleh Datuk Seri Samy Vellu. Secara peribadi saya menggelarkan ini sebagai "Sindrom M".

Tun M sebagai contoh, mendapati bahawa dirinya mengalami suatu fenomena "ketidak-percayaan" rakyat apabila kes Datuk Seri Anwar Ibrahim melanda negara pada tahun 1998. Atas tekanan ini dan mendapati Malaysia di bawah pimpinannya mengalami suatu stagnant-period maka beliau mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-empat pada tanggal 22 Jun 2002, sewaktu ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2002. Namun, setelah apa yang disifatkan oleh pemerhati politik sebagai "mempertimbangkan kembali" keputusannya itu setelah didesak oleh ahli-ahli UMNO, Tun M telah menetapkan penguatkuasaan perletakan jawatannya 18 bulan kemudian - di mana dalam tempoh waktu tersebut beliau telah menyerahkan kepimpinan negara serta parti (UMNO) kepada Timbalannya, Abdullah Ahmad Badawi selaku pemangku.

Tindakan yang dianggap "paling bijak pernah dilakukan oleh mana-mana tokoh politik dunia" itu ternyata membuahkan hasil apabila transisi tersebut bukan sahaja diterima dengan baik oleh ahli-ahli UMNO serta komponen BN yang lain bahkan telah disambut dengan begitu baik sekali oleh rakyat dan ini terbukti apabila rakyat menterjemahkannya dalam pilihanraya umum ke-11 apabila menyaksikan BN memenangi 198 kerusi dari 219 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Lebih manis lagi bilamana kerajaan negeri Terengganu yang sebelum itu jatuh ke tangan pembangkang (PAS) juga telah berjaya ditawan semula. Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang kelima telah mendapat kepercayaan rakyat dengan peratusan undi popular tidak kurang dari 63%, satu majoriti yang besar semenjak pilihanraya umum ke-5 pada tahun 1978. Saya secara peribadi berpendapat bahawa di sinilah bermulanya sindrom yang saya namakan sebagai "sindrom M", dan sindrom ini telah berjalan dengan begitu baik sekali.

Langit tidak selalu cerah, kadangkala hujan ditengahari - itulah yang berlaku pada pimpinan Tun Pak Lah apabila pilihanraya ke-12 tahun 2008 menyaksikan apa yang dinamakan oleh pemerhati politik sebagai ""Tsunami Politik" melanda Malaysia dan memberi kesan yang besar kepada BN mahupun parti-parti politik pembangkang. BN hanya mampu mengutip 140 kerusi dari 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Pembangkang telah berjaya menafikan 2/3 majoriti yang dinikmati oleh BN sebelum itu. Dengan menduduki 82 buah kerusi di parlimen, pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertambah kuat. Majoriti undi popular yang dinikmati oleh BN turun hingga tinggal sebanyak 50.6% berbanding populariti yang diperolehi oleh pembangkang sebanyak 49.6% - suatu jurang yang sangat nipis.

Berbagai teori telah dikeluarkan oleh para penganalisis politik tempatan mahupun luar negara. Ada yang menyalahkan antara satu sama lain terutamanya dalam parti-parti yang membentuk komponen BN. Yang paling perit apabila ahli-ahli dalam parti itu sendiri menyalahkan ahli-ahli partinya yang lain. Tidak terkecuali apabila penganalisis luar negara berpendapat bahawa zaman UMNO/BN akan berubah sebagaimana yang berlaku kepada Golkar di Indonesia mahupun LDP di Jepun. Tidak ada lagi mana-mana parti di dunia yang bakal berkuasa terlalu lama. Lebih hebat, apabila new-politics mula dibicarakan dengan pembentukan sebuah negara yang bercampur. Great Britain sebagai contohnya terpaksa melakukan apa yang dipanggil sebagai the hanging-parliament atau hung parliament. Negara jiran kita Indonesia kini terpaksa menubuhkan sebuah kerajaan campuran.

Fresh-politics atau "keremajaan politik" hendaklah dilakukan. Ramai yang menyatakan bahawa faktor Anwar Ibrahim adalah faktor utama kepada perubahan politik yang mula menjalar di Malaysia, terutamanya setelah beliau dibebaskan dari penjara dan seterusnya memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan oleh Wan Azizah. Menjawat sebagai Ketua Pembangkang menggantikan isterinya adalah ultimatum Anwar kembali muncul dalam arena politik negara. Secara jujurnya, saya secara peribadi mengatakan "Tidak!" - Anwar bukanlah "suatu fenomena baru politik di Malaysia". Beliau hanyalah elemen yang muncul di mana fenomena "politik baru" dunia sedang berlaku.

