Blog Archive

Monday, June 6, 2011

Archive #014

Sindrom Transisi Kepimpinan adalah Sindrom "M" - Sarawak tidak terkecuali dan pembangkang masih bisu PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Monday, 11 April 2011 17:38
Bila ditanya "bilakah Pehin Seri Taib Mahmud akan mengundurkan diri sebagai Ketua Menteri Sarawak?", maka jawapan yang kedengaran adalah "selepas pilihanraya negeri ke-10 nanti!".

Mengambil kira pendapat rakyat (Sarawak) yang ditanya "apakah yang kurang dengan kerajaan negeri Sarawak?" maka 6 daripada 10 akan menjawab "kepimpinan Ketua Menteri yang sudah terlalu lama!".

Jika anda tanya "bagaimana dengan performance Barisan Nasional (BN) di Sarawak?", saya yakin hampir 100% akan mengatakan bahawa performance BN adalah baik dan mereka (rakyat) juga pasti dengan kredibiliti kepimpinan negara mahupun negeri. Jika ada yang mengatakan bahawa kepimpinan kerajaan negeri (Sarawak) mahupun negara (persekutuan) di bawah BN terlalu buruk, saya yakin ianya datang dari "suara pembangkang" yang membentuk minoriti sama ada di peringkat negeri mahupun negara.

Nah! Di manakah "kurangnya" dengan kempen yang dilakukan oleh BN dalam siri pilihanraya negeri Sarawak kali ke-10 ini? - saya katakan bahawa transisi kepimpinan lama kepada yang baru adalah jawapannya.

Sebenarnya Taib Mahmud sedang menghadapi satu fasa yang pernah dilalui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga apa yang pernah dialami oleh Datuk Seri Samy Vellu. Secara peribadi saya menggelarkan ini sebagai "Sindrom M".

Tun M sebagai contoh, mendapati bahawa dirinya mengalami suatu fenomena "ketidak-percayaan" rakyat apabila kes Datuk Seri Anwar Ibrahim melanda negara pada tahun 1998. Atas tekanan ini dan mendapati Malaysia di bawah pimpinannya mengalami suatu stagnant-period maka beliau mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-empat pada tanggal 22 Jun 2002, sewaktu ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2002. Namun, setelah apa yang disifatkan oleh pemerhati politik sebagai "mempertimbangkan kembali" keputusannya itu setelah didesak oleh ahli-ahli UMNO, Tun M telah menetapkan penguatkuasaan perletakan jawatannya 18 bulan kemudian - di mana dalam tempoh waktu tersebut beliau telah menyerahkan kepimpinan negara serta parti (UMNO) kepada Timbalannya, Abdullah Ahmad Badawi selaku pemangku.

Tindakan yang dianggap "paling bijak pernah dilakukan oleh mana-mana tokoh politik dunia" itu ternyata membuahkan hasil apabila transisi tersebut bukan sahaja diterima dengan baik oleh ahli-ahli UMNO serta komponen BN yang lain bahkan telah disambut dengan begitu baik sekali oleh rakyat dan ini terbukti apabila rakyat menterjemahkannya dalam pilihanraya umum ke-11 apabila menyaksikan BN memenangi 198 kerusi dari 219 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Lebih manis lagi bilamana kerajaan negeri Terengganu yang sebelum itu jatuh ke tangan pembangkang (PAS) juga telah berjaya ditawan semula. Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang kelima telah mendapat kepercayaan rakyat dengan peratusan undi popular tidak kurang dari 63%, satu majoriti yang besar semenjak pilihanraya umum ke-5 pada tahun 1978. Saya secara peribadi berpendapat bahawa di sinilah bermulanya sindrom yang saya namakan sebagai "sindrom M", dan sindrom ini telah berjalan dengan begitu baik sekali.

Langit tidak selalu cerah, kadangkala hujan ditengahari - itulah yang berlaku pada pimpinan Tun Pak Lah apabila pilihanraya ke-12 tahun 2008 menyaksikan apa yang dinamakan oleh pemerhati politik sebagai ""Tsunami Politik" melanda Malaysia dan memberi kesan yang besar kepada BN mahupun parti-parti politik pembangkang. BN hanya mampu mengutip 140 kerusi dari 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Pembangkang telah berjaya menafikan 2/3 majoriti yang dinikmati oleh BN sebelum itu. Dengan menduduki 82 buah kerusi di parlimen, pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertambah kuat. Majoriti undi popular yang dinikmati oleh BN turun hingga tinggal sebanyak 50.6% berbanding populariti yang diperolehi oleh pembangkang sebanyak 49.6% - suatu jurang yang sangat nipis.

Berbagai teori telah dikeluarkan oleh para penganalisis politik tempatan mahupun luar negara. Ada yang menyalahkan antara satu sama lain terutamanya dalam parti-parti yang membentuk komponen BN. Yang paling perit apabila ahli-ahli dalam parti itu sendiri menyalahkan ahli-ahli partinya yang lain. Tidak terkecuali apabila penganalisis luar negara berpendapat bahawa zaman UMNO/BN akan berubah sebagaimana yang berlaku kepada Golkar di Indonesia mahupun LDP di Jepun. Tidak ada lagi mana-mana parti di dunia yang bakal berkuasa terlalu lama. Lebih hebat, apabila new-politics mula dibicarakan dengan pembentukan sebuah negara yang bercampur. Great Britain sebagai contohnya terpaksa melakukan apa yang dipanggil sebagai the hanging-parliament atau hung parliament. Negara jiran kita Indonesia kini terpaksa menubuhkan sebuah kerajaan campuran.

