Blog Archive

Thursday, October 18, 2012

Archive #82 : A.E.S.

A.E.S.

Written by GreenHood   
Thursday, 18 October 2012 09:07


Seperti pondok telefon awam, pihak operator menggunakan sepenuhnya modal sendiri .

Meletakkan di satu-satu kawasan bagi memudahkan umum menggunakannya. Apa yang umum perlu sediakan hanyalah wang syiling. Dail dan cakap!

Jika telefon atau pondok tersebut rosak, umum tidak akan ambil peduli sebaliknya pihak operator terpaksa menyelenggara kerosakan tersebut. Mudah!

Keuntungan akan dikutip oleh pihak operator kemudian. Sama ada untung dalam sekelip mata atau sebaliknya, umum sekali lagi tidak akan ambil peduli. Dalam perihal ini, suka untuk saya berfikir bahawa kerugian terpaksa ditanggung oleh pihak operator kerana kos penyelenggaraan yang tinggi berbanding keuntungan sekelip mata.

Namun, maslahah awam telah dilaksanakan oleh pihak operator. Satu jihad dalam memastikan keperluan umum diberi walaupun rata-rata rakyat Malaysia memiliki telefon mudah alih hingga kanak-kanak sekolah turut mampu memilikinya. Apatah lagi dengan pengumuman YAB Perdana Menteri bagi memberi rebet RM200 kepada remaja membeli telefon selular pintar dalam belanjawan negara baru-baru ini.

AES

Begitulah halnya dengan AES. Singkatan kepada “Automated Enforcement System” diperkenalkan oleh JPJ dengan kerjasama MIROS (Malaysian Institute of Road Safety) serta dua buah syarikat swasta.

Wang rakyat tidak diambil bagi tujuan membangunkan seterusnya memasang serta menyelenggara AES. Ianya dikeluarkan oleh dua buah syarikat yang menawarkan khidmat AES dan dengan kerjasama pintar ini membantu JPJ melaksanakan satu lagi maslahah awam iaitu mengurangkan kadar kemalangan Malaysia yang tinggi.

Wang rakyat hanya diambil bilamana rakyat itu sendiri melakukan kesalahan undang-undang jalanraya.  Saman dikeluarkan, proses perundangan berjalan dan wang rakyat tersebut diambil jika terbukti beliau bersalah. Jika terbukti sebaliknya, wang itu masih tetap tersimpan dalam poketnya.



Masalahnya ada tiga; pertama adalah persepsi yang cuba ditimbulkan oleh pihak yang mahu mendapatkan “political mileage” dengan memburuk-burukkan sistem ini kerana kerajaan yang memerintah perlu diburuk-burukkan dan AES boleh menjadi pemangkinnya.

Kedua; pihak yang iri hati kerana tidak nampak peluang pendapatan yang boleh diperolehi dan hanya dua syarikat tersebut yang memperolehinya sedangkan awalan di atas telah saya ilustrasikan dengan syarikat operator pondok telefon awam dan bagaimana kesan untung-rugi boleh berlaku.

Ketiga, pihak “yang manja” kerana mahu melakukan kesalahan namun tidak mahu “membayar” harga kesalahannya itu.

Telah dinyatakan bahawa pemasangan AES hanyalah pada “kawasan hitam” iaitu kawasan yang sering berlaku kemalangan. AES tidak dipasang setiap 5 atau 10km dari setiap jalan utama menghubungkan utara tanahair hingga selatan kemudian timur hingga ke barat. Ia hanya dipasang di kawasan tertentu sahaja.

Bagaimana jika anda merupakan seorang pemilik sebuah Lamborghini Diablo? Adakah anda berpuashati membawa kenderaan anda dengan kadar kelajuan 90km/jam?

Sudah pasti tidak. Anda membelanjakan beratus ribu bahkan jutaan ringgit membeli sebuah kenderaan yang boleh bergerak selaju 300km/jam, mengapa perlu anda memandu ia dengan kadar kelajuan 90km/jam sahaja?

Jawapannya mudah; anda bawalah selaju mana pun kenderaan anda namun anda juga mampu membayar saman yang dikeluarkan melalui sistem AES ini. Jika Lamborghini mampu dibeli, masakan RM300 tidak mampu untuk dibayar? Pilihan di tangan anda.

Apa pun, jika anda memilih untuk tidak mahu membayar RM300 maka anda pandulah kenderaan anda dengan had laju yang dibenarkan. Sebenarnya, pilihan anda ini bukan sahaja mampu menyelamatkan wang anda, bahkan ia turut membantu mengurangkan peratusan kemalangan yang boleh terjadi.

Jika anda masih tidak berpuashati dengan sistem AES yang mampu membantu mengurangkan kemalangan, mengapa tidak anda mendesak seluruh ahli parlimen untuk bersetuju di dalam sidang parlimen bagi meningkatkan kadar had laju yang dibenarkan?

Kalau pun anda tidak sayang akan nyawa anda untuk membawa kenderaan dengan laju, setidak-tidaknya anda mampu menyelamatkan wang anda dari membayar saman kerana anda pada dasarnya tidak melanggar “kadar had laju baru” yang diluluskan!

No comments:

Post a Comment