Mungkin atas faktor ini, Tun Pak Lah terpaksa memikul bebannya. Ada yang menyalahkan keperibadian beliau sebagai faktor utama UMNO/BN memperolehi keputusan yang paling teruk dalam sejarah negara. Beliau dianggap sebagai terlalu lemah. Bukan lagi menjadi suatu rahsia, Tun M secara peribadi menganggap bahawa Tun Pak Lah menjadi liabiliti kepada UMNO/BN. Justeru, bagi melonjakkan kembali populariti UMNO dan seterusnya BN desakan demi desakan secara halus dan tersusun menghimpit Tun Pak Lah untuk meletakkan jawatan. Sebagai contoh, Datuk Mukhriz Mahathir pernah secara terbuka menghantar surat mendesak agar beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Sabah Progressive Party, sebuah parti komponen ke-14 BN juga secara terbuka mendesak beliau untuk meletakkan jawatan dengan undi tidak percaya manakala barisan pembangkang juga turut pernah mengusulkan undi-tidak percaya dalam dewan parlimen tetapi ianya telah ditolak oleh Speaker dewan tersebut.

Mungkin atas desakan yang bertali arus itu maka Tun Pak Lah telah membuat suatu pengumuman perisytiharan peralihan kuasa pada 10 Julai 2008 dengan menjanjikan bahawa penguatkuasaan akan hanya berlaku pada Jun 2009. Di sinilah berlakunya apa yang saya secara peribadi sebut sebagai Sindrom M kali kedua - menjanjikan suatu tarikh hadapan bagi mempersiapkan dirinya untuk turun dan juga persiapan untuk penggantinya naik.

Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu menunggu sehingga Jun 2009 apabila surat perletakan jawatan Tun Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agung pada 2 April 2009 dan Datuk Seri Najib Tun Razak ditabalkan menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam keesokan harinya.

Sindrom M seterusnya menjadi begitu popular di kalangan pengamal politik yang sudah begitu lama menerajui mana-mana kepimpinan sesebuah parti mahupun kerajaan. Datuk Seri Samy Vellu adalah antara nama yang mengguna-pakai sindrom M dalam peralihan kuasa parti MIC. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Presiden Gerakan juga diwar-warkan akan melakukan transisi kuasa selepas pilihanraya umum ke-13 nanti. MCA terkecuali dalam sindrom ini apabila peruntukan perlembagaannya menghadkan dua penggal sebagai tempoh masa memegang jawatan presiden.

Sebagaimana awalan tulisan ini, nampaknya Pehin Seri Taib Mahmud juga telah menjanjikan kepada kepimpinan utama negara untuk melakukan peralihan kuasa atau Sindrom M - apabila berjanji kepada Perdana Menteri dan Timbalannya untuk melepaskan jawatan selaku Ketua Menteri Sarawak dan seterusnya kerusi presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) setelah selesai pilihanraya negeri ke-10 nanti.

Rakyat Sarawak tidak perlu bimbang! Janji itu pasti terlaksana mengikut track-record yang pernah dibuat oleh mana-mana komponen BN terdahulu disebut di atas.

Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya berusaha keras untuk "meremajakan UMNO serta BN" dengan mengguna-pakai slogan "transformasi" sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan.

Secara menyeluruh, saya mengatakan bahawa proses meremajakan parti serta kerajaan yang dilakukan oleh Najib Tun Razak adalah suatu usaha yang tepat dan kena pada masanya apabila fenomena politik dunia sedang bergerak pantas melakukan perubahan atas peta dunia. Lanskap politik dunia sedang mengalami perubahan.

Hanya sa-nya Democratic Action Party (DAP), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti KeAdilan Rakyat (PKR) pada masa ini gagal menunjukkan ketelusan dalam melakukan transformasi kepimpinan parti apabila masih lagi berdiam diri atau bisu tentang peralihan kuasa atau transisi kuasa dalam parti mereka.

Sedarkah kita bahawa pemimpin-pemimpin utama mereka seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Haji Abdul Hadi Awang, Nik Aziz, Anwar Ibrahim dan Wan Azizah sebenarnya adalah "pemimpin tua" apabila senarai nama mereka ini sebenarnya adalah sezaman dengan nama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah pun selesai melakukan Sindrom M ke atas UMNO dan BN?

Mereka (pakatan pembangkang) lupa apabila menuding jari telunjuk kepada Taib Mahmud tetapi empat jari yang lain sedang menghala pada diri sendiri.

Archive #013

Muktamar PAS Kali ke-57; PAS dan barah yang dihidapinya PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Sunday, 05 June 2011 14:00
Oleh: GreenHood

Di dalam politik Malaysia, sifirnya adalah mudah. 'The race is about numbers. It's always about numbers!'. Jika anda memegang angka yang lebih, walaupun 1, maka anda dikira sebagai pemenang. Angka 2 dianggap menang berbanding 1. Begitulah juga yang berlaku dalam pemilihan jawatan nombor dua terpenting di dalam PAS, jawatan Timbalan Presiden.

Mat Sabu memperolehi 420 undi. Sudah pasti undi yang beliau perolehi adalah dari pengikut tegarnya atau dipanggil sebagai 'followers'. Manakala undi yang diperolehi oleh Tuan Ibrahim dan Nasharudin masing-masing adalah 399 dan 224. Persoalannya, adakah 'followers' Nasharudin yang selama tiga penggal bertahan kini berjaya dirampas oleh Tuan Ibrahim? Dari manakah Tuan Ibrahim memperolehi undi sebanyak 399?

Jika dicampurkan undi Tuan Ibrahim dan Nasharudin, maka ia berjumlah 623. Adakah keterlaluan jika disimpulkan menggunapakai 'sifir mudah' politik Malaysia bahawa sewajarnya ia berbunyi seperti yang berikut; 420 vs 623 ? Dan angka-angka ini jika diterjemahkan secara politik maka ia menjadi; profesional (420) vs ulama (623) ? Malangnya undi ulama terpecah kepada dua (399 & 224). Demikian itu memberikan kemenangan kepada Mat Sabu dengan perolehan undi 420.




Kehadiran Tuan Ibrahim pada saat akhir menimbulkan persoalan

Kehadiran Tuan Ibrahim pada saat akhir (kerana asalnya telah menolak sebarang pencalonan serta menolak untuk turut serta dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden walaupun mempunyai pencalonan yang mencukupi) menimbulkan kontroversi yang cukup hebat dalam sejarah pemilihan berbagai jawatan di dalam PAS. Alasan yang diberikan oleh beliau tidak kukuh. Katanya, pencalonan dari kawasan-kawasan kepada dirinya menyebabkan beliau terpaksa menerima amanat tersebut. Mengapa beliau? Sedangkan selain beliau terdapat beberapa nama yang turut mendapat pencalonan dan layak bertanding namun akhirnya menarik diri.

Dalam tulisan saya bertajuk Tuan Ibrahim Dipaksa Bertanding Jawatan Nombor 2?, perkara ini telah dibangkitkan. Dan di situ terdapat teori yang amat berkait-rapat dengan 'keterpaksaan' Tuan Ibrahim menawarkan diri. Ini dikuatkan dengan kempen MalaysiaKini menolak perpaduan atau kerjasama UMNO-PAS pada saat-saat akhir tempoh berkempen - menerbitkan nostalgia luka yang tidak menguntungkan Nasharudin. Dan nostalgia itu dipetik dari kata-kata Mursyidul Amnya, Nik Aziz sendiri. Ianya telah saya tulis di dalam 2 dalam 1 - Sindir UMNO, Sebat Nasharuddin.

Akhirnya, di dalam Nasharuddin Mat Isa & Pre-Persidangan Muktamar PAS Kali ke-57; suatu ulasan, saya sekali lagi menghuraikan mengapa Nasharudin bukanlah pilihan gerakan yang begitu agresif mahu menolak beliau (Nasharudin). Dengan menguatkan kempen 'kelangsungan perpaduan dan Nasharudin' yang menjadi mimpi umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia, akhirnya beliau kalah. Nasharudin dilihat terlalu hampir dengan kehendak umat Islam dan bangsa Melayu. Nasharudin dilihat 'terlalu hampir dengan UMNO'.

'Perpaduan', adalah perkara yang amat digeruni oleh pemimpin parti-parti pakatan. 'Perpaduan', adalah perkara yang ditolak sama sekali oleh kepimpinan utama parti-parti pakatan yang lain seperti Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim. Nik Aziz termasuk di dalam perikatan ini (Kit Siang-Anwar-Nik Aziz; menolak 'Perpaduan'). Mereka tidak mahu perpaduan. Mereka ada agenda yang lebih besar, iaitu agenda memenangi pilihanraya umum ke-13. Pada pandangan mata mereka, mereka boleh menang PRU ke-13 nanti. Jadi, apa perlunya 'Perpaduan'.

Demikian itu saya tidak mahu mengulas lanjut soal siapa yang bakal menang dan siapa pula yang bakal kalah di dalam tulisan Nasharuddin Mat Isa & Pre-Persidangan Muktamar PAS Kali ke-57; suatu ulasan tersebut. Kerana saya begitu yakin bahawa perpecahan golongan ulama bakal merugikan mereka sendiri (golongan ulama) dan akhirnya yang menang adalah selain dari golongan ulama tersebut. Ternyata, keta'akulan saya benar belaka. Mat Sabu dinobatkan menjadi juara bagi takhta kerusi 'Timbalan Presiden PAS'. Satu sejarah baru semenjak tahun '80-an. Golongan ulama jatuh terduduk dan digantikan dengan kumpulan baru. Kumpulan profesional atau bak kata Mat Sabu setelah kemenangannya adalah kumpulan 'aktivis' yang 'rapat dengan rakyat'. Kumpulan yang boleh memenangkan pakatan pembangkang dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.


Kemenangan Mat Sabu adalah kejayaan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang

Kemenangan Mat Sabu adalah di mana PAS mengalami satu transformasi dari kejumudan memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam serta menegakkan undang-undang Islam (terutamanya hudud dan qisas) kepada agenda memenangi PRU-13 dan seterusnya menjadi kerajaan yang baru bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional yang lebih dari 50 tahun memerintah.

Menolak golongan ulama yang terlalu menjaga kaedah perjuangan agar tidak lari dari ajaran Islam serta akidah serta melembabkan proses menggantikan UMNO bagi mengepalai kerajaan baru nanti (sekiranya menang) adalah penting. Golongan ulama dilihat terlalu lembab dalam membuat keputusan. Golongan ulama terlalu lambat bertindak kerana adalah menjadi ajaran agama Islam bahawa 'matlamat tidak menghalalkan cara'. Sedangkan, dalam keadaan genting di mana PRU-13 bakal diumumkan pada bila-bila masa, adalah penting bagi PAS yang menjadi tunjang belakang pakatan pembangkang terutamanya dalam menarik pengundi-pengundi Melayu, untuk bertindak pantas tanpa terlebih dahulu merujuk kepada segala hukum-hakam yang boleh membantutkan usaha merampas kerajaan sedia-ada (BN). Demikian itu, mengubah syaf kepimpinan utama dari kumpulan ulama kepada kumpulan yang lebih profesional adalah perlu.


Mengekalkan hanya 1 atau 2 lambang ulama adalah memadai. Menjadi Mursyidul Am dan 'leader of spiritual' adalah memadai. Mengekalkan Presiden dari kumpulan ulama dan melebihkan barisan profesional bagi membuat keputusan bagi pihak Presiden adalah perlu. Justeru gagasan yang mahu dibawa oleh Anwar serta Kit Siang dalam memastikan agenda merampas Putrajaya adalah lengkap bilamana PAS kini dapat ditukar dari sebuah parti jumud kepada parti yang lebih bercita-cita besar iaitu menjadi kerajaan. Mat Sabu adalah jawapan kepada Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Mat Sabu, tidak seperti Nasharudin, akan menghentak kepala Presiden untuk akur dalam mencapai cita-cita pakatan menuju ke Putrajaya. Mat Sabu tidak perlu merujuk kepada pakar-pakar agamawan seperti Nasharudin. Mat Sabu akan terus-terusan mendesak para agamawan dan ulama. Mat Sabu tidak keseorangan, Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar ada di sampingnya. Mereka semua adalah profesional yang bukan dalam kategori ulama.