Fresh-politics atau "keremajaan politik" hendaklah dilakukan. Ramai yang menyatakan bahawa faktor Anwar Ibrahim adalah faktor utama kepada perubahan politik yang mula menjalar di Malaysia, terutamanya setelah beliau dibebaskan dari penjara dan seterusnya memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan oleh Wan Azizah. Menjawat sebagai Ketua Pembangkang menggantikan isterinya adalah ultimatum Anwar kembali muncul dalam arena politik negara. Secara jujurnya, saya secara peribadi mengatakan "Tidak!" - Anwar bukanlah "suatu fenomena baru politik di Malaysia". Beliau hanyalah elemen yang muncul di mana fenomena "politik baru" dunia sedang berlaku.

Mungkin atas faktor ini, Tun Pak Lah terpaksa memikul bebannya. Ada yang menyalahkan keperibadian beliau sebagai faktor utama UMNO/BN memperolehi keputusan yang paling teruk dalam sejarah negara. Beliau dianggap sebagai terlalu lemah. Bukan lagi menjadi suatu rahsia, Tun M secara peribadi menganggap bahawa Tun Pak Lah menjadi liabiliti kepada UMNO/BN. Justeru, bagi melonjakkan kembali populariti UMNO dan seterusnya BN desakan demi desakan secara halus dan tersusun menghimpit Tun Pak Lah untuk meletakkan jawatan. Sebagai contoh, Datuk Mukhriz Mahathir pernah secara terbuka menghantar surat mendesak agar beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Sabah Progressive Party, sebuah parti komponen ke-14 BN juga secara terbuka mendesak beliau untuk meletakkan jawatan dengan undi tidak percaya manakala barisan pembangkang juga turut pernah mengusulkan undi-tidak percaya dalam dewan parlimen tetapi ianya telah ditolak oleh Speaker dewan tersebut.

Mungkin atas desakan yang bertali arus itu maka Tun Pak Lah telah membuat suatu pengumuman perisytiharan peralihan kuasa pada 10 Julai 2008 dengan menjanjikan bahawa penguatkuasaan akan hanya berlaku pada Jun 2009. Di sinilah berlakunya apa yang saya secara peribadi sebut sebagai Sindrom M kali kedua - menjanjikan suatu tarikh hadapan bagi mempersiapkan dirinya untuk turun dan juga persiapan untuk penggantinya naik.

Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu menunggu sehingga Jun 2009 apabila surat perletakan jawatan Tun Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agung pada 2 April 2009 dan Datuk Seri Najib Tun Razak ditabalkan menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam keesokan harinya.

Sindrom M seterusnya menjadi begitu popular di kalangan pengamal politik yang sudah begitu lama menerajui mana-mana kepimpinan sesebuah parti mahupun kerajaan. Datuk Seri Samy Vellu adalah antara nama yang mengguna-pakai sindrom M dalam peralihan kuasa parti MIC. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Presiden Gerakan juga diwar-warkan akan melakukan transisi kuasa selepas pilihanraya umum ke-13 nanti. MCA terkecuali dalam sindrom ini apabila peruntukan perlembagaannya menghadkan dua penggal sebagai tempoh masa memegang jawatan presiden.

Sebagaimana awalan tulisan ini, nampaknya Pehin Seri Taib Mahmud juga telah menjanjikan kepada kepimpinan utama negara untuk melakukan peralihan kuasa atau Sindrom M - apabila berjanji kepada Perdana Menteri dan Timbalannya untuk melepaskan jawatan selaku Ketua Menteri Sarawak dan seterusnya kerusi presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) setelah selesai pilihanraya negeri ke-10 nanti.

Rakyat Sarawak tidak perlu bimbang! Janji itu pasti terlaksana mengikut track-record yang pernah dibuat oleh mana-mana komponen BN terdahulu disebut di atas.

Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya berusaha keras untuk "meremajakan UMNO serta BN" dengan mengguna-pakai slogan "transformasi" sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan.

Secara menyeluruh, saya mengatakan bahawa proses meremajakan parti serta kerajaan yang dilakukan oleh Najib Tun Razak adalah suatu usaha yang tepat dan kena pada masanya apabila fenomena politik dunia sedang bergerak pantas melakukan perubahan atas peta dunia. Lanskap politik dunia sedang mengalami perubahan.

Hanya sa-nya Democratic Action Party (DAP), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti KeAdilan Rakyat (PKR) pada masa ini gagal menunjukkan ketelusan dalam melakukan transformasi kepimpinan parti apabila masih lagi berdiam diri atau bisu tentang peralihan kuasa atau transisi kuasa dalam parti mereka.

Sedarkah kita bahawa pemimpin-pemimpin utama mereka seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Haji Abdul Hadi Awang, Nik Aziz, Anwar Ibrahim dan Wan Azizah sebenarnya adalah "pemimpin tua" apabila senarai nama mereka ini sebenarnya adalah sezaman dengan nama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah pun selesai melakukan Sindrom M ke atas UMNO dan BN?

Mereka (pakatan pembangkang) lupa apabila menuding jari telunjuk kepada Taib Mahmud tetapi empat jari yang lain sedang menghala pada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment