Blog Archive

Monday, June 6, 2011

Archive #012

Nasharuddin Mat Isa & Pre-Persidangan Muktamar PAS Kali ke-57; suatu ulasan PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Thursday, 02 June 2011 21:18
Oleh: GreenHood

Saya telah dihubungi oleh sahabat-sahabat saya, Khairul dan Hazimin masing-masing dari Utusan Malaysia dan NST, setelah mengeluarkan dua artikel bertajuk:-

i. Tuan Ibrahim dipaksa bertanding jawatan nombor 2? di capaian http://kritis-online.com/index.php/editorial/34-politik/399-tuan-ibrahim-dipaksa-bertanding-jawatan-nombor-2 ; dan
ii. 2 dalam 1 - Sindir UMNO, sebat Nasharuddin di capaian http://kritis-online.com/index.php/editorial/34-politik/442-2-dalam-1-sindir-umno-sebat-nasharudin

Mereka bertanya adakah analisa yang saya lakukan kerana kecenderungan memilih Nasharuddin Mat Isa sebagai calon Timbalan Presiden PAS? Dan sama ada kecenderungan memilih Nasahruddin (mengikut tafsiran mereka setelah membaca kedua-dua artikel tersebut) kerana saya (dan juga rakan saya dari NST tersebut) pernah menjadi anak-murid kepada beliau sewaktu mengikuti kuliah pengajian undang-undang sarjana muda di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia?

Saya katakan "Tidak!".



Dalam penulisan saya, seboleh-bolehnya saya mengekalkan kejujuran menilai dan membuat olahan supaya ia senang dibaca serta dinilai oleh para pembaca - berdasarkan sedikit maklumat yang diperolehi dan juga menilai dari keadaan politik semasa serta sejarahnya - bagi membuka ruang dimensi lain dari yang lain walaupun perspektif itu tidak popular.

Sebagai contoh, jika rakan-rakan wartawan yang lain berkata bahawa Nasharuddin adalah sebahagian dari plot Anwar sewaktu beliau (Nasharuddin) menaiki takhta nombor dua di dalam PAS, justeru menaikkan Nasharuddin ibarat memberi ruang kepada Anwar berkuasa secara 'ghaib' di dalam PAS - saya katakan pula bahawa Anwar juga merupakan sebahagian dari plot Mahathir sewaktu beliau (Anwar) menaiki takhta nombor dua di dalam UMNO. Adakah Mahathir dan Anwar kekal menjadi rakan-sekutu? Jawapannya pasti tidak. Dan Nasharuddin secara peribadi saya anggap bukan sebahagian dari kelompok erdogan yang membawa fahaman 'Anwarisna' kerana sifat beliau membelakangkan parti-parti pakatan yang lain terutamanya Anwar sendiri sewaktu mengadakan rundingan dengan beberapa pemimpin UMNO bagi mengadakan kerajaan perpaduan sejurus selepas Tsunami 2008. Perkara inilah yang membangkitkan kemarahan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat yang diketahui dikelilingi oleh pengikut sebenar 'Anwarisna' seperti Husam Musa dan Kamaruddin Jaafar.

Ada pula rakan penganalisa politik berpendapat bahawa Nasharuddin merupakan ancaman kepada UMNO kerana mengekalkan Nasharuddin ibarat memberi kekuatan kepada PAS dalam objektif PAS menjadi pengganti kepada UMNO dalam membela nasib bangsa Melayu. Justeru, dengan memberi sokongan kepada Mat Sabu, rakan-rakan penganalisa berpendapat PAS bakal mengalami 'kejutan budaya' atau 'culture-shock' yang akan membantutkan kemaraan mereka sebagai pengganti kepada UMNO dengan huru-hara yang bakal dibawa oleh Mat Sabu di dalam PAS. Saya katakan, jika benar Nasharuddin adalah simbol kekuatan PAS, mengapa Nik Aziz tidak berkenan dengan beliau yang dianggap sebagai 'terhegeh-hegeh' menghadap para pemimpin UMNO dalam rundingan membentuk kerajaan campuran? Adakah terlalu hebatnya Nasharuddin hingga membingungkan Mursyidul Am serta pemimpin-pemimpin parti pakatan yang lain terutamanya Anwar Ibrahim serta penyokong-penyokongnya yang duduk di dalam PAS dikenali sebagai erdogan membawa fahaman 'Anwarisna'?