PAS kini menunjukkan tembelangnya dengan mahu menjadi kerajaan yang baru bersama-sama Anwar dan Lim Kit Siang. Perjuangan menegakkan negara Islam dan perundangannya tiba-tiba hilang atau disenyapkan. 'Matlamat kini dihalalkan' dengan adanya barisan profesional - barisan yang melengkapkan agenda Anwar dan Lim Kit Siang.


Barah di dalam PAS adalah pertentangan antara ulama dan profesional

Sebagaimana UMNO dilabelkan menghadapi penyakit 'barah korupsi', PAS sebenarnya turut menghidap penyakit yang kronik. Penyakit dalaman PAS yang berjaya disembunyikan selama ini adalah pertentangan 2 aliran di dalamnya. Aliran ulama yang bertahan selama dua dekad dengan aliran profesional yang melanda parti tersebut terutamanya selepas Anwar dilucutkan keahliannya dari UMNO pada tahun 1998.

Golongan ulama kini semakin ketandusan. Baik di dalam mahupun di luar PAS - semakin sukar untuk memperolehi ulama yang tulin dan benar serta berminat untuk berjuang menegakkan syiar Islam sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh PAS dahulu.

Selain yang ada dan duduk di dalam Dewan Ulama serta Majlis Syura', di seluruh kawasan-kawasan (bahagian-bahagian) PAS satu Malaysia di kepalai oleh kumpulan selain ulama. Golongan ulama yang memimpin kawasan serta negeri terlalu sedikit dan jika ada pun, terdiri dari kelompok veteran yang masih mengekalkan jawatan mereka. Pesuruhjaya Negeri yang dilantik amat jarang kedapatan memenuhi kriteria sebagai ulama. Akibatnya, mereka yang dianggap profesional dilantik di negeri-negeri menjadi Pesuruhjaya. Mereka yang tidak berkelulusan agama dilantik di kawasan-kawasan (bahagian-bahagian) menjadi Yang Dipertua. Mereka menjadi dominan. Apabila gerakan aliran profesional ini menjadi besar maka apa yang terhasil adalah sebagaimana yang diterjemahkan di dalam Muktamar kali ke-57 kelmarin.

Kumpulan erdogan yang dikatakan membawa fahaman 'Anwarisna' hanyalah satu kumpulan 'opportunist' yang hinggap dalam kekalutan PAS menghadapi 2 aliran ini. Takkala aliran kedua mendapat tempat di dalam PAS, kumpulan erdogan ibarat parasit menyerapi kumpulan aliran kedua lantas menjuarainya.


Namun, sebagaimana yang pernah saya tulis di dalam Tuan Ibrahim Dipaksa Bertanding Jawatan Nombor 2? sudah menjadi satu tarbiyah kepada ahli-ahli serta pengikut PAS bahawa segala kepincangan yang berlaku di dalam PAS tidak boleh diwar-warkan kepada pihak ketiga terutamanya pihak luar kerana 'ulama adalah pewaris Nabi' dan menegur ulama adalah satu dosa yang amat berat dan sukar diampuni. Demikian itu, penyakit kronik arau barah dalaman PAS yang menjadi kudis kini tidak dapat dibendung dan akibatnya keputusan Muktamar menjelaskan segala-galanya. Ulama bukan lagi menjadi kuasa dominan yang menerajui PAS. Sebaliknya barisan jawatankuasa Pusatnya adalah dipenuhi oleh aliran kedua yang sama sepeti Timbalan Presiden serta Naib-Naib Presidennya.

Dalam PAS, hanya ada 1 ulama muktabar yang berkemungkinan akan menjadi 'spiritual leader' tanpa kuasa eksekutif sekiranya pakatan berjaya menjejakkan kakinya ke Putrajaya. Beliau, tidak lain dan tidak bukan adalah Mursyidul Amnya, Nik Aziz bin Nik Mat. Bahkan perkara ini pernah disebut oleh Anwar sendiri. Dan seluruh ulama yang lain hanya bakal memenuhi Majlis-Majlis serta Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri tanpa portfolio kabinet kerajaan. Hanya golongan profesional dalam PAS yang bakal dipinang oleh Anwar bagi memenuhi kerusi kabinet.

