Blog Archive

Tuesday, July 2, 2013

Archive #110 - Teori 'Pintu Solusi' Penyatuan Melayu-Islam Di PRK Kuala Besut


Column by: GreenHood


Nawawi Mohamad dari Malaysia Chronicle yang berpaksikan Tian Chua mungkin boleh menakut-nakutkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta Datuk Seri Ahmad Said, kedua-duanya presiden dan pengerusi Umno merangkap Barisan Nasional (BN) pusat dan Trengganu berkaitan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut yang bakal diadakan tidak lama lagi bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang akan bermesyuarat khas Jumaat ini.

Tulisan Nawawi boleh dibaca di www.malaysia-chronicle.com bertajuk “Boycott Kuala Besut? No Time for Political COWARDICE in Pakatan altho Umno Will Go All Out! sebelum ditukar kepada tajuk "Will Umno Rivals Use Kuala Besut to Bury Najib?" bertarikh 1 Julai 2013.

Summary

Pertama, Nawawi berpendapat bahawa sistem ‘hung state assembly’ langsung tidak boleh wujud di Malaysia sebagai mana kini diamalkan di United Kingdom, Indonesia serta beberapa negara lain. Alasan yang diberikan terlalu mudah - BN terlalu ‘ego’ untuk bekerjasama dengan parti selain komponen BN.

Kedua, Nawawi berpendapat bahawa dalam musim ‘pemilihan Umno’ ini, Najib dan Ahmad Said merupakan dua pihak yang paling ‘vulnerable’ atau terdedah kepada mara-bahaya politik dalaman yang ingin menjatuhkan kedudukan Najib selaku presiden dan Ahmad Said selaku menteri besar Trengganu. Alasan yang diberikan juga ringkas dan padat - kekalahan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kuala Besut adalah kononnya petanda penolakan rakyat terhadap polisi yang diamalkan oleh BN di bawah tadbir kedua-dua Najib dan Ahmad Said.
Justeru, alasan tersebutlah yang bakal ‘didendangkan’ kepada ahli Umno sewaktu pemilihan pada penghujung tahun nanti bagi menolak, Najib terutamanya, sebagai presiden yang hilang ‘taring’ nya.

Ketiga, sekali lagi media pro-pakatan ini cuba menguatkan persepsi negatif dengan mengaitkan SPR terhadap ‘bakal kemenangan’ BN dalam PRK Kuala Besut nanti - suatu andaian berat yang belum lagi terhasil.

Strategi Penyatuan

Apabila SPR mengumumkan kemenangan kepada Pakatan Rakyat (PR) bagi negeri Selangor sewaktu pilihan raya umum (PRU) 2008 lalu, kita telah didedahkan dengan beberapa siri pertemuan pemimpin BN dan Pas untuk mewujudkan kerajaan campuran.

Dari 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, BN hanya mampu memperoleh 20 kerusi manakala Pas mendapat 8 kerusi dan PKR serta Dap masing-masing memperolehi 15 dan 13 kerusi.

Pertemuan sulit yang dikatakan mendapat ‘restu’ presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang itu membincangkan secara serius penyatuan BN dan Pas untuk memberi kedudukan sama rata iaitu 28 kerusi (20 BN dan 8 Pas) dengan 28 kerusi yang diperolehi PKR (15) dan Dap (13).

Jika rundingan tersebut berhasil, maka kedudukan seri tetap akan memberi ruang kepada kerajaan campuran atau ‘hung state assembly’ yang dinafikan oleh Nawawi dalam penulisannya.

Keperluan Penyatuan

Penyatuan ‘Islam’ yang berselindung di sebalik nama Melayu sejujurnya merupakan satu impian popular masyarakat Melayu dan pada masa yang sama adalah satu mimpi ngeri terhadap Dap yang mendapat sokongan hampir 100 peratus masyarakat kaum Tionghua.

Analisa keputusan PRU 2013 tidak boleh menolak apa yang disebut sebagai ‘Tsunami Kaum Cina’ yang mempamerkan sikap sebenar kaum tersebut terhadap bangsa Melayu-Islam.

Pas sendiri terpaksa menelan air liur dan bersikap apologetik apabila menduduki tempat terakhir dalam hierarki PR dengan pungutan 21 kerusi parlimen mengecut 2 kerusi berbanding PRU 2008 (23 kerusi).

Perpecahan kaum Melayu-Islam di sebalik panji Umno-Pas-PKR dan kumpulan Melayu-Islam atas pagar ternyata memudaratkan geo-politik kaum tersebut dengan memberi kelebihan kepada kaum Tionghua.


PRK Kuala Besut ‘Pintu Solusi’ Terbaik Penyatuan

Dalam pada pemimpin Melayu-Islam teraba-raba dan tercari-cari formula terbaik bagi mengikat kembali perpecahan mereka, PRK Kuala Besut secara ‘natural’ menawarkan pintu solusi untuk diperhalusi oleh kepimpinan Melayu-Islam tersebut.

Saya amat yakin, ‘pintu solusi’ ini akan di-TIDAK-kan oleh kedua-dua kepimpinan utama BN dan Pas tetapi suka untuk saya memegang kata-kata Albert Einstein bahawa “nothing is coincidence”, lebih-lebih lagi dalam perihal politik.

Adalah tidak mustahil bagi BN memberikan kemenangan kepada Pas bagi mewujudkan ‘hung state asembly’ yang di-TIDAK-kan oleh Nawawi mengikut skrip Tian Chua.

Dengan 'hung state assembly' ini, secara tidak langsung bakal membuka jalan penyatuan yang lebih besar di masa hadapan.

Dangkalnya Teori Meletak Kegagalan PRK Kelak Pada Najib

Untuk pengetahuan Nawawi (jika masih belum maklum) bahawa Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin selaku timbalan presiden Umno merangkap timbalan pengerusi BN telah pun membuat sidang media beliau mengesahkan perlantikan dirinya yang direstui BN untuk menerajui PRK Kuala Besut dengan memegang jawatan pengarah pilihan raya BN.

Adakah begitu mudah Muhyiddin menudingkan jari beliau terhadap Najib sekiranya beliau selaku pengarah pilihan raya BN gagal mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut?

Mungkin Nawawi Mohamad punya jawapan tersendiri.

Namun saya percaya, penulisan beliau sebenarnya ditujukan khas kepada Pas yang diuar-uar akan memboikot PRK Kuala Besut atas alasan tuntutan transformasi di dalam SPR sekaligus mendesak perletakan jawatan pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof - tidak lebih dari itu.


No comments:

Post a Comment