Sebenarnya, apa yang dikhuatiri oleh Mursyidul Am PAS serta golongan-golongan pro-Anwar di dalam PAS adalah idea perpaduan serta kerjasama yang dibawa oleh Nasharuddin dalam menyatu-padukan bangsa Melayu serta penganut agama Islam yang menjadi consensus ad idem antara UMNO dan beliau. Mengenepikan agenda peribadi seperti kuasa dan takhta dengan meletakkan kepentingan bangsa serta agama di hadapan itulah sebenarnya kekuatan yang dimiliki oleh Nasharuddin yang menggerunkan bukannya Mursyidul Am PAS serta Ketua Umum PKR, tetapi rakan sekutu kuat mereka DAP. Mursyidul Am PAS serta Anwar Ibrahim hanya khuatir dengan ideologi perpaduan yang dibawa oleh Nasharuddin akan membuatkan DAP menyisihkan kerjasama di antara mereka justeru mimpi untuk bertapak di Putrajaya akan terbengkalai. Mudahnya, sementara Nik Aziz mahupun Anwar Ibrahim bermimpi untuk menang dalam pilihanraya umum ke-13 nanti justeru memberikan mereka takhta dan kuasa, mereka hendaklah membelai serta menjaga hati sekutu kuat mereka DAP. Manakala Nasharuddin tidak bermimpi untuk memegang kuasa mahupun takhta tetapi mensasarkan objektifnya menguatkan bangsa Melayu dan agama Islam justeru melihat perpaduan di antara PAS dan UMNO khususnya dapat merealisasikan apa yang diimpikannya itu. Perlu diingat, bahawa gerakan yang dimulakan oleh Nasharuddin itu diketahui walaupun rahsia mendapat izin dari Presidennya Haji Hadi Awang. Nik Aziz pernah menyuarakan ketidak-puas-hati-annya kepada Haji Hadi Awang dan seterusnya mahu supaya Haji Hadi dipecat melalui mesyuarat agong khas namun akhirnya ia hanyalah menjadi suatu perhimpunan biasa yang melegakan ahli-ahlinya.

Namun, sebagaimana yang saya nyatakan dalam tulisan saya terdahulu di atas, menyisihkan Nasharuddin dari Hadi Awang akan melemahkan Hadi Awang justeru menguatkan lagi 'suara' Nik Aziz yang dilihat begitu 'simpati' terhadap Anwar. Manakala dengan simpati Nik Aziz tersebut, Anwar dapat memujuk DAP untuk terus bertahan dalam pakatan mereka.


Malangnya, DAP telah ke hadapan dengan mempersiagakan diri mereka. Mereka meletakkan calon favorite mereka di dalam PAS iaitu Nizar Jamaluddin serta di dalam DAP sendiri mereka berkempen kuat untuk mencari ahli-ahli Melayu kononnya mahu diletakkan sebagai calon pilihanraya nanti. Akhirnya, sistem kuota bagi meletakkan calon sewaktu pilihanraya akan dimenangi oleh DAP dan bilangan kerusi di dalam parlimen adalah penting sebagai faktor siapa paling berkuasa. Mudahnya, Anwar Ibrahim tidak mampu untuk mewujudkan 'kabinet bayangannya' kerana faktor ini. Tiada kesepakatan di dalam pakatan mereka apabila masing-masing mempunyai agenda peribadi sendiri.

Apa yang dilakukan oleh Nasharuddin Mat Isa sebenarnya adalah 'mimpi' semua umat Islam dan terutamanya bangsa Melayu. Adakah ini memberi makna bahawa Nasharuddin merupakan ejen kepada UMNO? Sejarah latar belakang Nasharuddin tidak memungkinkan beliau adalah ejen kepada UMNO tetapi jika mahu juga melabelkan beliau - adalah lebih mudah melabelkan Nasharuddin sebagai ejen kepada semua umat Islam dan bangsa Melayu yang terlalu inginkan perpaduan sesama umat dan bangsa. Idea tersebut dapat saya katakan diterima oleh sayap PAS terutamanya Dewan Pemuda, jika dibaca politik dalaman PAS secara teliti. Nasharuddin adalah seorang ulamak dan pada masa yang sama adalah seorang yang profesional. Beliau membawa kesederhanaan dalam kedua-dua bidang yang dikuasainya dengan gaya 'moderate'.

Esok, Muktamar bakal berlangsung dan pertandingan berbagai jawatan akan berlaku. Saya tidak mahu mengulas panjang siapa yang berkemungkinan menang dan siapa pula yang bakal berduka mengalami kekalahan. Apa pun, saya mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon berbagai jawatan di dalam pertandingan nanti.

Selamat bersidang kepada seluruh perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-57!

No comments:

Post a Comment