Archive #012

Nasharuddin Mat Isa & Pre-Persidangan Muktamar PAS Kali ke-57; suatu ulasan PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Thursday, 02 June 2011 21:18
Oleh: GreenHood

Saya telah dihubungi oleh sahabat-sahabat saya, Khairul dan Hazimin masing-masing dari Utusan Malaysia dan NST, setelah mengeluarkan dua artikel bertajuk:-

i. Tuan Ibrahim dipaksa bertanding jawatan nombor 2? di capaian http://kritis-online.com/index.php/editorial/34-politik/399-tuan-ibrahim-dipaksa-bertanding-jawatan-nombor-2 ; dan
ii. 2 dalam 1 - Sindir UMNO, sebat Nasharuddin di capaian http://kritis-online.com/index.php/editorial/34-politik/442-2-dalam-1-sindir-umno-sebat-nasharudin

Mereka bertanya adakah analisa yang saya lakukan kerana kecenderungan memilih Nasharuddin Mat Isa sebagai calon Timbalan Presiden PAS? Dan sama ada kecenderungan memilih Nasahruddin (mengikut tafsiran mereka setelah membaca kedua-dua artikel tersebut) kerana saya (dan juga rakan saya dari NST tersebut) pernah menjadi anak-murid kepada beliau sewaktu mengikuti kuliah pengajian undang-undang sarjana muda di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia?

Saya katakan "Tidak!".



Dalam penulisan saya, seboleh-bolehnya saya mengekalkan kejujuran menilai dan membuat olahan supaya ia senang dibaca serta dinilai oleh para pembaca - berdasarkan sedikit maklumat yang diperolehi dan juga menilai dari keadaan politik semasa serta sejarahnya - bagi membuka ruang dimensi lain dari yang lain walaupun perspektif itu tidak popular.

Sebagai contoh, jika rakan-rakan wartawan yang lain berkata bahawa Nasharuddin adalah sebahagian dari plot Anwar sewaktu beliau (Nasharuddin) menaiki takhta nombor dua di dalam PAS, justeru menaikkan Nasharuddin ibarat memberi ruang kepada Anwar berkuasa secara 'ghaib' di dalam PAS - saya katakan pula bahawa Anwar juga merupakan sebahagian dari plot Mahathir sewaktu beliau (Anwar) menaiki takhta nombor dua di dalam UMNO. Adakah Mahathir dan Anwar kekal menjadi rakan-sekutu? Jawapannya pasti tidak. Dan Nasharuddin secara peribadi saya anggap bukan sebahagian dari kelompok erdogan yang membawa fahaman 'Anwarisna' kerana sifat beliau membelakangkan parti-parti pakatan yang lain terutamanya Anwar sendiri sewaktu mengadakan rundingan dengan beberapa pemimpin UMNO bagi mengadakan kerajaan perpaduan sejurus selepas Tsunami 2008. Perkara inilah yang membangkitkan kemarahan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat yang diketahui dikelilingi oleh pengikut sebenar 'Anwarisna' seperti Husam Musa dan Kamaruddin Jaafar.

Ada pula rakan penganalisa politik berpendapat bahawa Nasharuddin merupakan ancaman kepada UMNO kerana mengekalkan Nasharuddin ibarat memberi kekuatan kepada PAS dalam objektif PAS menjadi pengganti kepada UMNO dalam membela nasib bangsa Melayu. Justeru, dengan memberi sokongan kepada Mat Sabu, rakan-rakan penganalisa berpendapat PAS bakal mengalami 'kejutan budaya' atau 'culture-shock' yang akan membantutkan kemaraan mereka sebagai pengganti kepada UMNO dengan huru-hara yang bakal dibawa oleh Mat Sabu di dalam PAS. Saya katakan, jika benar Nasharuddin adalah simbol kekuatan PAS, mengapa Nik Aziz tidak berkenan dengan beliau yang dianggap sebagai 'terhegeh-hegeh' menghadap para pemimpin UMNO dalam rundingan membentuk kerajaan campuran? Adakah terlalu hebatnya Nasharuddin hingga membingungkan Mursyidul Am serta pemimpin-pemimpin parti pakatan yang lain terutamanya Anwar Ibrahim serta penyokong-penyokongnya yang duduk di dalam PAS dikenali sebagai erdogan membawa fahaman 'Anwarisna'?

Sebenarnya, apa yang dikhuatiri oleh Mursyidul Am PAS serta golongan-golongan pro-Anwar di dalam PAS adalah idea perpaduan serta kerjasama yang dibawa oleh Nasharuddin dalam menyatu-padukan bangsa Melayu serta penganut agama Islam yang menjadi consensus ad idem antara UMNO dan beliau. Mengenepikan agenda peribadi seperti kuasa dan takhta dengan meletakkan kepentingan bangsa serta agama di hadapan itulah sebenarnya kekuatan yang dimiliki oleh Nasharuddin yang menggerunkan bukannya Mursyidul Am PAS serta Ketua Umum PKR, tetapi rakan sekutu kuat mereka DAP. Mursyidul Am PAS serta Anwar Ibrahim hanya khuatir dengan ideologi perpaduan yang dibawa oleh Nasharuddin akan membuatkan DAP menyisihkan kerjasama di antara mereka justeru mimpi untuk bertapak di Putrajaya akan terbengkalai. Mudahnya, sementara Nik Aziz mahupun Anwar Ibrahim bermimpi untuk menang dalam pilihanraya umum ke-13 nanti justeru memberikan mereka takhta dan kuasa, mereka hendaklah membelai serta menjaga hati sekutu kuat mereka DAP. Manakala Nasharuddin tidak bermimpi untuk memegang kuasa mahupun takhta tetapi mensasarkan objektifnya menguatkan bangsa Melayu dan agama Islam justeru melihat perpaduan di antara PAS dan UMNO khususnya dapat merealisasikan apa yang diimpikannya itu. Perlu diingat, bahawa gerakan yang dimulakan oleh Nasharuddin itu diketahui walaupun rahsia mendapat izin dari Presidennya Haji Hadi Awang. Nik Aziz pernah menyuarakan ketidak-puas-hati-annya kepada Haji Hadi Awang dan seterusnya mahu supaya Haji Hadi dipecat melalui mesyuarat agong khas namun akhirnya ia hanyalah menjadi suatu perhimpunan biasa yang melegakan ahli-ahlinya.

Namun, sebagaimana yang saya nyatakan dalam tulisan saya terdahulu di atas, menyisihkan Nasharuddin dari Hadi Awang akan melemahkan Hadi Awang justeru menguatkan lagi 'suara' Nik Aziz yang dilihat begitu 'simpati' terhadap Anwar. Manakala dengan simpati Nik Aziz tersebut, Anwar dapat memujuk DAP untuk terus bertahan dalam pakatan mereka.


Malangnya, DAP telah ke hadapan dengan mempersiagakan diri mereka. Mereka meletakkan calon favorite mereka di dalam PAS iaitu Nizar Jamaluddin serta di dalam DAP sendiri mereka berkempen kuat untuk mencari ahli-ahli Melayu kononnya mahu diletakkan sebagai calon pilihanraya nanti. Akhirnya, sistem kuota bagi meletakkan calon sewaktu pilihanraya akan dimenangi oleh DAP dan bilangan kerusi di dalam parlimen adalah penting sebagai faktor siapa paling berkuasa. Mudahnya, Anwar Ibrahim tidak mampu untuk mewujudkan 'kabinet bayangannya' kerana faktor ini. Tiada kesepakatan di dalam pakatan mereka apabila masing-masing mempunyai agenda peribadi sendiri.

Apa yang dilakukan oleh Nasharuddin Mat Isa sebenarnya adalah 'mimpi' semua umat Islam dan terutamanya bangsa Melayu. Adakah ini memberi makna bahawa Nasharuddin merupakan ejen kepada UMNO? Sejarah latar belakang Nasharuddin tidak memungkinkan beliau adalah ejen kepada UMNO tetapi jika mahu juga melabelkan beliau - adalah lebih mudah melabelkan Nasharuddin sebagai ejen kepada semua umat Islam dan bangsa Melayu yang terlalu inginkan perpaduan sesama umat dan bangsa. Idea tersebut dapat saya katakan diterima oleh sayap PAS terutamanya Dewan Pemuda, jika dibaca politik dalaman PAS secara teliti. Nasharuddin adalah seorang ulamak dan pada masa yang sama adalah seorang yang profesional. Beliau membawa kesederhanaan dalam kedua-dua bidang yang dikuasainya dengan gaya 'moderate'.

Esok, Muktamar bakal berlangsung dan pertandingan berbagai jawatan akan berlaku. Saya tidak mahu mengulas panjang siapa yang berkemungkinan menang dan siapa pula yang bakal berduka mengalami kekalahan. Apa pun, saya mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon berbagai jawatan di dalam pertandingan nanti.

Selamat bersidang kepada seluruh perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-57!